ARTISTIK PENCAHAYAAN DALAM PERSEMBAHAN PENTAS

Pengenalan
Sebuah pementasan tidak kira sama ada pementasan teater, tari, opera, ballet atau konsert boleh dipersembahkan di mana-mana sahaja. Apa yang diperlukan hanyalah sekumpulan pemain dan penonton. Namun, kehadiran atau kewujudan elemen tambahan seperti set, prop dan pencahayaaan bukan sahaja akan memperkayakan lagi bentuk persembahan malahan turut memperkayakan mutu persembahan pemain dan meningkatkan nilai estetika penonton yang menyaksikan pementasan tersebut. Namun dalam pementasan tarian, penggunaan set latar, prop yang besar dan menarik bukan menjadi satu keutamaan yang besar. Elemen visual tersebut bukan tidak perlu tetapi ia tidak menjadi suatu kemestian sepertimana di dalam pementasan teater. Tarian tidak terlalu bergantung kepada elemen latar fizikal seperti yang dinyatakan itu tetapi lebih bergantung kepada keupayaan penari tersebut.
Walaupun begitu, untuk menafikan terus ketidakperluan kepada elemen visual adalah satu kesalahan dalam pementasan pentas. Setiap bentuk persembahan pentas memerlukan penataan pencahayaan tersendiri. Pencahayaan merupakan salah satu elemen visual yang penting. Elemen pencahayaan dalam seni pementasan khususnya tarian, selain daripada bertujuan untuk menerangi tubuh dan pergerakan penari, ia turut memainkan peranan sebagai agen dramatik dalam tarian, mengawal dan menarik perhatian, melakar dan membentuk imej, menyalur maklumat mengenai masa dan tempat, menyumbang kepada pengkayaan teknik dan mood serta menyampaikan idea-idea. Teknikal pencahayaan di dalam tarian tidaklah perlu serumit dalam pementasan teater. Ia hendaklah seringkas yang mungkin tetapi tidaklah sampai menjejaskan kualiti dan konsep tarian itu sendiri. Ringkas tetapi mampu menampilkan mood, warna dan kehidupan kepada tarian tersebut. Peranan pencahayaan tarian perlu bukan sahaja untuk tujuan hiburan semata malah ia sebagai satu cara untuk memberikan ‘nyawa’ kepada persembahan tarian itu.



Fungsi Pencahayaan Pentas
Keindahan dalam pementasan hanyalah satu elemen kecil dan bukan satu keutamaan dasar. Namun begitu pencahayaan dalam pementasan tarian mestilah dibuat secara teratur dan sistematik. Pencahayaan tersebut tidak boleh dibuat sesuka hati dan sekadar untuk mencantikkan pentas dan persembahan sahaja. Pencahayaan tarian mempunyai fungsi dan tatacara tertentu yang perlu difahami dan dipatuhi. Terdapat enam fungsi pencahayaan dalam pementasan; kejelasan, mood, komposisi, focus, kesatuan dan kredibiliti.

Kejelasan (Visibility)
Kejelasan bermaksud kemampuan melihat secara jelas apa yang berlaku di atas pentas. Namun itu bukan bermakna setiap sudut pentas atau penari itu mesti disinari oleh cahaya sepanjang masa. Memadai hanya menyinari sebahagian ruang atau penari sahaja mengikut keperluan skrip dan sutradara. Kejelasan tertakluk juga dan bergantung kepada tahap ilmunisasi yang digunakan. Ini bergantung kepada kehendak skrip dan mood yang diperlukan. Dalam persembahan tarian, cahaya yang digunakan itu mestilah mampu menerangkan susuk tubuh dan gerak penari mengikut keperluan dan kesesuaian naskah. Hanya ruang yang digunakan untuk bergerak sahaja yang harus diterangi, sementara ruang lain boleh sahaja disuramkan atau digelapkan.

Mood dan Komposisi
Mood merujuk kepada kesan emosi hasil stimulasi olek kualiti, warna dan komposisi pencahayaan yang digunakan. Sementara komposisi pula adalah gubahan gambaran persembahan yang diciptakan oleh pencahayaan hasil gabungan bersama dengan penari, set, prop, kostum dan rias. Pemilihan warna cahaya itu bergantung kepada keperluan dan mood persembahan tarian itu sendiri. Yang penting ialah bagaimana komposisi cahaya itu dihasilkan menentukan corak penghasilan persembahan tersebut.

Fokus
Fokus dapatlah dimaksudkan sebagai kemampuan pencahayaan yang dipancarkan untuk menarik perhatian penonton terhadap apa yang ingin ditonjolkan oleh penari. Ia boleh dilakukan dengan memberikan mood dan gabungan komposisi warna yang sesuai pada ruang atau penari yang mahu difokuskan.

Kredibiliti
Kredibiliti melibatkan kemampuan pencahayaan mewujudkan kepercayaan sementara penonton terhadap situasi yang dipaparkan di atas pentas. Ini bukan bermakna situasi dramatik tersebut mesti dihasilkan secara realistik. Contohnya, skrip memerlukan latar suasana yang gelap gelita di dalam bilik, maka di atas pentas tidaklah boleh digelapkan sahaja ruang persembahan sebagai memenuhi kehendak skrip. Perlu dipancarkan kualiti cahaya yang sesuai agar penonton dapat melihat aksi yang terhasil atau apa jua yang perlu dilihat penonton. Ini berbalik semula kepada fungsi visibiliti tadi.

Kesatuan
Kesatuan melibatkan kemampuan pencahayaan menggabungjalinkan stail, warna dan lain-lain elemen dalam produksi; set, prop, kostum dan rias. Sistem penggubahan pencahayaan seperti yang telah sedia maklum akan hanya boleh dilaksanakan apabila semua elemen lain seperti yang dinyatakan sebelum ini telah berjaya disatukan dan disiapkan. Semua fungsi yang dinyatakan itu memberikan kesan yang besar kepada pementasan sama ada ia dirancang ataupun tidak. Walau bagaimanapun, fungsi-fungsi ini digunakan termasuklah kuantiti pencahayaan, sudut arahan, pergerakan, warna dan kuantiti pencahayaan. Kuantiti tersebut sebagai intensiti yang menjelaskan tentang tahap kuantiti cahaya yang digunakan. Kuantiti cahaya yang digunakan bakal menghasilkan kuantiti terang atau suram sesuatu objek yang dipancarkan cahaya ke arahnya. Ini boleh terhasil bergantung kepada jenis lampu yang digunakan, susun letak lampu, media warna yang digunakan atau lain-lain aksesori yang dipakai bersamanya.

Sudut Arah
Sudut arah atau direction merujuk kepada sudut di mana pencahayaan itu dipancarkan di atas pentas. Susun letak lampu baik di hadapan, sisi, bawah, atas atau belakang penari memberikan kesan yang berbeza. Kedudukan ini bakal menentukan atau mengubah bentuk tiga dimensi penari atau objek tersebut.



Pergerakan
Pergerakan melibatkan apa jua perubahan cahaya bagi menggambarkan pergerakan suasana dalam pementasan seperti terang dan gelap, perubahan waktu dan sebagainya. Sebarang perubahan cahaya akan menimbulkan keadaan suasana yang memberikan kesan kepada penonton.

Warna
Penggunaan warna memberikan kesan yang besar kepada mood persembahan. Penggunaan warna memberikan interpretasi berbeza terhadap mood dan situasi yang digambarkan. Contohnya, warna biru yang melambangkan kesayuan, mimpi dan sebagainya.

Tekstur
Ia melibatkan variasi kualiti cahaya yang digunakan. Iluminasi boleh sahaja bersifat lembut atau terfokus kepada keperluan persembahan. Penghasilan tekstur cahaya melibatkan pengawalan kuantiti pencahayaan yang digunakan. Ini boleh terhasil dengan penggunaan penapis atau filter dan jenis lampu.

Pencahayaan amat penting untuk memberi gambaran situasi daripada masa kini ke masa silam, menyinari gerak penari dan mempertajamkan ekspresi gerak dan tubuh penari, menambahkan mood dan atmosfera kepada sesuatu persembahan iaitu dengan permainan warna dalam pencahayaan pentas. Sebagai contoh warna terang menggambarkan keceriaan dan keseronokan, warna sejuk menggambarkan sesuatu perasaan dan keadaan kemurungan. Low lighting yang memberikan efek bayang-bayang mungkin menggambarkan keadaan misteri dan seram. Selain itu, pencahayaan dapat mencipta komposisi dengan menunjukan pandangan mata penonton kepada elemen-elemen yang penting iaitu dengan penggunaan teknik pencahayaan fokus. Pencahayaan juga dapat mencipta dimensi terhadap objek di atas pentas. Objek yang berbentuk tiga dimensi akan kelihatan rata jika lampu dipancarkan kepada satu arah sahaja. Namun begitu, bentuknya akan kelihatan jika memancarkan pencahayaan dipelbagai sudut dengan memanipulasi permainan sudut seperti backlight, downlight, frontlight dan crossing light. Pencahayaan juga mampu menonjolkan sesebuah stail dalam pementasan. Pencahayaan juga mampu memperjelaskan perkembangan aksi dramatik dalam sesebuah persembahan dengan menonjolkan mood perasaan dan juga perubahan mood yang berlaku bagi setiap adegan contohnya perubahan daripada perasaan ceria kepada rasa marah.

Jenis-jenis Intrumentasi Lampu
Terdapat pelbagai jenis lampu yang sering digunakan seperti lampu Par Can, Fresnel, Ellipsoidal dan Spot. Setiap lampu tersebut mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Lampu Par Can yang dicipta oleh Clarence Birdseye, pelopor makanan sejukbeku, adalah lampu yang paling praktikal dan banyak digunakan kerana ketahanan dan kelasakannya. Lampu ini boleh digunakan untuk kegunaan dalam dewan dan juga luar dewan. Ia ada banyak jenis dan saiz namun Par-64 8 inci yang juga dikenali sebagai `Par can’ berkapasiti 1000Watt merupakan yang paling kerap digunakan oleh kebanyakan penggiat teater Kelemahannya ialah cahaya lampunya berserak (spread) dan kemampuan fokusnya juga agak terhad. Tetingkap (barn door) di gunakan untuk mengawal serakan cahaya yang terhasil melalui lampu Par ini. Ia juga sesuai digunakan sebagai lampu belakang pentas seperti Fresnel namun agak sukar untuk menggabungkan lampu Par dengan lampu-lampu lain yang bukan sejenis dengannya.

PAR-64
1.Soket lampu
2.kekunci belakang untuk membuka lampu
3.Yoke
4.kabel wayar (Three-wire)
5.lampu par-64 1000 watt
6.pengadang cahaya
7. pemegang bingkai pewarna (color-frame).

Lampu fresnel yang juga disebut `Fra-nel’ yang dicipta oleh Augustin-Jean Fresnel, menghasilkan cahaya lembut dan luas kerana lensa plano-convexnya yang unik. Lampu ini biasanya digunakan untuk menerangkan kawasan yang agak luas dan diletakkan sama ada di bahagian belakang pentas atau di kawasan hadapan pentas. Lampu ini juga mempunyai focus yang dikenali sebagai flood focus; serakan pencahayaan yang luas dan spot focus: serakan pencahayaan yang paling kecil.

Fresnel Spotlight
1. Penyambung twist-lock
2. Wayar penebat getah
3. Pembias Cembung
4. Lubang pengalir udara
5. Yoke
6. Mentol pra-fokus Quartz
7. Lensa
8. Pemegang bingkai berwarna
9-11.Pemfokus mentol

Sementara itu lampu ellipsoidal reflector spotlight (ERS) yang juga dikenali sebagai lekos, Kleiglight atau cannon mempunyai laras fokus yang boleh digunakan untuk memfokuskan cahaya mengikut kesesuaian. Di hujung lampu ini juga terdapat slot gobo untuk membuat kesan khas. Lampu ini sering digunakan sebagai lampu hadapan (front) dan mempunyai variasi fokus sinaran menggunakan shutters, iris dan gobo.

Ellipsoidal Reflector Spotlight
1. Pemegang lampu
2. Mentol berprestasi tinggi
3. pembias ellipsoidal bersalut besi atau kaca
4. aperature
5. shutter atas mengawal bentuk sinaran di bahagian bawah
6. slot gobo
7. lensa plano-convex
8 & 9. pemegang bingkai berwarna
10. Pengawal focus lampu
11. pengunci
12. pemegang rotasi
13. Shutter bawah
14. pengawal fokus cahaya

Rekaan di dalam Pencahayaan Dekon
Setiap fungsi yang telah dinyatakan sebelum ini boleh dicapai dengan pelbagai cara. Dalam rekaan pencahayaan, perkara yang paling dasar yang perlu difahami untuk rekaan pencahayaan ialah susun letak peralatan lampu yang digunakan, warna yang digunakan dan lain-lain kesan khas yang dipakai. Untuk memahami konsep rekaan dalam sistem pencahayaan tarian, perlulah difahami terlebih dahulu istilah-istilah yang digunapakai untuk menyesuaikan kedudukan lampu.

High angle – merujuk kepada kedudukan peralatan lampu yang diletakkan secara sudut menegak 60 darjah atau lebih dari kedudukan kepala/muka penari.

Low-angle – merujuk kepada peralatan lampu yang diletakkan secara menegak antara 25 ke 30 darjah dari kedudukan kepala/muka penari.

Backlight – peralatan lampu yang diletakkan menegak di belakang kepala penari dalam kedudukan high-angle antara 60 ke 75 darjah. Ia menghasilkan bayang yang pendek di hadapan penari tersebut.

Downlight – peralatan lampu yang biasanya diletakkan tepat di ats kedudukan kepala penari dan cahaya terus ke bawah. Ia menghasilkan kesan bayang yang agak dalam pada wajah dan tubuh penari terutamapada bawah mata dan bawah hidung.

Sidelight – peralatan lampu yang diletakkan di sisi kiri atau kanan penari. Kedudukan lampu tersebut boleh sahaja diletak pada kedudukan high-angle 45 ke 60 darjah, sama paras dengan penari atau berdekatan dengan lantai pentas.

Teknik Pencahayaan di Pentas Proscenium
Pementasan menggunakan pentas proscenium bakal menuntut penggunaan rekaan pencahayaan yang berbeza dengan pementasan yang dibuat di dalam pentas arena. Sistem pencahayaan yang diperkenalkan oleh Prof. Stanley McCandless menghasilkan teknik pencahayaan McCandless telah dipilih, namun ia bukanlah dianggap sebagai sistem yang terbaik untuk digunapakai, tetapi cukup untuk menjadi topik kajian tentang teknikal pencahayaan dalam tari. Pencahayaan McCandless menjelaskan teori penggunaan sudut dan warna dalam pencahayaan. Warna melibatkan penggunaan warna cool (biru, hijau, dan warna neutral seperti putih, kelabu) untuk satu sudut dan warna warm (merah, oren, dan kuning) untuk satu sudut yang lain.

Merujuk kepada sistem yang diperkenalkan oleh McCandless, terdapat beberapa tatacara projeksi pencahayaan seperti:

Single-Point Lighting (SPL)
Bagi kumpulan produksi yang kekurangan kemudahan pencahayaan, peralatan lampu yang digunakan hanyalah bertujuan menerangi sudut ruang atau tubuh penari sahaja. SPL secara umumnya bermaksud satu lampu digunakan untuk menerangi setiap sudut kawasan lakon yang diperlukan. Namun, dalam konteks yang lebih luas ia bermaksud satu sudut pencahayaan untuk satu kawasan. Seleksi sudut pencahayaannya mestilah dilakukan dengan teliti kerana satu lampu perlu memainkan peranan yang besar. Lampu perlu diletakkan terus di hadapan ruang persembahan pada sudut menegak 45 ke 60 darjah bagi menghasilkan pencahayaan yang ‘natural’ (bayang yang normal). Sudut pilihan ini bagi mengelakkan bayang yang terhasil tidak jatuh pada set atau bertindan dengan bayang penari lain. Semakin rendah sudut pilihan itu maka bayang yang terhasil juga akan lebih ketara. Sudut pilihan 30 darjah menghasilkan dua ‘persembahan’ penari dan bayangnya. Jika sudut pilihan melebihi 60 darjah, bayang pada wajah dan tubuh penari akan tenggelam dan kelam.

Two-Point Lighting
Projeksi menggunakan dua sudut pencahayaan ialah satu lampu di hadapan penari dalam sudut menegak 45 darjah, dan lampu kedua diletakkan di belakang penari dalam sudut menegak 60 ke 70 darjah. Teknik pencahayaan ini juga boleh melibatkan penggunaan dua lampu dari belakang dan satu lampu dari hadapan. Ini disebut sebagai double-hanging. Contohnya lampu belakang menggunakan warna biru dan merah, menggunakan kawalan berasingan sementara lampu hadapan bersifat ‘natural’. Perubahan pergerakan cahaya warna biru ke merah tanpa perlu mengubah warna cahaya di hadapan sesuai digunakan untuk menunjukkan perubahan masa yang berlalu.

Kedudukan lampu-lampu dalam teknik ini boleh diletakkan dengan pelbagai cara yang bakal menghasilkan kesan berbeza; lampu belakang diletakkan di tempat yang sama; menegak 45 darjah, lampu hadapan diletakkan ke sisi sedikit daripada wajah penari dalam sudut yang sama. Ini akan menghasilkan bayang yang lebih ketara pada wajah penari. Selain daripada meletakkan lampu bertentangan antara satu sama lain, kali ini lampu belakang diletakkan di sudut sisi penari dan mengekalkan kedudukan lampu hadapan. Lampu hadapan ini menghasilkan bentuk wajah 3 dimensi secara jelas tetapi lampu sisi menghasilkan bayang kelam pada wajah dan tubuh penari.

Three-Point Lighting & Four-Point Lighting
Ia mempunyai fungsi yang hamper sama dengan two-point cuma dengan penambahan satu atau dua sudut lagi akan memberikan kesan tiga dimensi yang lebih baik berbanding teknik two-point. Berikut adalah contoh penggunaan three-point dan four-point lighting.

Multi-Point Lighting
Penggunaan sudut pancahayaan melebihi empat dikenali sebagai multi-point lighting. Bagi pentas yang mempunyai banyak peralatan pencahayaan, teknik multi-point boleh dilaksanakan. Tarian yang mempunyai banyak pergerakan besar dan luas, teknik multi-point ini sesuai digunakan.

Comments

panda said…
salam.. sy mntk izin dijadikan rujukan artikel ni..
salehuddinlatif said…
terima kasih berkongsi, minta izin gunakan ilmu tuan.
Unknown said…
Assalamualaikum
minta izin kongsi ilmu ini tuan :)

Popular Posts