WELCOME TO HELL!!!

WELCOME TO HELL!!!
"Selamat Datang Ke Dunia Penuh Pancaroba"
Wednesday, July 6, 2011 at 8:02 PM |  
Oleh
DR. ANDIKA AZIZ HUSSIN

Pengenalan
Sebuah pementasan tidak kira sama ada pementasan teater, opera, ballet atau konsert boleh dipersembahkan di mana-mana sahaja. Apa yang diperlukan hanyalah sekumpulan pelakon dan penonton. Namun, kehadiran atau kewujudan elemen tambahan seperti set, prop dan pencahayaaan bukan sahaja akan memperkayakan lagi bentuk persembahan malahan turut memperkayakan mutu lakonan pelakon dan meningkatkan nilai estetika penonton yang menyaksikan pementasan tersebut. Namun dalam pementasan dekon, penggunaan set latar, prop yang besar, penggunan kostum yang pelbagai dan berwarna-warni serta hiasan rias yang menarik bukan menjadi satu keutamaan yang besar. Elemen visual tersebut bukan tidak perlu tetapi ia tidak menjadi suatu kemestian sepertimana di dalam pementasan teater. Dekon tidak terlalu bergantung kepada elemen visual seperti yang dinyatakan itu tetapi lebih bergantung kepada keupayaan pelakon tersebut. Pelakon dekon yang juga disebut sebagai dekonis berbeza dengan pelakon dalam sebuah teater. Dekonis tidak memeran sesuatu watak yang khusus atau tertentu. Ia berupaya memerankan pelbagai watak dalam satu situasi yang tertentu. Seorang dekonis juga haruslah berkeupayaan dan serba boleh; menyanyi, menari, berlakon dan sebagainya tertakluk kepada keperluan dan kehendak skrip dekon; naratif/prosa, dialog, monolog dan soliloki.
Walaupun begitu, untuk menafikan terus ketidakperluan kepada elemen visual adalah satu kesalahan dalam pementasan pentas. Setiap bentuk persembahan pentas memerlukan penataan pencahayaan tersendiri. Elemen pencahayaan dalam seni pementasan khususnya dekon, selain daripada bertujuan untuk menerangi tubuh dan wajah pelakon-pelakonnya, ia turut memainkan peranan sebagai agen dramatik dalam teater, mengawal dan menarik perhatian, melakar dan membentuk imej, menyalur maklumat mengenai masa dan tempat, menyumbang kepada pengkayaan teknik dan mood serta menyampaikan idea-idea. Teknikal pencahayaan di dalam dekon tidaklah perlu serumit dalam pementasan teater. Ia hendaklah seringkas yang mungkin tetapi tidaklah sampai menjejaskan kualiti dan konsep dekon itu sendiri. Ringkas tetapi mampu menampilkan mood, warna dan kehidupan kepada lakonan tersebut. Peranan pencahayaan dekon perlu bukan sahaja untuk tujuan hiburan semata malah ia sebagai satu cara untuk memberikan ‘nyawa’ kepada persembahan dekon.

Fungsi Pencahayaan Pentas
Keindahan dalam pementasan hanyalah satu elemen kecil dan bukan satu keutamaan dasar. Namun begitu pencahayaan dalam pementasan dekon mestilah dibuat secara teratur dan sistematik. Pencahayaan tersebut tidak boleh dibuat sesuka hati dan sekadar untuk mencantikkan pentas dan persembahan sahaja. Pencahayaan dekon mempunyai fungsi dan tatacara tertentu yang perlu difahami dan dipatuhi. Terdapat enam fungsi pencahayaan dekon dalam pementasan; kejelasan, mood, komposisi, fokus, kesatuan dan kredibiliti.

Kejelasan (Visibility)
Kejelasan bermaksud kemampuan melihat secara jelas apa yang berlaku di atas pentas. Namun itu bukan bermakna setiap sudut pentas atau pelakon itu mesti disinari oleh cahaya sepanjang masa. Memadai hanya menyinari sebahagian runag atau pelakon tertentu sahaja mengikut keperluan skrip dan sutradara. Kejelasan tertakluk juga dan bergantung kepada tahap ilmunisasi yang digunakan. Ini bergantung kepada kehendak skrip dan mood yang diperlukan. Dalam persembahan dekon, cahaya yang digunakan itu mestilah mampu menerangkan susuk tubuh dan wajah pelakon mengikut keperluan dan kesesuaian naskah. Hanya ruang yang digunakan untuk lakon sahaja yang harus diterangi, sementara ruang lain boleh sahaja disuramkan atau digelapkan.

Mood dan Komposisi
Mood merujuk kepada kesan emosi hasil stimulasi olek kualiti, warna dan komposisi pencahayaan yang digunakan. Sementara komposisi pula adalah gubahan gambaran persembahan yang diciptakan oleh pencahayaan hasil gabungan bersama dengan pelakon-pelakon, set, prop, kostum dan rias. Dalam persembahan dekon, pemilihan warna cahaya itu bergantung kepada keperluan dan mood persembahan lakon itu sendiri. Yang penting ialah bagaimana komposisi cahaya itu dihasilkan menentukan corak penghasilan lakonan dekon tersebut.

