SENI TEATER DALAM ERA TEKNOLOGI INDUSTRI 4.0; MISI MEMANUSIAKAN MANUSIA
Sepanjang tempoh masa kita berkomunikasi, kita peruntukkan 60% daripadanya untuk mendengar. Malangnya hanya 25% sahaja yang mampu kita ingati kembali apa yang didengari. Mengapa kita semakin kehilangan daya mengingat (bukan ingatan, ya)? Sebabnya;
1. Adanya keupayaan dan teknologi untuk merakam proses perbualan - tulisan dan alat perakam. Kita lebih gemar untuk menulis atau menggunakan perakam melalui telefon setiap apa yang ingin dibicarakan atau didengar semula. Masyarakat sekarang jari jemarinya lebih pantas daripada mulutnya kalau berbicara. Gerakan anggota jari jemari dikawal oleh neuro saraf dari otak, manakala arahan otak pula dicetuskan oleh perasaan yang dipimpin oleh nafsu. Bayangkanlah apa yang terjadi?
2. Persekitaran yang terlalu bising dengan pelbagai bunyi menjadikan kita bosan untuk terus fokus mendengar. Kita lebih suka menjauhkan diri, berkurung daripada hiruk pikuk yang membingitkan. Kita memerapkan diri dalam rumah, atau bilik seorang diri, melayani gadget teknologi yang ada seperti telefon bimbit. Kita lebih gemar bersendirian, bercakap seorang diri dan akhirnya menjadi manusia yang menyendiri. Manusia yang menyendiri akan mengalami proses perkembangan psikologi yang tidak baik. Akhirnya?
Dunia sekarang dikawal oleh teknologi. Kita semakin asyik dengan perkembangan teknologi industri 4.0. Dikatakan tidak lama lagi seluruh kehidupan kita akan dikawal oleh dan melalui teknologi. Kemajuan teknologi telah menyebabkan hubungan komunikasi tradisional (bertemu dan berbual) semakin dilupakan. Mesyuarat atau perbincangan sudah melalui media teknologi yang tidak memerlukan pertemuan bersemuka secara langsung. Kita lebih selesa bersembang dan berbual melalui pelbagai aplikasi antaranya Whatapps, Telegram, WeChat, Facebook, Walkie Talkie Messenger, Viber dan lain-lain. Tanpa perlu menyusahkan diri untuk keluar, hanya duduk di dalam bilik seorang diri, kita boleh berbual dengan ramai orang melalui text messaging. Kita ketawa sendirian, marah sendirian, malah berkhayal sendirian. Hubungan erat antara kita semakin longgar, semakin terkikis dan lama-kelamaan kita menjadi semakin kekok untuk bertemu empat mata dan berbual. Jurang komunikasi semakin melebar. Apabila keadaan ini berterusan, maka akan lahir generasi masyarakat yang kaku, buta rasa, tidak memahami. Dengan kata lain, akan wujud generasi masyarakat robot yang tidak mempunyai emosi. Apabila tidak beremosi maka kedudukan kita sebagai manusia akan menjadi lebih hina daripada binatang! Kita semakin kehilangan daya untuk mendengar secara aktif dan sekaligus kehilangan upaya untuk memahami. Masyarakat yang tidak memahami akan mewujudkan ketegangan yang membawa kepada konflik dan kemusnahan. Lihat sekeliling kita, peperangan, rusuhan, pergaduhan kaum. Semuanya berlaku disebabkan oleh tidak adanya rasa kefahaman dan hormat antara satu sama lain.
Proses mendengar secara aktif (conscious listening) melibatkan hubungan komunikasi langsung antara dua orang atau lebih tanpa sebarang medium teknologi antaranya. Komunikasi langsung adalah satu proses mendengar secara aktif melibatkan hubungan bahasa tubuh, ekspresi wajah, intonasi bunyi dan bahasa. Melalui proses ini akan membuatkan kita lebih memahami antara satu sama lain.
Bagaimana kita hendak memupuk kembali budaya mendengar secara aktif ini dalam dunia yang penuh dengan gadget teknologi ini? Semua ini dapat dilaksanakan dalam aktiviti bermain teater. Melalui teater kita akan melalui proses yang dinamakan bermain lakon. Berteater akan membentuk keupayaan mendengar secara aktif (conscious listening creates understanding). Dalam proses bermain lakon, kita diajar dan dilatih untuk mengaktifkan proses mendengar dengan baik. Konsep lakonan yang baik melibatkan action and reaction. Untuk memberikan aksi dan reaksi menuntut pelakon untuk mendengar secara aktif setiap butir perkataan yang dilafazkan oleh teman lakon, fahami maksud dan makna di sebalik kata-kata yang terlafaz supaya pelakon dapat memberikan reaksi terhadap apa yang didengarkannya. Selain menghafal dialog sendiri, setiap pelakon juga diminta untuk memahami dialog teman lakonnya. Memahami maksud dan makna di sebalik kata-kata tersebut agar reaksi yang dihasilkan pelakon akan lebih meyakinkan.
Konsentrasi minda juga merupakan sebahagian daripada tuntutan dalam persiapan seorang pelakon sebelum muncul di atas pentas persembahan. Pelakon akan duduk diam seorang diri, senyap diam melakukan konsentrasi minda untuk memfokuskan diri dan minda kepada watak yang diperankan. Pelakon akan cuba mendengar semula dirinya, Proses duduk diam (silence) ini akan membantu otak untuk reset dan calibrate kepada peran yang akan dilaksanakan.
Konsentrasi juga melibatkan kemahiran mendengar secara aktif yang ada dalam proses latihan teater di mana peserta teater akan dilatih untuk memilih bunyi yang dikehendakinya. Telinga kita diajar menjadi mixer yang berupaya memilih bunyi-bunyian yang dikehendaki dan memfokuskan kepadanya. Inilah namanya latihan `dengar’ dan `mendengar’. Proses ini akan menjadikan kita lebih fokus dan teliti dalam mendengar yang akhirnya menjadikan kita lebih menghargai dan memahami.
Kemahiran mendengar mengandungi tindakan aksi dan reaksi yang melibatkan elemen yang paling utama iaitu bahasa tubuh. Hubungan antara kata-kata yang didengari disertai reaksi bahasa tubuh menunjukkan tahap keikhlasan dalam berkomunikasi. Keyakinan dan keakraban akan lebih terjalin apabila adanya komunikasi tubuh yang berkesan. Apakah tindakan dan perasaan si pencerita jika melihat orang yang mendengar ceritanya kelihatan acuh tak acuh untuk mendengar, atau memberikan reaksi kosong pada ceritanya? Adakah ia akan bersemangat untuk meneruskan ceritanya? Begitu juga dalam lakonan, permainan bahasa tubuh adalah paling penting sekali untuk melihat keupayaan seseorang pelakon yang berwibawa dan berbakat. Lee Strasberg memperkenalkan pendekatan lakon The Method Acting adalah untuk membantu pelakon menghasilkan lakonan yang berkesan. Shakespeare juga ada menyebut `to be or not to be’ dalam drama Hamletnya. Semua ini ada kaitan dengan proses kemahiran mendengar yang aktif. Pelakon yang mempunyai bahasa tubuh yang baik akan menjadikannya seorang bintang yang mempunyai pesona unik. Lakonan pelakon yang mempunyai pesona akan kelihatan hidup dan tidak dibuat-buat antaranya Fauziah Nawi, Bront Palarae, Khalid Saleh, Eman Manan, Que Haidar, Pekin Ibrahim, Zulhuzaimy Marzuki, Mustaffa Noor, Ida Nerina, Fauziah Ahmad Daud, Manakala pelakon Hollywood seperti Robert De Niro, Marlon Brando, Montgomery Clift, James Dean, Eli Wallach, Viggo Mortensen dan Daniel Day Lewis.
Kemahiran mendengar secara aktif melibatkan RASA. Apa itu RASA? Menurut kamus Dewan Bahasa bermaksud perihal sesuatu yg dikecap oleh lidah, keadaan yg dialami oleh bahagian tubuh (kulit dll apabila kena sesuatu): ~ manis (tawar, masam, masin, dll); ~ pedih (sakit, ngilu, dll); 2. tabiat sesuatu benda yg menimbulkan rasa: gula manis ~nya; 3. = ~ hati keadaan hati terhadap sesuatu: ~ sedih (kecewa, pilu, senang, dll); 4. anggapan tentang baik buruk (salah benar dll), pendapat, fikiran: ~ adil dan saksama. RASA yang saya maksudkan ialah Receive, Appreciate, Summarise dan Ask. `Receive’ bermaksud memberikan sepenuh perhatian kepada apa yang didengarkan. `Appreciate’ ialah menghargai apa yang didengarkan. `Summarise’ ialah usaha untuk merangkumkan dan meyimpulkan makna yang tersurat dan tersirat, manakala `Ask’ ialah memastikan kita sentiasa bertanya soalan mengenai isu yang dibincangkan sebagai tanda kita memahami dan ingin tahu lebih lanjut.
Hidup kita adalah untuk mendengar. Mendengarlah secara aktif agar kita berupaya menikmati kehidupan kita, menghargai sekeliling kita baik secara zahir atau batin secara sebenarnya. Kemahiran mendengar secara aktif ini perlu diajar dan dilaksanakan sejak dari taska sehinggalah ke peringkat pengajian tertinggi agar kita dapat melahirkan insan yang peka dan memahami antara satu sama lain. Semoga hasrat Kementerian Pelajaran mahu menerapkan pendekatan Didik dan Hibur kepada murid ini akan segera difahami oleh para guru para pensyarah dan para pendidik. INSHA ALLAH KITA AKAN DAPAT MELAHIRKAN MASYARAKAT YANG SALING BERHUBUNG, MASYARAKAT YANG SALING MEMAHAMI DAN MASYARAKAT YANG HARMONI. Terima kasih kerana sudi membaca.
#jomdramatikakreatif
#teatermalaysia
#teatermemanusiakanmanusia
#https://grupteaterlab.blogspot.com
Comments