Dekon MAKUM Bukan Lagi Mimpi

“DEKON – memang benar ia satu istilah baru yang saya cipta kerana keperluan seni yang mendesak. Ringkasnya ia adalah jambatan bagi deklamasi dan lakon. A.Samad Said (Lazri Meon) Deklamasi Lakon atau lebih dikenali sebagai Dekon berasal dari dua perkataan iaitu deklamasi dan lakon. `Deklamasi ‘ membawa maksud recitation iaitu seni pengucapan (oratory). Mengikut Kamus Dewan, deklamasi ertinya pembacaan sajak dan sebagainya dengan lagu dan gaya; menyampaikan sajak untuk didengari (bukan ditontoni). Deklamasi juga boleh membawa makna bermadah, bercerita, berkisah, berkata-kata dan berceloteh. Lakonan pula membawa makna perihal memainkan sesuatu peranan atau watak. Kaitannya dengan Dekon ialah kemingkinan kita boleh mempertimbangkan saranan seperti: “penceritaan yang dilakon”; “ucapan atau madah yang disam[paikan dengan aksi dan emosi”; “berkata-kata dengan penuh perasaan dan dilakonkan”. Dekon telah diilhamkan oleh Sasterawan Negara Dato A. Samad Said ketika beliau berusaha untuk menjelaskan novel karangannya Daerah Zeni melalui sudut pandangan watak utamanya Lazri Meon. Kemunculan idea untuk membuat `dekon’ ini ialah ketika A. Samad Said diminta untuk memberi ceramah kepada pelajar-pelajar sekolah menengah mengenai karya novel terbarunya Daerah Zeni. Beliau seringkali memikirkan cara untuk khalayak menikmati karya-karya ciptaannya. A. Samad Said cuba mendeklamasikan kata-kata atau rintihan Lazri Meon sambil melakonkan atau menggayakan di mana yang sesuai untuk menyampaikan kisahnya. Beliau telah menggunakan ruang pentas yang tersedia ada dan cuba membawa watak Lazri Meon sebagai seorang tukang cerita. Menurut A. Samad Said (Lazri Meon, 1992: vii); “… jalan terbaiknya ialah dengan saya membantu mereka menghayati novel ini secara lebih akrab lagi melalui dekon… dengan dekon, saya sendiri dapat menyampaikan semangat dan intisari kehidupan Daerah Zeni melalui deklamasi dan lakon – cara saya”. Menurut A. Samad Said lagi, dekon membolehkan bukan sahaja pelakon teater, malah sesiapa sahaja, untuk berlakon di atas pentas; “Saya bukan aktor, sekadar deklamator. Tapi dekon memungkinkan saya bergerak di atas pentas sebagai deklamator, juga sebagai aktor.” (Lazri Meon, 1992: vii). Oleh itu dapat dibuat kesimpulan bahawa untuk mementaskan dekon tidak memerlukan seseorang itu mempunyai tahap keilmuan lakon yang tinggi, cukup sekadar minat, kefahaman dan keinginan yang tinggi untuk mendeklamasikan apa yang dibacakannya. Menurut beliau lagi ketika ditemuramah pada tahun 2003 (persiapan Dekon MAKUM 2003), beliau percaya bahawa melalui dekon seorang deklamator itu mampu terasuh sebagai seorang pelakon teater yang baik kerana deklamasi merupakan satu kemahiran asasi untuk sesuatu dipentas. Mantan Dekan Sekolah Pengajian Seni Universiti Malaysia Sabah, Prof Madya Hj Inon Shaharuddin Abdul Rahman, yang juga salah seorang penggerak kepada kemunculan genre Dekon di UMS turut menyatakan bahawa dekon lahir atas keinginannya dalam mencari genre sastera yang dapat menjadi suatu mekanisme pengajaran dan latihan untuk meningkatkan kebolehan berteater dan ketrampilan berkomunikasi pelajar-pelajar supaya mereka dapat membina esteem dan keyakinan diri yang memuaskan.
Sejarah Penubuhan Dekon MAKUM Dekon telah dipersetujui untuk diangkat sebagai satu bentuk lakon baru di dalam mesyuarat Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Awam Malaysia (MAKUM) pada lewat tahun 2000 dan dipentaskan secara rasmi pada tahun Mac 2001 melalui penganjuran Festival Dekon MAKUM oleh Pusat (Sekolah) Pengajian Seni, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan disertai oleh enam (6) IPTA seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Dekon MAKUM telah berlangsung di UMS selama tiga (3) tahun berturut-turut (2001-2003) namun terhenti sementara pada tahun 2004 sehinggalah ia `dihidupkan semula’ pada tahun 2007 melalui inisiatif Dr Andika Aziz Hussin (penyelaras Dekon MAKUM UMS) dan kerjasama padu Sekolah Pengajian Seni UMS dengan penganjuran Seminar dan Bengkel Dekon MAKUM bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kehausan dan keinginan mementaskan dekon yang begitu memuncak di kalangan penggiat teater IPTA terbukti apabila pada 2009, Festival Dekon MAKUM kembali rancak di UMS dengan penyertaan dua belas (12) institusi pengajian tinggi awam dan pada 2010 dengan sebelas (11) penyertaan. Tahniah untuk semua rakan MAKUM yang sentiasa memberikan sokongan dan dorongan.
Dato A. Samad Said, orang yang bertanggungjawab mencetuskan idea dekon, tidak pernah dan tidak mahu menetapkan satu bentuk yang khusus bagaimana seharusnya Dekon itu dipersembahkan. Malah beliau lebih gemar untuk membebaskan kepada peminat Dekon untuk menafsirkan dan mencorakkan bentuk pementasannya. Akibatnya muncul perlbagai penafsiran terhadap pengertian dekon itu sendiri. Di peringkat awal kemunculan Dekon MAKUM pada tahun 2001 itu kelihatan pelbagai tafsiran dibuat terhadap Dekon dan wujud pelbagai variasi dalam corak pementasan Dekon tersebut. Ada yang menganggapnya sebagai sebuah persembahan yang menggabungkan elemen puisi dan drama kerana merujuk kepada konotasi `deklamasi’ itu sendiri yang tidak dapat dipisahkan dengan puisi, disamping kesan yang ditonjolkan melalui diri A. Samad Said sendiri yang sangat dikenali sebagai seorang pemuisi Negara. Mereka percaya bahawa bentuk pementasan Dekon perlu melibatkan pendeklamasian puisi secara lakonan (puisidra), mempunyai pengucapan dialog yang puitis, wujudnya elemen nyanyian, korus, gerak dan sebagainya. Semua pandangan ini tidak ada salahnya kerana corak atau acuan dekon itu sendiri masih belum wujud. Namun ketiadaan bentuk atau acuan Dekon bukanlah satu alasan untuk semua kekeliruan ini dibiarkan berterusan kerana ia boleh membantutkan gagasan mewujudkan seni dekon itu sendiri. Hakikatnya, dekon itu bukanlah persembahan yang menggabungkan puisi dan drama. A. Samad Said sendiri ada menjelaskan bahawa seorang deklamator dibenarkan untuk memegang teks puisi sebagai iringannya dan dia boleh membebaskan dirinya dari teks tersebut tatkala dia sudah menghafalnya. Ketika deklamator sudah boleh berlakon tanpa menghiraukan teksnya, saat itulah bermulanya dekon kerana pendeklamator sudah berdeklamasi dan berlakon sekaligus. Di sinilah peranan UMS selaku pengasas dan penggerak utama genre Dekon versi MAKUM di Malaysia dan melalui platform Majlis Kebudayaan Universiti Awam Malaysia (MAKUM), berusaha memperkenalkan dan memperkasakan seni baru kepada khalayak yang ada. Sekretariat Makum UMS yang bertanggungjawab menyelaras kewujudan Dekon MAKUM 2001 telah mengambil inisiatif berusaha menyusun dan mencari satu formula untuk membentuk acuan khusus agar corak pementasan Dekon MAKUM dapat diselaraskan dan menjadi satu bentuk yang diiktiraf di peringkat nasional. Susulan daripada itu, dengan kerjasama Sekolah Pengajian Seni dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS telah menganjurkan Seminar dan Bengkel Dekon MAKUM pada 17 Mac 2007 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang turut disertai oleh lapan (8) IPTA seluruh Malaysia dan berhasil mengumpulkan kertaskerja-kertaskerja pembentangan mengenai Dekon daripada tokoh-tokoh teater di Malaysia. Usaha juga dilakukan dengan mengumpul artikel terbitan lalu dan turut menghubungi semula semua tokoh-tokoh yang pernah terlibat di dalam Dekon MAKUM 2001-2003 dan para aktivis seni teater Malaysia lain untuk mendapatkan nukilan pandangan masing-masing terhadap seni Dekon. Semua kertaskerja dan artikel dikumpulkan dan dikemaskini yang akhirnya terhasillah sebuah manual khusus untuk pementasan Dekon iaitu Deklamasi Lakon (Dekon) Majlis Kebudayaan Universiti Awam Malaysia (MAKUM); Diskusi Mencari Arah & Wajah Dekon. Manual dekon ini memuatkan temuramah yang telah dibuat bersama Dato A. Samad Said untuk melihat dan mengenalpasti gagasan Dekon yang beliau maksudkan itu. Idea dan saranan beliau yang dimuatkan di dalam manual ini lebih terfokus kepada Dekon versi MAKUM dan bukannya Dekon seperti yang digagaskan beliau sebelum ini. Walau bagaimanapun, penghasilan manual ini bukanlah sebagai titik noktah kepada pengkajian genre dekon di masa akan datang. Manual ini bolehlah dianggap sebagai titik permulaan untuk pengkajian seterusnya yang lebih mendalam khususnya kepada mereka yang berminat untuk mendalami seni dekon ini di masa akan datang. Apa pun, dengan terhasilnya manual ini sedikit sebanyak dapat membantu meleraikan kekusutan terhadap penafsiran seni dekon yang unik ini. Apa itu Dekon MAKUM?
Pengertian sebenar DEKON mengikut acuan MAKUM dapatlah dimaksudkan sebagai seorang pelakon yang mendeklamasikan atau melakonkan satu watak atau membawa watak-watak yang lain yang ada di dalam skrip. Pelakon dalam DEKON dipanggil sebagai Dekonis. Seorang dekonis yang berjaya ialah yang mampu membawa dan mempamerkan perbezaan watak-watak yang dilakonkan dalam masa yang singkat dengan bantuan prop, hiasan busana yang dipakai serta penataan cahaya yang tertentu. Inilah keistimewaan DEKON. Contohnya dekonis memerankan watak seorang lelaki muda dan kemudian bertukar menjadi watak seorang perempuan tua yang benar-benar tua dengan hanya mengubahsuai atau menokoktambah busana yang dipakai tanpa perlu keluar dari pentas sebaliknya melalui perubahan lampu dan permainan tubuh semata. Di dalam dekon MAKUM, jumlah pemain untuk dekon telah ditetapkan tidak kurang daripada satu dan tidak melebihi lima orang sahaja. Bercerita secara sendirian akan peristiwa yang telah terjadi atau kejadian yang bakal terjadi akan lebih berkesan dan jelas garapannya sekiranya kejadian tersebut digambarkan atau divisualkan. Sehubungan dengan itu, kewujudan beberapa watak-watak lain selain daripada si pencerita kelihatannya lebih memberikan kesan dramatik. Aksi bermonolog berkembang menjadi adegan berdialog oleh beberapa watak dan terdapat pula peritiwa yang terjadi secara serentak. Dekon berbeza dengan bentuk lakon monodrama, lakon monolog dan juga lakonan teater biasa.Timbul persoalan. Apa bezanya lakon DEKON dengan lakon MonoDrama atau monolog? Lakon MonoDrama menurut Nikolai Evreinov, seorang dramatis simbolis (1879–1953) di dalam bukunya The Theatre in Life (1927); “… a drama acted or designed to be acted by a single person. The term may also refer to a dramatic representation of what passes in an individual mind, as well as to a musical drama for a solo performer. Everything one witnesses on stage is portrayed from the mental state of the given protagonist.” (mks 42). Menurut Zainal Latif di dalam Manual Deklamasi Lakon; Diskusi Mencari Arah & Wajah Dekon menjelaskan bahawa monodrama dilakonkan oleh seorang pelakon sahaja. Dekon boleh dilakonkan oleh satu, dua atau tiga orang pelakon dan pelakon-pelakon ini boleh berinteraksi secara bersemuka tetapi tidak berada di alam yang sama iaitu alam dekonis dan alam watak kedua atau ketiga yang dipisahkan oleh ruang masa dan waktu. Manakala monolog atau soliloki merupakan pengucapan kata-kata yang panjang dalam sebuah persembahan. Monolog disampaikan oleh seorang pelakon dalam watak yang pada dasarnya mengucapkan pemikiran,bergerak serta melahirkan ekspresi berdasarkan sesuatu situasi.adakalanya watak yang ditampilkan itu seakan-akan berdialog dengan penonton tanpa menonton memberikan sebarang reaksi kepadanya. Dalam monolog hanya seorang pelakon akan berlakon dari awal sehingga akhir cerita. Pelakon itu juga akan berlakon untuk memaparkan watak-watak lain sekiranya teks memerlukan ia untuk berbuat demikian. Robert Cohen melalui bukunya Theatre: Brief Version menjelaskan bahawa; “A monologue delivered by a single actor …sometimes played as a character “thinking aloud” and sometimes as a seeming dialogue with the (silent) audience”. (mks 283).
Ciri lain yang penting yang mesti ada dalam sebuah persembahan dalam Dekon ialah kehadiran watak pencerita (narrator) yang dilakukan oleh dekonis utama. Dalam lakon dekon MAKUM seorang dekonis juga berperanan sebagai seorang penyampai cerita atau narator, yang akan menceritakan dan `menghidupkan’ kisah watak-watak lain dengan dibantu oleh dekonis-dekonis pembantu. Ia bermula dengan penampilan diri dekonis selaku dirinya sendiri sebagai penyampai cerita; cerita yang disampaikan itu pula boleh dalam perlbagai bentuk samada nyanyian, puisi, gerak tari dan sebagainya. Dari situ, dekonis akan memperkenalkan watak-watak lain di dalam cerita tersebut, yang akan diperankan oleh samada dirinya sendiri atau dengan dibantu oleh dekonis-dekonis lain. Ketika menjadi narator, dekonis utama tidak perlu merubah diri menjadi watak lain, malah ia boleh terus kekal sebagai dirinya yang sebenar yang sedang menyampaikan sebuah cerita.dan ia hanya perlu berubah kepada watak lain apabila dirasakan perlu untuk menjelaskan keadaan tersebut atau menjelaskan lagi diri watak yang sedang dibicarakan itu. Kaedah ketika ini hampir berupa sebuah penyampaian cerita sahaja. Penyampaian itu disampaikan melalui sudut pandangan orang ketiga. Teknik ini hampir menyamai dengan teknik alienation yang diperkenalkan oleh Bertolt Brecht, iaitu kesedaran di kalangan pelakon dan penonton bahawa apa yang disaksikan itu hanya sebuah lakonan semula untuk menyampaikan sesuatu. Namun begitu, dalam teknik alienation, tumpuan utama adalah kepada mesej yang hendak disampaikan bukannya lakonan. Menurut Brecht lagi, jikalau penonton terlibat secara emosi (empathy) dalam sesebuah lakonan tersebut, maka aspek intelektual akan menjadi kurang menonjol dan mesej yang ingin disampaikan menjadi kurang berkesan. Ini yang membezakan antara Dekon dengan teknik alienation. Dalam Dekon, mesej dan lakonan itu memainkan peranan yang sama penting dan ia tidak terpisah. Mesej dapat disampaikan dengan baik melalui penghayatan lakon yang mantap. Fokus utama Dekon adalah kepada penyampai cerita (dekonis utama). Tugasnya adalah untuk menyampaikan cerita kepada penonton atau menjelaskan situasi kepada penonton. Perjalan cerita dalam dekon ini bermula dan berakhir dengan penyampai cerita. Proses penyampaian cerita itu boleh dalam pelbagai bentuk pengucapan seperti monolog, ucap dekonis (dialog), soliloki, serta terdapatnya elemen-elemen penanda seperti yang terdapat pada persembahan tradisional Melayu seperti bangsawan, syair, puisi, gurindam, nazam, tok dalang, tok selampit, makyung dan lain-lain. Kelihatannya apabila terdapat unsur-unsur yang berirama dimasukkan sebagai pelengkap di dalam persembahan dekon ia akan kelihatan cukup menghiburkan. Sehubungan dengan itu elemen penanda ini diwajibkan dalam Dekon bagi memperjelaskan sesuatu situasi dan sekaligus dapat mengelakkan corak penyampaian yang monotonous (bercerita). Dekonis utama dituntut untuk mempunyai skil lakonan yang tinggi untuk memainkan watak-watak yang berlainan. Ini kerana dekonis bukan sahaja berperanan sebagai pelakon malah ia juga seharusnya mampu untuk menari, bermain alat muzik atau sekurang-kurangnya berpengetahuan dalam seni irama/muzik, berpuisi dan pelbagai lagi bentuk seni persembahan bagi menguatkan sesebuah skrip yang harus diterjemahkan di atas pentas dalam masa yang singkat dan berguna. Dekonis dituntut untuk menjadi highly talented bagi memenuhi kehendak menjadi dekonis yang berkesan. Dekonis juga perlu berpengetahuan dalam seni lakon tradisional Melayu seperti pendalangan, tok selampit dan pencerita.
Berbanding dengan teater , dekon memiliki ciri-ciri yang lebih sederhana sifatnya. Inilah salah satu sifat yang perlu ada pada dekon iaitu kesederhanaannya. Lakonan tidak perlu disertakan dengan aksi yang berlebihan. Tidak perlu ada pergerakan aksi yang terlalu besar, konflik fizikal, aksi dan reaksi fizikal yang melampau. Pelakon dekon boleh memanfaatkan ruang yang luas, tetapi tidak semestinya dalam pergerakan yang berlebihan dan pantas seperti dalam teater biasa. Penggunaan elemen-elemen bantu lain seperti set, solekan dan busana sangat minimal serta hendaklah bersifat multi-functional. Ia hampir kepada pendekatan total act yang diperkenalkan oleh Jerzy Grotowski; memperlihatkan keindahan lakonan itu lebih daripada unsur-unsur kekaguman lain yang membanjiri seni pementasan teater biasa. Dalam dekon, set kurang memainkan peranan sebagai latar sebaliknya digantikan dengan peranan pencahayaan serta visual untuk menggambarkan ruang dan masa. Busana pelakon juga ringkas, tertumpu kepada satu busana lengkap untuk menggambarkan diri dekonis, serta ditambah sana-sini apabila melakonkan watak-watak lain selain dirinya. Penokoktambahan busana dilakukan sendiri oleh dekonis utama secara terang dan disaksikan oleh penonton. Namun begitu bukan bermakna kita perlu mengabaikan langsung aspek teknikal ini. Aspek teknikal/artistik memainkan peranan penting dalam menghasilkan persembahan DEKON. Ada yang berpendapat bahawa DEKON itu lebih dekat kepada Poor Theatre kerana set latar dan kostum yang sederhana, dan mementingkan gerak tubuh dan diri pelakon itu sendiri. Namun ia bukan sama seperti Poor Theatre anjuran Jerzy Grotowski dan bukan juga Rich Theatre seperti yang dimaksudkan oleh Anton Chekov. Malah ia juga bukan seperti persembahan West End dan Broadway, jauh sekali untuk disamakan dengan persembahan puisi dan drama (puisidra). Poor Theater oleh Grotowski memperlihatkan penolakan penggunaan elemen artistik seperti teknikal sebaliknya lebih menumpukan kepada tubuh pelakonnya; melalui gerak pelakon mengubah lantai menjadi laut, meja menjadi sebuah kerusi, sepotong besi menjadi teman atau lawan bermain. Muzik digambarkan melalui suara-suara dan objek yang beradu. DEKON tidak ke arah Poor Theatre. Mengapa kita mesti kembali ke `zaman batu’ untuk membuat persembahan DEKON? Apakah kita mesti membuang elemen teknikal (kemudahan sedia ada) yang menjadi alat bantu dalam persembahan? Dekon MAKUM sama sekali tidak seperti itu. Dekon MAKUM tidak menolak ciri-ciri artistik pentas malah menggalakkan penerapan elemen artistik seperti penggunaan kesan bunyi dan cahaya. Persembahan DEKON mesti diwarnai dengan kekuatan teknikal yang baik. Penggunaan bunyi/muzik dan penataan cahaya yang pelbagai dan mempunyai kekuatan artistik perlu diambilkira dalam membuat dekon. Bunyi yang pelbagai mampu menarik membantu mengangkat mood dan persembahan itu sendiri. Penggunaan peralatan multimedia juga sangat digalakkan sebab ia boleh membantu menambahkan kesan dan membina perwatakan dan plot cerita. Penyampaian suara hati seseorang atau watak tidak cukup dengan sekadar lontaran kata-kata sahaja malah ia akan lebih menimbulkan suasana sekiranya bantuan teknik bunyi dari alat muzik digunakan. Penggunaan peralatan muzik dihadkan kepada peralatan muzik/bunyi yang boleh dibawa atau dipikul oleh dekonis sendiri. Permainan alat muzik secara langsung adalah digalakkan sebagai penyokong cerita dan pembinaan mood.
Pencahayaan juga membantu dalam membina mood dan suasana. Perkara yang disampaikan kepada penonton dalam sesebuah teater bukan hanya terletak kepada ceritanya sahaja, tetapi lebih kepada makna yang terlahir melalui imej yang disebut sebagai the flaneur. Ia bermaksud `keterasingan’ atau `keseorangan’ seseorang dalam masyarakat yang besar seperti di kota raya. Pencahayaan berperanan untuk menzahirkan subteks the flaneur. Namun penggunaan elemen teknikal/artistik ini hendaknya tidaklah keterlaluan sehingga menenggelamkan ciri utama DEKON itu sendiri; kekuatan lakon dekonis. Umpama mencampurkan gula ke dalam kopi, jangan terlalu banyak sehingga kopi tersebut menjadi terlalu manis sehingga menjejaskan rasa kopinya atau kurang gula hingga menyebabkan kopi tersebut menjadi tawar. Walaupun begitu, terdapat satu ciri persamaan yang dikongsikan bersama antara DEKON MAKUM dengan Poor Theatre iaitu ketidakperluan penggunaan set latar yang besar dan busana yang pelbagai bentuk dan warna. Seperti yang diperjelaskan sebelum ini, cukup sekadar set dan kostum yang bersifat multi-use atau multi-purpose. Manakala dari sudut bahasa pula, hendaklah menggunakan bahasa serta sebutan yang puitis dan enak didengar. Dekon adalah gabungan dua bidang seni iaitu `deklamasi’ dengan `lakonan’. Deklamasi berasal dari perkataan inggeris declamation iaitu pengucapan secara bersuara sesebuah karya bertulis oleh seseorang yang memahami dan menghayati karya itu.penyampaian ucapan tersebut perlu disampaikan secara lantang dan memikat, dengan menggunakan bahasa yang retorik. Malah kata dasarnya declaim bermaksud bercakap secara dramatik seolah-olah berlakon dalam teater. Oleh yang demikian jika sesebuah persembahan yang dianggap sebagai dekon tidak menampakkan deklamasinya, atau tidak menampakkan pengucapannya yang puitis, melainkan hanya dialog biasa yang diucapkan secara retorik atau melodramatik, maka persembahan itu belum layak untuk disebut sebagai dekon. Contohnya di dalam drama Lantai T. Pinkie atau Wira Bukit. Terdapat ungkapan yang puitis dalam karya tersebut, khususnya yang berbentuk soliloki seperti yang diucapkan oleh Mohrie atau Nyai Sunarti dalam Lantai T. Pinkie. Yang nyata, pengucapan dalam dekon memperlihatkan lafaz dan pertuturan yang jelas, kuat, bertenaga, penuh dengan metafora, bercitra dan berimejan dan akhirnya dapat menimbulkan suasana dan kesan yang cukup memuaskan. Dekon mesti menggunakan bahasa yang sedap serta sebutan seolah-olah berpuisi tetapi menceritakan dan ada ceritanya yang tersendiri. Pengalaman atau cerita yang sebenar juga boleh ditulis menjadi dekon. Plot penting dalam mana-mana genre teater lain sebagai panduan kepada penyampai cerita. Plot cerita dalam DEKON tidak semestinya linear; didahului dengan permulaan cerita, pertengahan, klimak dan diakhiri dengan peleraian. Apa yang penting adalah sesuatu situasi itu disampaikan dengan jelas, walaupun ia tidak mengikut urutan kronologi yang lazim. Timbul persoalan bolehkan dekon menyelitkan unsur humor atau komedi? Jawapannya boleh. Namun humornya itu hendaklah bukan slapstick atau farce. Humor yang mencuit jika disampaikan dengan bijak, akan tercetus daripada dekon walau serius mana pun dekon tersebut. Dalam konteks ini, dekon lebih berbau tragedi dan bukan komedi. Namun tidak mustahil juga ia boleh berbentuk tragik-komedi atau komeo-tragik. Untuk menguasai kepelbagaian teknik ini sudah semestinya seseorang dekonis itu harus melalui latihan secara penuh yang melibatkan minda, tubuh dan kejiwaan yang mendalam. Seorang dekonis hendaklah setabah pelakon bangsawan, sepetah tukang karut dan tok selampit, sebijak tok dalang dan selincah pesilat kerana di dalam tubuh dekonis ini terselit pelbagai seni Melayu yang cukup kaya. Dekon merupakan satu genre baru yang mengangkat keindahan lakonan lama dan baru yang kedua-duanya digabungjalinkan menjadi sebuah bentuk lakonan yang dihybridkan (Tasia Arlina, Manual Deklamasi Lakon: Diskusi Mencari Arah dan Wajah Dekon). Sesungguhnya bukan mudah untuk seseorang dekonis itu menggabungkan keseluruhan teknik lakonan sedia ada, melompat dari satu teknik ke satu teknik yang berbeza, menyatukan sesebuah teknik yang terpisah, namun itulah keajaiban di dalam dekon dan ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai. Sesuatu yang indah itu memerlukan perahan keringat sebelum mendapatkan hasilnya, usaha harus digandakan bak kata orang, hendak seribu daya, tak mahu seribu dalih. Andika Aziz Hussin Pensyarah Kanan Teater UMS Penggerak dan Penasihat Dekon MAKUM

Comments

Popular Posts