WELCOME TO HELL!!!

WELCOME TO HELL!!!
"Selamat Datang Ke Dunia Penuh Pancaroba"

Terima kasih kepada ahli Grup Teater Lab yang tidak mengenal penat dan lelah, telah berusaha mengangkat satu genre baru dalam sejarah perkembangan teater di Malaysia iaitu Dekon. Biarpun ada di kalangan orang seni yang memandang remeh akan Dekon MAKUM ini, namun usia penganjuran Dekon MAKUM sudah mencecah 11 tahun!

Pada saya, UMS telah mengorak selangkah dengan membuat pilihan yang bijak dengan menganjurkan sebuah festival berprestij yang disertai oleh sejumlah besar IPTA seluruh Malaysia. Tahniah kepada Mantan Dekan SENI Prof Madya Hj INon Shaharuddin Abd Rahman (kini Dekan Sains Sosial) kerana beliau menyokong penuh usaha mengangkat genre ini.

UMS telah mendapat tempat KETIGA dalam penganjuran sulung itu, Johan (UKM) dan Naib Johan (UNIMAS). Suria dari UMS mendapat Dekonis Terbaik. Penganjuran Dekon MAKUM 2001 banyak meninggalkan kenangan manis kepada G-TEL kerana inilah projek Mega anjuran G-tel yang bertahan untuk tempoh 11 tahun. BELUM PERNAH ADA MANA-MANA GRUP TEATER YANG BERJAYA MENCIPTA SEJARAH INI.

signed Daddy Long-Legged author





signed Daddy Long-Legged author
oleh
Dr. ZAINAL ABD. LATIFF



Pengenalan

Bagaimana Saya Mengenali Dekon

Pada bulan Ogos 2008, penulis diminta oleh Sekolah Pengajian Seni (SPS) Universiti Malaysia Sabah (UMS), untuk mengendalikan kursus Pengarahan 1. Untuk kursus ini, tugasan akhirnya ialah pelajar-pelajar diwajibkan mementaskan sebuah Dekon, hasil karya sendiri. Pada hemat penulis, tugasan ini sangat mencabar kepada pelajar-pelajar begitu juga penulis, yang baru sahaja mengenali Dekon. Ianya mencabar oleh kerana beberapa faktor: pertama bentuk Dekon itu masih kabur dan belum mantap lagi, kedua, pelajar-pelajar tersebut tidak pernah mengambil sebarang kursus penulisan skrip, jadi untuk mereka menghasilkan sebuah skrip Dekon menjadi tugas yang amat berat; dan Dekon merupakan teater seorang pelakon bukan teater seorang pengarah. Maksud penulis, Dekon memerlukan seorang pelakon pentas yang mantap, serba-boleh dan seni bermain yang tinggi. Bagaimanapun dengan kegigihan Dr. Andika membimbing pelajar-pelajar tahun Tiga menulis skrip Dekon, mereka akan cuba telah cuba sedaya upaya mengarahkannya sebagai tugasan akhir kursus. Daripada sesi ujian amali ataupun persembahan pengarahan yang ditunjukkan kepada penulis, ketara hamper kesemua pelakon yang terlibat, tidak terbawa watak yang mereka perankan. Akan saya terangkan dengan lebih lanjut lagi semasa penulis berbincang tentang aspek lakonan kelak.



Latarbelakang Munculnya Dekon

Bagi peminat Dekon, mereka termaklum tentang kaitan di antara Dekon dengan UMS, terutamanya SPS. Mengikut rekod yang ada, pertandingan Dekon yang pertama di antara IPT telah dikelolakan pada tahun 2001. Semenjak itu, UMS telah menjadi tuan rumah kepada Pesta Dekon MAKUM (Majlis Kebudayaan Universiti- Universiti Malaysia) pada setiap tahun hingga ke hari ini.

Apa Kata Mereka Yang Terlibat?

Mengikut A. Samad Said, Sasterawan Negara, beliau cuba memperkenalkan Dekon sebagai satu kaedah menerangkan tentang novelnya Daerah Zeni kepada pelajar-pelajar sekolah menengah yang mendapati sukar untuk memahami novel tersebut. Bersama saudara Aziz H.M. (arwah), beliau telah menjelajah ke sekolah-sekolah untuk memberi kupasan tentang novel yang sangat kompleks untuk difahami itu. Beliau telah menulis sebuah skrip (teks) untuk watak utama Daerah Zeni, Lazeri Meon. Dan melalui watak inilah cerita Daerah Zeni diperjelaskan. Inilah cerita mengenai bagaimana timbulnya Dekon.
Dekan SPS, PM Hj. Inon Shaharudin pula, dalam taklimatnya mewajarkan kenapa Dekon dipilih. Mengikut beliau, tujuan SPS ialah mencari suatu genre sastera yang dapat menjadi suatu mekanisme pengajaran dan latihan untuk meningkatkan kebolehan berteater dan ketrampilan berkomunikasi pelajar-pelajar, supaya mereka dapat membina esteem dan keyakinan diri yang memuaskan.

Mantan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Sabah, saudara Zaini Ozea, dalam makalah beliau yang bertajuk, “Dekon: Mencari Arah, Membentuk Wajah”, telah menulis bahawa yang membedakan Dekon dengan teater adalah ucapan deklamasinya. Beliau menambah lagi dengan mengatakan ciri unik Dekon ialah sifat kesederhanaannya.
Saudara Marzuki Ali, seorang tokoh penyajak dan teater, yang kini menjadi Karyawan Tamu di USM, pula menambah, untuk sesebuah pementasan itu dipanggil Dekon, pementasan tersebut harus ada pendeklamasian sajak.

Rumusannya

Daripada keterangan-keterangan di atas, dapatlah kita membuat beberapa pemerhatian, sebagai panduan untuk mencari bentuk Dekon yang sesuai kelak, mengikut acuan UMS:

1. Ianya tercetus daripada keperluan seorang sasterawan yang ingin menjelaskan novel karangannya sendiri. Skrip atau yang lebih tepat lagi teks Lazri Meon adalah mengenai seorang watak yang menceritakan tentang keadaannya dan keluarganya. Terdapat seorang sahaja pemain, dan lazimnya A. Samad Said yang akan membaca tulisan belau itu. Kita dapati gaya bahasanya sangat indah dan memikat. Daripada segi lakonan, kita masih boleh pertikaikan tentang mutu lakonan yang dipersembahkan, maksud saya gaya lakonan dalam teater realisme. Kita juga harus sedar bahawa A. Samad Said bukanlah seorang pelakon yang terlatih, tetapi seorang sasterawan. Kekuatan beliau adalah pada bahasa yang diuatarakan. Bagaimana ianya diutarakan, adalah suatu persoalan lain. Sebagai seorang penyajak, beliau lebih tertonjol daripada aspek deklamasi, daripada aspek lakonan. Dekan SPS juga telah mengatakan yang beliau mencari sebuah genre sastera dan mengisytiharkan Dekon sebagai “Realization of a Literary Genre”. Jadi kita dapati kemunculan Dekon bermula dari daerah kesusasteraan, bukan daerah pementasan ataupun teater.

2. A. Samad Said telah menggabungkan dua perkataan, iaitu deklamasi dan lakonan untuk melahirkan suatu perkataan baru, dinamakan Dekon. Dalam konteks ini, beliau telah cuba ‘mendeklamasikan’ kata-kata atau rintihan Lazeri Meon, sambil melakonkan atau menggayakan dimana yang sesuai untuk menyampaikan kisahnya. Beliau telah cuba gunakan ruang pentas yang tersedia ada, dan cuba membawa watak Lazeri Meon sebagai seorang tukang cerita.

3. Pada Samad, apa yang beliau telah laku dan hasilkan ialah sebuah lakonan. Namun bagi pekerja teater, lakonan adalah lebih rumit dan kompleks lagi serta memerlukan latihan dan persiapan yang terancang.

4. Kalau kita teliti perkataan deklamasi itu, ianya berasal daripada perkataan Inggeris ‘declamation’ yang membawa maksud ‘recitation’ ataupun ‘impassioned speech’. Ini bermakna suatu seni pengucapan (oratory). Mengikut Kamus Dewan, deklamasi ertinya pembacaan sajak dsb dengan lagu dan gaya; menyampaikan sajak untuk didengari. Saya tegaskan di sini, didengari bukan ditontoni. Deklamasi juga boleh membawa makna bermadah, bercerita, berkisah, berkata-kata, dan berceloteh. Kalau kita mahu pergi jauh lagi, mungkin membawa maksud unsur-unsur merintih, mengadu, menyungut, mengumpat, mengeluh, mengenangkan nasib dan sebagainya. Kesemuanya sarat atau bunting dengan perkataan. Mari kita lihat pula apa itu lakonan. Lakonan pula membawa makna perihal memainkan sesuatu peranan/watak (Kamus Dewan, Edisi Ketiga). Dalam konteks kita hendak mencari sesuatu definasi Dekon, mungkin kita boleh pertimbangkan beberapa saranan seperti: “penceritaan yang dilakonkan”; “ucapan atau madah yang disampaikan dengan aksi dan emosi”; “berkata-kata dengan penuh perasaan dan dilakonkan”. Lakonan boleh membawa erti bergaya, berlagak, memainkan peranan dan membawa watak.

5. Oleh kerana sesuatu deklamasi itu hendak dilakonkan, kita tidak dapat lari daripada mengaitkannya dengan unsur-unsur pementasan sesebuah teater. Seperti yang disarankan oleh Dekan SPS, bahawa faktor penyampaian Dekon menggunakan unsur-unsur teater termasuk penggunaan ruang, cahaya, faktor bakat lakonan, teori-teori lakonan, selain daripada faktor monolog dramatik dan teknik dramatik. Memang sudah menjadi lumrah alam, apabila sesuatu aktiviti itu hendak dipersembahkan atau dipentaskan untuk kenikmatan khalayak, ianya harus mengikuti prinsip-prinsip pementasan (teater) seperti menarik, menghibur, mengkagumkan dan mendidik. Jadi secara tidak langsung Dekon termasuk di bawah bidang pementasan teater.

6. Di peringkat ini, mungkin kita boleh cadangkan beberapa ciri istimewa yang boleh menjadi perimeter untuk sesebuah Dekon. Pada hemat saya, Dekon itu harus:

i. Mempunyai skrip atau teks yang berlainan daipada skrip drama biasa.
ii. Bahasa atau susunan kata yang digunakan adalah indah, beremosi dan retorik.
iii. Mempunyai seorang pencerita/narrator, mungkin watak utama, yang memperkenalkan watak-watak lain melalui penceritaannya.
iv. Kesederhanaan dalam kesemua aspek termasuk jumlah pelakon, masa pementasan, set, props, kostum, cahaya dan muzik.

Secara tidak langsung, kita dapati perbedaan yang ketara di antara Monodrama dan Dekon ialah, Monodrama dilakonkan oleh seorang pelakon sahaja. Dekon boleh dilakonkan oleh satu, dua atau tiga orang pelakon, pelakon-pelakon itu boleh berinteraksi secara bersemuka tetapi tidak berada di dalam alam yang sama; alam dekonis dan alam watak kedua atau ketiga dipisahkan oleh ruang masa dan waktu.

7. Daripada segi Pengarahan pula, prinsip-prinsip dan ketrampilan asas kepengarahan yang harus dikuasai oleh seorang pengarah adalah sama seperti mengarah sesebuah teater biasa. Ianya termasuk:
a. Fungsi dan tanggungjawab seorang pengarah
b. Pemilihan teks yang sesuai, serta genrenya
c. Pemilihan pelakon berdasarkan kualiti fizikal, emosi dan vokal
d. Penganalisaan teks melalui tema, plot, perwatakan, dialog, muzik dan kekaguman
e. Aspek kekaguman yang sederhana tetapi berkesan
f. Buku kerja atau book ‘prompt’
g. Mengenali gelanggang, atau jenis-jenis pentas
h. Boleh Mengendalikan proses uji bakat
i. Bersedia untuk menjalankan latihan atau rehearsal

Justeru, untuk bersiapsedia sebagai seorang Pengarah Dekon, seseorang itu mestilah melengkapkan dirinya dengan aspek-aspek di atas.

8. Daripada segi Lakonan pula, seperti dalam lakonan persembahan teater yang biasa, seseorang pemain itu harus bersedia untuk menyiapkan dirinya. Di antara beberapa perkara penting si pelakon harus bersiap-sedia ialah:

a. Melengkapkan diri dengan ilmu lakonan
b. Mengkaji watak secara terperinci
c. ‘Versatile’ atau serba-boleh dalam memerankan pelbagai watak dan mempunyai pelbagai ketrampilan
d. Mengenali jenis gelanggang dan pentas
e. Menjalani persiapan atau latihan dalam aspek-aspek: keheningan, konsentrasi, imaginasi, gerak, dan vokal
signed Daddy Long-Legged author
SENI PENGARAHAN DEKON
Oleh:
Marzuki Ali


Pengenalan:
“Tanah air tidak sekadar memberi kita sumber makanan dan perlindungan. Tanah air juga memberi kita keindahan. Dan… dan keindahan inilah, yang biasanya terlupa kita saksikan, kita nikmati. Kerana itu, kita kurang mencintai tanah air sendiri, walaupun… walaupun kita memperjuangkannya, membebaskannya. Dan… dan siapa saja secara sedar membina dan membangunkan negara baru ini perlu dihormati, dihargai.” Bukan saya (Lazri Meon) yang kata itu; Jamdir (Pencinta tanah air yang tulen) yang kata.

- Petikan Bahagian II Mukasurat 52 – Lazri Meon –
Daerah Zeni karya A. Samad Said (1992).


Beberapa Definasi Persembahan:

Menurut pengertian Kamus Dewan edisi keempat – 2005, Sutradara adalah Pemimpin (pengatur) sesuatu lakonan (filem dll). Pengarah; Menyutradarakan – memimpin (mengatur) sesuatu lakonan (filem dll). Mengarah; Penyutradaraan perihal (proses) menyutradarakan (mengarah) sesuatu lakonan, filem dsb. Mengarah - Mengatur (mengurus atau mengelolakan serta menyelia) sesuatu persembahan seni seperti Drama (filem dsb). Arahan adalah pimpinan, pengawasan dan kata pengarahan bererti perbuatan mengarahkan.

Lakonan – cerita yang dipentaskan (sandiwara, filem dan lain-lain). drama. Karangan yang berupa sandiwara (terdiri daripada dialog). Berlakon bermain atau berlagak dalam sandiwara (drama, wayang, dan lain-lain). Melakonkan – mementaskan atau memainkan sesuatu cerita (drama, sandiwara, dan lain-lain). mementaskan sebuah cerita sebagai sandiwara, memainkan sesuatu peranan (watak). Pelakon – orang yang berlakon dalam drama (sandiwaara dll). tokoh dalam cerita dan lain-lain.

Seni – halus (elok), enak didengar (suara), lembut. Sebuah karya (sajak, lukisan, muzik, dan lain-lain) yang dicipta dengan bakat (kecekapan), hasil daripada sesuatu ciptaan. Kebolehan mencipta sesuatu (lukisan, ukiran, dan lain-lain) yang indah-indah. Karya seni yang mempunyai nilai keindahan dan memberikan kepuasan cita rasa kepada peminatnya, spt. lukisan, muzik, puisi dan ukiran. Berseni - mempunyai (memperlihatkan) seni, berasaskan seni. Kesenian – perihal seni, yang berkaitan dengan seni keindahan (kehalusan). Seniman – orang yang mempunyai bakat seni dan dapat mencipta hasil seni serta dapat memperagakan hasil seninya itu seperti pelukis, penyair, penyanyi, dan lain-lain.

Dekon – singkatan dari deklamasi dan lakon, suatu cara penghayatan seni melalui pengungkapan deklamasi dan berlakon (cara A. Samad Said) – menekankan pergerakan di pentas sewaktu menyampaikan puisi/bercerita lewat watak utamanya (Lazri Meon).
Dalam naskah Lazri Meon – Daerah Zeni karya A.Samad Said menawarkan gaya cerita dalam cerita (yakni ada 2 cerita yang berasingan iaitu novel ciptaan Lazri Meon yang bersifat manuskrip yang sudah hilang dan satu lagi adalah tentang cerita (Novel) oleh A.Samad Said yang bercerita tentang keluarga Lazri Meon. Lazri Meon seorang penulis seorang ketua keluarga duduk di sebuah bangku. Dia berdepan dengan segala peristiwa termasuk berceramah kepada pelajar-pelajar kemudian mengenangkan (imbas kembali) tentang nasib kedua-dua puterinya Zedi (lumpuh) dan Zeni (ibu tunggal) tentang arwah isteri kesayangannya yang disajikan tidak mengikut kronologis cerita.
Sebuah monolog adalah gaya bercerita oleh tokoh tentang dirinya, peristiwa atau kejadian yang dialami atau dilaluinya diungkapkan dengan aksi, pergerakan dan bercakap seorang diri. Tokoh memulakan kejadian dengan segala macam tuntutan segala unsur cerita, segala kejutan, segala puncak kejadian dan penyelesaian cerita. Semua berlaku oleh seorang saja tokoh. Monolog, berlakon secara sendirian boleh setengah jam atau sepanjang lebih dari satu jam pertunjukan.

Pengertian Deklamasi pula lebih berbentuk menyampaikan karya seni apakah puisi, cerpen atau fragmen/cuplikan novel dalam suasana yang lebih bertenaga meluahkan segala pengalaman fikiran, perasaan dan batin kita melalui suara yang memukau serta gerakan bahasa tubuh yang penuh memikat!

Persoalan Pementasan Cara Dekon :

Bercerita secara sendirian akan peristiwa yang terjadi (imbas kembali) atau kejadian yang bakal terjadi (imbas muka) akan lebih berkesan dan akan jadi lebih jelas garapannya sekiranya kejadian/peristiwa tersebut digambarkan atau divisualkan. Dengan begitu ada watak-watak lain juga akan dimunculkan selain si pencerita itu bermonolog sendirian. Aksi bermonolog (bercakap sendirian) berkembang menjadi adegan berdailog oleh beberapa watak kemudian dan ada peristiwa yang terjadi/berlaku secara serentak.

Apakah, menyampaikan suara hati seseorang atau watak hanya cukup dengan lontaran kata-kata saja atau lebih menimbulkan suasananya dengan bantuan teknik bunyi dari alat muzik. Apakah untuk menyatakan perasaan gembira atau sedih tidak cukup dengan bercakap sendiri saja tapi barangkali lebih terungkap disampaikan secara menyanyi, bersyair, bergurindam, bernazam atau apa. Kelihatannya bila ada unsur-unsur yang berirama di masukkan sebagai pelengkap dalam sesebuah seni lakon, ya, sesuatu yang cukup menarik dan terhibur jadinya. Dan cara begini tidak keterlaluan dan tidak akan mengheret persembahan menjadi sebuah muzika atau ala konset muzik!

Barangkali boleh kita rumuskan kerja seni pementasan yang ingin kita tampilkan ini suatu garapan kerja seni yang mengandungi antaranya ada monolog, watak, ada deklamasi yang dilontarkan oleh watak, ada adegan yang merangkaikan beberapa watak, ada dialog dan ada unsur muzik ditampilkan. Keseluruhan unsur-unsur begini boleh melahirkan sebuah persembahan yang kita maksudkan sebagai Dekon!

Peranan Pengarah Dekon :
Setelah jelas konsep persembahan yang ingin kita kerjakan, maka peranan yang harus dilakukan berikutnya adalah meletakkan segala rumus yang dipersetujui itu di atas pentas dalam bentuk pementasan. Dan orang yang akan melakukan kerja-kerja penafsiran dan mengangkatnya ke atas pentas dari cerita yang ditulis berbentuk skrip/naskah kepada suatu bentuk yang lain yakni penyajian teater tentu saja memerlukan pengalaman, kemahiran dan kepakaran dan jelas konsep kerjanya. Dia kita kenali sebagai pengarah dekon.

Sebagai seorang pengarah, kita bekerja dengan tenaga-tenaga manusia, yang tentu saja punya perasaan, punya hati dan punya kelebihan dan kekurangan. Bagi seorang pendekar, dia harus tau bermain senjata yang tajam! (Senjata adalah alat barang mati !) dan untuk menghadapi pendekar lawan pula, sang pendekar kita itu harus tahu membaca gerak langkah lawan dan arah senjata dan menjatuhkannya dengan bijak. Seperti juga tugas seorang pelatih pasukan bolasepak, dia bukan saja pandai mengatur permainan untuk menang, tetapi berusaha bagaimana kesebelasannya berada di padang dengan aksi gerakan menyerang dan bertahan yang boleh memukau penonton selama 90 minit di padang.

Berurusan dengan manusia yang hidup bukan dengan robot, menuntut kita harus menjaga perasaan dan harus tau mengawal perasaan serta meletakkan manusia itu dengan kelebihan dan keyakinan, mampu pula dapat melaksanakan kerja yang kita rancangkan bersama. Ya, semacam ada suatu keinginan bersama ada kesedaran bersama, ada kekompakkan kerjasama dan bekerja secara ensamble – mencipta suatu team kerja yang disegani.

Antara Teori dan Amali Pengarahan Dekon :

Mengangkat sebuah karya seni ke atas pentas adalah kerja menjadikan sebuah khayalan kepada sebuah realiti yang nyata dan jelas. Pengarah yakni sutradara dari pengertian sutra – naskah sementara dhara adalah pendukung/pembawa. Kata Sutra Dhara – sutradara membawa pengertian mengkoordinasi sebuah pementasan bukan kerja yang mencetak atau melakukan pekerjaan seni menyalin naskah dan meletakkannya ke atas pentas. Segala teori yang dipelajari tentang sutradara apa yang patut dikerjakan dan apa yang tidak perlu dijabati oleh sang sutradara bilamana berdepan dengan naskah dan para pemainnya merupakan suatu gera kerja yang memerlukan pengalaman. Segala teori yang dipelajari, harus ditukar dan dijadikan sebuah kenyataan yang menghidupkan sesuatu yang sebelumnya mati dan dipraktikkan seperti seni gunaan atau sains gunaan. Dan bila mana melakukan kerja harus pula bekerja dengan sirin dengan tuntutan setempat apa yang boleh kita lakukan (dibenarkan) dan jangan galakkan apa yang terlarang. Dan yang penting adalah kita tahu apa yang kita buat!

Ada waktu-waktunya selaku sutradara, kita punya keinginan yang tak terbatas. Kita ingin supaya sesuatu itu dilaksanakan dengan apa cara sekalipun. Sutradara bukan orang politik ! Bukan ! Dia mengukur keinginannya yang ingin dicapai dengan segala pertimbangan kemanusiaan. Dia harus memahami dan memiliki rasa kemanusiaan yang tinggi. Dia bukan ikut rasa tetapi bekerja ikut keadaan dan suasana semasa. Dia tidak akan mengambil kesempatan atas kesempitan di atas segala perilaku pelakon-pelakonnya. Dia adalah seorang yang tahu batas dirinya dengan orang lain dengan persekitaran dengan segala kepercayaan dan pegangannya.

Beban Tugasan Pengarah Dekon :

Sebagai seorang sutradara yang beragama tentu saja tanggung-jawab beragamanya adalah sepenuhnya dan bukan hanya di kulit saja! Dia harus miliki sedar ruang penuh dengan segala pantang larang beragama. Manakala dengan pemain-pemainnya ya, jangan asal tepuk dada tanya selera saja! Jangan! Sutradara harus mengolah, menyusun, mengatur segala macam pergerakan di atas pentas. Dia melakukannya dengan penuh kesedaran dan berlatarkan kepada seni budaya setempat. Dia menyusun pergerakan dan melengkapkan segala gerakan dengan berseni!

Segala dialog/monolog seharusnya berdasarkan kepada kondisi dan situasi yang sedang berlaku. Diucapkan setiap kata-kata yang diyakini terbit dari perasaan yang dialami dan berdasarkan kepada fikiran sihat yang ditekuni dengan penuh konsentrasi dan mampu berimaginasi. Sutradara mengolah tutur kata vokal watak menjadi lebih bertenaga dan hidup serta memberi jiwa kepada watak.

Naskah Dekon merupakan bahan mentah! Seperti bahan-bahan/ramuan untuk suatu resepi masakan. Sutradara akan beraksi selaku chef-wan duduk mengaturnya, memotong, mencampurinya, mana yang didahulukan ya, didahulukan dan tentu saja sebagai tukang masak apakala memasak, dia amat mementingkan selera pelanggannya. Seorang sutradara apabila bekerja dengan naskah dekon seharusnya punya wawasan dan keinginan. Dia seharusnya mengolah masalah semasa, menjadi topik hangat! Dan dengan pementasan dekonnya itu akan mencipta suatu tawaran atau jalan penyelesaian dan bukan untuk menambah barubiru keadaan. Saran atau nasihat atau apa saja boleh disampaikannya lewat watak-watak dekonnya, melalui mulut terbuka proscenium pentas. Tentu saja subjek yang tepat akan cepat meraih jadi isu yang segar dan cepat berkembang setelah pementasan, mewujudkan keadaan diskusi di kelas-kelas seni atau dialog-dialog galak di warong kopi dan diperdebatkan dengan hangat di dewan parlimen mungkin!

Bagaimana Bermula Kerja Pengarah Dekon :

Apabila memulakan kerja, seseorang tukang tentunya telah siap dengan segala barang-barang yang diperlukan, segala bahan mentah, segala mata pahat, mata pisau, mata ketam, mata fikir dan telah diasah tajam ! Gelanggang atau bengkel tempat bertukang adalah tempat dia melaksanakan segala impian dan cita-citanya dengan sumbangan kepakaran dan kejeniusannya itu sebagai sebuah hasil karya kepada pelanggannya.
Seorang tukang perabut rumahtangga sebagai contoh, bekerja dengan bahan kayu yang terpilih, cengal, nyatoh, jati atau macan hutan. Dia tukang kita itu melakar model perabut dengan ciptaan seni yang indah dan melaksanakan seni pertukangannya pula berbekal pengalaman dan keringat kemahiran yang tinggi. Di sini dia bekerja tak kenal penat lelah sampai pada akhir. Setelah kerja tukangnya menghampiri batas jadi, maka tukang kita itu pun duduk melaksanakan jamahan, sentuhan berseni terakhirnya – sebuah kerja kemahiran, kerja seni yang halus. Maka kita kemudian menemukan karyanya dipajang di istana atau di tempat-tempat terhormat dan mewah !
Bagaimana seorang jurulatih sepakbola yang memahami betul akan tingkah polah kesebelasannya yang bakal turun padang menentang kesebelasan lawan, tentu saja selain dari kebolehan para pemain yang cukup terlatih di terima pakai, segala fikiran dan pengalaman serta ilmu persepakbolaan yang ditekuni akan dibancuh menyatu menjadi persembahan yang berjaya memukau jutaan peminat-peminat di seluruh dunia yang dipancar secara langsung lewat layer televisyen. Penonton ramai tidak sejenak pun disentuh oleh rasa bosan dan hampa sebaliknya pada jam-jam perlawanan sampai ke saat akhir adalah sesuatu yang sesungguhnya bermutu ! Ya, walaupun tak ada bola yang bisa bolos ke mulut gawang, tetapi semangat menontonnya juga ikut jadi saat-saat yang mendebarkan! Cara dan semangat jurulatih mengolah permainan adalah tahaf kerja yang profesional dan bermutu ! Pengarah dekon juga dituntut belajar dan bekerja seperti itu!

Tanggungjawab Moral Pengarah Dekon :

Tanggungjawab seorang pendakwah agama yang sangat menjunjung tinggi agamanya ditekuni dan ditaati dan selain beribadah untuk dirinya sendiri juga berusaha membimbing orang lain, mengajak orang lain, memberikan nasihat dan peringatan kepada orang lain dalam kerja-kerja amalan baik dalam setiap waktu. Seperti pendakwah ini, sutradara yang beragama bertanggung-jawab dengan kerjanya dengan agamanya. Melalui kerja seninya yang dia kerjakan, dia akan membancuhnya dengan resepi agama dalam pementasannya, berdakwah secara terselindung dan tidak nyata! Tetapi segala aksi pemain, pekerja-pekerja pentas, langkah dan pergaulan dan tutur kata diawasi dan dibimbing dengan kesedaran yang berterusan dan kesedaran kepada tuntutan agama.
Segala gerakan yang bukan muhrim, segala kostum dan gaya gerakan yang melampaui harus dibataskan. Apakah segala tata-hukum agama tidak boleh memberikan sahamnya dalam pementasan ? Sebenarnya beragama itu mudah. Perbuatlah sesuatu yang mudah. Kerja seni kita adalah suatu kerja yang memerlukan penilaian seni atas sesuatu yang mudah. Inilah cabaran umat beragama berdakwah menyalur pengajaran agama dalam seni pementasan.

Seorang pengarah muzium dan pekerja-pekerjanya adalah memegang amanah terhadap segala barang-barang yang dikatogerikan sebagai khazanah negara baik yang lama mahupun yang semasa. Di muzium ini dipertaruhkan segala macam yang namanya harga seni budaya, bukan sekadar menyimpan, menjaganya, mempelajari (mengkaji selidik) tetapi juga untuk memperkenalkan kepada masyarakat (lewat pemeran-pamerannya) sebagai bahan koleksi muzium. Tugasan dan tanggung-jawab menjaga barang yang diamanahkan oleh negara adalah tanggung-jawab yang amat berat.

Selain dari menjaga keselamatan barang-barang antik, menjaga kawal selia barang-barang, membaikpulih keadaan dan bidang kerjaya turut dipelajari daya cipta krafnya yang bermutu gilang-gemilang. Hubungan tugasan dan tangggung-jawab yang tidak berbelah bagi begini, sepatutnya diwarisi oleh tukang seni pengarah dekon kita. Sifat menyelaras budaya seharusnya dijadikan patukan dan pegangan kuat bila mengerjakan hasil seni pentas. Eksperimen boleh saja dilakukan tetapi harus berlandaskan suasana dan situasi setempat. Kita tidak meniru budaya di luar dari lingkungan kita secara membabi buta saja dan meninggalkan tata budaya setempat begitu saja. Ya, rasa tanggung-jawab dan cintai kepada budaya sendiri dan tempatan adalah sesuatu yang mendahului segala-galanya.

Kalau kita menjadi seorang guru bahasa, tentunya bukan sekadar mengerti sebutan bahasa yang diajar, memahami istilahnya tapi turut dihayati sama akan maknanya. Tidak cukup diterjemahkan secara langsuang saja, tetapi menjadi tugasan pula menafsirkan kepada kata-kata yang diajarkan. Guru kita ini mengajar pengertian bahasa yang diucapkan dan bukan sekadar memberi makna tapi memberi penafsirannya sekali. Bila mementaskan dekon bukan kerana terpancing oleh peristiwa yang terjadi dalam sesebuah dekon tetapi makna lain yang tercetus yang berlaku di sebalik kejadian tersebut. Sebagai contoh,. komplotan membunuh menggunakan pistol dan bom. Apa yang terjadi dalam kejadian adalah penemuan cebisan daging dan tulang-tulang mangsa. Bukan hanya masalah itu keinginan kita untuk bercerita. Tetapi soalnya adalah kenapa kejadian begitu sampai terjadi? Kenapa manusia menjadi begitu kejam terhadap sesama manusia ! Kenapa mayat yang sudah mati itu harus dibomkan lagi, berkecai jadinya. Apakah dosa besar yang telah dilakukan oleh semati itu, sampai begitu sekali dilakukan? Juga kepada mayatnya yang sudah tidak punya apa-apa erti itu ! Nah, kenapa manusia bisa jadi begitu kejam terhadap sesamanya. Di sini, kita sebagai seorang sutradara itu harus menafsirkannya mencari spine ceritanya, mencari tulang belakang kepada dekon pementasan yang akan dipentaskan.

Kerja Secara Bersama :

Wah! Si tukang seni kita pun bekerja dengan bukan kerja seorang sahaja tetapi memanggil dan mengajak sama orang lain bersama-sama memberikan sumbangan dan saham dalam kerja seni yang amat menuntut kekuatan fizikal dan mental yang ampuh ! Menafsirkan kejadian-kejadian dalam cerita di satu pihak kemudian mengvisuilkan melalui watak-watak yang dipegang oleh pemain-pemainnya dengan emosi yang digarap berdasarkan imaginasi yang dihayati seseorang pemain di pihak lainnya. Melakukan gerakan-gerakan berdasarkan sebab akibat yang seharusnya selalu diperkuatkan dengan alasan yang tertentu. Alasan ini adalah kekuatan kepada pergerakan yang dilakukan watak.

