DI SEBALIK PENGANJURAN FESTIVAL DEKON MAKUM


Festival Dekon MAKUM 2011 kali ke 8 telah pun berakhir dengan Universiti Sains Malaysia (USM) menjuarai anugerah utama, diikuti dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS). Penganjuran kali ini dimeriahkan lagi apabila buat pertama kalinya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) terlibat langsung dalam menjayakan program ini.

JKKN bukan sahaja menyumbang peruntukan kewangan malahan menghantar sejumlah tenaga kerja untuk membantu meringankan beban penganjuran sepanjang tempoh penganjuran. Tahun 2011, pihak Majlis Kebudayaan Universiti Malaysia (MAKUM) induk di bawah pengurusan baru kali ini tidak memberikan sebarang peruntukan sepertimana yang dilakukan oleh sekretariat sebelumnya pada sesi-sesi lalu. Tahun ini juga memperlihatkan perubahan sikap oleh pelajar-pelajar penulisan dan dua pelajar Muzik Tahun Kedua yang turut membantu menjayakan penganjuran FDM. Terima kasih juga kepada Mat Rok, bekas tenaga pengajar muzik SPS yang sudi datang membantu di saat akhir. Diharapkan ia boleh menjadi contoh kepada tenaga pengajar lain yang kelihatannya seperti tidak ambil kisah atau berat tulang untuk datang membantu apatah lagi untuk menyokong kumpulan dekon pelajar UMS (tak payah dijemputlah, bukan VIP pun).

Terima kasih juga kepada pelajar Visual yang tidak pernah jemu-jemu membantu setiap kali penganjuran FDM dibuat. Tanpa mereka rakaman penganjuran bersejarah ini mungkin tidak berjaya didokumentasikan dengan baik dan akan luput bersama peredaran masa. Terima kasih juga kepada pihak Dekan SPS yang banyak menegur terutamanya dalam penghasilan sijil dan imej kain rentang, Penolong Pendaftar yang selalu menyokong serta Juruteknik dewan yang sudi memberikan penggunaan Dewan Resital serta kemudahan peralatan sepanjang festival berlangsung secara percuma. Keikhlasan itu sangat bermakna buat pelajar yang terlibat.

Sejak penganjurannya dari tahun 2001-2011, timbul pelbagai pertanyaan sinis di kalangan sesetengah pihak `Buat penganjuran banyak kali, tetapi tak pernah Johan pun, baik tak payah buat.’ Persoalannya, apakah Johan itu suatu yang mustahak setiap kali kita menganjurkan pertandingan? Pada saya, tidak! Terpulang kepada individu untuk akur dengan pandangan saya atau tidak. Itu hak masing-masing. Bukan niat utama saya menganjurkan FDM untuk menang. Namun bukan bererti saya akan mengambil mudah aspek itu, semua orang mahu menang. Namun jika tak menang sekalipun, saya tetap bersyukur. Apa yang penting ialah penganjuran program mega ini memberikan banyak faedah kepada pelajar teater saya khususnya dan pelajar UMS amnya. Penganjuran program mega melibatkan IPTA seluruh Malaysia seperti FDM bukanlah suatu kerja yang mudah. Ia dijadikan sebagai medan ujian ilmu yang dipelajari. Melalui penganjuran Festival seperti ini, ia adalah peluang terbaik untuk pelajar teater menguji dan berlatih ilmu yang dimiliki sepanjang pengajian dua tahun setengah (3 semester). Saya telah mengurus dekon sejak 2001 dan saya sangat percaya bahawa semua pelajar yang menyertai dan menguruskan FDM telah mempelajari banyak ilmu serta menjadikan mereka lebih matang untuk menguruskan program-program lain. Peningkatan pemikiran dan cara kerja serta kebolehurusan mengatasi masalah jelas meningkat setiap kali pelajar terlibat di dalam pengurusan FDM. Tidak ada, saya ulang sekali lagi TIDAK ADA penganjuran mega yang dibuat oleh UMS dan diuruskan sepenuhnya oleh pelajar kecuali Festival Dekon MAKUM! Saya cukup bangga dengan pencapaian pelajar saya, walaupun terdapat kepincangan sana-sini namun hakikatnya ia diuruskan oleh pelajar dan sebagai pelajar, ia melalui tahap proses pembelajaran yang memang menuntut kepada kesilapan dan pembaikan dari semasa ke semasa. Menyertai program TIDAK SAMA dengan menguruskan atau menganjurkan program. Lihat sahaja perbezaan keupayaan kerja antara pelajar pengurusan teater dengan pelajar selain teater, jauh tahap kerja dan pencapaian praktikal dan kreativiti mereka (Jika tidak, masa kan pelajar lepasan SPS berkelulusan teater boleh ditawarkan oleh SPS untuk menyambung pengajian sarjana di bidang yang bukan teater iaitu FILEM!). Saya mengambil inisiatif dan peluang ini untuk memberikan pendedahan yang sebanyak mungkin kepada pelajar teater SPS melalui penganjuran program berprestij seperti ini. Bukan mudah untuk pelajar teater SPS nak dapatkan pendedahan hanya kalau bergantung kepada penyertaan aktiviti (tak banyak dibuat di Sabah, kalau dibuat pun, jarang ada jemputan untuk pelajar teater). Kalau ada penyertaan, ia bukan sesuatu yang boleh mencabar dan menguji tahap ilmu yang dipelajari. Kalau FDM tidak lagi diteruskan, saya khuatir dengan nasib pelajar teater SPS khususnya kerana mereka tidak akan ada lagi platform untuk menguji ilmu pengurusan yang dipelajari.





Ada juga yang bertanya `Mengapa UMS sahaja yang menganjurkan Dekon? Mengapa tak berikan giliran kepada IPTA lain?’ Di sini saya rasa terpanggil untuk menjelaskan persoalan ini kerana saya adalah antara ahli MAKUM terawal sejak penubuhannya pada lewat 1990an. Ketika itu UMS adalah Pengerusi MAKUM dan Hj Inon Shaharuddin AR adalah antara tokoh penting yang terlibat di dalam sekretariat ini (mungkin ramai yang tak tahu atau terlupa). Ketika semua ahli MAKUM bermesyuarat untuk membincangkan aktiviti2 yang dipertanggungjawabkan kepada setiap IPTA, timbul persoalan kepada UMS dan UNIMAS, apakah bentuk kesenian yang boleh diangkat oleh dua IPTA yang terletak di Kepulauan Borneo ini. UMS tidak boleh menganjurkan tarian/teater kerana ia melibatkan jumlah peserta yang besar, susah untuk IPTA lain menyertai kerana kos penerbangan, kekangan set latar dan lain-lain. Memikirkan hal-hal itu maka ia diserahkan kepada UM; ia terletak di Kuala Lumpur- pusat kepada perkembangan seni teater dan tarian serta mudah untuk peserta IPTA lain menyertainya (naik Bas sahaja). Nak buat Boria, USM lebih layak. Nak buat Dondang Sayang, UTEM lebih mengetahui. Kenapa tak buat seni Visual? Bukan tak mahu buat tapi kita sekarang bercakap soal seni persembahan pentas. Seni Visual memang sebahagaian dari seni tetapi ia tergolong di dalam seni tampak. Mengambil kira kedudukan tersebut dan kos yang tinggi yg bakal ditanggung, dua IPTA ini diberikan kebebasan untuk menganjurkan kesenian yang tidak akan melibatkan perbelanjaan kos yang besar kepada IPTA2 yang bakal menyertainya. UMS telah dicadangkan oleh Hj Inon sendiri untuk mengangkat Dekon; mengambilkira aspek jumlah peserta yang kecil; penyertaan hanya melibatkan lima orang paling maksima, latar keperluan artistik yang cukup minimal (UMS menawarkan perkhidmatan percuma untuk menyediakan set latar yang perlu kepada mana-mana IPTA yang mahu) serta tidak melibatkan kos yang besar. Semua IPTA juga bersetuju untuk tidak membuat penggiliran penganjuran Dekon ini kepada IPTA lain.

