WELCOME TO HELL!!!

WELCOME TO HELL!!!
"Selamat Datang Ke Dunia Penuh Pancaroba"
Monday, January 11, 2010 at 12:08 AM |  
Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Awam Malaysia (MAKUM) dan Penganjuran Festival Kebudayaan Universiti –Universiti Malaysia (FEStKUM) 2009
Oleh: Andika Aziz Hussin dan Rohani Hadi
Ahli Majlis MAKUM UMS


Bila disebut perkataan MAKUM, ramai yang terpinga-pinga tidak mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan MAKUM. MAKUM adalah nama singkatan kepada Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia. Ia adalah sebuah organisasi yang ditubuhkan di bawah naungan Jawatankuasa Sekretariat Timbalan-timbalan Naib Canselor dan Timbalan-timbalan Reaktor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti-universiti Malaysia. MAKUM ditubuhkan pada 11 Febuari 1993 berlandaskan kesedaran untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh universiti-universiti berhubung dengan hal ehwal kebudayaan. Pada awal penubuhan majlis ini dianggotai oleh lima buah universiti sahaja iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM). Misi MAKUM adalah untuk memartabatkan aktiviti kebudayaan dan kesenian di IPTA sebagai satu saluran dalam meningkatkan kemahiran pelajar (soft-skills). Jumlah keahlian MAKUM semakin berkembang dan sehingga kini telah dianggotai oleh semua wakil daripada 20 buah IPTA dan sekretariat penerajunya digilirkan antara anggota setiap dua tahun sekali. Bagi sesi 2009/2010, Timbalan Naib Canselor HEPA Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) adalah Pengerusi Sekretariat manakala Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bertindak selaku Timbalan Pengerusi Sekretariat. Dasar MAKUM ialah menasihat, memimpin, menyelaras dan memantau perkara-perkara mengenai kebudayaan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang bertunjangkan kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Antara objektif-objektif penting penubuhan MAKUM ini ialah;
i. Mengembangkan seni dan budaya melalui penyelidikan, latihan, festival, pertandingan seminar, lawatan kebudayaan dan menyokong dalam menyediakan kemudahan yang lengkap bagi kepentingan aktiviti seni budaya di kalangan pelajar.
ii. Merancang dan menyelaras perlaksanaan aktiviti seni, budaya pelajar IPTA
iii. Memberi nasihat dan panduan kepada persatuan, kelab dan lain-lain badan kebudayaan dan kesenian di IPTA.
iv. Menggalakkan penyertaan dan penglibatan mahasiswa berbilang kaum dalam kegiatan kebudayaan dan kesenian di IPTA yang secara langsung dapat mewujudkan integrasi nasional.
Sepanjang tempoh hampir 16 tahun penubuhan MAKUM, setiap IPTA telah merancang dengan aktif dan melaksanakan pelbagai aktiviti baik yang berbentuk festival, seminar, bengkel, lawatan dan lain-lain. Antara aktiviti yang telah dianjurkan saban tahun ialah Festival Teater MAKUM, Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka, Festival Nasyid, Pertandingan Dikir Barat, Fiesta Muzika, Festival Dondang Sayang, Festival Keroncong, Kursus Pengacaraan Majlis, Perhimpunan Siswa Merdeka, Bengkel Produksi Teater, Bengkel dan Festival Dekon, Bengkel Tarian, Bengkel Boria, Bengkel Kuda Kepang dan Eksplorasi Seni Visual Sabah.
MAKUM merupakan satu entiti yang begitu gigih berusaha dalam pemerkasaan dan pembinaan kualiti diri pelajar di peringkat IPTA. Pelbagai program seni budaya dilaksanakan oleh MAKUM bagi mencerminkan keperibadian mulia dan memupuk mentality cinta budaya kebangsaan di kalangan warga sarjana. Ini sudah tentu memerlukan kesepaduan semua IPTA khususnya tenaga penggerak MAKUM dalam proses yang berterusan dan bersifat kesepakatan bistari. Perancangan kalendar penganjuran aktiviti kebudayaan dan kesenian MAKUM 2009 menunjukkan sebanyak 26 aktiviti seni telah dirancang untuk dilaksanakan oleh sejumlah 20 IPTA. Berdasarkan statistik tahun 2008 sebanyak 16 program sahaja yang berjaya dilaksanakan. Justeru itu satu pendekatan baru perlu diterapkan bagi meningkatkan kemampuan MAKUM dalam mencapai kejayaan penganjuran seni budaya yang lebih holistik dan realistik untuk mencapai sasaran dan objektif program seni budaya. Festival Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia atau FEStKUM 2009 merupakan satu wadah untuk menggabungkan kesemua penganjuran program kebudayaan dan kesenian dalam satu penganjuran bersifat gala dan lebih tersusun. FEStKUM 2009 akan menggabungkan pelbagai bidang kesenian pelbagai kaum dalam satu penganjuran berkonsepkan pertandingan seni. Penganjuran FEStKUM 2009 bukan sahaja berupaya mengharmonikan aktiviti-aktiviti kesenian di kalangan warga sarjana malah dapat member kesan yang lebih positif, kerjasama yang lebih terpimpin, meluas dan berkualiti kepada pelajar-pelajar IPTA dalam memanifestasikan kesenian bersifat kebangsaan dengan lebih gah dan tersohor.
Festival Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (FEStKUM) 2009 anjuran Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) bertemakan “Satu Budaya” menggambarkan aspirasi kerajaan yang memperkenalkan slogan Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Untuk mencapai tema murni ini, penyusunan acara juga disesuaikan agar ia tidak bercanggah dengan dasar MAKUM yang selari dengan tiga prinsip Dasar Kebudayaan Kebangsaan seperti;
i. Berteraskan kepada Kebudayaan Rakyat Asal rantau ini yang merangkumi kawasan Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Thailand dan Kampuchea serta Kepulauan Selatan Pasifik (Polynesia, Melanesia dan Oceania) sehingga Malagasi adalah merupakan bahagian utama dari kawasan tamadun atau budaya Melayu.
ii. Unsur-unsur Kebudayaan Lain yang Dianggap Sesuai dan Wajar boleh diterima. Ini kerana kebudayaan itu dilihat sebagai sesuatu yang bersifat dinamik, sentiasa berubah-ubah melalui proses penyerapan dan penyesuaian secara berterusan.
iii. Islam menjadi Unsur yang Penting Dalam Pembentukan Kebudayaan Kebangsaan.