Fokus
Fokus dapatlah dimaksudkan sebagai kemampuan pencahayaan yang dipancarkan untuk menarik perhatian penonton terhadap apa yang ingin ditonjolkan baik pelakon mahupun ruang tertentu. Ia boleh dilakukan dengan memberikan mood dan gabungan komposisi warna yang sesuai pada ruang atau pelakon yang mahu difokuskan.

Kredibiliti
Kredibiliti melibatkan kemampuan pencahayaan mewujudkan kepercayaan sementara penonton terhadap situasi yang dipaparkan di atas pentas. Ini bukan bermakna situasi dramatic tersebut mesti dihasilkan secara realistic. Contohnya, skrip memerlukan latar suasana yang gelap gelita di dalam bilik, maka di atas pentas tidaklah boleh digelapkan sahaja ruang lakonan sebagai memenuhi kehendak skrip. Perlu dipancarkan kualiti cahaya yang sesuai agar penonton dapat melihat aksi yang terhasil atau apa jua yang perlu dilihat penonton. Ini berbalik semula kepada fungsi visibiliti tadi.

Kesatuan
Kesatuan melibatkan kemampuan pencahayaan menggabungjalinkan stail, warna dan lain-lain elemen dalam produksi; set, prop, kostum dan rias. Sistem penggubahan pencahayaan seperti yang telah sedia maklum akan hanya boleh dilaksanakan apabila semua elemen lain seperti yang dinyatakan sebelum ini telah berjaya disatukan dan disiapkan. Semua fungsi yang dinyatakan itu memberikan kesan yang besar kepada pementasan sama ada ia dirancang ataupun tidak. Walau bagaimanapun, fungsi-fungsi ini digunakan termasuklah kuantiti pencahayaan, sudut arahan, pergerakan, warna dan kuantiti pencahayaan. Kuantiti tersebut sebagai intensity yang menjelaskan tentang tahap kuantiti cahaya yang digunakan. Kuantiti cahaya yang digunakan bakal menghasilkan kuantiti terang atau suram sesuatu objek yang dipancarkan cahaya ke arahnya. Ini boleh terhasil bergantung kepada jenis lampu yang digunakan, susun letak lampu, media warna yang digunakan atau lain-lain aksesori yang dipakai bersamanya.

Sudut Arah
Sudut arah atau direction merujuk kepada sudut di mana pencahayaan itu dipancarkan di atas pentas. Susun letak lampu baik di hadapan, sisi, bawah, atas atau belakang pelakon memberikan kesan yang berbeza. Kedudukan ini bakal menentukan atau mengubah bentuk tiga dimensi pelakon atau objek tersebut.

Pergerakan
Pergerakan melibatkan apa jua perubahan cahaya bagi menggambarkan pergerakan suasana dalam pementasan seperti terang dan gelap, perubahan waktu dan sebagainya. Sebarang perubahan cahaya akan menimbulkan keadaan suasana yang memberikan kesan kepada penonton.

Warna
Penggunaan warna memberikan kesan yang besar kepada mood persembahan. Penggunaan warna memberikan interpretasi berbeza terhadap mood dan situasi yang digambarkan. Contohnya, warna biru yang melambangkan kesayuan, mimpi dan sebagainya.

Tekstur
Ia melibatkan variasi kualiti cahaya yang digunakan. Iluminasi boleh sahaja bersifat lembut atau terfokus kepada keperluan persembahan. Penghasilan tekstur cahaya melibatkan pengawalan kuantiti pencahayaan yang digunakan. Ini boleh terhasil dengan penggunaan penapis atau filter dan jenis lampu.

Rekaan di dalam Pencahayaan Dekon

Setiap fungsi yang telah dinyatakan sebelum ini boleh dicapai dengan pelbagai cara. Dalam rekaan pencahayaan, perkara yang paling dasar yang perlu difahami untuk rekaan pencahayaan ialah susun letak peralatan lampu yang digunakan, warna yang digunakan dan lain-lain kesan khas yang dipakai. Untuk memahami konsep rekaan dalam system pencahayaan dekon, perlulah difahami terlebih dahulu istilah-istilah yang digunapakai untuk menyesuaikan kedudukan lampu.

High angle – merujuk kepada kedudukan peralatan lampu yang diletakkan secara sudut menegak 60 darjah atau lebih dari kedudukan kepala/muka pelakon.

Low-angle – merujuk kepada peralatan lampu yang diletakkan secara menegak antara 25 ke 30 darjah dari kedudukan kepala/muka pelakon.

Backlight – peralatan lampu yang diletakkan menegak di belakang kepala pelakon dalam kedudukan high-angle antara 60 ke 75 darjah. Ia menghasilkan baying yang pendek di hadapan pelakon tersebut.

Downlight – peralatan lampu yang biasanya diletakkan tepat di ats kedudukan kepala pelakon dan cahaya terus ke bawah. Ia menghasilkan kesan baying yang agak dalam pada wajah pelakon terutamapada bawah mata dan bawah hidung.

