Teater Terapi (Forum Teater) Medium Luahan Emosi secara Selamat dan Kreatif (Siri 1)

Latar Belakang
Apakah yang dimaksudkan dengan Teater bagi Golongan yang Ditindas (Theatre of the Oppressed)? Secara umumnya, ‘ditindas’ (‘oppressed’) bermaksud ‘diperlakukan dengan teruk’ (‘done badly by’), ‘mengalami kezaliman’ (‘experience injustice’) dan ‘dilayan dengan tidak adil’ (‘be unfairly treated’). Namun istilah `Penindasan’ dalam konteks Teater bagi yang Golongan Ditindas (Theatre of the Oppressed) bukan merupakan fenomena deraan fizikal secara khusus, atau untuk dihuraikan dalam terma-terma fizikal. Ia tidak sama seperti penyerangan yang bergantung kepada kekuatan fizikal. Penindasan itu didefinisikan sebagai kuasa dinamik berdasarkan monolog lebih daripada dialog; satu hubungan antara dominasi dan arahan yang menegah golongan yang ditindas daripada menjadi diri mereka yang sebenarnya dan melaksanakan hak-hak asasi mereka. Ia adalah mengenai seseorang yang telah kehilangan hak untuk menyatakan keperluan dan kemahuannya, dan menjadikannya kepada seorang pendengar yang taat dan senyap. Dalam konteks teater, Boal mendefinisikan ‘Teater bagi Golongan yang Ditindas’ (‘Theatre of the Oppressed’) sebagai satu bentuk penyertaan yang bukan berdasarkan pada fahaman klasikal; iaitu sebuah persembahan berbentuk ‘spectacle’ tetapi lebih kepada ciptaan sebuah forum atau ruang diskusi untuk menganalisis, membincangkan dan meneroka penyelesaian-penyelesaian berkumpulan terhadap ketidakadilan (Arendt.C:1996.Vol.40 [2]).

Teater bagi Golongan yang Ditindas (Theatre of the Oppressed) adalah satu bentuk teater yang popular, daripada, oleh dan untuk orang yang terlibat dalam perjuangan untuk pembebasan emosi. Ia adalah satu latihan teater yang direka untuk orang yang ingin belajar cara-cara menentang penindasan yang berlaku dalam kehidupan harian mereka. Teater bagi Golongan yang Ditindas (Theatre of the Oppressed) adalah mengenai melakukan aksi lebih daripada bercakap, menyoal lebih daripada sekadar memberi jawapan, menganalisis lebih daripada menerima (Boal.1992:xxiv). Persembahan teater tersebut seharusnya melibatkan ‘dialog’ dengan penonton dan bukan ‘percakapan sehala’ (‘one-way street talking’) seperti yang berlaku dalam teater konvensional atau realistik di mana hubungan intransitif mengambil alih; segalanya bergerak dari pentas ke auditorium, emosi, idea dan malah isu kemoralan dipindahkan ke arah tersebut dan tidak ada satu pun yang bergerak ke arah yang sebaliknya. Secara kontras, dalam Teater bagi Golongan yang Ditindas (Theatre of the Oppressed), dialog dicipta; ketransitifan bukan sekadar ditolerasikan tetapi ia digalakkan secara aktif. Teater bagi Golongan yang Ditindas (Theatre of the Oppressed) adalah satu hubungan transitif di mana pelakon itu bukan sahaja menyampaikan ucapannya tetapi penonton juga perlu menjawab apa yang dilihat dan didengar. Ia adalah jalan dua hala. Teater itu bertanyakan soalan kepada penonton dan mengharapkan jawapan (Boal.1998:20). Semua manusia mempunyai keinginan dan keperluan untuk berkomunikasi dan ketidakwujudan komunikasi akan mengakibatkan penindasan.

Teater bagi Golongan yang Ditindas (Theatre of the Oppressed) adalah teater yang dipolitikkan dengan satu perbezaan: tidak didominasi oleh penulis drama secara sosial dan juga secara politik, tetapi satu acara di mana ‘spect-actor’ secara literal membuat semula dunia ini (Lavender.1995:32). Aspek utama Teater bagi Golongan yang Ditindas (Theatre of the Oppressed) adalah memposisikan semula hubungan pelakon-penonton supaya tidak ada pemisahan di antara pelakon dan penonton. Teater ini mengundang penonton supaya memberi sumbangan dengan mengambil bahagian dan mencuba idea-idea mereka sendiri: mereka akan nampak satu watak, mereka akan nampak masalah mereka, mereka akan nampak diri mereka dikalahkan oleh masalah mereka dan mereka patut buat sesuatu terhadap masalah tersebut.

Boal melihat teater sebagai satu senjata yang sangat efisien untuk pembebasan (Boal.2000:ix). Teater bukan sahaja untuk hiburan tetapi juga satu medium untuk perubahan sosial. Teater bagi Golongan yang Ditindas (Theatre of the Oppressed) adalah teater gaya penyertaan. Tiada pelakon terlatih yang terlibat tetapi orang awam, bermotivasi untuk menulis skrip dan berlakon dalam teater yang dicadangkan oleh Boal. Masalah-masalah yang digambarkan dalam Teater bagi Golongan yang Ditindas (Theatre of the Oppressed) adalah dijana daripada pengalaman harian penonton. Boal dengan penuh tekad tidak mengenakan definisi penindasan daripada perspektif kefahaman yang khusus, tetapi menerima babak yang dilihat oleh penonton sendiri sebagai penindasan. Selaras dengan keinginannya untuk memberi kuasa kepada ‘penonton’, setiap orang digalakkan untuk mengambil bahagian dalam senario-senario pendek yang dimainkan. Bagi Boal, teater adalah “seni melihat kepada diri sendiri... Semua manusia adalah Pelakon (mereka berlakon!) dan Penonton (mereka menonton!). Mereka adalah ‘Spect-actors’” (Boal.1992:xxx).

Walaupun Teater bagi Golongan Yang Ditindas (Theatre of the Oppressed) dibantu oleh seseorang yang tahu bentuk-bentuk struktural teater tersebut, dan seseorang yang boleh menggalakkan perbincangan, namun tidak ada pengarah artistik yang terlibat dalam teater ini dan sesiapa pun boleh mencadangkan perubahan-perubahan dalam cara suatu babak dimainkan. Penonton bukan sahaja memberi komen pada aksi, malah mencelah secara langsung dalam aksi tersebut, mengambil bahagian sebagai protagonis dan cuba untuk membawa pementasan tersebut kepada kesimpulan yang berbeza. Ia adalah sejenis terapi sosial di mana orang (penonton) bukan sahaja menonton pementasan tersebut malah digalakkan untuk turut serta dalam pementasan itu serta memberi idea dan penyelesaian kepada masalah-masalah. Para penonton bukan lagi penerima pasif; ia adalah satu perhimpunan ‘spect-actor’ (penonton aktif) yang membawa pengalaman mereka sendiri dan cadangan-cadangan kepada soalan, “Apa yang perlu dibuat?”. Dalam erti kata lain, setiap orang bertanggungjawab atas tindakan mereka sendiri dan apabila masalah timbul, semua patut melibatkan diri dalam mencari cara-cara yang boleh menyelesaikan masalah dan tidak sekadar bergantung kepada pihak berkuasa, ahli-ahli politik atau para akademik untuk tampil memberikan jawapan.


Kategori-kategori Teater bagi Golongan yang Ditindas (Theatre of the Oppressed)

Boal telah membahagikan Teater bagi Golongan yang Ditindas (Theatre of the Oppressed) kepada empat kategori yang berkaitan antara satu sama lain: Teater Imej (Image Theatre), Invisible Theatre, Teater Forum (Forum Theatre), dan Rainbow of Desire.