FEStKUM telah berlangsung pada 9hb-14hb Disember 2009 melibatkan penyertaan sebanyak 20 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh Negara. Acara yang julung-julung kalinya diadakan ini telah membuka satu lembaran baru dalam aspek penganjuran festival kebudayaan di IPTA. Kejayaan penganjuran FEStKUM menjadi kayu ukur positif kepada imej MAKUM disamping dapat menguji tahap kemampuan ahli-ahli MAKUM setiap IPTA dalam bekerjasama menganjurkan acara mega seumpamanya.
Penggabungan semua penganjuran program kebudayaan dan kesenian yang dilaksanakan secara berpusat dilihat lebih menjimatkan dan lebih sistematik. Dimaklumkan jumlah perbelanjaan yang dibelanjakan untuk menganjurkan acara FEStKUM secara keseluruhannya tidak mencecah RM1 juta. FEStKUM 2009 yang dianjurkan buat pertama kali ini mampu memberi kesan yang mendalam serta mampu mengharmonikan aktiviti kesenian di kalangan mahasiswa sekaligus kakitangan universiti yang terlibat. Pelbagai cabang seni yang disatukan berjaya menonjolkan tema 1 Malaysia seperti yang cuba diterapkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Dato’ Seri Najib Tun Razak. FEStKUM wajar dijadikan sebagai acara tahunan yang besar kerana mampu menggerakkan mahasiswa untuk menonjolkan bakat dan curahan idea serta dapat memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk terus berkarya, berkreatif dan berinovasi. Selaras dengan tujuan FEStKUM diadakan kerjasama erat daripada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, khususnya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara adalah sangat dihargai dalam usaha mengintegrasikan keunikan budaya dan masyarakat.