Pergerakan pemain harus bertolak dari latar belakang watak. Watak seorang tukang sapu tentu saja berbeda lagak bergerak dengan seorang hakim di mahkamah. Seorang pegawai tentera sudah tentu berbeda pula dengan pergerakan seorang algojo di penjara. Seorang ibu tentunya tidak sama pembawaan wataknya dengan seorang kondukter bas perempuan atau promoter barang-barang di pasar raya! Masing-masing berperanan dan mempunyai tugas dan peranan masing-masing. Masing-masing punya perpustakaan gerak masing-masing dan pemain tentunya memerlukan kerja rumah untuk mempelajarinya dan membuat kerja-kerja penghayatan untuk melahirkan kata hikmat yang cukukp terkenal iaitu andaikata ! Sekiranya saya sebagai polis bagaimana aksi saya. Maka saya secara spontan akan berada dalam posisi peribadi watak tersebut. Watak boleh saja berupa manusia utuh atau penjelmaan lain atau dari kehidupan masyarakat hewan misalnya. Tetapi yang penting karakternya harus yang benar dan menyakinkan.

Untuk memberikan impak kepada kata ucap yang dilontarkan oleh satu-satu watak, seharusnya berlandaskan kepada pengalaman peribadi watak. Dan tidak bisa dilakukan hanya asal meniru-niru gaya sesuatu watak. Yakni, faktor latihan mencari warna pengucapan watak harus dilakukan dengan sungguh-sungguh dan dengan penuh kesedaran ruang lingkup yang ada pada seseorang watak. Mengucapkan kata-kata digarap kepada emosi yang dibancuh oleh kejadian yang sudang dialami seseorang watak. Rasa keberanian sebagai contoh adalah didorong oleh rasa pembelaan hak dan bukan secara membabi buta saja bertindak berani. Lontaran suara bukan tekanan yang dipaksakan tetapi dari faktor naluri rasa yang berkembang dan tercetus secara berperingkat-peringkat. Suara adalah sumber utama dalam pementasan. Suara yang tidak terlontar jauh projeksinya, menjadi persembahan yang gemerlapan itu akan tinggal nama.
Rasa kesal penonton akan terserlah kerana tidak dapat menghayati cerita lewat dialog yang lemah diucapkan.

Modal acting – suara dan pergerakan adalah asas dan sutradara tinggal mengolahnya mencari penyesuaian yang disandarkan kepada keinginan gaya pementasan dekon sang sutradara. Pergerakan yang realis yang sebenar berlaku di luar pentas, bukan boleh langsung diangkat ke atas pentas. Gerakan realis di luar pentas akan menjadi tidak realis di atas pentas dengan pengertian realis yang tidak realis. Di atas pentas segala gerakan diolah dan dibentuk bersesuaian dengan keadaan pentas dan suasananya. Dengan kata lain, tidak langsusng ditiru mentah-mentah pergerakan sama saja seperti di luar pentas. Sutradara dekonlah yang akan meminimkan gerakan dan tidak membiarkan pemain sendiri bergerak sesedap rasa saja !

Dalam Dekon/teater, disepakati bahawa gerakan tidak realis berlaku di atas pentas yang kemudian secara langsung pula dipercayai dan diterima pakai oleh penonton sebagai sesuatu yang boleh berlaku begitu walaupun kejadiannya tidak benar-benar dilakukan di depan mata penonton. Kita lihat keadaan ruang tamu yang berantakan membuatkan penonton percaya dengan andaian bahawa telah berlaku suatu pergaduhan atau pertengkaran. Penonton juga jadi yakin walaupun tidak melihat kejadian tetapi hanya mendengarkan pekikan teriakan wanita di sebalik tirai dengan segala pakaian dalam yang terlontar keluar di atas pentas, seolah-olah dalam andaian penonton, sedang berlaku aksi pencabulan di dalam bilik. Jadi, kenapa misti realis di luar pentas turut pula diduplikatkan semula di atas pentas ? Di mana keindahan kerja seninya kalau keadaan di luar sama ditiru langsung di atas pentas, kalau begitu ! Inilah seninya gaya kerja dan kreativitinya seseorang sutradara dekon!

Seni Latar Set Pentas :

Pemain adalah elemen utama. Sementara alat bantu kepada pemain adalah latar tempat, apakah ia berupa sebuah ruang tamu, taman atau di pingggir sungai atau di atas sebuah jambatan. Latar masa pula boleh saja pada malam atau siang hari, waktu aman atau waktu perang, zaman penjajahan atau zaman setelah merdeka! Elemen kostum yang dipakai pada pemain menyokong kepada peribadi, usia, kerjaya dan sosial watak. Manakala prop juga memainkan peranan sebagai alat yang berhubung dekat perwatakan samada merungkaikan soal kebiasaan, tabiat, kesukaan, hobi dan sebagainya. Sementara set, warna dan pengcahayaan adalah elemen bantu yang cukup memberi makna pada cerita dekon yang dihidangkan. Tetapi dalam upaya mengejar ghairah menata set jangan pula sampai semua elemen bantu ini boleh menenggelamkan pemain bila berada di atas pentas. Kalau keadaannya sampai pemain ditutup oleh peralatan set pentas yang macam-macam, maka setting itu hanya akan menjadi ruang pamiran perabut-perabut rumahtangga semata dan bukan ruang dekon. Alat bantu set seharusnya tidak membebankan dan memakan biaya yang besar. Set yang sederhana tapi memberi makna dan impak kepada cerita dekon dan mengungkapkan citra pemain beraksi di atas pentas adalah amat tepat sebagai set yang berfungsi. Tentu saja menata set untuk sebuah persembahan dekon baik yang berbentuk realis, atau yang non realis atau absud apa drama tari segala macam, bukan soal kemeriahannya. Tetapi elemen guna pakai bilamana beraksinya pemain atau penari sewaktu berada di atas pentas yang tidak jadi penuh/crowd atau menyebabkan sempit dan menyulitkan pemain atau terlalu menganggu pemain dan akan merosakkan citra sesebuah set. Bukan cantik set atau mahalnya biaya set diperhitungkan tetapi sejauh mana guna pakai set dapat berfungsi. Inilah yang harus diperhitungkan oleh penata penggung dekon!

Bahan Untuk Set Dekon :

Bahan set boleh saja dari bahan-bahan yang sedia ada, apa kain- kain bundel, peti-peti kayu, kardus, kotak-kotak atau kain-kain rombingan, kertas- kertas akhbar terpakai, papan-papan reja, atau plastik, tali-tali, bambu-bambu atau apa saja bahan yang ada di sekeliling kita. Yang menjadi tantangan penata set adalah bagaimana menggarap set yang memberi makna kepada pementasa dekon atau yang banyak membantu pelakon untuk memberikan kehidupan kepada cerita dekon yang dipentaskan, bukan biaya besar yang diperuntukkan untuk set dekon.

Penata set jangan mudah tergoda dengan set-set yang besar seperti dalam pementasan di Istana Budaya atau gambaran set kamar dalam rumah, set bilik tidur, ruang tamu, dapur, taman di belakang rumah, restoran atau warong nasi lemak yang belum tentu sesuai di naikkan ke atas pentas seperti dalam filem atau drama televisyen. Sebagai contoh, dalam pementasan drama Alang Retak Seribu karya Syed Alwi, apakah harus dibina dua buah rumah gaya negeri Perak di atas pentas untuk jadi setnya ? Begitu juga ada drama yang menuntut setnya dengan segala peralatan kepingan-kepingan getah kering (yang sebenar) dan batang-batang pokok getah dan dipajangkan di atas pentas konon untuk mewujudkan suasana realisma, menggambarkan keadaan dalam kebun getah! Apakah ini wajar? Sementara harus pula diperhitungkan segala bau getah (bau yang kurang menyenangkan) yang harus ditanggung oleh penonton! Kita harus bijak memperhitungkan soal suasana dan kondisi yang bakal terjadi. Bagaimana pula dengan masalah auditorium tempat pementasan yang berhawa dingin. Bau getah ini sesuatu yang mencemarkan dan seluruh ruang dewan akan berbau getah yang busuk!

Pemakaian teknik lampu juga bilamana menggunakan lampu strok atau asap untuk mencipta suasana boleh dilaksanakan sekadar mengungkap keadaan dan jangan keterlaluan yang boleh menghilangkan roh dalam dekon yang dihidangkan. Begitu juga dalam soal kesan bunyi – boleh dipakai alat perakam bunyi/tep/kasset untuk menimbulkan suasana seram, lengang, malam hari yang sepi, bunyi kebisingan kota, suasana yang terlalu kacau atau suasana bagaimana pun, boleh ! Akan tetapi dari sudut kreativiti bekerja ianya kurang mencabar. Kenapa tidak digunakan saja alat bunyi yang boleh dihasilkan dari kayu, bambu, besi, zin, serunai, gendang atau sebagainya. Bukankah teknik bunyi yang dihasilkan cara begini kelihatan cukup bersahaja dan masuk dalam suasana bermain yang pas!

Hasrat Pengarah Dekon :

Jadi untuk sebuah teknik persembahan dekon yang kita rancang, tentunya tidak memberatkan dari segai bahan mentah namun cara bekerja dan mencari bentuk-bentuk yang sesuai harus direncanakan, yang mengambil kira kesesuaian cerita dan pergerakan pelakon bila berada dalam set. Namun sebuah set yang dikira sempurna harus yang mengangkat level pergerakan pemain, yakni ada dengan platform, ada meja, ada kerusi atau apa saja yang dua fungsi dilengkapkan dengan dinding-dinding pemisah ruang bermain (bukan dinding-dinding sungguhan) tapi cukup dengan kain-kain yang digantung seperti tabir atau set yang boleh ditukar ganti semasa pertukaran adegan yang ringan dan tidak membebankan yang juga boleh dikerjakan secara spontan oleh pelakon sendiri tanpa bantuan stage crew.

Menggunakan ruang bermain juga memadai dengan memakai hanya penutup permukaan lantai pentas yang berbeza-beza warnanya atau cukup saja dengan satu atau dua level platform permukaan yang tinggi rendah yang tidak sama. Sementara untuk menutup ruang ketinggian pentas boleh saja dengan digantungkan bahan dari kain-kain gantungan atau dengan direntang batang-batang bambu sebgai penghalang ruang atas yang luas menjadi sempit. Dengan begitu setnya lebih plastis yang tidak kaku yang tidak membebankan dan yang tidak memberatkan baik pada pengelihatan mahupun memakan perbelanjaan yang tinggi.

Rumusan :

Sebuah lakon dekon, kita kira adalah sebuah pergelaran yang cukup sederhana bahannya baik naskah, perencanaan alatan dan tata bunyi serta teknik perlampuannya tapi mengheret pengertian yang cukup berat untuk memperkatakannya. Dekon ada monolog, ada deklamasi, ada dialog, ada suasana bermain dengan dalaman watak, ada pertentangan watak antara watak, ada mimpi, ada ingatan kenangan lalu dan ada andaian peristiwa bakal terjadi dan ada nyanyi atau irama seni suara! Kesemua elemen ini bisa saja berlaku dalam 5 adegan untuk satu babak persembahan yang memakan waktu relatifnya antara 30 minit ke satu jam pementasan.
signed Daddy Long-Legged author
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates