Konsep `Kesederhanaan’ Dalam Pementasan Dekon MAKUM – salah satu ciri penting dan keistimewaan dalam pementasan Dekon MAKUM.

Berbanding dengan teater, Dekon MAKUM (DM) memiliki ciri-ciri pementasan yang bersifat sederhana. Sifat kesederhanaan itulah yang menjadi ciri istimewa dan perlu ada pada DM dan sekaligus menjadi identiti tersendiri kepada DM. Mengikut Kamus Dewan, sederhana dapatlah dimaksudkan sebagai tidak lebih dan tidak kurang, biasa, pertengahan, sedang, tidak banyak selok beloknya, tidak rumit, tidak sulit dan mudah. Kesederhanaan dalam DM itu dilihat dari sudut pementasannya yang tidak sarat dengan set latar yang besar, tidak rumit dari sudut busana pemainnya, penataan cahaya yang sederhana tetapi kreatif dan sederhana dalam aspek kekaguman yang lain. Kesederhanaan dalam DM dapat diperlihatkan melalui semua aspek pementasan termasuk sudut visual , kinetik dan auditori. Visual ialah segala yang dapat dilihat secara fizikal di atas pentas oleh mata kasar penonton khususnya termasuk lakonan, set latar, pencahayaan, busana serta rias. Kinetik ialah elemen yang melibatkan aspek pergerakan seperti pergerakan dan aturgerak pelakon-pelakon di atas pentas, perubahan set, latar, masa dan suasana. Manakala auditori pula melibatkan apa jua komponen yang ada kaitannya dengan apa yang boleh didengari oleh penonton seperti dialog pelakon, kesan bunyi, muzik bahkan bunyi tapak kaki dihentakkan di atas lantai.
Ruang lakon dalam DM juga tidak terbatas kepada bentuk-bentuk pentas tertentu. DM boleh dipersembahkan dalam apa jua ruang samada prosenium, thrust atau arena. Dekonis boleh memanfaatkan ruang yang ada dalam pergerakan yang terhad tidak seperti dalam teater biasa, seperti diungkapkan oleh A. Samad Said; “Dekon memerlukan set pentas dan ruang lakon yang terhad dan dianggap sebagai set pentas yang amat miskin berbanding persembahan teater biasa.” (Berita Harian, 10 Mac 2007)
Ruang lakon dalam Dekon dibatasi melalui permainan ruang pencahayaan.Penggunaan elemen-elemen bantu lain seperti set latar, solekan rias dan pemakaian busana adalah sangat minimal serta hendaklah bersifat pelbagai fungsi (multi-functional). Ia hampir kepada pendekatan total acting yang diperkenalkan oleh Jerzy Grotowski . Namun untuk menyamakan DM dengan Poor Theatre seperti yang dianjurkan oleh Grotowski adalah kurang tepat. Dekon menuntut kepada kreativiti bermain yang sangat tinggi dari seorang pelakon, namun ia masih tidak menolak secara total keperluan kepada elemen bantu yang lain. Berbeza dengan DM, Grotowski menuntut kepentingan hubungan antara pelakon dan penonton serta mendesak pelakon untuk bergantung sepenuhnya kepada tubuh dan suara yang dimilikinya tanpa mengharapkan bantuan alat-alat lain untuk menghidupkan watak dan cerita yang dibawa; “I propose poverty in theatre …theatre’s essentials are the actor and the audience in a bare space...theatre could happen without costumes, scenery, makeup, stage lighting,and sound effects; all it needed was the actor and audience in live communion in a special place.” (Barranger, 1995:63) Busana dekonis juga hendaklah ringkas tetapi cukup kreatif bagi menggambarkan diri dan watak dekonis utama, Apabila dekonis melakonkan watak-watak lain selain dari watak utama yang diperannya, ia boleh melakukan penokoktambahan busana penanda secara kreatif. Proses penokoktambahan busana penanda ini hendaklah dilakukan sendiri oleh dekonis utama secara terang dan disaksikan oleh penonton.
Penggunaan elemen bantu lain seperti bunyi atau muzik yang pelbagai dan mempunyai kekuatan artistic, perlu diambilkira dalam membuat pementasan Dekon MAKUM. Penggunaan alatan bunyian samada secara ensemble atau solo, secara langsung (live) atau secara rakaman adalah dibenarkan dan digalakkan untuk membentuk penceritaan dan pembinaan mood. Bunyi samada yang terhasil melalui tubuh dekonis sendiri atau melalui perantaraan sesuatu alat, mampu membantu mengangkat mood dan persembahan itu sendiri. Penyampaian cerita tidak cukup dengan sekadar pengucapan dialog sahaja malah ia akan lebih menimbulkan kesan artistik sekiranya ia disampaikan melalui pelbagai gaya pengucapan seperti bernyanyi, berpuisi, bergurindam, berpantun, bersyair dan bernazam. Perkara yang disampaikan kepada penonton dalam DM bukan hanya terletak kepada ceritanya semata, tetapi juga kepada makna yang terlahir melalui imej yang disebut sebagai the flaneur . Dalam DM, set latar adalah perlu namun ia kurang memainkan peranan sebagai menjelaskan latar sepertimana berlaku di dalam pementasan teater. Sebaliknya ia boleh digantikan dengan peranan pencahayaan serta visual melalui multi-media untuk menggambarkan ruang dan masa. Oleh kerana latar set bukan satu keutamaan dalam seni persembahan DM, maka pencahayaan memainkan peranan besar serta mengambil alih sebahagian tanggungjawab yang dilakukan oleh set untuk menzahirkan subteks the flaneur. Pencahayaan hendaklah mampu menjelaskan perbezaan antara ruang masa dan latar suasana yang dialami oleh dekonis utama dengan ruang dunia penceritaan yang disampaikannya. Pemilihan warna tone cahaya juga harus diambilkira dalam menzahirkan dan menjelaskan ruang masa dan perbezaan latar tempat. Walaupun DM mengutamakan unsur kesederhanaan di dalam pementasannya, namun ia tidak mengabaikan langsung peranan, kepentingan dan keperluan kepada elemen teknikal. Ini kerana teknikal/artistik merupakan alat bantu yang bakal mencantikkan dan memberikan nilai tambah dari sudut artistik pementasan dan estetikanya dalam Dekon. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, DM tidak sama dengan Poor Theatre anjuran Jerzy Grotowski dan jauh sekali sebagai Rich Theatre seperti yang dimaksudkan oleh Anton Chekov. Malah ia juga bukan persembahan seperti di West End dan di Broadway, jauh sekali untuk disamakan dengan persembahan puisi dan drama (puisidra). Poor Theatre oleh Grotowski memperlihatkan penolakan elemen artistik seperti penggunaan teknikal sebaliknya lebih menumpukan kepada sosok tubuh pelakonnya; melalui gerak pelakon mampu mengubah lantai menjadi laut, meja menjadi sebuah kerusi, sepotong besi menjadi teman atau lawan bermain. DM tidak ke arah Poor Theatre. Mengapa kita mesti kembali ke masa lalu untuk membuat persembahan DM? Apakah kita mesti menyisihkan elemen teknikal (kemudahan yang sedia ada) yang menjadi alat bantu dalam persembahan? DM sama sekali tidak menolak hal seperti itu. Bahkan, DM mengambil kira ciri-ciri artistik pentas malah menggalakkan penerapan elemen artistik itu melalui penggunaan pelbagai media (multi-media). Persembahan DM harus diwarnai dengan kekuatan teknikal multi-media yang baik . Walaubagaimana pun penggunaan elemen teknikal/artistik ini hendaknya jangan keterlaluan sehingga menenggelamkan ciri utama DM itu sendiri, iaitu kekuatan lakonan dekonis. Umpama mencampurkan gula ke dalam kopi, jangan terlalu banyak sehingga kopi tersebut menjadi terlalu manis yang menyebabkan menjejaskan rasa kopinya atau sebaliknya terasa kurang gula hingga menyebabkan kopi tersebut terasa pahit. Harus ada keseimbangan yang sewajarnya agar si peminum kopi akan mahu terus meminum kopi tersebut selepas hirupan pertama.

Comments

Popular Posts