Teater Forum adalah permainan berbentuk teater di mana masalah ditunjukkan dalam bentuk yang belum selesai, yang mana ‘spect-actor’ dijemput untuk mencadangkan dan melakonkan penyelesaian. Masalah itu selalunya adalah simptom penindasan dan melibatkan sekumpulan penindas dan seorang protagonis sebagai yang ditindas. Dalam bentuk yang paling asli, kedua-dua pelakon dan ‘spect-actor’ adalah mangsa-mangsa penindasan (Boal.1992:xxi). Itu adalah kerana mereka boleh menawarkan penyelesaian alternatif, kerana mereka sendiri secara peribadi terlibat dengan penindasan dan mengalami penindasan. Teater Forum adalah bersifat aktif, berbentuk interaktif yang melibatkan penonton dalam debat berteater dengan pelakon dan dengan satu sama lain dalam satu percubaan untuk melihat isu-isu penindasan dalam pelbagai situasi dan dengan had penyertaan yang besar. Teater Forum dicadangkan sebagai latihan untuk kehidupan sebenar, menawarkan orang ramai pelbagai strategi praktikal untuk kehidupan.

Bentuk Teater Forum

Teater Forum adalah bentuk ‘pertandingan’ di antara ‘spect-actors’ yang cuba membawa pementasan itu ke penghujung yang berbeza di mana kitaran penindasan telah diputuskan dan pelakon (antagonis) yang mencuba segala usaha untuk membawa pementasan tersebut ke penghujung yang asal di mana yang ditindas telah dikalahkan dan penindas telah berjaya (Boal.1992: xxi). Prosiding itu dibimbing atau dibantu oleh seorang yang dipanggil ‘Joker’ yang berfungsi untuk memastikan aliran permainan dan mengajar penonton peraturan-peraturan permainan. ‘Joker’ itu juga boleh diganti oleh mana-mana ‘spect-actors’ jika dia tidak berlaku adil. Peraturan permainan boleh ditukar atau diubah jika penonton ingin mengikut adat dan budaya mereka. Pelbagai penyelesaian berbeza boleh dilakonkan ke arah forum tunggal. Teater forum tidak pernah mengenai usaha memudahkan yang benar dan salah, mahupun menjadi sebuah teater didaktik. Teater Forum adalah mengenai sejumlah orang yang percaya pada sesuatu dalam sedetik masa, dan apa yang dipercayai oleh sejumlah orang tersebut tidak semestinya sama seperti apa yang difikirkan oleh sejumlah orang lagi. Manusia melihat atau merasa masalah daripada perspektif yang berbeza bergantung kepada pengalaman mereka dalam kehidupan. Titik fokus Teater Forum bukan sahaja untuk cuba menyelesaikan sesuatu masalah, tetapi, juga untuk menjadikan manusia lebih sedar kepada sesuatu masalah, melihat sesuatu masalah daripada perspektif yang berbeza dan membuat manusia sedar bahawa ada beberapa cara untuk berurusan dengan masalah tersebut (Boal.1995:xix).

Dramaturgi Teater Forum

Di dalam memastikan keberkesanan Teater Forum, kita perlu memahami elemen-elemen yang terdapat di dalam Teater Forum.

Fungsi-fungsi Pelakon

Teater Forum memerlukan banyak improvisasi, kespontanan, kreativiti, imaginasi dan kadangkala inovasi. Kreativiti dan kespontanan adalah sangat penting bagi pelakon-pelakon dalam Teater Forum (Boal.1992:237). Dalam persembahan mereka mesti tiada sedikit pun sikap keangkuhan yang ditunjukkan yang biasanya didapati dalam persembahan teater yang biasa, kerana persembahan anti-model sepatutnya menyatakan kesangsian. Setiap aksi dan frasa seharusnya mengandungi kepalsuan proposisinya sendiri yang mana dapat membuka kemungkinan untuk menyatakan yang berlawanan dengan apa yang dipersembahkan. Mana-mana gaya berbentuk teater adalah dibenarkan jika ia dapat mencapai objektif forum tersebut. Pelakon-pelakon mestilah mempunyai gaya fizikal lakonan, di mana mereka dengan jayanya boleh menyerlahkan ideologi, kerja, fungsi sosial dan profesion watak mereka (Boal.1992:19). Pelakon itu tidak akan ‘menjadi’ watak tersebut seperti dalam pendekatan Stanislavkian untuk berlakon, malah pelakon sekadar ‘mendemonstrasikan’ sikap watak tersebut sementara mengekalkan kebebasan untuk memberi komen pada aksi-aksi orang yang mana perangainya sedang dilakonkan oleh pelakon tersebut. Pelakon-pelakon itu juga mesti cuba untuk menginterpretasikan semua watak, tidak sekadar memberi fokus kepada watak sendiri sahaja, yang mana bermaksud setiap pelakon tidak semestinya bertumpu kepada wataknya, tetapi mesti memberi jumlah masa yang sama untuk mempelajari watak-watak yang lain (Boal.1992:19). Usaha ini dibuat untuk mengelakkan daripada memberi pelakon yang sama watak yang sama dua kali kerana pengagihan watak dibuat di setiap babak. Tambahan pula dengan mengarah pelakon-pelakon dengan watak-watak yang bertentangan, dapat mengurangkan indentifikasi mereka dengan watak mereka dan memudahkan pemahaman yang mendalam bagi watak yang lain.

Semasa forum itu berlangsung, pelakon-pelakon mestilah sangat dialektik, kreatif dan mestilah spontan ketika menghadapi ‘spect-actors’ (Boal.1992:237). Apabila mereka mengambil kedudukan yang bertentangan dengan seorang ‘spect-actor’/protagonis yang ingin mematahkan penindasan, mereka mesti menunjukkan bahawa penindasan tidak mudah dikalahkan. Mereka mesti menunjukkan kerumitan, yang mana akan timbul, sementara mengekalkan cara yang akan menggalakkan ‘spect-actor’ tersebut mematahkan penindasan. Ini bermakna bahawa, semasa masih menentang setiap fasa dan aksi, mereka mesti membangunkan ‘spect-actor’ itu ke kedudukan yang lain, pendekatan yang lain. Bukan itu sahaja, pelakon itu mesti tahu bila perlu ‘berundur’. Semasa menghalang percubaan untuk mematahkan penindasan, mereka seharusnya merangsang ‘spect-actor’ itu untuk mencapai matlamatnya. Ini adalah sangat penting diingat bahawa sekiranya pelakon itu terlalu tegas, yang mana cukup biasa dengan pelakon-pelakon profesional, pelakon itu akan melemahkan dan menakutkan ‘spect-actor’ tersebut. Manakala, sekiranya pelakon itu terlalu lembut dan lemah, dia akan mengelirukan ‘spect-actor’ itu untuk percaya bahawa masalah yang dimainkan dalam pementasan itu lebih mudah diselesaikan daripada yang difikir oleh ‘spect-actor’ itu (Boal.1992:237). Boal membandingkan kemampuan yang perlu ditunjukkan oleh pelakon-pelakon Forum dengan kesan aisberg:

Di atas lautan, hanya 10% aisberg sahaja yang tampak – maka itulah yang kita
Tunjukkan pada watak itu. Namun, ada 90% lagi aisberg di bawah lautan
– itulah bahagian yang terbesar dalam watak itu, yang mana ia ditunjukkan
hanya bila perlu; pelakon yang melakonkan watak ini mesti tahu bahagian 90%
itu apa yang akan dilakukannya jika ditekan. (Johnston C, 1998: 239).

Pelakon mesti tahu bagaimana memberi dan menerima dan bagaimana bertahan dan meneruskan. Mereka tidak harus takut kehilangan tempat mereka sebagai pelakon kerana apa yang dikehendaki oleh teater forum adalah respons aktif dan maklum balas daripada ‘spect-actors’.

Protagonis

Protagonis (watak yang ditindas) mewakili watak yang konkrit daripada realiti. Ini adalah satu-satunya fungsi di mana satu hubungan yang sempurna dan kekal di antara pelakon dan watak itu berlaku. Seorang pelakon menggambarkan seorang protagonis. Di sini empati berlaku. Terdapat beberapa syarat untuk menjalankan fungsi ini, di mana pelakon boleh menggunakan interpretasi Stanislavskian (Boal.1970:93). Pelakon tidak boleh melakonkan lebih daripada apa yang watak itu boleh lakukan sebagai manusia. Pelakon itu mesti berkelakuan seperti watak itu; mempunyai pandangan seperti watak itu dan bukan diri pelakon itu sendiri. Kewujudannya tidak pernah diganggu walaupun ‘Joker’ itu mungkin akan menganalisis beberapa butiran pementasan itu dengan menemuramah pelakon itu, pelakon itu akan menjawab seperti watak yang dilakonkan (Boal.1970:93). Pelakon itu adalah satu lambang “cebisan dari kehidupan” (“slice of life”), dokumentari kehidupan dan perkara sebenar. Protagonis tidak semestinya selari dengan watak utama. Walaupun begitu, ciri-ciri yang disebutkan itu masih boleh disesuaikan. Pelakon yang memainkan watak protagonis tidak perlu sama seperti orang yang sebenar. Ia akan menjadi lebih baik jika personaliti watak-watak dipersembahkan dalam bentuk komik atau bersifat sindiran kerana untuk memberitahu atau menunjukkan kelemahan dan masalah manusia itu adalah satu perkara serius, dan kadangkala ia boleh menyakitkan perasaan.
‘Spect-actor’

‘Spect-actor’ adalah istilah ciptaan Boal untuk menerangkan salah seorang daripada penonton yang mengambil bahagian dalam lakonan dalam apa juga cara. ‘Spect-actor’ adalah seorang penonton yang aktif seperti yang menentang kepasifan yang biasanya berhubung kait dengan peranan penonton. ‘Spect-actor’ datang daripada dua perkataan yang berlainan: spectator (penonton) adalah seorang yang duduk dan menonton suatu aktiviti tanpa turut serta, dan actor (pelakon) adalah seorang yang berpura-pura menjadi seseorang semasa berlakon dalam filem, persembahan teater, atau program television atau radio. Dalam kes ini, ‘spect-actor’ bermaksud seseorang atau salah seorang daripada penonton yang mencelah dalam satu senario atas pentas yang belum selesai untuk cuba memutuskan satu kitaran bergambarkan penindasan (pementasan tersebut) (Boal.1992:xxiv). ‘Spect-actor’ boleh menggantikan pelakon dan kadangkala mengubah suai watak itu tetapi dia mestilah menghormati masalah yang ‘diberi’. Dia tidak boleh menukar keadaan sosial yang diberi oleh masalah itu. Dia tidak boleh mengubah hubungan keturunan antara watak, zaman, status ekonomi, yang mana mensyaratkan lakonan mereka. Jika faktor-faktor ini diubah, penyelesaian-penyelesaian itu tidak akan berguna kerana penyelesaian-penyelesaian itu hanya boleh diaplikasi ke atas kes-kes yang tidak berkaitan dengan yang telah dicadangkan dalam model itu. Kedua, pelakon itu hanya boleh mengubah ciri-ciri motivasi bukan motivasi watak. Bagaimanapun, dalam menentukan kejayaan Forum Teater, latar belakang ‘spect-actors’ perlu dijelaskan. ‘Spect-actors’ mestilah datang daripada latar belakang atau budaya atau berkongsi masalah yang sama dan sudah lazim dengan situasi yang disembahkan. Jika tidak, ‘spect-actors’ itu tidak akan dapat melibatkan diri mereka dalam forum itu kerana mereka tidak akan memahami keadaan masalah yang disampaikan.
Korus (Chorus) / ‘Coryphaeus’

Korus dibahagikan kepada dua iaitu deuteragonis dan antagonis. Deuteragonis melakonkan peranan yang menyokong protagonis, seperti yang dikatakan oleh Boal sebagai korus “baik” (Boal.2000:182). Manakala antagonis mewakili peranan-peranan berlawanan atau korus “jahat”. Setiap seorang mempunyai ‘coryphaeus’nya sendiri. Korus boleh menggantikan ‘Joker’, misalnya, apabila ‘Joker’ memainkan watak protagonis (Boal.1970:93). Korus tidak perlu mempunyai jumlah pelakon yang tetap dan jumlahnya mungkin berubah daripada satu episod ke satu episod yang lain.

Kostum

Terdapat dua jenis kostum, yang asas berkaitan dengan fungsi dan korus di mana fungsi itu terletak. Satu kostum lagi berkaitan tidak kepada setiap watak tetapi kepada peranan-peranan sosial yang berbeza yang akan dilakonkan semasa konflik pementasan itu. Hanya satu kostum sahaja yang akan dibenarkan untuk setiap peranan sosial. Jika terdapat dua atau lebih pelakon yang melakonkan watak yang sama pada pentas yang sama pada masa yang sama, maka kostum itu mestilah boleh digunakan oleh sebilangan pelakon dengan serentak dan membolehkan para penonton mengenal pasti secara visual semua pelakon yang melakonkan watak yang sama. Watak-watak itu mesti boleh dikenal pasti melalui pakaian yang dipakai dan objek-objek yang digunakan (Boal.1992:235). Sering kali penindasan digambarkan dalam pakaian, dalam kebendaan. Objek-objek dan pakaian mestilah nyata, dikenakan, jelas dan merangsang. Lebih banyak perhatian diberikan ke atas estetik persembahan itu, lebih lagi ia akan merangsangkan, dan lebih ramai penonton yang akan mengambil bahagian. Ini mempunyai hubungan dengan persona dramatik di mana seorang ‘spect-actor’ di dalam kostum wataknya akan rasa lebih dilindungi. Dia lebih bebas dan kreatif. Bagaimanapun, yang paling penting sekali adalah, kostum-kostum itu mesti mudah bagi ‘spect-actors’ itu untuk keluar dan masuk daripada kostum itu, dengan kekalutan yang minimum.
Orkestra Bunyian (Choral Orchestra)

Muzik mempunyai kuasa, bebas daripada konsep-konsep, untuk menyediakan penonton dalam cara yang segera, secara imaginatif, untuk penerimaan teks-teks yang hanya boleh diserap melalui sebab pengalaman itu (Boal.2000:170). Instrumen-instrumen asas yang dicadangkan oleh Boal adalah gitar, seruling dan gendang (Boal.1970:93). Pemuzik-pemuzik boleh juga memainkan instrumen-instrumen yang lain. Ini boleh daripada sebarang instrumen muzikal dan bergantung kepada pengaruh-pengaruh masyarakat dan budaya. Selain daripada sokongan muzikal, orkestra itu juga menyanyi, bersendirian atau bersama dengan coryphaeus, segala komen adalah bersifatkan informatif atau imaginatif. Ada kalanya orkestra itu juga berfungsi untuk membantu ‘Joker’ untuk membuat demonstrasi, menjelaskan cerita, pengisian semasa pertukaran babak, menimbulkan mood persembahan dan lain-lain (Boal.1970:93).

Comments

Pirate Spiders said…
Aloo bro... mmg bagus artikel ni... dpt menambahkan pengetahuan ttg Forum yg diperkenalkan oleh Augusto Boal. Tahniah pd DR Andika kerana antara rakyat malaysia pertama mendapat PHD dalam forum teater ini...

Popular Posts