Terdapat 5 kategori kesenian yang dipertandingkan iaitu Seni Tari yang terdiri daripada Tarian Zapin, Cina dan India, Warisan Rakyat iaitu Boria dan Dikir Barat, Seni Suara iaitu lagu Irama Malaysia, Seni Muzik Akustika dan Tradisi Lisan Pantun. Untukm peringkat pertama FEStKUM dianjurkan, empat buah universiti telah bersetuju menjadi tuan rumah bagi setiap kategori tersebut. Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi tuan rumah untuk acara Seni Tari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi tuan rumah untuk acara Dikir Barat dan Boria sekaligus menjadi tempat pilihan untuk majlis perasmian FEStKUM pada 10hb Disember 2009 yang disempurnakan oleh BRIG. JEN. Dato’ Prof.Dr.Kamarudin Hussin Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) merangkap Pengerusi MAKUM. Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula menjadi tuan rumah untuk acara Muzik Akustika manakala Universiti Malaya (UM) pula menjadi tuan rumah untuk acara Seni Suara Irama Malaysia dan Tradisi Lisan Pantun serta turut menjadi tempat Majlis perasmian penutupan yang telah di buat pada 14 Disember 2009.
Buat pertama kalinya diadakan dengan merujuk kepada konsep penganjuran sukan, FEStKUM turut menawarkan hadiah berbentuk pingat emas, perak dan gangsa termasuklah habuan sejumlah wang tunai kepada mana-mana IPTA yang berjaya menggondol pingat emas terbanyak. Seramai 1550 peserta dan pegawai dari pelbagai IPTA telah menyertai FEStKUM 2009 dan ditempatkan di empat buah IPTA (UM, UKM, UPM dan UiTM). Universiti Malaysia Sabah berjaya merangkul dua anugerah iaitu Johan untuk kategori Busana Lelaki Terbaik iaitu Elton Ciddy B. Jali yang menggayakan busana lengkap tradisi suku kaum Rungus Sabah dan pingat Perak untuk kategori Muzik Akustika.



Namun di sebalik kemeriahan dan kejayaan penganjuran sulung FEStKUM ini, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian sewajarnya oleh semua IPTA yang bakal menganjurkannya demi untuk pembangunan FEStKUM jika ia mahu diteruskan di masa yang akan datang dan diperlihatkan sebagai memberi input yang baik untuk pembangunan sahsiah dan kemahiran pelajar bersesuaian dengan matlamat FEStKUM. Pertamanya, kejayaan penganjuran FEStKUM secara umumnya berjaya dilaksanakan dan secara langsung, key performance indicator (KPI) setiap penyelaras MAKUM yang terlibat telah tercapai dengan flying colours. Tahniah diucapkan kepada semua Ahli Majlis MAKUM yang bertungkus lumus bekerja siang dan malam menjayakannya. Namun berbalik kepada matlamat penubuhan MAKUM dan penganjuran FEStKUM, adakah ia tercapai seperti yang diharapkan? Insiden `mengeboo’ yang melibatkan sekumpulan pelajar pada malam penutupan FEStKUM amat mengecewakan. Ia berlaku di hadapan timbalan menteri Pengajian Tinggi dan Naib-naib Canselor IPTA. Mengapa boleh berlaku keadaan seperti ini? Penganjur telah dipersalahkan dan dipertanggungjawabkan dalam perkara ini.
Keduanya, pengisian utama penganjuran FEStKUM adalah sebagai medan latihan untuk para pelajar IPTA menunjukkan bakat melalui pertandingan-pertandingan kebudayaan dan kesenian dan nampaknya ia jelas terlaksana dengan jayanya. Namun jika diimbas semula secara mendalam, disebalik kejayaan gemilang penganjuran itu adakah pengalakan penyertaan dan penglibatan mahasiswa berbilang kaum dalam kegiatan kebudayaan dan kesenian seperti yang tercatat di dalam objektif MAKUM terlaksana? Adakah matlamat slogan Satu Malaysia itu benar-benar tercapai? Di sebalik penganjuran acara-acara kebudayaan dan kesenian, sejauh manakah dapat dilihat penglibatan acara yang merangkumi pelbagai kaum? Berapakah jumlah peserta bukan Melayu yang turut serta dalam acara Dikir Barat umpamanya? Apakah dengan hanya menyelitkan pertandingan tarian Cina dan India sahaja sudah memadai untuk kita mengatakan bahawa kita telah menyahut slogan `Satu Malaysia’ yang digagaskan oleh Perdana Menteri kita? Adakah itu sudah menunjukkan wujudnya perpaduan kaum, saling hormat-menghormati yang kukuh serta integrasi nasional yang mantap?

Alangkah manisnya kalau kita dapat melihat pelbagai kaum di dalam satu acara tarian umpamanya seperti tarian Zapin atau Cina atau India yang disertai oleh pelbagai kaum di dalamnya. Penglibatan pelajar Melayu di dalam tarian Cina dan India memang berlaku tetapi adakah terdapat pelajar Cina dan India di dalam aktiviti kesenian Dikir Barat atau tarian Zapin umpamanya? Penganjuran FEStKUM MAKUM perlu berbeza berbanding dengan kebanyakan acara yang pernah diadakan sebelum ini baik oleh IPTA atau anjuran jabatan-jabatan kerajaan atau lain-lain agensi sedia ada. FEStKUM perlu mempunyai satu acuan tersendiri yang istimewa yang mampu menjana penglahiran satu bangsa Malaysia yang kuat. Hanya melalui pemahaman budaya bangsa Malaysia yang kuat sahaja barulah negara dapat dibangunkan dengan baik. Selagi masyarakat Malaysia berpegang kepada pemahaman terhadap bangsa masing-masing maka selama itulah impian `Satu Malaysia’ tidak akan terlaksana. Segalanya tidak mustahil di FEStKUM kerana melalui aktiviti sebeginilah segala bentuk genre seni dan budaya mampu berinovasi dan berkembang. Universiti adalah pusat atau gedung ilmu dan budaya. Universiti bukanlah semata-mata menjadi pusat pengumpulan ilmu dan budaya malah ia turut menjadi pusat percambahan ilmu dan budaya! Di universitilah kita bereksperimentasi mengenai seni dan budaya.
Sebenarnya impian dan harapan ini boleh dicapai dalam FEStKUM kerana terdapat dua lagi matlamat asal penganjuran FEStKUM yang belum berjaya terlaksana iaitu Perkampungan Budaya dan Program Keusahawanan Kebudayaan. Perkampungan Budaya dilihat sebagai satu idea yang cukup bernas dengan mengumpulkan semua penggiat-penggiat seni intelektual pelbagai kaum dari IPTA seluruh Negara di bawah satu lokasi yang sama, saling berkenalan dan beramah mesra disamping mencapai satu matlamat iaitu memartabatkan seni budaya bangsa yang berintelektual. Perkampungan budaya ini bukan sahaja tempat pelajar berkarya malah turut merangkumi kegiatan berilmu lain seperti apresiasi seni persembahan, pameran seni dan kraf, bengkel, wacana, forum, permainan tradisi rakyat, makanan tradisi dan senam seni. Begitu juga dengan Program Keusahawanan Kebudayaan atau dikenali juga sebagai Bazaar FEStKUM yang bakal menempatkan dan memperdagangkan hasil kerja seni dan budaya oleh para pelajar dari semua IPTA. Mempamerkan dan memperdagangkan produk seni pelajar adalah sesuatu yang belum pernah dilaksanakan oleh mana-mana agensi pun termasuklah oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sekalipun. Namun kedua-dua program ini gagal direalisasikan sama sekali atas masalah-masalah yang tidak dapat dielakkan. FEStKUM akhirnya menjadi tidak lebih hanya sebagai satu perhimpunan gala yang mengumpulkan beberapa acara persembahan kesenian dan kebudayaan dengan satu matlamat iaitu pertandingan mencari IPTA manakah yang terhebat di kalangan seluruh IPTA yang ada. Apakah puncanya? Hanya sekretariat penganjuran FEStKUM yang bisa menjawab persoalan ini.
Antara pendekatan yang boleh digunakan untuk mencapai matlamat ini ialah dengan meletakkan FEStKUM sebagai acara kemuncak penutup tahunan yang mengandungi himpunan persembahan-persembahan terbaik yang dikutip melalui setiap acara yang dipertandingkan di dalam takwim tahunan MAKUM. Acara pertandingan biarlah berlangsung di lokasi-lokasi IPTA yang menganjurkannya sahaja. Sementara FEStKUM menjadi pentas untuk menghimpun dan mempamerkan persembahan-persembahan berkualiti dari seluruh IPTA Malaysia dan bukannya gelanggang untuk bertanding. FEStKUM. Sekretariat FEStKUM hanya perlu menumpukan perhatian kepada menentukan lokasi-lokasi untuk penganjurannya dan pengurusan pentadbiran dan kewangan yang lebih terfokus.
Diharapkan penganjuran FEStKUM di masa akan datang akan dapat merealisasikan dua program tersebut yang dilihat mampu memberi impak yang baik untuk pembangunan


dan kemahiran pelajar. Kepada semua ahli MAKUM yang telah menjayakan FEStKUM 2009, setinggi tahniah diucapkan. Idea main-main sesetengah ahli MAKUM yang dicanangkan sambil minum teh tarik di kedai mamak akhirnya menjadi kenyataan. Tahniah kerana berjaya menjadikan impian sebagai satu realiti. Walaupun masing-masing datang dari pelbagai institusi pengajian tinggi awam dengan slogan kerja yang berbeza namun masih berjaya membuktikan kebolehan dan kewibawaan untuk bersatu menggembleng tenaga bekerjasama di bawah satu bumbung seni dan budaya yang dikenali sebagai FEStKUM.
signed Daddy Long-Legged

0 comments:

MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates