PENDEKATAN TINDAKBALAS RANTAIAN DOMINO EFFECT DALAM MEMAHAMI PLOT, PEMIKIRAN DAN HUBUNGAN ANTARA WATAK-WATAK DALAM DRAMA. KAJIAN KES; DRAMA `REMANG DI LORONG TUA’ KARYA OTHMAN HJ ZAINUDDIN
Andika Aziz Hussin
Universiti Malaysia Kelantan
andika@umk.edu.my
Pengenalan
Kejayaan sebuah pementasan teater dinilai melalui keupayaannya menyampaikan unsur dramatik; membangkitkan persoalan-persoalan yang boleh menimbulkan suspence, menjerat emosi dan mencambah minat penonton terhadap persembahannya. Kebanyakan pemain teater amatur tidak benar-benar `membaca' naskah drama tetapi sekadar melihatnya dan menghafalnya helaian demi helaian. Membaca yang dimaksudkan ialah memahami isi kandungan, tujuan, matlamat, hubungan dan mesej yang terkandung di dalamnya. Melafazkan dialog bukan sekadar membaca, menghafal dan kemudian melontarkan semula apa yang tertulis dalam naskah drama. Tugas pelakon bukan sekadar menghafal dan meluahkan semula dialog yang terkandung dalam naskah malah perlu membuat kajian terhadap isi kandungan naskah drama tersebut. Naskah perlu dianalisis atau dalam ertikata mudah `dibedah’. Proses menganalisis naskah drama bukan kerja yang mudah, memerlukan tenaga, keupayaan fokus yang tinggi serta teknik-teknik yang tertentu.
Teater berasal dari perkataan Yunani klasik iaitu theatron atau tempat untuk melihat. Teater adalah tempat untuk kita menyaksikan sesuatu peristiwa. Manakala drama juga berasal dari perkataan Yunani Klasik iaitu dran yang bermaksud `to do’, `to act’dan `action’. Menurut Robert Cohen (2008: 7); Drama is something done, an action. Theatre: something is seen; something is done; an action is witnessed . Aristotle melalui bukunya Poetic telah mengistilahkan drama sebagai an imitation of an action iaitu satu reproduksi mempersembahkan semula aksi-aksi oleh sekumpulan manusia. Sebuah drama yang baik mengandungi kumpulan aksi-aksi yang saling berinteraksi yang mengakibatkan konflik, himpunan konflik-konflik ini pula menimbulkan pertentangan-pertentangan yang membawa kepada kemuncak atau klimak dan penyelesaian. Justeru drama tidak boleh diwujudkan oleh seorang manusia sahaja sebaliknya melibatkan sekumpulan manusia di dalamnya. Aksi-aksi yang diwujudkan itu mengandungi konflik-konflik yang menyatakan secara jelas tentang kondisi manusia yang berada dalam tekanan.
Aristotle juga turut menyebut mengenai enam elemen penting yang perlu difahami dalam mementaskan sebuah drama iaitu plot, pemikiran, watak perwatakan, bahasa, muzik dan kekaguman. Kesemua enam elemen ini saling berkaitan dan berhubungan. Untuk memahami elemen-elemen ini memerlukan inspirasi, kebijaksanaan, imaginasi yang tinggi serta teknik-teknik yang pelbagai. Inspirasi, kebijaksanaan dan imaginasi itu adalah tertakluk kepada keupayaan diri individu tersebut. Teknik adalah alat atau pendekatan dan tidak ada teknik yang betul dan salah, terpulang kepada penerimaan individu.
Salah satu cadangan pendekatan untuk memahami plot, pemikiran dan hubungan antara watak dalam sebuah drama ialah pendekatan tindakbalas rantaian domino effect. Apakah yang dimaksudkan dengan Domino Effect? Ia adalah satu tindak balas rantaian yang terhasil apabila satu peristiwa yang berlaku mencetuskan satu peristiwa yang lain , perubahan tingkahlaku kepada satu tingkahlaku yang lain akan mengaktifkan reaksi berantai dan menyebabkan peralihan dalam tingkah laku yang berkaitan. Dalam membaca naskah, untuk membolehkan seorang pemain teater itu mengetahui mengapa terjadinya sesuatu peristiwa, ia perlu melihat kembali apa aksi yang berlaku sebelumnya yang menjadi penyebab kepada berlakunya peristiwa itu. Untuk mengetahui peristiwa yang sedang berlaku, pemain teater perlu menjelajah ke belakang mencari punca pencetus peristiwa itu dan cuba melihat perkaitan antara kedua-dua peristiwa itu. Merujuk kepada pendekatan Domino Effect ini, setiap tindakan yang berlaku ketika ini ada kaitannya dengan tindakan yang dibuat sejurus sebelumnya, manakala tindakan seterusnya pula akan ditentukan oleh tindakan ketika ini. Setiap yang berlaku ke atas diri seseorang itu adalah disebabkan oleh tindakannya yang lampau. David Ball (1983:14) menganggap jalinan perkaitan antara peristiwa-peristiwa ini seperti permainan domino; “An action is comprised of two events: a trigger and a heap. Each heap becomes the next action’s trigger, so that actions are like dominoes toppling one into the next. Sequential analysis means following the play domino by domino from start to finish.” Hanya dengan memahami punca peristiwa, kita berupaya menyampaikan pemikiran yang terkandung dalam naskah secara lebih berkesan.
Drama adalah satu kehidupan manakala pementasan drama pula adalah cerminan sebahagian kehidupan. Kehidupan yang tidak ada drama, adalah satu perjalanan kehidupan yang membosankan dan tidak bernyawa. Sama lah juga dengan pementasan drama tidak akan menjadi sebuah pementasan yang menghiburkan jika tidak berjaya memaparkan perkaitan peristiwa-peristiwa (dramatic element) yang berlaku secara jelas dan meyakinkan. Dalam aspek menganalisis drama, elemen dasar yang saling berkaitan dan perlu dilihat secara bersama iaitu plot, pemikiran, watak & perwatakan, bahasa, muzik (bunyi) dan tontonan (spectacle). Drama adalah mengenai aksi dan tindakbalas watak-watak terhadap konflik yang tersusun melalui plot. Setiap aksi dan tindakbalas itu pula melambangkan maksud pemikiran yang cuba disampaikan dalam drama. Setiap watak yang wujud ditetapkan lenggok bahasa atau diksi tertentu yang akhirnya membentuk satu irama (muzik) yang terzahir dalam bentuk penyampaian dialog. Maka apabila watak-watak ini divisualisasikan di atas pentas, disusunatur gerak blokingnya secara kemas maka akan terlihatlah unsur kekagumannya (Louise, E. Catron, 1989: 55).
Naskah drama umpama sebuah kereta yang mempunya enjin, tayar, cermin, kerusi dan lain-lain. Setiap darpadanya menjalankan fungsinya tersendiri dan perlu ada secara bersama, tanpa salah satunya maka sebuah kereta tidak akan sempurna sifatnya. Begitu juga dengan sebuah drama. Untuk memahami sebuah drama, pengkaji perlu meneliti maklumat lain mengenai penulis drama tersebut seperti latarbelakang diri penulis, era tahun penulisannya, latar pendidikan penulis dan hasil penulisannya yang lain. Semua perkara ini sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran dan cara penulis menulis dramanya (Ball, 1983: 81). Selain itu, kita juga perlu mengkaji aspek-aspek intrinsik yang ada di dalam drama yang dikaji. Tajuk, tarikh penulisan atau penerbitan drama, nama-nama watak, fungsi setiap watak, bahasa dan intensi penulis adalah perkara-perkara asas yang perlu dilihat dalam sebuah drama (Rodgers. 1995: 46-49).
Aspek pertama yang perlu dikaji dalam drama Remang Di Lorong Tua karya Othman Haji Zainuddin (1987) ialah mengumpul sebanyak mungkin maklumat-maklumat asas yang berkaitan. Tajuk menjadi asas pertama dalam menganalisis sebuah drama. Biasanya tajuk berupaya menjelaskan tema atau pemikiran yang cuba disampaikan oleh penulis;
“When we start analyzing plays we like to start by examining the title. Quite often titles can reveal the playwright’s dominant theme.”
Rodgers, 1995:46
Dalam drama REMANG DI LORONG TUA, tajuk tersebut telah menjelaskan keseluruhan pemikiran dalam drama ini. Dalam mencari pengertian maksud setiap perkataan tersebut, perlu disesuaikan makna dan maksud dengan penceritaan yang disampaikan. Perkataan `REMANG’ bermaksud remang-remang agak gelap (kelam), kabur, samar muka, redup, keremangan suasana (keadaan) yg remang (kelam, kabur), senja. Lorong pula dapatlah dimaksudkan sebagai jalan kecil dan biasanya ada rumah di kiri kanannya. Lorong juga dimaksudkan sebagai laluan kehidupan manusia yang penuh dengan pelbagai peristiwa. Manakala tua pula bermaksud sudah lama, sudah ada sejak masa lampau (dahulukala), kuno, sudah larut (malam)dan Bangka; orang yang sangat tua tetapi buruk perangainya. Kesimpulannya maksud tersurat tajuk drama RDLT ini ialah Jalan Kecil Yang Kelam, Tidak Bermaya dan Usang. Secara tersiratnya dapatlah dimaksudkan sebagai kehidupan manusia yang penuh dengan pelbagai kisah duka dan tragis, sikap dan perangai manusia yang pelbagai rupa dan wajah.
Mungkin ada penonton yang pernah membaca naskah drama ini atau pernah pergi menonton persembahan drama ini yang dipentaskan oleh produksi yang lain. Namun ia masih tidak akan sama. Penonton selalunya tidak akan mengetahui bagaimana cerita yang bakal dipersembahkan. Justeru itu, penonton seharusnya diberikan maklumat-maklumat tertentu sebagai pendedahan awal. Pemberian maklumat-maklumat ini disebut sebagai pendedahan informasi (Ball, 1983:39). Proses pendedahan informasi terbahagi kepada dua jenis iaitu yang pertama ialah pendedahan maklumat yang sudah sedia maklum oleh semua watak di atas pentas iaitu latar di mana peristiwa itu berlaku, latar waktu (siang atau malam) dan peristiwa yang sedang terjadi ketika itu. Penulis telah menerangkan latar peristiwa dan tempat dengan begitu jelas dan detail. Ini kelihatan dalam arahan drama di awal permulaan cerita (mks.3);
Di lorong sempit (Lewat petang)
Apabila lampu pentas diterangkan, kelihatan di dalam suram, sebatang lorong di celah-celah bangunan tinggi yang usang. Sebahagian dari rumah-rumah di bangunan itu menjadi latar belakang pentas. Tingkap dan pintunya kelihatan usang dan buruk. Di bahagian bawah bangunan itu terdapat warung-warung yang didirikan berhimpit-himpit pada dinding batu bangunan itu. Warung-warung itu bermacam-macam jenisnya dari yang menjual makanan sehinggalah kepada yang menjual barang-barang besi`second-hand’ dan barang ganti kenderaan seperti motosikal dan basikal.
Keadaan lorong itu kelihatan begitu mundur dan sepi.Tiang lampu yang menerangi sekitarnya pun adalah dari jenis lama yang telah lama tidak ditukar-tukar. Ada beberapa tiang yang hanya mempunyai lampu tetapi tidak menyala. Keadaan bangunan serta pondok-pondok setinggan di lorong itu pun begitu uzur dan tidak terurus. Lorong itu seperti sebuah daerah, didiami oleh penduduk yang dilupakan oleh masa.
Sebuah masjid using terletak di tengah-tengah lorong itu. Ada sebuah pintu besar yang juga using di hadapoan masjid itu. Pintu itu akan ditutup bila hari telah jauh malam dan tidak ada orang lagi yang datang ke masjid itu.
Ketika lampu pentas hampir dihidupkan terdengar bunyi ketuk-ketuk yang amat kuat bersahut-sahutan, berselang-seli seperti orang sedang bertukang. Suara orang kedengaran begitu ramai.
Lampu diterangkan perlahan-lahan. Dalam suram sudah kelihatan kelihatan orang ramai berkerumun dihadapan sebuah kedai yang kelihatannya seperti sebuah kelab hiburan. Di atas pintu kedai itu ada papan tanda ‘Disko Lorong Manusia’. Di sebelah pintunya tertera sebuah papan tanda berilusi wajah wanita yang seksi bertulis ‘Hiburan Malam Ini. Penyayi Seksi Dari Hong Kong dan Pertunjukan Miss Julie yang Mengghairahkan’ orang ramai di situ kelihatan sedang cuba meruntuhkan papan tanda dan memaku pintu kelab hiburan itu. Diantaranya kelihatan Muda Hasyim, Awang Lebai Mat dan beberapa orang lagi penduduk lorong itu.
Setiap keadaan diperincikan sehinggakan latar tempat dapat digambarkan dengan begitu baik, memberikan informasi dan refleksi terhadap tajuk drama secara umumnya.
Watak dalam drama adalah tunjang sebuah drama. Apabila seorang pengarah memahami sesuatu watak dalam drama mudah untuknya membuat penilaian dalam proses mencari pelakon (casting) untuk memegang watak berkaitan. Pemahaman terhadap keperluan watak, pemikiran serta matlamat watak akan menjadikan proses latihan lebih berkesan dan pelakon pula dapat menciptakan wataknya dengan baik. Nama watak-watak juga ada kalanya memberikan maksud mengenai ciri-ciri watak namun bukan satu kewajiban dalam semua drama untuk berbuat demikian. Dalam drama RDLT, nama-nama watak utama yang spesifik disebutkan penulis seperti LONG MAT HASAN, AWANG LEBAI MAT, MUDA HASYIM, SYAMSIR, ZALEHA, AISYAH, manakala watak-watak lain tidak disebutkan nama watak secara spesifik. Penetapan nama watak sebagai penanda bahawa watak itu penting dan telah dijelaskan jantinanya serta ciri perwatakan secara umum oleh penulis. Nama-nama yang diberikan penulis secara spesifik ini perlu dikaji maksud dan makna di sebaliknya. Kadangkala ia berupaya memberikan satu pandangan umum mengenai sifat dan asal usul watak. Perkataan `LONG’ pada nama LONG MAT HASAN umpamanya berasal dari perkataan “sulong” iaitu anak sulong. Sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat Melayu, anak sulong dipanggil “long”, ”kak long” atau “abang long”. Ada juga pendapat yang mengatakan perkataan “Long” itu berasal daripada perkataan bahasa Siam ”Luang” yang bererti “Putera”. Ini berasaskan hakikat bahawa semua anak-anak lelaki diberi pangkal nama “Long” tanpa mengira samada anak sulong atau tidak . `MAT’ pula adalah singkatan kepada nama `MUHAMMAD’ mengikut kebiasaan masyarakat orang melayu yang suka memanggil nama seseorang secara kependekan. `MUHAMMAD’ bermaksud `dia yang terpuji’. Manakala nama `HASAN’ berasal dari kata bahasa Arab iaitu `baik’. Secara umumnya, pengertian nama LONG MAT HASAN ialah anak lelaki sulung yang baik dan terpuji. Sehubungan itu, ciri-ciri watak LONG MAT HASAN yang tidak disebut tetapi masih sesuai dengan keperluan dalam drama RDLT adalah anak sulung lelaki yang baik dan terpuji sifatnya. Ini boleh kita buktikan melalui dialog-dialog LONG MAT HASAN yang kebanyakannya bersifat lembut dan merendah diri. Lihat contoh berikut;
LONG MAT HASAN: Atuk melihat, dari mata hati atuk. Dari pemikiran atuk. Dari telinga atuk. Dari perasaan atuk. Atuk dapat melihat menembusi tembok batu itu. Menembusi pagar besi di hadapan masjid itu… menembusi tubuh kamu… menembusi hati kamu… jiwa kamu…
(RDLT,1987:6)
LONG MAT HASAN: Atuk buat. Dalam lakonan atuk sindir kebodohan mereka. Atuk ajak kawan-kawan atuk buat cerita Hang Tuah. Atuk besarkan watak Hang Jebat sebagai pemberontak yang menentang pemerintahahan yang tidak adil…
(RDLT, 1987: 8)
LONG MAT HASAN: Tuan, tolonglah tuan. Saya tidak berniat merosakkan anak-anak ini dengan biola saya. Saya sekadar ingin menghiburkan mereka. Mereka anak-anak yang baik. Saya ingin bentuk hati mereka dengan hiburan yang bermakna. Saya jumpa mereka sedang beramai-ramai melontar batu ke rumah kosong di hujung simpang itu. Saya ajak mereka ke mari mendengar syair saya… saya ingin membentuk mereka dengan seni ini. Seni lagu yang halus, supaya mereka sedar, supaya mereka insaf, bahawa mereka punya tanggungjawab sebagai manusia terhadap manusia di bumi Tuhan ini…
(RDLT, 1987: 10)
Turut dinyatakan bahawa LONG MAT HASAN bukanlah sejak lahir dijadikan sebagai manusia yang baik sifatnya. Beliau adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan dan dosa. Sesuai dengan sifat sebagai manusia biasa yang kadang-kadang terlupa dan terleka. Disebut bahawa sebelum beliau menjadi buta adalah seorang seniman anak wayang yang popular. Namun selepas berlaku kemalangan yang menyebabkan beliau menjadi cacat dan buta lantas beliau menyesal, menyedari akan dosanya dan akhirnya bertaubat;
LONG MAT HASAN: Saya kadang-kadang menyesali hidup saya ini. Apakah pahala yang sudah aku lakukan? Aku jahil. Jahil segala-galanya. Hingga membaca doa pun aku tidak begitu fasih. Mujur saya belajar sembahyang ketika terlantar di hospital.
(RDLT, 1987: 32)
Setiap watak dalam drama mempunyai fungsi dan peranannya sendiri sekaligus membantu pelakon untuk mencipta peranan wataknya dengan lebih berkesan. Secara umumnya dalam sebuah drama wujudnya peranan dan fungsi watak seperti;
a) Protagonist – watak utama (central character) yang menjadi fokus perjalanan sebuah cerita dalam drama. Plot penceritaan adalah berfokus kepada keinginan dan matlamat watak ini. Biasanya hanya ada satu watak protagonis dalam sebuah drama. Dalam drama RDLT watak utama sebenar cerita ini berfokus kepada AWANG LEBAI MAT kerana perjalanan kisah keseluruhan drama adalah bertumpu kepada watak ini. Walaupun ulasan cerita ini disebutkan mengenai kisah LONG MAT HASAN namun apabila dibaca secara teliti, kisah mengenai LONG MAT HASAN tidak begitu menonjol berbanding dengan kisah hidup AWANG LEBAI MAT. Malah watak ini juga paling banyak muncul dalam drama ini.
b) Antagonis – watak utama yang menentang keinginan dan matlamat yang ingin dicapai oleh watak protagonis. Ia boleh sahaja seorang atau lebih daripada seorang. Ia bukanlah watak jahat seperti yang difahami oleh kebanyakan daripada kita. Watak ini adalah watak yang menghalang watak protagonis daripada mendapatkan apa yang dihajatinya. Kepada watak protagonis, watak antagonis adalah watak jahat sebab dia menghalangnya daripada mencapai apa yang dihajatinya. Dalam drama RDLT, watak antagonis kepada AWANG LEBAI MAT adalah seperti berikut;
i. LONG MAT HASAN – watak pemain muzik yang dianggapnya sebagai
pembawa malapetaka kepada kehidupan masyarakat di lorong
tersebut.
ii. MUDA HASYIM – watak alim yang dianggap AWANG LEBAI MAT sebagai
orang yang sering tidak sependapatnya mengenai bab hukum agama mengenai seni muzik.
iii. SYAMSIR – watak anak kepada AWANG LEBAI MAT yang menentang
prinsip, kemahuan dan keinginannya.
iv. AISYAH – watak isteri LONG MAT HASAN yang cantik dan digilai oleh
AWANG LEBAI MAT. Beliau menolak cinta AWANG LEBAI MAT.
c) Raisonneur – watak yang wujud dan berperanan sebagai wakil kepada penulis. Ia menjadi penyampai mesej dan falsafah pemikiran penulis. Dalam drama RDLT, penulis telah mewujudkan watak-watak JEMPUTAN 1, 2 dan 3 dan dialog-dialog mereka seperti berikut;
JEMPUTAN 1: Di rumah imam ada nasyid dan Long Mat Hasan bermain biola.
JEMPUTAN 2: Tak salah ke bermain muzik? Khabarnya di lorong ni diharamkan bermain muzik?
JEMPUTAN 3: Yang mengharamkan tu Lebai Mat. Imam tidak. Katanya, dalam kita mengingat Tuhan tidak salah sekali-sekala kita berhibur. Nabi sendiri berhibur.
JEMPUTAN 2: Nabi berhibur macamana? Takkan Nabi mendengar orang menyanyi?
JEMPUTAN 3: Kau tak tahu sirah Nabi. Menurut riwayat Bukhari dan Muslim, pada suatu hari isteri Rasulullah Aisyah hendak ke majlis perkahwinan kerabatnya di rumah orang Ansar, Nabi bertanya, sudahkah kamu sediakan orang menyanyi untuk majlis itu, kerana orang-orang Ansar itu suka pada nyanyian? Kalau Nabi tak suka pada nyanyian dan hiburan serupa itu, tentu dia telah menghalang Aisyah dari menghadiri majlis itu.
JEMPUTAN 1: Itu hanya salah satu peristiwa… ada banyak peristiwa lain yang menghubungkan Nabi turut sama berhibur… Nabi berkata ikutlah Sunnah aku, kerana mereka yang tidak mengikutinya adalah bukan umatku… mengapa dalam hal berhibur ini kita cuba menentangnya, seperti Lebai Mat… Tuhan tak suka kita berlebih-lebihan.
(RDLT, 1987: 49)
c. Utility – watak-watak yang diwujudkan untuk menjelaskan suasana dan persekitaran. Contohnya rumah orang kaya wajib ada tukang kebun, orang gaji, pengawal keselamatan dan lain-lain. Ia mewakili lambang sesuatu kumpulan dalam masyarakat. Lambang kumpulan ini perlu diletakkan dan disusun secara serius bagi melambangkan sesuatu keadaan atau latar suasana. Sebagai contoh dalam kawasan hospital, watak-watak yang wajib ada di dalamnya ialah watak doktor, jururawat, pesakit, tukang kebun dan atendan hospital. Dalam drama RDLT ini watak-watak stock seperti ORANG-ORANG YANG BERARAK diwujudkan dalam majlis perkahwinan, maka watak-watak yang perlu ada seperti berikut; orang kampung, pemukul kompang sempena meraikan majlis perkahwinan, kanak-kanak, pemegang bunga manggar yang menyerikan majlis keraian dan lain-lain.
d. Stock – watak-watak stereotaip adalah watak-watak yang cliché dan menjadi refleksi prejudisme masyarakat. Dalam drama RDLT disebutkan ada warung kedai makan, kedai menjual barang terpakai dan barang ganti kenderaan, masjid dan lain-lain. Makanya watak-watak yang menghuni warung kedai, pengunjung masjid, pemilik kedai harus diwujudkan agar suasana latar yang digambarkan akan menjadi lebih `hidup’ dan berfungsi.
Penulis telah memberikan maklumat asas mengenai setiap watak yang ada di dalam drama RDLT. Dalam kajian ini contoh watak yang difokuskan adalah kepada AWANG LEBAI MAT. Watak AWANG LEBAI MAT sebagai seorang yang bersikap extreme tetapi kalah bila berhadapan dengan kecantikan seorang perempuan. Berumur lebih kurang 45 tahun, gempal tubuhnya dan cepat marah. (Othman Hj Zainuddin. 1987: 1). Penjelasan perwatakan AWANG LEBAI MAT dinyatakan secara umum sahaja. Sebagai pemain teater, perlu ditanyakan pelbagai soalan terhadap ciri-ciri perwatakan yang disebutkan itu dengan menggunakan teknik 5W1H seperti yang telah disebutkan sebelum ini. Pengkajian perlu melihat lebih kepada sifat-sifat diri yang dimiliki watak. Sebagai contoh mengapa AWANG LEBAI MAT dikatakan seorang yang bersikap extreme tetapi tahap extreme yang bagaimana dan mengenai apa? Bagi menjawab persoalan ini, kita perlu meneliti setiap dialog yang diucapkan oleh semua watak-watak di dalam drama ini kerana di dalam pengucapan dialog ini ada terselit maklumat yang menjelaskan perincian sifat perwatakan watak. Sebagai contoh;
Ketika lampu pentas hampir dihidupkan terdengar bunyi ketuk-ketuk yang amat kuat bersahut-sahutan, berselang seli seperti orang sedang bertukang. Suara orang kedengaran begitu ramai.
Lampu diterangkan perlahan-lahan. Dalam suram sudah kelihatan orang ramai berkerumun di hadapan sebuah kedai yang kelihatannya seperti sebuah kelab hiburan. Di atas pintu kedai itu ada papan tanda `Disco Lorong Manusia’. Di sebelah pintunya tertera sebuah papan tanda berilustrasi wajah wanita yang seksi bertulis `Hiburan Malam ini – Penyanyi Seksi Dari Hong Kong dan Pertunjukan Miss Julie yang Mengghairahkan’. Orang ramai di situ kelihatan sedang cuba meruntuhkan papan tanda dan memaku pintu kelab hiburan itu. Di antaranya kelihatan Muda Hasyim, Awang Lebai Mat dan beberapa orang lagi penduduk lorong itu.
Imam Muda Hasyim menyudahkan kerjanya memaku pintu kelab itu dengan selak papan sebelum beredar. Awang lebai Mat masih juga berdiri di hadapan pintu yang sudah terpaku rapat itu.
MUDA HASYIM:Sudahlah kita balik, Lebai Mat Kerja kita dah selesai. Punca maksiat ini sudah kita tutup. Anak-anak muda lorong ini akan amanlah dari segala pengaruh yang merosakkan mereka.
AWANG LEBAI MAT: Puas hati saya kerana dapat menutup tempat laknat ini. Tetapi saya kehilangan seorang anak. Syamsir tidak akan pulang lagi ke kampung ini. Syamsir akan pergi terus. Dia akan berambus dengan budak-budak muzik itu dan tidak akan balik-balik lagi. Biar dia mampus.
MUDA HASYIM: Kalau ada masa kita pujuk dia balik.
AWANG LEBAI MAT: Dia tak balik pun tak apa imam. Biar dia lingkup bersama-sama kelab jahanam ini.
(RDLT, 1987:3-4)
Informasi yang dapat difahami melalui dialog tersebut menjelaskan AWANG LEBAI MAT amat marah dengan kelab malam dan apa saja yang ada kaitannnya dengan seni muzik kerana itu menjadi punca dia kehilangan anaknya SYAMSIR. Sebagai contoh sikap benci yang teramat sangat AWANG LEBAI MAT terhadap kelab hiburan tersebut menimbulkan pertanyaan kepada penonton/pembaca. Mengapa beliau begitu marah? Ini dapat dilihat melalui arahan awal dalam drama ini;
Orang ramai yang mengerumuni kelab itu bersurai… Tinggal Awang Lebai Mat seorang diri. Dia berdiri seketika. Dipandangnya kelab itu dengan muka marah dan mencebik. Sejurus diambilnya batu lalu dilontarkannya ke cermin kelab itu hingga pecah. Lebai Mat rasa puas, mengibas-ngibas tangannya lalu berjalan pergi.
(RDLT, 1987;5);
AWANG LEBAI MAT: Budak-budak? Dari mana datang budak-budak ni? Dan orang tua itu. Dengan alat celaka itu, membawa budak-budak itu ke mari. Alat celaka itu sekali lagi datang ke lorong ini. Sekali lagi akan menghantui penduduk tempat ini. Dengan bunyinya yang memukau… dengan bunyinya yang berhantu… menjadikan semua orang leka dan khayal… menjadikan anak-anak muda rosak dan binasa… alat celaka itu dibawa masuk sekali lagi ke lorong ini… oleh orang tua celaka itu… ah… sungguh celaka petang ini… (Bertempik) Hoi… berhentikan ini semua.
(RDLT, 1987: 9)
BUDAK A: Lebai mat pun salahkan semua budak muzik. Katanya budak muziklah yang menyebabkan anak dia rosak. Padahal Syamsir main muzik pun tak pandai. Syamsir bercampur dengan budak-budak kutu.
(RDLT,1987: 15)
BUDAK D: Tapi aku dengar Lebai Mat kata tadi biola barang jahanam… alat maksiat yang berhantu.
BUDAK A: Berhantu bagi Lebai Mat. Kerana anaknya dah jadi kacang hantu.
(RDLT, 1987: 16)
AWANG LEBAI MAT: Budak – budak tu. Anak paling celaka zaman sekarang ni… Bila anak- anak kamu semuanya jadi kurang ajar. Semuanya jadi biadap dan sanggup melalui perintah orang tua. Bila mereka dah jadi macam budak-budak tu… dah jadi liat macam akar bakau yang tak boleh dibentuk lagi….Ada penyakit dari luar yang menjangkiti anak-anak muda kita sekarang ni.Kita baru saja merasa lega dengan perginya sekumpulan kutu embun yang berjaya kita halau dari sini dahulu…Syamsir yang hilang tidak kembali itu… adalah gejala dari pengaruh kebudayaan kotor yang dibawa dari luar ke lorong ini… saya rela anak saya seorang diri jadi mangsa… saya rela anak saya jadi korban…
(RDLT, 1987: 17 & 18)
Ciri-ciri perwatakan extreme AWANG LEBAI MAT juga dipaparkan sebagai terlampau dan membuta tuli, tidak berpaksikan hukum dan landasan ilmu, tetapi lebih kepada menurut emosi dan kehendak hati sahaja. Tindakan dan cara berfikir AWANG LEBAI MAT ini secara tidak langsung turut menjadi simbol sindiran penulis terhadap kelompok masyarakat yang terlalu extreme membenci sembarangan;
AWANG LEBAI MAT: …suara yang keluar dari alat itu telah merosakkan jutaan anak muda seperti kamu di seluruh dunia… (RDLT. 1987: 10)
AWANG LEBAI MAT: (Mencebik) Penyair rupanya… nak membentuk mereka… mengajar mereka? Dengan benda laknat itu. Benda yang merosakkan jutaan anak muda di seluruh dunia. Tanyakan pada semua orang. Mana ada anak muda yang terbentuk jiwa mereka yang halus dengan benda maksiat itu, dengan syair yang terkutuk? Melainkan mereka menjadi liar. Mereka membentuk semacam kebudayaan yang merosakkan tamadun kehalusan budi manusia sejagat… lihat kumpulan hippies… punk… kumpulan anti agama… kumpulan muzik rock… pemuda berpakaian perempuan… dadah… zina… hasil dari apa?... dari itu. Barang laknat itu. Syair laknat itu. Barang yang paling jahanam itu juga telah merosakkan anakku…
(RDLT. 1987: 10)
AWANG LEBAI MAT: Ya, membawa biola dan mengeseknya… Menggesek biola itu di hadapan anak-anak kampung ini. Belum beberapa jam dia pergi… budak-budak itu sudah belajar jadi jahat…
(RDLT, 1987: 19)
AWANG LEBAI MAT: Ya… kerana orang tua penggesek biola tu. Kerana suara biola yang merdu mendesing dan memukau kalbu itu. Menyebabkan anak-anak kita khayal… anak-anak kita lupa daratan. Hilang pertimbangan keimanan dan hormat orang tua…
(RDLT, 1987: 19)
AWANG LEBAI MAT: …Aku menganggap biola dan alat-alat seumpamanya adalah perkara yang paling malang sekali jika ia berada di tangan manusia di dunia ini.
(RDLT, 1987: 19)
AWANG LEBAI MAT: Hiburan adalah perkara yang sehabis sial di dalam dunia ini.Kita hidup bukan untuk berhibur. Berhibur menjadikan manusia rosak, macam anak aku Syamsir… Syamsir tidak pulang ke rumah kerana terlalu mabuk berhibur. Syamsir kehilangan status sebagai manusia kerana terlalu banyak berhibur…
(RDLT, 1987: 20)
AWANG LEBAI MAT: Habis kita tak usah sembahyang? Tak usah beragama lagi?
MUDA HASYIM: Apakah agama itu terletal pada tempat? Bukan pada hati dan iktikad kamu?
AWANG LEBAI MAT: Tapi masjid itu akan dirobohkan. Tidakkah itu satu pencabulan. Satu penghinaan kepada agama.
MUDA HASYIM: Jika masjid itu dibiarkan sedangkan kita disuruh pindah, sedangkan di sekitarnya menjadi tempat maksiat, lebuhraya yang penuh dengan berbagai kemungkinan sehingga masjid jadi begitu terpencil juga adalah satu penghinaan.
(RDLT, 1987: 21-22)
AWANG LEBAI MAT: Dalam urusan agama, kita tak boleh bertanya. Setiap hokum adalah muktamad. Setiap pertanyaan adalah tanda ingkar. Setiap yang ingkar itu munafik. Setiap orang yang munafik bererti melawan kehendak Tuhan… bila melawan kehendak Tuhan ertinya murtad. Dan oarng yang murtad, mengikut Islam wajib dibunuh.
(RDLT, 1987: 37)
AWANG LEBAI MAT: Kami bukan penyair. Penyair tidak ada dalam Islam. Penyair adalah dilaknat oleh Tuhan. Penyair yang pandai memutarbelitkan kata-kata, bermain dengan lidah… mempesona dengan kata-kata indah… tetapi membawa manusia khayal dan munafik. Seperti alat yang Long pegang itu. Alat Yahudi. Alat penyair Yahudi memainkan lagu-lagunya. Yang mempesonakan… mengkhayalkan… seperti dadah, seperti madat, seperti arak dan segala yang terkutuk… itu semua adalah mukaddimah kepada maksiat yang lebih jahanam… zina, pembunuhan, rompak, curi, kejatuhan akhlak dan moral… semuanya berpunca dari itu… segala yang dikatakan indah itu… segala yang dikatakan seni. Segala yang lunak, segala yang halus. Itu… lambang segala maksiat… alat itu.
(RDLT, 1987: 38)
AWANG LEBAI MAT: Itu adalah permainan syaitan… permainan syaitan. Siapa saja yang bermain dengannya adalah sahabat syaitan. Siapa saja yang berjinak kepadanya sama dengan berjinak dengan syaitan. Biar berapa halus dan indah bunyinya sekalipun, kerana setiap yang halus dan indah itu adalah tempat syaitan bertakhta.
(RDLT, 1987:38)
Terdapat juga informasi-informasi yang tidak dinyatakan secara jelas oleh penulis mengenai watak. Sebagai pengkaji, kita perlu membaca setiap dialog watak-watak untuk mencungkil sebanyak mungkin maklumat-maklumat yang berkaitan dengan watak-watak yang ada. Melalui pengucapan dialog oleh watak-watak ini adakala menjelaskan sikap, prinsip dan ciri perwatakan watak dengan lebih jelas. Sebagai contohnya monolog SYAMSIR turut menjelaskan sikap dan perwatakan AWANG LEBAI MAT sebagai seorang yang berpura-pura alim, garang melulu, sering bertindak semberono,pentingkan diri dan tidak pandai mendidik anak;
SYAMSIR: Ayahku halau aku dari lorong ini… ayah aku halau aku dari rumahku di sini… kerana ayahku malu… malu aku hisap dadah sedangkan dia orang masjid… orang alim…tapi dia alim cuma untuk dirinya sendiri… cuma untuk lepaskan dirinya. Dia tak pedulikan aku. Dia cuba sekat aku macam ayam laga… macam lembu dalam kandang. Tapi dia tak faham perasaan aku macam manusia. Dia nak mengajar aku seperti dia mengajar kerbau. Pakai maku hamun, pukul dan herdik.
(RDLT, 1987; 52)
Begitu juga melalui dialog antara SYAMSIR dan AWANG LEBAI MAT menjelaskan lagi sikap dan perangai buruk AWANG LEBAI MAT yang tidak disebut diawal cerita di mana AWANG LEBAI MAT seorang kaki perempuan, bermulut manis bila berdepan dengan perempuan cantik, berselindung di sebalik kopiah dan penampilan lebainya;
SYAMSIR: Apa yang ayang takutkan kepada kesepian? Ayah boleh kahwin lagi. Kan ayah suka kahwin cerai, kahwin cerai? Bila ayah suka ayah kahwin dengan orang tu, bila ayah tak suka ayah kahwin dengan lain, nanti bila ayah tak suka lagi ayah ceraikan lagi. Kan Lebai macam ayah senang dapat jodoh… Ayah sendiri pun sanggup pergi kepada ayah Leha dan kata, anak saya penagih dadah, jangan kahwinkan anak awak dengan anak saya… nanti anak awak tak makan.
(RDLT, 1987: 53)
SYAMSIR: …Ayah jadikan perkahwinan satu keseronokan. Surat nikah ayah jadikan alasan untuk menutup dosa berbuat jahat. Tapi ayah tak tahu macamana emak menderita di kampung… dan isteri-isteri ayah yang lain… semuanya bertaburan di sekitar bandar ini dan di tempat-tempat lain… ada yang menjual maruah untuk menyara hidupnya sendiri…
(RDLT, 1987: 54)
Begitu juga dengan dialog BUDAK B yang turut menjelaskan sikap kepura-puraan AWANG LEBAI MAT yang kononnya alim;
BUDAK B: Kalau SYAMSIR baik, tentu pak imam terima dia. Pak imam tu baik orangnya. Boleh lebih kurang. Tapi Lebai Mat nak tunjuk sangat dia orang alim. Sebenarnya dia tak tahu apa pun.
(RDLT,1987: 48)
AWANG LEBAI MAT: Aisyah telah melembutkan hati saya. Aisyah telah melunakkan hati saya. Saya kalah dengan kelembutan Aisyah… percayalah… saya kalah… saya teringat selalu pada Aisyah. Setiap tidur saya, saya termimpikan Aisyah, setiap jaga saya, saya terbayangkan Aisyah.
(RDLT, 1987: 66)
AWANG LEBAI MAT juga diperlihatkan menggunakan unsur agama untuk menghalalkan niat dan rancangan jahatnya;
AWANG LEBAI MAT: Ingat firman Allah… memberi sedekah hukumnya sunat… menerimanya wajib… menolaknya berdosa
(RDLT, 1987:58)
AWANG LEBAI MAT juga disebut oleh penulis sebagai orang yang lemah kepada kecantikan perempuan dan sifat ini perlu diselami untuk mengetahui secara lebih mendalam agar dapat memahami maksud sifat tersebut. Ini dapat dilihat sejurus AWANG LEBAI MAT memecahkan biola milik LONG MAT HASAN, muncul AISYAH dengan meluru menangis memeluk suaminya LONG MAT HASAN dan merayu meminta belas kepada AWANG LEBAI MAT;
Melihat wajah AISYAH, LEBAI MAT menjadi tak tentu arah. Sejurus dia tergamam melihat kecantikan wajah AISYAH. Dia mengesat matanya beberapa kali dan cuba membuang mukanya.
(RDLT, 1987:40)
JIRAN 2: Kenapa Lebai Mat. Kenapa Lebai Mat tiba-tiba saja berubah. Tadi berapi-api hendak bertindak?
(RDLT, 1987: 41)
Dialog-dialog berikutnya menjelaskan lagi sifat dan ciri perwatakan AWANG LEBAI MAT yang mata keranjang, pandai bermain kata-kata serta sanggup berbuat apa sahaja untuk memenuhi kehendak nafsunya;
AWANG LEBAI MAT: Saya tak boleh berkeras kepada seorang perempuan seperti AISYAH… Tapi bila saya pandang AISYAH… saya kembali sedar akan diri saya. Saya kembali tenang dan jiwa saya kembali aman. AISYAH, awaklah satu-satunya orang dalam lorong ini yang dapat mententeramkan jiwa saya.
(RDLT, 1987: 56)
AWANG LEBAI MAT: Long Mat Hasan selalu marah awak? Hai orang tua tu, tak bersyukur langsung. Awak tak sepatutnya dimarah dan tak sepatutnya diperhambakan supaya membuat kopi dan menyediakan makanan. Seorang suami harus menyediakan secukupnya untuk isterinya. Tidakkah awak tahu, isteri adalah perhiasan dalam rumah?
(RDLT, 1987: 57)
AWANG LEBAI MAT: Wajah seperti awak ni, sepatutnya tinggal di rumah yang selesa dan mendapat layanan sebagai seorang isteri yang mulia….Kalaulah awak isteri saya, Aisyah… saya salut tubuh awak dengan pakaian yang indah-indah… rumah saya kan menjadi lebih berseri dengan kehadiran awak… kedai ini akan saya perbesarkan dan saya namakan dengan nama awak… supaya bila saya mati kelak, awak tidak akan hidup melarat.Sudah ada jaminan untuk masa depan awak… harta saya seluruhnya untuk awak, kerana saya tidak ada saudara mara… saya akan wasiatkan harta-harta saya kepada awak lebih dulu sebelum saya mati, kerana saya tidak mahu anak laki-laki saya mewarisi harta saya dan awak tak dapat bahagian awak. Tapi selagi ada sisa hidup ini untuk kita lalui bersama-sama, saya akan bawa awak ke Mekah… melawat Madinah, ke makam Rasul dan kita ke Timur Tengah…ah… impian… impian… impian belaka…Aisyah.
(RDLT, 1987: 58)
Begitu juga dari sudut penggunaan bahasa oleh setiap watak-watak dalam drama ini juga menjelaskan ciri-ciri perwatakan watak dan makna dalam pemikiran drama ini; “Speeches themselves offer important clues to both character and meaning.”(Rodgers,1995: 48). Setiap watak memperlihatkan penggunaan irama dan bahasa yang sesuai dengan perwatakan masing-masing. AWANG LEBAI MAT banyak menggunakan bahasa kasar dan bernada tinggi;
AWANG LEBAI MAT: Hiburan itulah perkara yang habis sial dalam dunia ini. Kita hidup bukan untuk berhibur. Berhibur menjadikan manusia rosak, macam anak aku Syamsir…Syamsir tidak pulang ke rumah kerana terlalu sibuk mabuk berhibur. Syamsir kehilangan status sebagai manusia kerana terlalu banyak berhibur. Ah, sudahlah…kita anggap Syamsir tidak ada. Mari kita musnahkan segala punca, segala malamg yang bakal jatuh di lorong ini. Kita hancurkan punca itu dulu dan berdoa kepada Tuhan supaya dapat dihindarkan malapetaka itu.
(RDLT, 1987:20)
Manakala MUDA HASYIM pula lebih tenang, berhemah tutur katanya serta bijak tuturkatanya tidak menurut nafsu kerana latar didikannya yang tinggi;
MUDA HASYIM: Kau selalu tersalah terima. Apakah ini tempat kita? Layakkah kita tinggal dalam tempat serupa ini? Aku berjuang untuk mendapatkan tempat yang lebih sempurna untuk kamu tinggal. Di perkampungan yang lebih selesa, supaya anak-anak kita dapat kita ajar dengan lebih baik, supaya keturunan kita dapat membesar dalam suasana yang lebih tenteram, lebih aman dan lebih bersih dari tempat ini. Aku tidak mahu membiarkan perasaanku menguasai pertimbangan sehingga mengorbankan segala kebaikan yang harus aku terima di dunia ini.
(RDLT, 1987:23)
Nada dan irama kata watak LONG MAT HASAN lebih merendah diri, mungkin kerana sifat dan perwatakannya yang agak kekurangan dan cacat;
LONG MAT HASAN: Saya tidak tahu, imam. Saya jahil. Saya hanya tahu bermain alat ini dari semenjak saya buta pada masa saya muda dulu. Saya dibesarkan bukan dari kalangan agama. Saya tidak bernasib baik seperti imam mendapat didikan agama yang cukup dan telah menempah tempat di syurga kerana hidup sebagai imam.
(RDLT, 1987: 31)
AISYAH dan ZALEHA dua watak wanita dalam drama ini diperlihatkan sebagai typical wanita muda melayu yang sentiasa taat dan patuh kepada adat, hukum dan pantang larang agama. AISYAH isteri kepada LONG MAT HASAN, berpengalaman dalam asam garam kehidupan berumahtangga, taat, patuh serta amat menyayangi suami samada LONG MAT HASAN atau suami terdahulunya. Tidak mementingkan rupa paras sebaliknya lebih menghargai cinta dan kasih sayang dan penghargaan. Itu sebabnya beliau akhirnya mengambil keputusan untuk tidak mahu berpisah dengan LONG MAT HASAN walaupun pada asal perkahwinannya dengan LONG MAT HASAN adalah bertujuan lain dan atas aturan oleh bekas suaminya;
AISYAH: (dalam tangisan) Tapi saya bahagia di sisinya lebai… saya bahagia. Dia telah memberikan saya apa ertinya kasih sayang yang sebenarnya. Saya bukan tidak pernah berkahwin dengan orang lain yang lebih muda… suami saya yang pertama adalah seorang anak muda yang lawa dan kacak…tapi hatinya kaudu. Hidupnya macam pelesit yang bergantung kepada darah saya… saya berikan sepenuh kesetiaan padanya, tetapi sebaliknya dia menjadikan saya seperti hamba abdi…dia datang meminta saya menjual maruah… supaya saya dapat wang dan saya berikan kepadanya… tapi saya tak mahu. ..dia terlalu marah dan menjatuhkan talak tiga pada saya…setelah berserai, baru dia merasa betapa sepinya perpisahan itu… dia mencari jalan dan meminta LONG MAT HASAN menjadi cina buta…sebaik saja kami bernikah… tapi percayalah. Saya melihat kasih sayang di sisi orang tua itu. Baru saya rasa diri saya dilindungi, walaupun berada di sisi tubuhnya yang kerdil dan uzur itu. Saya mula menghargainya lebih dari jejaka-jejaka yang lebih gagah darinya… saya putuskan, saya tidak mahu berpisah darinya. Saya akan ikut dia ke mana dia pergi… biar apa pun terjadi.
(RDLT, 1987:68)
ZALEHA anak gadis kepada MUDA HASYIM, pernah bercinta dengan SYAMSIR dan hampir berkahwin dengannya tetapi dihalang oleh bapa SYAMSIR sendiri atas alasan SYAMSIR seorang penagih dadah dan tidak mampu mengurus rumahtangga. Akibatnya SYAMSIR malu lalu melarikan diri dari kampung dan meninggalkan ZALEHA tanpa sebarang khabar berita. ZALEHA sangat kecewa dan patah hati dengan tindakan SYAMSIR, tetapi sebagai anak kepada seorang imam, dipendamkan sahaja perasaan itu. Beliau berusaha melupakan SYAMSIR dan sanggup menerima lamaran pemuda pilihan keluarganya;
ZALEHA: Kehadiran itu adalah dosa yang amat berat dan kedatanganmu adalah dosa yang amat besar. Kerana kau akan melukakan semula hati yang sedang belajar merupakan penderitaan kita itu. Kau menyingkap kembali kisah yang hampir kupendam dalam lipatan hidupku.
(RDLT, 1987:28)
Seringkali terjadi ada di antara pemain teater yang secara sewenang-wenangnya menokok tambah isi kandungan yang ada dalam drama. Ia adalah satu kesalahan yang tidak boleh dimaafkan jika berlaku. Setiap yang tertulis dalam sebuah drama itu mesti mempunyai sebab-sebabnya tersendiri dan hanya penulis sahaja yang mengetahuinya;
“Assume what’s in a script is there on purpose. Assume the writer knew what he or she was doing. If you trust the play enough to stage it, trust its author. If you alter or cut whenever you have difficulty you may miss something important.”
(Ball,1983:83)
Sebagai pemain teater tugas dan tanggungjawab utama kita adalah mencari dan mengenalpasti sebab-sebab itu. Setiap kali kita membaca naskah drama, kita akan bertanyakan pelbagai soalan seperti “Mengapa terjadinya begitu?”, “Apakah sebab dia bertindak sedemikian?” dan sebagainya. Dengan berpandukan kepada konsep 5W 1H (Five wives, One husband), kaji setiap peristiwa yang berlaku, kaji mengapa nasib atau keadaan watak itu begitu dan sebagainya. Naskah drama yang baik mampu memperlihatkan semua peristiwa yang berlaku itu saling berkaitan sehingga menjadi penyebab kepada tercetusnya keadaan sedia ada.
Secara logiknya peristiwa dalam sebuah drama bergerak ke hadapan dan sukar untuk kita mengetahui dan menafsir apa akan terjadi seterusnya. Melalui pendekatan Tindakbalas Rantaian Domino Effect proses melihat dan mengkaji naskah drama berlaku secara ke belakang (backward). Dengan melihat ke belakang sahaja akan dapat mendedahkan apa yang sebenarnya terjadi atau berlaku sehingga membawa kepada keadaan masa kini. Kebiasaannya pemain teater akan lebih memfokus kepada mencari apa yang terkandung dalam sebuah naskah drama dan bukannya bagaimana untuk mencarinya. Inilah perbezaannya. Drama bukan tentang aksi dan drama juga bukan menjelaskan aksi. Sebuah drama itu adalah gabungan dan perkembangan beberapa siri aksi. Apakah itu aksi? Aksi ialah apabila sesuatu terjadi sehingga membawa kepada berlakunya sesuatu yang lain (one leading to the other). Sebagai contoh; saya menjatuhkan gelas (aksi pertama); gelas jatuh ke tanah (aksi kedua); Dengan kata lain aksi menimbulkan reaksi. Contoh lain saya mengucapkan “Assalamualaikum, apa khabar?” Reaksi dari pihak kedua ialah “Walaikum salam, saya sihat.” Dua situasi ini telah melahirkan aksi dan reaksi. David Ball (1983:11) di dalam bukunya Backwards & Forwards menyatakan; ”An event is anything that happens. When one event causes or permits another event, the two events together comprise an action. Actions are a play’s primary building blocks”.
Dalam menganalisis sebuah drama, kita tidak dapat lari dari mengkaji aspek tunjang sebuah drama iaitu plot. Secara umumnya plot dapat difahami sebagai permulaan, pengembangan, konflik, kemuncak dan pengakhiran seperti dalam rajah di bawah ini.
Menurut ulasan Panel Hakim Drama Esso- GAPENA 1 Drama Remang Di Lorong Tua (RDLT) mengisahkan Long Mat Hasan seorang pengesek biola tua, bekas nasionalis yang memperjuangkan kemerdekaan menggunakan seninya. Panggung tempat dia bermain terbakar dan dia menjadi buta. Bersama-sama isterinya yang cantik bernama Aisyah, Long Mat Hasan sampai di sebuah lorong yang penuh cerita. Awang Lebai Mat yang berfahaman ortodoks, menolak segala bentuk seni. Dia hanya melihat kebenaran dari kacamatanya sendiri. Syamsir anaknya menentangnya lalu melarikan diri. Kedatangan Long Mat Hasan menjadi alasan untuknya melepaskan kekecewaan dan dendam terhadap anaknya. Baginya biola simbol kejahatan lalu Long Mat Hasan dihalaunya. Muda Hasyim si imam yang lebih terbuka malah mengajak Long Mat Hasan bermain biola sewaktu perkahwinan anaknya. Awang Lebai Mat juga manusia. Dia terpikat pada kecantikan Aisyah lalu memperlihatkan dirinya yang sebenar, yang bernafsu buas dan penuh kepura-puraan. Ulasan ini bersifat umum sekadar untuk memberikan kefahaman kepada pembaca mengenai apa sebenarnya kisah di dalam drama ini. Ia adalah sebuah drama berbentuk sindiran sosial, penuh kesinisan terhadap sikap kepura-puraan dan kesombongan manusia.
Sebenarnya kisah dan pemikiran yang cuba disampaikan penulis jauh lebih dalam daripada apa yang telah dinyatakan maka kajian secara spesifik dan terperinci adalah perlu. Perkara pokok yang wajib dfahami oleh semua pemain teater sebelum latihan lakon boleh dimulakan ialah memahami plot dalam drama. Plot merupakan struktur atau kerangka dalam sebuah drama. Ia disusun dengan pelbagai peristiwa yang saling berkaitan dan bergerak mengikut kemahuan dan matlamat yang ingin dicapai oleh watak utama atau protagonist. Plot berbeza dengan cerita. Contoh cerita; Raja mangkat dan kemudian Permaisurinya mangkat. Contoh plot; Raja mangkat dan kemudian Permaisurinya mangkat akibat kecewa. Plot melibatkan aspek sebab dan musabab. Plot boleh dibahagikan kepada sembilan unsur utama yang saling bertindan dan berkaitan iaitu; (1) kesimbangan kuasa, (2) pendedahan informasi (3) insiden yang mencetus (4) pembayang kata-kata, (5)the point of attack, (6) matlamat protagonist, (7)komplikasi, (8)klimak, (9)Resolusi.
Plot drama bergerak berlandaskan keinginan dan matlamat watak utama ini. Semua peristiwa dalam drama bermula dengan keseimbangan kuasa. Ia disebut sebagai Dramatic stasis. Keseimbangan kuasa ini merujuk kepada kisah-kisah pada setiap watak yang diperkenalkan. Keseimbangan kuasa bermaksud semua watak-watak ditampilkan pada awal kemunculan masing-masing (bukan awal cerita) dengan kekuatannya yang tersendiri; memperkenalkan kisah masing-masing. Tidak ada sebarang konflik atau tentangan.
Peringkat awal ini akan terlihat banyak pendedahan-pendedahan maklumat menjelaskan watak dan sifat watak, latar peristiwa dan kejadian yang dikenali sebagai pendedahan informasi. Di peringkat awal cerita, penonton akan dimaklumkan (secara langsung atau tidak langsung) mengenai watak-watak yang ada di dalam cerita, hubungan antara watak-watak latar belakang lokasi, masa dan period. Ia dimunculkan sebagai unsur tanda pengenalan kepada para penonton untuk mengetahui siapakah dia;(Who am I, What am I, Why am I here, Where am I, When did it take place dan How am I get here) . Sehingga sampai ke satu peringkat di mana kemahuan dan matlamat protagonis mula dicabar oleh kuasa-kuasa lain atau watak-watak lain (the point of attack) sehingga tercetusnya pelbagai insiden (dramatic intrusion) yang menggoncang keseimbangan kuasa tadi maka bermulalah berapa siri konflik. Konflik dan pertentangan ini merupakan dasar pemikiran yang cuba disampaikan penulis dan wajib difahami, digarap serta diolah semula oleh pemain teater ke atas pentas. Konflik dalam drama dapat dikenalpasti melalui dialog-dialog yang diucapkan oleh watak-watak di dalamnya. Manusia bercakap untuk tujuan dan sebab tertentu; what a character wants motivates talking. A human being thinks many things never spoken. From many things one thinks, one selects what to say according to what one wants (Ball. 1983: 28). Konflik-konflik dan pertentangan ini (dramatic conflicts) menjadikan sebuah persembahan drama itu penuh dengan elemen dramatiknya. Pertentangan yang wujud adalah disebabkan oleh percanggahan keinginan terhadap matlamat tersebut. Dramatic conflicts terbahagi kepada empat jenis; konflik dalaman iaitu protagonis berkonflik dengan dirinya sendiri, konflik protagonis dengan antagonis-antagonis, konflik protagonis dengan masyarakat dan konflik protagonis dengan takdir. Perjalanan sebuah drama akan ditentukan oleh matlamat utama yang ingin dicapai oleh watak protagonist, maka dialog-dialog yang diucapkan oleh kebanyakan watak-watak yang ada pasti akan ada perkaitannya dengan keinginan dan matlamat yang ingin dicapai oleh watak protagonist ini.
Watak-watak dalam drama bercakap apabila mereka mahukan sesuatu. Maka apabila terdapatnya halangan terhadap apa yang diinginkan maka berlaku konflik. Ini yang disebut sebagai dramatic conflict. Apa itu `halangan’? Mengikut Ball (1983: 28) “An obstacle is any resistance to my having what I want. Konflik ini menyebabkan keseimbangan kuasa mula tercabar, semakin tergugat, sehingga menjadi tidak seimbang. Ketidakseimbangan kuasa ini yang berterusan sehingga membawa kepada kemuncak konflik (klimak). Pada peringkat ini, pertembungan dan pertentangan sudah sampai ke kemuncaknya, ia menjadi penentu samada watak protagonis berjaya mencapai matlamat utamanya ataupun tidak. Ini ialah titik paling penting dalam sebuah drama.
Senarai rujukan
Ball, D. 1983. BACKWARDS & FORWARDS; A TECHNICAL MANUAL FOR READING PLAYS. Southern Illinois University Press.
Catron, L.E. 1989. THE DIRECTOR’S VISION; PLAY DIRECTION FROM ANALYSIS TO PRODUCTION. Mayfield Publishing Company, California.
Cohen, R. 2008. THEATRE. 8TH Edition.McGraw-Hill, New York.
Othman Hj Zainuddin. 1987. REMANG DI LORONG TUA, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Rodger, J.W & Rodgers, W.C. 1995. PLAY DIRECTOR’S SURVIVAL KIT. New York. The Center for Applied Research in Education.
Comments