WELCOME TO HELL!!!

WELCOME TO HELL!!!
"Selamat Datang Ke Dunia Penuh Pancaroba"
Saturday, January 9, 2010 at 11:39 PM |  
Sutradara dan Aspek Penyutradaraan

Memang tidak dapat dinafikan bahawa kewujudan jawatan pengarah atau sutradara di dalam sebuah produksi teater adalah sesuatu yang penting dan tidak boleh dipisahkan. Di dalam pengajian ini istilah sutradara akan digunapakai bagi mengelakkan sebarang kekeliruan pengaplikasian dalam kontek perjawatan. Sutradara dianggap sebagai orang yang bertanggungjawab memberikan pandu arah perjalanan produksi teater. Dari segi sejarahnya, fungsi sutradara dan aspek penyutradaraan ini masih lagi dianggap baru berbanding dengan usia teater itu sendiri. Stella Adler di dalam buku The Director’s Vision: Play Direction from Analysis to Production menyatakan bahawa peranan sutradara ini umpama `a baby in the theatre’ (Louis E. Catron: 14). Kemunculan peranan sutradara ini bersesuaian dengan perkembangan industri teater itu sendiri yang komplek di mana ia memerlukan seseorang yang khusus untuk menjaga dan menyelaras setiap bahagian di dalam sebuah produksi. Namun begitu bukan bermakna sebelum ini tidak ada orang yang bertanggungjawab mengurus produksi. Sebelum kewujudan sutradara, peranan pengurusan produksi diuruskan oleh pengurus pentas (stage manager).
Sebelum tahun 1850an, corak penulisan teater tertumpu kepada corak romantisisme di mana isu cerita berkisar mengenai kehidupan golongan aristokrat. Latar set menggunakan kain (drop set) dan pelakon menggunakan busana mereka sendiri; bukan untuk disesuaikan dengan watak yang diperan tetapi lebih kepada untuk menonjolkan persona masing-masing. Pelakon dipilih merujuk kepada keperluan watak seperti wanita muda memegang watak primadona dan watak lelaki tampan menjadi heronya. Penetapan bloking juga bergantung kepada kesesuaian dan keserasian pelakon itu sendiri, mereka yang menentukan ke mana arah untuk bergerak. Menjelang pertengahan abad ke 19, berlaku tekanan ke atas pergerakan politik di seluruh dunia, diikuti pula dengan berlakunya revolusi industri mengakibatkan pemikiran masyarakat turut berubah. Pemfokusan kepada idea romantisisme dan optimisme bertukar kepada corak pemikiran yang lebih realistik iaitu hubungan antara individu sesama individu dan sesama kelompok masyarakat. Perkembangan ilmu sains yang memfokus kepada pengalaman yang boleh dicapai melalui deria (penglihatan, pendengaran, rasa bau dan sentuhan) turut menjadikan aliran romantisisme semakin tidak popular sebagai mod eskspresi.
Perkembangan ini turut mempengaruhi perkembangan seni teater. Sekitar tahun 1850an, Emile Zola seorang penulis telah memperkenalkan aliran realisme dan naturalisme yang memfokuskan kepada isu sosial, pengaruh persekitaran dan pemahaman psikologi. Dramatis yang turut terpengaruh dengan aliran baru ini termasuklah Henrik Ibsen, August Strindberg, Anton Chekhov dan Bernard Shaw. Oleh kerana aliran baru ini memfokuskan kepada pengaruh persekitaran maka latar set turut berubah daripada penggunaan kain kepada set-set berdimensi yang sekaligus mewujudkan konsep dinding keempat. Dialog secara kuat (excessive bombastic vocal) juga tidak lagi diterima sebaliknya dialog dilafazkan seperti bercakap seharian.
Sutradara moden pertama ialah Georg II, Duke of Saxe-Meiningen yang mengetuai kumpulan teater yang dikenali sebagai Meiningen Players. Beliau mengorak langkah dengan memperluaskan fungsi sutradara di mana ia mengetuai organisasi teater sebagai ketua eksekutif kreatif; mempunyai pengetahuan yang luas mengenai semua elemen produksi seperti pencahayaan, busana, rias, dan set. Beliau jugalah yang menetapkan jadual dan penyediaan ruang latihan khas untuk para pelakonnya. Suasana ini turut mempengaruhi lain-lain Negara di Eropah seperti di Perancis, Andre Antoine telah mengasaskan sebuah kumpulan teater yang dikenali sebagai Theatre Libre, Otto Brahm menubuhkan Freie Buehne di Jerman, J.T Grein dengan Independent Theatre di England dan Constantin Stanislavski dan Vladimir Nemirovich-Danchenko menubuhkan Moscow Art Theatre di Rusia.
Kewujudan peranan sutradara ini memanglah baik. Namun harus diingat, akibat dari kewujudan konsep baru ini maka dunia teater telah menjadi seperti `tempat pengumpulan dan pembuangan hasilan teater’. kita membuang semua hasilan produk teater sebaik selesai pementasan atau menyimpannya di dalam stor. Setiap sutradara mempunyai sudut pandangan dan visi tersendiri dalam melihat sebuah naskah yang sama. Dengan kata lain, untuk menghasilkan sebuah pementasan baru yang menggunakan naskah yang sama, sutradara akan cuba melihat dari sudut yang berbeza dengan sutradara sebelumnya. Kebarangkalian untuk menggunapakai semula latar set dan peralatan dari produksi sebelumnya adalah tipis sekali. Kreativiti, idea dan visi seorang sutradara akan dinilai oleh penonton dan ditentukan melalui penzahiran latar dan produk yang digunakan. Selain daripada itu, menggunapakai semula peralatan produksi terdahulu akan membantutkan kreativiti idea kebanyakan ahli produksi khususnya para pereka. Penggunaan produk yang sama berulangkali akan menjadikan para pereka lembab dan seperti tidak ada perkara baru yang boleh diterokai dan diekperimentasikan berbanding dengan lontaran idea baru yang bakal menjana minda dan kreativiti pereka untuk menghasilkan produk baru.
Untuk menghasilkan idea-idea baru ini, sutradara akan berpandukan kepada empat perkara iaitu yang pertama, visi drama yang akan dipentaskan mampu mendominasi keseluruhan aspek pementasan; kedua, pengetahuan yang komprehensif tentang dinamika drama seperti permulaan dan pengakhiran cerita, rentak dan kekuatan; ketiga, skil dalam berkomunikasi yang bakal emmbantu pelakon dan pereka menghasilkan produknya dan keempat ialah keinginan yang mendalam untuk menghibur penonton – minda, jiwa dan perasaan. Seperti kata Lee Strasberg yang dipetik oleh S. Loraine Hull di dalam buku Strasberg’s Method iaitu `a director can do a brilliant job in one play and fall apart in the next if he’s not clear on what a director does.’
signed Daddy Long-Legged

0 comments:

MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates