Historification dalam Tulang-tulang Berserakan

 

Historification dalam Tulang-tulang Berserakan

Oleh

Dr Andika Aziz Hussin

 

 

Historification ialah `A convention which uses historical events to comment on events of the present. Merujuk kepada laman web https://sites.google.com/ menyatakan bahawa;

 

`Historification means questioning the present through the past. Brecht defined historification as a technique that challenges the dominant versions of history, as he believed that history is written by the conquers or ruling classes. Historification frames the events for the spectators and helps to stop them being so involved in the dramatic action. It is rather like a suspense thriller and the spectators should be asking why the character did this rather than what will happen next.’

 

Konsep historification diperkenalkan oleh Bertolt Brecht dalam teater epik,adalah satu pendekatan yang menggunakan latar atau peristiwa sejarah sebagai bingkai penceritaan untuk membincangkan isu-isu yang relevan dengan konteks semasa. Brecht memperkenalkan konsep ini sebagai strategi untuk mengubah cara penonton berinteraksi dengan pementasan. Berbeza dengan teater Aristotelian yang berusaha membuat penonton hanyut sepenuhnya dalam emosi watak sebaliknya teater epik mengekalkan jarak kritikal antara penonton dan cerita yang disampaikan. Konsep ini berlandaskan pandangan bahawa realiti tidak harus dianggap sebagai tetap sebaliknya ditentukan oleh akal budi manusia dan dibentuk melalui tindakan manusia. Tujuannya adalah untuk mengelakkan keterlibatan emosi yang berlebihan sebaliknya mendorong penonton berfikir secara objektif, menilai dan mempersoalkan norma serta struktur sosial;

 

Reality was not to be regarded as something fixed, but as defined by the human mind and shaped by human action. Unfortunately, the view of the world taken by too many people was simply a set of received ideas, the ‘ruling view’, which needed to be recognized in its ideological function as ‘the view of the rulers’. (Speirs, 1987, p. 47)

 

Dalam konteks teater Tulang-tulang Berserakan konsep historification dapat dilihat dengan jelas melalui pemilihan era Darurat 1948–1960 sebagai latar utama pementasan. Peristiwa sejarah ini bukan sekadar menjadi hiasan naratif tetapi digunakan secara strategik untuk mengangkat persoalan yang bersifat sejagat dan kekal relevan seperti pengorbanan, perjuangan mempertahankan negara dan kesedaran patriotisme. Walaupun kisahnya berakar pada masa lalu namun isu-isu yang dibangkitkan tetap berhubungan secara langsung dengan realiti masyarakat masa kini. Pendekatan ini menjadikan Tulang-tulang Berserakan sebagai jambatan yang menghubungkan sejarah dengan realiti hari ini. Penonton dapat melihat persamaan, perbezaan dan pengajaran yang boleh diambil daripada pengalaman masa lalu. Dalam erti kata lain pementasan ini bukan sekadar mengimbau sejarah tetapi turut menuntut renungan mendalam terhadap bagaimana pengalaman tersebut membentuk identiti bangsa dan bagaimana kesedaran itu boleh mempengaruhi masa depan negara. Dengan demikian teater ini berfungsi bukan sahaja sebagai hiburan tetapi juga sebagai medium pemikiran kritis dan komentar sosial.

Aspek pertama yang menonjol melalui historification dalam pementasan ini ialah pengorbanan. Melalui paparan anggota pasukan keselamatan dan masyarakat awam yang sanggup mengorbankan nyawa, masa depan dan kebahagiaan demi keamanan negara, pementasan ini menonjolkan hakikat bahawa kemerdekaan bukanlah hadiah percuma tetapi hasil daripada penderitaan dan kehilangan yang nyata. Dalam konteks ini historification bukan sekadar menghidupkan kembali kenangan sejarah tetapi mencerminkan nilai pengorbanan tersebut sebagai sesuatu yang perlu dinilai semula dalam masyarakat moden yang cenderung mengutamakan kepentingan peribadi.

Aspek kedua yang ditekankan dalam Tulang-tulang Berserakan ialah perjuangan mempertahankan negara. Pada era Darurat, ancaman terhadap keselamatan dan kedaulatan Tanah Melayu hadir dalam bentuk peperangan ideologi serta serangan fizikal. Naskah ini menggambarkan ketegangan tersebut dengan realisme dramatik yang menghidupkan suasana sejarah namun mesej yang disampaikan melangkaui batas masa lampau. Pendekatan historification dalam pementasan ini membolehkan penonton mengaitkan perjuangan silam dengan bentuk perjuangan masa kini sama ada dalam menangkis ancaman ideologi ekstremis, menangani cabaran geopolitik atau mempertahankan nilai budaya daripada hakisan globalisasi. Seperti yang dinyatakan oleh Elin Diamond (1988) “spectators are prevented from identifying emotionally with any single action or character but are encouraged to make connections between a previous historical moment and their own.” Dalam konteks ini Tulang-tulang Berserakan tidak hanya mengundang simpati terhadap watak atau situasi tertentu tetapi mewujudkan jarak kritikal yang mendorong penonton merenung hubungan antara kisah Darurat dengan cabaran kontemporari. Dengan kata lain historification dalam naskah ini berfungsi sebagai alat intelektual yang menggerakkan penonton daripada sekadar menjadi pemerhati pasif kepada pengkritik yang aktif, selari dengan gagasan teater epik Brecht.

Aspek ketiga yang ditekankan melalui historification ialah kesedaran patriotisme. Dengan menghidupkan kembali detik-detik penting dalam sejarah Darurat penonton diingatkan bahawa keamanan dan kemerdekaan yang dinikmati hari ini merupakan hasil usaha dan pengorbanan generasi terdahulu. Dalam kerangka teater epik Brecht kesedaran ini tidak dibiarkan sekadar menjadi slogan atau emosi sesaat tetapi digarap sebagai kesedaran kolektif yang memerlukan kesinambungan dalam bentuk tindakan, tanggungjawab dan penghargaan berterusan terhadap warisan sejarah bangsa.

Selain itu Tulang-tulang Berserakan turut memanfaatkan teknik doubling iaitu seorang pelakon memegang lebih daripada satu watak dalam pementasan. Menurut Aston dan Diamond (2009) menyatakan teknik ini “undermines identity, throwing [the audience’s] focus not in individual agents but on the form and patterns of the whole.” Dalam pementasan ini pelakon beralih daripada watak dramatik ke watak sokongan atau bertindak sebagai narator. Pertukaran ini mencipta Verfremdungseffekt (V-effect) mengingatkan penonton bahawa mereka sedang menonton sebuah persembahan sekali gus menghalang keterlibatan emosi yang berlebihan terhadap satu watak. Gabungan doubling dan historification ini mengalihkan fokus penonton daripada identiti individu kepada pola naratif dan mesej sosial sambil menonjolkan kepelbagaian perspektif terhadap peristiwa Darurat.

Teknik lain seperti pemecahan dinding keempat, pendedahan mekanikal pentas, dan naratif berselang-seli antara fakta sejarah dan dramatik pentas turut digunakan untuk mengekalkan jarak kritikal. Teknik-teknik ini berfungsi mengingatkan penonton bahawa mereka sedang berada di ruang teater sekali gus mengekalkan jarak kritikal yang diperlukan untuk membolehkan mereka berfikir dan membuat penilaian objektif. Dengan cara ini penonton tidak hanyut sepenuhnya dalam emosi watak tetapi kekal fokus kepada persoalan-persoalan dasar yang dibangkitkan oleh naskah.

Secara keseluruhannya historification dalam Tulang-tulang Berserakan berperanan sebagai alat pemikiran kritis yang menghubungkan masa lalu dengan realiti semasa. Pementasan ini tidak hanya membangkitkan rasa bangga terhadap sejarah tetapi juga mendorong penonton melihat sejarah sebagai panduan untuk menghadapi cabaran masa depan. Dengan mengangkat konflik, pengorbanan, dan ketegangan era Darurat teater ini menyeru penonton untuk menjadi lebih daripada sekadar pemerhati pasif.  Ia menggesa mereka menjadi pemikir kritis dan berpotensi menjadi agen perubahan dalam masyarakat. Pendekatan ini sejajar dengan aspirasi Brecht yang menginginkan teater sebagai medium untuk mengubah kesedaran sosial dan mencetuskan tindakan.

 

Rujukan

1.      Aston, E., & Diamond, E. (2009). Introduction: on Caryl Churchill. In E. Aston & E. Diamond (Eds.), The Cambridge Companion to Caryl Churchill (pp. 1-17). Cambridge, UK: Cambridge UP.

2.      Diamond, E. (1988). (In)Visible Bodies in Churchill’s Theatre. Theatre Journal, 40 (2), 188-204.

3.      Speirs, R. (1987). Bertolt Brecht. Basingstoke, UK: Macmillan.

 

 

Comments

Popular Posts