MEMANTAPKAN PENGERTIAN DEKON

oleh
Dr. ZAINAL ABD. LATIFF



Pengenalan

Bagaimana Saya Mengenali Dekon

Pada bulan Ogos 2008, penulis diminta oleh Sekolah Pengajian Seni (SPS) Universiti Malaysia Sabah (UMS), untuk mengendalikan kursus Pengarahan 1. Untuk kursus ini, tugasan akhirnya ialah pelajar-pelajar diwajibkan mementaskan sebuah Dekon, hasil karya sendiri. Pada hemat penulis, tugasan ini sangat mencabar kepada pelajar-pelajar begitu juga penulis, yang baru sahaja mengenali Dekon. Ianya mencabar oleh kerana beberapa faktor: pertama bentuk Dekon itu masih kabur dan belum mantap lagi, kedua, pelajar-pelajar tersebut tidak pernah mengambil sebarang kursus penulisan skrip, jadi untuk mereka menghasilkan sebuah skrip Dekon menjadi tugas yang amat berat; dan Dekon merupakan teater seorang pelakon bukan teater seorang pengarah. Maksud penulis, Dekon memerlukan seorang pelakon pentas yang mantap, serba-boleh dan seni bermain yang tinggi. Bagaimanapun dengan kegigihan Dr. Andika membimbing pelajar-pelajar tahun Tiga menulis skrip Dekon, mereka akan cuba telah cuba sedaya upaya mengarahkannya sebagai tugasan akhir kursus. Daripada sesi ujian amali ataupun persembahan pengarahan yang ditunjukkan kepada penulis, ketara hamper kesemua pelakon yang terlibat, tidak terbawa watak yang mereka perankan. Akan saya terangkan dengan lebih lanjut lagi semasa penulis berbincang tentang aspek lakonan kelak.



Latarbelakang Munculnya Dekon

Bagi peminat Dekon, mereka termaklum tentang kaitan di antara Dekon dengan UMS, terutamanya SPS. Mengikut rekod yang ada, pertandingan Dekon yang pertama di antara IPT telah dikelolakan pada tahun 2001. Semenjak itu, UMS telah menjadi tuan rumah kepada Pesta Dekon MAKUM (Majlis Kebudayaan Universiti- Universiti Malaysia) pada setiap tahun hingga ke hari ini.

Apa Kata Mereka Yang Terlibat?

Mengikut A. Samad Said, Sasterawan Negara, beliau cuba memperkenalkan Dekon sebagai satu kaedah menerangkan tentang novelnya Daerah Zeni kepada pelajar-pelajar sekolah menengah yang mendapati sukar untuk memahami novel tersebut. Bersama saudara Aziz H.M. (arwah), beliau telah menjelajah ke sekolah-sekolah untuk memberi kupasan tentang novel yang sangat kompleks untuk difahami itu. Beliau telah menulis sebuah skrip (teks) untuk watak utama Daerah Zeni, Lazeri Meon. Dan melalui watak inilah cerita Daerah Zeni diperjelaskan. Inilah cerita mengenai bagaimana timbulnya Dekon.
Dekan SPS, PM Hj. Inon Shaharudin pula, dalam taklimatnya mewajarkan kenapa Dekon dipilih. Mengikut beliau, tujuan SPS ialah mencari suatu genre sastera yang dapat menjadi suatu mekanisme pengajaran dan latihan untuk meningkatkan kebolehan berteater dan ketrampilan berkomunikasi pelajar-pelajar, supaya mereka dapat membina esteem dan keyakinan diri yang memuaskan.

Mantan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Sabah, saudara Zaini Ozea, dalam makalah beliau yang bertajuk, “Dekon: Mencari Arah, Membentuk Wajah”, telah menulis bahawa yang membedakan Dekon dengan teater adalah ucapan deklamasinya. Beliau menambah lagi dengan mengatakan ciri unik Dekon ialah sifat kesederhanaannya.
Saudara Marzuki Ali, seorang tokoh penyajak dan teater, yang kini menjadi Karyawan Tamu di USM, pula menambah, untuk sesebuah pementasan itu dipanggil Dekon, pementasan tersebut harus ada pendeklamasian sajak.

Rumusannya

Daripada keterangan-keterangan di atas, dapatlah kita membuat beberapa pemerhatian, sebagai panduan untuk mencari bentuk Dekon yang sesuai kelak, mengikut acuan UMS:

1. Ianya tercetus daripada keperluan seorang sasterawan yang ingin menjelaskan novel karangannya sendiri. Skrip atau yang lebih tepat lagi teks Lazri Meon adalah mengenai seorang watak yang menceritakan tentang keadaannya dan keluarganya. Terdapat seorang sahaja pemain, dan lazimnya A. Samad Said yang akan membaca tulisan belau itu. Kita dapati gaya bahasanya sangat indah dan memikat. Daripada segi lakonan, kita masih boleh pertikaikan tentang mutu lakonan yang dipersembahkan, maksud saya gaya lakonan dalam teater realisme. Kita juga harus sedar bahawa A. Samad Said bukanlah seorang pelakon yang terlatih, tetapi seorang sasterawan. Kekuatan beliau adalah pada bahasa yang diuatarakan. Bagaimana ianya diutarakan, adalah suatu persoalan lain. Sebagai seorang penyajak, beliau lebih tertonjol daripada aspek deklamasi, daripada aspek lakonan. Dekan SPS juga telah mengatakan yang beliau mencari sebuah genre sastera dan mengisytiharkan Dekon sebagai “Realization of a Literary Genre”. Jadi kita dapati kemunculan Dekon bermula dari daerah kesusasteraan, bukan daerah pementasan ataupun teater.

2. A. Samad Said telah menggabungkan dua perkataan, iaitu deklamasi dan lakonan untuk melahirkan suatu perkataan baru, dinamakan Dekon. Dalam konteks ini, beliau telah cuba ‘mendeklamasikan’ kata-kata atau rintihan Lazeri Meon, sambil melakonkan atau menggayakan dimana yang sesuai untuk menyampaikan kisahnya. Beliau telah cuba gunakan ruang pentas yang tersedia ada, dan cuba membawa watak Lazeri Meon sebagai seorang tukang cerita.

3. Pada Samad, apa yang beliau telah laku dan hasilkan ialah sebuah lakonan. Namun bagi pekerja teater, lakonan adalah lebih rumit dan kompleks lagi serta memerlukan latihan dan persiapan yang terancang.

4. Kalau kita teliti perkataan deklamasi itu, ianya berasal daripada perkataan Inggeris ‘declamation’ yang membawa maksud ‘recitation’ ataupun ‘impassioned speech’. Ini bermakna suatu seni pengucapan (oratory). Mengikut Kamus Dewan, deklamasi ertinya pembacaan sajak dsb dengan lagu dan gaya; menyampaikan sajak untuk didengari. Saya tegaskan di sini, didengari bukan ditontoni. Deklamasi juga boleh membawa makna bermadah, bercerita, berkisah, berkata-kata, dan berceloteh. Kalau kita mahu pergi jauh lagi, mungkin membawa maksud unsur-unsur merintih, mengadu, menyungut, mengumpat, mengeluh, mengenangkan nasib dan sebagainya. Kesemuanya sarat atau bunting dengan perkataan. Mari kita lihat pula apa itu lakonan. Lakonan pula membawa makna perihal memainkan sesuatu peranan/watak (Kamus Dewan, Edisi Ketiga). Dalam konteks kita hendak mencari sesuatu definasi Dekon, mungkin kita boleh pertimbangkan beberapa saranan seperti: “penceritaan yang dilakonkan”; “ucapan atau madah yang disampaikan dengan aksi dan emosi”; “berkata-kata dengan penuh perasaan dan dilakonkan”. Lakonan boleh membawa erti bergaya, berlagak, memainkan peranan dan membawa watak.

5. Oleh kerana sesuatu deklamasi itu hendak dilakonkan, kita tidak dapat lari daripada mengaitkannya dengan unsur-unsur pementasan sesebuah teater. Seperti yang disarankan oleh Dekan SPS, bahawa faktor penyampaian Dekon menggunakan unsur-unsur teater termasuk penggunaan ruang, cahaya, faktor bakat lakonan, teori-teori lakonan, selain daripada faktor monolog dramatik dan teknik dramatik. Memang sudah menjadi lumrah alam, apabila sesuatu aktiviti itu hendak dipersembahkan atau dipentaskan untuk kenikmatan khalayak, ianya harus mengikuti prinsip-prinsip pementasan (teater) seperti menarik, menghibur, mengkagumkan dan mendidik. Jadi secara tidak langsung Dekon termasuk di bawah bidang pementasan teater.

6. Di peringkat ini, mungkin kita boleh cadangkan beberapa ciri istimewa yang boleh menjadi perimeter untuk sesebuah Dekon. Pada hemat saya, Dekon itu harus:

i. Mempunyai skrip atau teks yang berlainan daipada skrip drama biasa.
ii. Bahasa atau susunan kata yang digunakan adalah indah, beremosi dan retorik.
iii. Mempunyai seorang pencerita/narrator, mungkin watak utama, yang memperkenalkan watak-watak lain melalui penceritaannya.
iv. Kesederhanaan dalam kesemua aspek termasuk jumlah pelakon, masa pementasan, set, props, kostum, cahaya dan muzik.

Secara tidak langsung, kita dapati perbedaan yang ketara di antara Monodrama dan Dekon ialah, Monodrama dilakonkan oleh seorang pelakon sahaja. Dekon boleh dilakonkan oleh satu, dua atau tiga orang pelakon, pelakon-pelakon itu boleh berinteraksi secara bersemuka tetapi tidak berada di dalam alam yang sama; alam dekonis dan alam watak kedua atau ketiga dipisahkan oleh ruang masa dan waktu.

7. Daripada segi Pengarahan pula, prinsip-prinsip dan ketrampilan asas kepengarahan yang harus dikuasai oleh seorang pengarah adalah sama seperti mengarah sesebuah teater biasa. Ianya termasuk:
a. Fungsi dan tanggungjawab seorang pengarah
b. Pemilihan teks yang sesuai, serta genrenya
c. Pemilihan pelakon berdasarkan kualiti fizikal, emosi dan vokal
d. Penganalisaan teks melalui tema, plot, perwatakan, dialog, muzik dan kekaguman
e. Aspek kekaguman yang sederhana tetapi berkesan
f. Buku kerja atau book ‘prompt’
g. Mengenali gelanggang, atau jenis-jenis pentas
h. Boleh Mengendalikan proses uji bakat
i. Bersedia untuk menjalankan latihan atau rehearsal

Justeru, untuk bersiapsedia sebagai seorang Pengarah Dekon, seseorang itu mestilah melengkapkan dirinya dengan aspek-aspek di atas.

8. Daripada segi Lakonan pula, seperti dalam lakonan persembahan teater yang biasa, seseorang pemain itu harus bersedia untuk menyiapkan dirinya. Di antara beberapa perkara penting si pelakon harus bersiap-sedia ialah:

a. Melengkapkan diri dengan ilmu lakonan
b. Mengkaji watak secara terperinci
c. ‘Versatile’ atau serba-boleh dalam memerankan pelbagai watak dan mempunyai pelbagai ketrampilan
d. Mengenali jenis gelanggang dan pentas
e. Menjalani persiapan atau latihan dalam aspek-aspek: keheningan, konsentrasi, imaginasi, gerak, dan vokal

Comments

Popular Posts