Skrip dan Kaedah Pementasan Dekon MAKUM

Skrip atau naskah Dekon MAKUM dihasilkan khusus untuk dipentaskan dan bukan sekadar sebagai bahan bacaan sahaja. Naskah Dekon MAKUM masih mengekalkan elemen asas yang perlu untuk membolehkannya menjadi sebuah pementasan namun ia mempunyai sedikit perbezaan berbanding dengan naskah teater. Terdapat perkara-perkara yang penting yang perlu wujud di dalam sebuah naskah Dekon MAKUM termasuklah; penggunaan bahasa pengucapan yang puitis dan tinggi nilai estetikanya, kewujudan watak utama yang juga merupakan watak pencerita (narator) di samping watak-watak lain, pengkisahan bermula dengan watak utama yang bercerita dan kemudian kisah itu berkembang melaluinya sehingga mewujudkan watak-watak lainnya. Ia bermula dengan penampilan diri dekonis selaku dirinya sendiri sebagai penyampai cerita; cerita yang disampaikan itu pula boleh dalam perlbagai bentuk samada nyanyian, puisi, gerak tari dan sebagainya. Harus diingat bahawa ketika dekonis utama bercerita, masa, suasana, persekitaran perlu sama dengan masa,suasana dan persekitaran yang dirasai oleh penonton. Dengan kata lain, narrator berkongsi suasana, masa dan persekitaran yang sama dengan penonton. Teknik ini hampir menyamai dengan teknik alienation yang diperkenalkan oleh Bertolt Brecht, iaitu kesedaran di kalangan pelakon dan penonton bahawa apa yang disaksikan itu hanya sebuah lakonan semula untuk menyampaikan sesuatu. Dari satu sudut, Dekon dan pendekatan oleh Brecht berkongsi keinginan yang sama iaitu “to force them to look at everything in a fresh light, and above all, to think”. Namun begitu, dalam teknik alienation, tumpuan utama adalah kepada mesej yang hendak disampaikan bukannya lakonan. Menurut Brecht lagi, jikalau penonton terlibat secara emosi (empathy) dalam sesebuah lakonan tersebut, maka aspek intelektual akan menjadi kurang menonjol dan mesej yang ingin disampaikan menjadi kurang berkesan. Ini yang membezakan antara Dekon dengan teknik alienation. Dalam Dekon, mesej dan lakonan itu memainkan peranan yang sama penting dan ia tidak terpisah. Mesej dapat disampaikan dengan baik melalui penghayatan lakon yang mantap. Perjalanan cerita dalam Pementasan Dekon MAKUM ini bermula dan berakhir dengan penyampai cerita. Proses penyampaian cerita itu boleh dalam pelbagai bentuk pengucapan seperti monolog, ucap dekonis (dialog), soliloki, serta terdapatnya elemen-elemen penanda seperti yang terdapat pada persembahan tradisional Melayu seperti bangsawan, syair, puisi, gurindam, nazam, tok dalang, tok selampit, makyung dan lain-lain. Kelihatannya apabila terdapat unsur-unsur yang berirama ini dimasukkan sebagai pelengkap di dalam persembahan Dekon, ia akan kelihatan cukup menghiburkan. Sehubungan dengan itu elemen penanda ini diwajibkan dalam Dekon bagi memperjelaskan sesuatu situasi dan sekaligus dapat mengelakkan corak penyampaian yang monotonous (bercerita). Dekon berbeza dengan bentuk lakon monodrama, lakon monolog dan juga lakonan teater biasa.Timbul persoalan. Apa bezanya lakon DEKON dengan lakon MonoDrama atau monolog? Lakon MonoDrama menurut Nikolai Evreinov, seorang dramatis simbolis (1879–1953) di dalam bukunya The Theatre in Life (1927); “… a drama acted or designed to be acted by a single person. The term may also refer to a dramatic representation of what passes in an individual mind, as well as to a musical drama for a solo performer. Everything one witnesses on stage is portrayed from the mental state of the given protagonist.” (mks 42). Menurut Zainal Latif di dalam Manual Deklamasi Lakon; Diskusi Mencari Arah & Wajah Dekon menjelaskan bahawa monodrama dilakonkan oleh seorang pelakon sahaja. Dekon boleh dilakonkan oleh satu, dua atau tiga orang pelakon dan pelakon-pelakon ini boleh berinteraksi secara bersemuka tetapi tidak berada di alam yang sama iaitu alam dekonis dan alam watak kedua atau ketiga yang dipisahkan oleh ruang masa dan waktu. Manakala monolog atau soliloki merupakan pengucapan kata-kata yang panjang dalam sebuah persembahan. Monolog disampaikan oleh seorang pelakon dalam watak yang pada dasarnya mengucapkan pemikiran, bergerak serta melahirkan ekspresi berdasarkan sesuatu situasi.adakalanya watak yang ditampilkan itu seakan-akan berdialog dengan penonton tanpa menonton memberikan sebarang reaksi kepadanya. Dalam monolog hanya seorang pelakon akan berlakon dari awal sehingga akhir cerita. Pelakon itu juga akan berlakon untuk memaparkan watak-watak lain sekiranya teks memerlukan ia untuk berbuat demikian. Robert Cohen melalui bukunya Theatre: Brief Version menjelaskan bahawa; “A monologue delivered by a single actor …sometimes played as a character “thinking aloud” and sometimes as a seeming dialogue with the (silent) audience”. (mks 283). Manakala dari sudut bahasa pula, hendaklah menggunakan bahasa serta sebutan yang puitis dan enak didengar. Dekon adalah gabungan dua bidang seni iaitu `deklamasi’ dengan `lakonan’. Deklamasi berasal dari perkataan inggeris declamation iaitu pengucapan secara bersuara sesebuah karya bertulis oleh seseorang yang memahami dan menghayati karya itu.penyampaian ucapan tersebut perlu disampaikan secara lantang dan memikat, dengan menggunakan bahasa yang retorik. Malah kata dasarnya declaim bermaksud bercakap secara dramatik seolah-olah berlakon dalam teater. Oleh yang demikian jika sesebuah persembahan yang dianggap sebagai dekon tidak menampakkan deklamasinya, atau tidak menampakkan pengucapannya yang puitis, melainkan hanya dialog biasa yang diucapkan secara retorik atau melodramatik, maka persembahan itu belum layak untuk disebut sebagai Dekon. Contohnya di dalam drama Lantai T. Pinkie atau Wira Bukit. Terdapat ungkapan yang puitis dalam karya tersebut, khususnya yang berbentuk soliloki seperti yang diucapkan oleh Mohrie atau Nyai Sunarti dalam Lantai T. Pinkie. Yang nyata, pengucapan dalam dekon memperlihatkan lafaz dan pertuturan yang jelas, kuat, bertenaga, penuh dengan metafora, bercitra dan berimejan dan akhirnya dapat menimbulkan suasana dan kesan yang cukup memuaskan. Dekon hendaklah menggunakan bahasa yang sedap serta sebutan yang puitis. Namun ada ketikanya yang sesuai, penggunaan dialog seharian juga dibenarkan namun ia hendaklah tidak mendominasi keseluruhan penceritaan yang disampaikan. Penggunaan dialog harian ini hanya dibenarkan apabila alam penceritaan yang diwujudkan oleh dekonis utama itu terjelma di atas pentas. Sebagai contohnya di dalam naskah Chainarong (USM:2011); BEN MUSTAZA : Chainarong bersetuju menjadikan aku sebagai pengurusnya. Bertitik tolak dari situ aku mendaftarkan Chainarong sebagai peninju professional pada usianya 19 tahun dan pertama kali menyertai pertandingan Muay Thai Wilayah Utara. Chainarong memang istimewa dan berbakat dan berjaya menjuarai kejohanan itu. Keesokan malamnya aku dan Chainarong menyambut kemenangan pertamanya di Shamila Lounge, di Hotel Shamila Alor Setar bersama-sama rakan-rakan Chainarong, Charayuk, Leman dan Pok Sai . Malam semakin renta bergumpal sejuk udara basah pendingin hawa. Di luar lesau rintik hujan tertimpa di rerumputan. Chainarong tidak banyak bercakap walaupun sebenarnya dia cukup gembira dengan kemenangan pertama itu. Malam itu juga tiba-tiba secara kebetulan kami didatangi A-Wut rakan sekampung Chainarong, yang sama-sama berguru di Narathiwat, Yala dan Pattani. A-Wut terus merapati Chainarong sambil mengarahkan jari telunjuk tepat pada muka Chainarong. Kata-kata A-Wut pada Chainarong malam itu masih melekat pada sumsum jiwa aku. "Hidup kena mencari, berjumpa kena hargai, sayangi, jangan dihilangi...Kita tengok nanti…" Chainarong bangun dengan keadaan agak marah. Bersepai meja minuman kami. Aku, Charayuk, Leman dan Pok Sai memegang Chainarong sebelum apa-apa terjadi. A-Wut hanya tersenyum dan sebelum keluar bersama-sama 4 orang rakannya A-Wut berkata lagi… “Chainarong, kita jumpa nanti, di gelanggang…gelanggang yang lebih besar …” Rupanya Chainarong menyimpan kisah hitamnya bersama A-Wut yang dulu menjadi teman baik dan rakan seperguruannya. Chainarong menceritakan segala-galanya pada aku malam itu. (Spot pada Ben Mustaza dipadamkan) (Spot pada A-Wut di penjuru kiri dan Chainarong di kanan) A-WUT : Pungguk yang terlalu ghairah mencari indah cahaya bulan, kadang-kadang tak semua kesampaian… CHAINARONG : Kalaupun mahu duduk, jangan ditindih rimbun senduduk, jika melangkah, jangan dipijak busut yang rekah, sesekali larilah diri dari menjadi haiwan berbulu duri...Ingat pesan guru arwah Haji Pak Den Kerang… “Chainarong, A-Wut…jangan biarkan sehelai rambut sahabat gugur ditebas tetak tumbuk musuh. Seperguruan adalah sumpah untuk sehaluan…” A-WUT : Jangan telalu bercerita dan percaya dengan keasyikan kecil yang berbisik, nanti ada wajah resah membungkus menjadi gundah. Nadinya akan pedih, senyumnya lirih, pekat rawanya mendidih. Jangan menjadi gerbang yang patah, rebah di malam yang kalah... CHAINARONG : Kalau pun sendiri-sendiri melecur dengan igau-igauan, tersiksa melihat rencana di puncak cemara, terbakar hati melihat pancang terpacak di angkasa, belajarlah supaya lebih bersabar. Tak perlu bersembunyi di sebalik gerimis yang panas . Ingat pesan guru Hj. Thirawan Piayapon di Yala dulu… “Chainarong, A-Wut… Selagi belum fana dunia, tumbukan belum berbisa, genggam tusuk dan berkatalah, aku zat kau sifat, binasa sifat kerana zat…” Ingat pesan guru Hj. Prasak Suchasit di Bak Nang Narathiwat… “Bertinju adalah bersatu antara tubuh dan jasad, jangan ada dengki dan hasad…” Berterus teranglah sahabat ! A-WUT : Ya Chainarong ! Aku ingin sangat berterus terang dan dengar Chainarong…Dengar…sahabatku Chainarong …Aku cintakan Nawari ! CHAINARONG : Kau … A-WUT : Mana bisa si camar buta melihat jingga warna senja, kau sendiri sahabat, menjadi semakin tidak mengerti dan tidak peduli. CHAINARONG : Sumpah aku tak tahu A-Wut… A-WUT : Tak tahu atau sengaja tidak ambil tahu ? CHAINARONG : Aku sangka… A-WUT : Sudah Chainarong ! Kita sama-sama jantan. Aku jumpa kau di gelanggang petang esok. CHAINARONG : Lebai Saleh ke Yala esok, lusa baru balik, tak ada latihan katanya. A-WUT : Ini bukan soal latihan tapi Nawari. Kita bertaruh di gelanggang. Aku kalah, Nawari milik kau, kau kalah Nawari milik aku, itu sahaja, kita jumpa petang esok di gelanggang. CHAINARONG : Tapi A-Wut… A-WUT : Kita jumpa petang esok di gelanggang ! (Kedua-dua spot dipadamkan) Pengalaman atau cerita yang sebenar juga boleh ditulis menjadi Dekon. Plot penting dalam mana-mana genre teater lain sebagai panduan kepada penyampai cerita. Plot cerita dalam Dekon tidak semestinya linear; didahului dengan permulaan cerita, pertengahan, klimak dan diakhiri dengan peleraian. Apa yang penting adalah sesuatu situasi itu disampaikan dengan jelas, walaupun ia tidak mengikut urutan kronologi yang lazim. Timbul persoalan bolehkah Dekon menyelitkan unsur humor atau komedi? Jawapannya boleh. Namun humornya itu hendaklah bukan slapstick atau farce. Humor yang mencuit jika disampaikan dengan bijak, akan tercetus daripada dekon walau serius mana pun dekon tersebut. Dalam konteks ini, dekon lebih berbau tragedi dan bukan komedi. Tidak mustahil juga ia boleh berbentuk tragik-komedi atau komeo-tragik.

Comments

Popular Posts