Penganjuran FDM ini sangat dekat di hati saya. Setiap kali ia berjaya dianjurkan, setiap kali ia meninggalkan sesuatu kenangan kepada saya. Selain saya, tidak ada pihak lain di UMS ini yang memahami semangat FDM dan jika semangat ini tidak diwarisi dengan baik, saya bimbang Dekon akan hilang dan terlepas dari genggaman UMS. Pelbagai kemungkinan bermain di fikiran ini. Kemungkinan paling dahsyat sekali ialah Dekon akan luput dari arena MAKUM sekiranya UMS tidak lagi menganjurkannya. Semangat Dekon tidak ada dalam diri warga UMS baik di peringkat pelajar mahupun pengurusan. Ini sudah terbukti semasa ketiadaan saya ketika menyambung pengajian Doktor Falsafah selama tiga tahun di luar Negara. Dekon terhenti tanpa sebarang usaha menggerakkannya. Tiada langsung keinginan timbul di hati mana-mana tenaga pengajar SENI atau pihak pengurusan HEPA untuk menganjurkannya. Mungkin juga mereka tiada pengalaman, mungkin juga sekretariat MAKUM UMS yang ada ketika itu tidak melihat keperluan Dekon, mungkin juga tiada keinginan dan kepentingan barangkali. Sekretariat MAKUM UMS tidak seperti di IPTA lain; diurusi oleh staf HEP mereka. Di UMS, ahli sekretariat MAKUM terdiri dari kalangan pelajar-pelajar Sekolah Pengajian Seni (SPS) pengkhususan teater Tahun 2 yang juga ahli Grup Teater Lab (G-Tel). Memikirkan masalah mendatang ini, saya dan beberapa orang lagi telah mengambil inisiatif untuk menjalankan kajian serius terhadap seni Dekon ini. Geran penyelidikan telah diajukan kepada pihak berkenaan dan diharap ia akan diluluskan dengan segera. Melalui geran penyelidikan ini, seni Dekon akan dikaji secara lebih tersusun dan ilmiah. Perancangan telah dibuat dan akan dilangsungkan dalam tempoh terdekat ini. Grup dekon khusus untuk kajian ini akan ditubuhkan, panel juri juga telah bersetuju untuk membantu dan jelajah dekon akan digerakkan selewat-lewatnya penghujung tahun ini. Doakan semoga usaha dan niat murni ini akan terlaksana.

Penglibatan pelajar Tahun Satu Program Seni Kreatif (PSK) sangat-sangat diharapkan kerana kesinambungan penganjuran ini bakal diteruskan oleh mereka di masa akan datang. Kalau mereka enggan terlibat dan lebih rela balik kampung dan duduk selesa di rumah, dikhuatiri tidak ada barisan pelapis untuk meneruskan penganjuran Dekon ini. Jika ini berlaku, saya pasti penganjuran FDM akan diambil alih oleh IPTA lain yang jelas sekali sangat berminat untuk menganjurkannya. Jika ini berlaku, sesuatu yang amat malang kepada UMS dan pelajar SPS kerana UMS telah hampir 10 tahun menganjurkannya, terlepas begitu sahaja.

Penganjuran FDM adalah sebagai salah satu medium alternatif untuk para pelajar SPS khususnya pelajar penulisan PSK mencuba bakat dan mencabar diri mereka untuk menghasilkan naskah dekon berkualiti. Tasia Arlina Ismail, bekas pelajar SPS (mungkin SPS telah melupakannya), antara pelajar berbakat besar, pengkhususan utamanya adalah dalam Muzik tetapi sangat berbakat bukan sahaja di dalam ilmu muzik, malah beliau juga boleh menari, berlakon, mengarah dan menulis skrip. Saya percaya bakatnya memang besar malah lebih besar dari sesetengah tenaga pengajar PSK yang ada! (hakikat yang terbukti) Tapi sayang beliau tidak dibenarkan lagi mencurahkan ilmu (menjadi tutor) kepada pelajar PSK atas alasan yang tidak munasabah. Sejak penganjuran dekon MAKUM selama lapan tahun, setiap kali jugalah naskah beliau digunakan dan berjaya menggondol anugerah skrip terbaik untuk beberapa kali. Kalau ada pihak mengatakan saya pilih kasih dalam mengambil naskah untuk pementasan, ia ternyata satu penipuan dan timbul atas rasa dengki yang meluap dalam diri hamba yang munafik, apabila tahun 2008, naskah pelajar teater iaitu Annuar Hashim Syah bertajuk `KESUMAT’ dipilih untuk dipertaruhkan dalam FDM tahun itu. Tenaga pengajar PSK seharusnya menjadikan dekon sebagai salah satu subjek kajian terutamanya berkaitan dengan corak penulisan naskah dekon. Jika dikatakan format dan struktur dekon itu yang agak asing dan baru menyebabkan kebanyakan tenaga pengajar yang ada enggan mengajarnya atau tidak mahu mengulasnya, pihak penganjur Dekon telah mengambil inisiatif untuk mengumpul bahan dan maklumat berkaitan format dan struktur hasil daripada penganjuran Seminar dan Bengkel Dekon MAKUM yang dibuat tahun 2007 lalu. Bahan ini telah dijadikan manual dan diedarkan kepada semua IPTA di Malaysia. Saya percaya manual ini sangat berguna dan boleh dijadikan sebagai rujukan asas dalam pengajaran penulisan naskah dekon.

Penganjuran FDM ini sedikit sebanyak Berjaya memberikan ruang bernafas kepada peminat2 teater IPTA untuk mencurahkan bakat dan rasa ketagihan untuk berlakon. Ini kerana Universiti Malaya (UM) yang dipertanggungjawabkan untuk menganjurkan Festival Teater MAKUM (FTM) sudah tiga tahun, senyap tanpa sebarang khabar berita. Menjadi sesuatu yang amat malang juga kepada UMS apabila pihak JKKN sendiri sudah tidak ghairah untuk menganjurkan Festival Teater Malaysia seperti sebelumnya. Di mana lagi pelajar teater mahu melepaskan ketagihan berteater? Di pentas resital? (Melucukan kalau menyebut persembahan resital ini. Jangan! Haram untuk saya mengulas isu resital ini. Cukuplah. Nanti keluar lagi petisyen bantahan terhadap aku). Kesunyian dan kehausan untuk berteater di kalangan pelajar IPTA begitu membuak-buak, bakat yang besar tidak dapat diketengahkan. Maka apabila FDM dianjurkan, ia menjadi satu platform luahan emosi di kalangan penggiat teater IPTA. Ia menjadi ruang untuk melepaskan ketagihan berteater yang sekian lama terpendam.

Festival Dekon MAKUM (FDM) telah dianjurkan oleh UMS sebanyak 8 kali (2001-2003,2007-2011). Terima kasih kepada semua IPTA yang menyertai sepanjang tempoh tersebut. Tanpa sokongan yang tidak berbelah bagi dari semua IPTA terbabit serta semangat setiakawan di kalangan pegawai-pegawai MAKUM, FDM sudah pasti akan terkubur selepas terhenti pada tahun 2003-2006. Jangan rasa mudah untuk mengurus sebuah organisasi yang sepenuhnya diselenggarai oleh pelajar! Bukan mudah untuk menguruskan FDM dengan kerja pengurusan dilaksanakan sepenuhnya oleh pelajar. Setiap kali pengurusan FDM dilakukan, saya akan menjaga dua bahagian utama; pengurusan dan produksi. Saya bersedia mengorbankan masa rehat dan masa senggang bersama keluarga untuk bersama dengan `anak-anak teater’ saya dari pagi sehinggalah subuh keesokan harinya, setiap hari untuk memastikan kerja dilaksanakan dengan baik. Saya bersyukur kerana mempunyai ahli keluarga yang memahami tugas saya. Sebelah siang saya mengurus pengurusan dekon, dan sebelah malam hingga pagi saya menguruskan produksi. Walaupun saya sekadar memantau, namun saya perlu bersama dengan pelajar saya sepanjang masa kerana saya percaya mereka memerlukan sokongan dan semangat dan siapa lagi kalau bukan saya. Saya tidak pernah merungut keletihan, walaupun ada ketikanya saya sangat-sangat letih, kerana hasilnya sangat bernilai. Saya sangat gembira apabila melihat anak didik saya berjaya mengurus sesuatu yang selama ini mereka sangka sukar untuk dilaksanakan. Kalau saya marah, marah itu bukan kerana saya membenci tetapi marah itu untuk mengajar. Saya percaya pengajaran melalui pujukan dan belaian manja sepanjang masa akan melahirkan pelajar yang lembik dan lembam. Saya tidak mengharapkan balasan untuk semua kerja dan pengorbanan saya. Bagi saya, melihat kematangan pelajar terbina setiap kali mereka berjaya mengurus tanggungjawab yang diamanahkan itu adalah kepuasan yang tidak terhingga. Cuma satu yang cukup menyedihkan saya apabila terdapat di kalangan pelajar yang saya didik itu (daripada tiada apa-apa sehingga ia berjaya dan menjadi manusia) berubah dan enggan menegur saya kalau terserempak dan cuba menjauhkan diri dari saya kerana takutkan seseorang yang tiada kaitan dengan hidupnya selama ini, akan memarahinya. Janganlah kita lupa asal-usul kerana keredhaan dan berkat ilmu itu adalah daripada rasa ikhlas guru kepada anak muridnya. Semoga FDM terus megah di bawah lembayung UMS. Dekon adalah wadah dan wajah teater kita.

Comments

Popular Posts