Pencahayaan Sisi (Sidelight) – peralatan lampu yang diletakkan di sisi kiri atau kanan pelakon. Kedudukan lampu tersebut boleh sahaja diletak pada kedudukan high-angle 45 ke 60 darjah, sama paras dengan pelakon atau berdekatan dengan lantai pentas.


Teknik Pencahayaan Dekon di Pentas Proscenium

Pementasan menggunakan pentas proscenium bakal menuntut penggunaan rekaan pencahayaan yang berbeza dengan pementasan yang dibuat di dalam pentas arena. Sistem pencahayaan yang diperkenalkan oleh Prof. Stanley McCandless menghasilkan teknik pencahayaan McCandless telah dipilih, namun ia bukanlah dianggap sebagai sistem yang terbaik untuk digunapakai, tetapi cukup untuk menjadi topic kajian tentang teknikal pencahayaan dekon. Pencahayaan McCandless menjelaskan teori penggunaan sudut dan warna dalam pencahayaan. Warna melibatkan penggunaan warna cool untuk satu sudut dan warna warm untuk satu sudut yang lain. Merujuk kepada system ini terdapat beberapa tatacara projeksi pencahayaan seperti:

Pencahayaan Tunggal (Single-Point Lighting)

Bagi kumpulan produksi yang kekurangan kemudahan pencahayaan, peralatan lampu yang digunakan hanyalah bertujuan menerangi sudut ruang atau pelakon tertentu sahaja. Pencahayaan Tunggal atau Single Point Lighting secara umumnya bermaksud satu lampu digunakan untuk menerangi setiap sudut kawasan lakon yang diperlukan. Namun, dalam konteks yang lebih luas ia bermaksud satu sudut pencahayaan untuk satu kawasan. Seleksi sudut pencahayaannya mestilah dilakukan dengan teliti kerana satu lampu perlu memainkan peranan yang besar. Lampu perlu diletakkan terus di hadapan ruang lakon pada sudut menegak 45 ke 60 darjah bagi menghasilkan pencahayaan yang ‘natural’ (baying yang normal). Sudut pilihan ini bagi mengelakkan baying yang terhasil tidak jatuh pada set atau bertindan dengan bayang pelakon lain. Semakin rendah sudut pilihan itu maka bayang yang terhasil juga akan lebih ketara. Sudut pilihan 30 darjah menghasilkan dua ‘persembahan’ pelakon dan bayangnya. Jika sudut pilihan melebihi 60 darjah, bayang pada wajah dan tubuh pelakon akan tenggelam dan kelam.


Pencahayaan Berkembar (Two-Point Lighting)

Projeksi menggunakan dua sudut pencahayaan ialah satu lampu di hadapan pelakon dalam sudut menegak 45 darjah, dan lampu kedua diletakkan di belakang pelakon dalam sudut menegak 60 ke 70 darjah. Teknik pencahayaan ini juga boleh melibatkan penggunaan dua lampu dari belakang dan satu lampu dari hadapan. Ini disebut sebagai double-hanging. Contohnya lampu belakang menggunakan warna biru dan merah, menggunakan kawalan berasingan sementara lampu hadapan bersifat ‘natural’. Perubahan pergerakan cahaya warna biru ke merah tanpa perlu mengubah warna cahaya di hadapan sesuai digunakan untuk menunjukkan perubahan masa yang berlalu.



Kedudukan lampu-lampu dalam teknik ini boleh diletakkan dengan pelbagai cara yang bakal menghasilkan kesan berbeza; lampu belakang diletakkan di tempat yang sama; menegak 45 darjah, lampu hadapan diletakkan ke sisi sedikit daripada wajah pelakon dalam sudut yang sama. Ini akan menghasilkan bayang yang lebih ketara pada wajah pelakon. Selain daripada meletakkan lampu bertentangan antara satu sama lain, kali ini lampu belakang diletakkan di sudut sisi pelakon dan mengekalkan kedudukan lampu hadapan. Lampu hadapan ini menghasilkan bentuk wajah 3 dimensi secara jelas tetapi lampu sisi menghasilkan bayang kelam pada wajah dan tubuh pelakon.


Pencahayaan Tiga/Empat Punca (Three-Point Lighting & Four-Point Lighting)

Ia mempunyai fungsi yang hamper sama dengan two-point cuma dengan penambahan satu atau dua sudut lagi akan memberikan kesan tiga dimensi yang lebih baik berbanding teknik two-point. Berikut adalah contoh penggunaan three-point dan four-point lighting.


Sistem Pencahayaan Pelbagai (Multi-Point Lighting)

Penggunaan sudut pancahayaan melebihi empat dikenali sebagai multi-point lighting. Bagi pentas yang mempunyai banyak peralatan pencahayaan, teknik multi-point boleh dilaksanakan. Dekon yang mempunyai banyak pergerakan besar dan luas seperti ada nyanyian dan gerak tarian umpamanya, teknik multi-point ini sesuai digunakan.
signed Daddy Long-Legged author

0 comments:

MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates