PERTAMBAHAN PROGRAM DAN KELESUAN ESTETIKA: REFLEKSI TERHADAP PENDIDIKAN TEATER DI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA

 





Pengenalan

Sejak dua dekad kebelakangan ini landskap pendidikan seni persembahan di Malaysia memperlihatkan peningkatan jumlah institusi pengajian tinggi (IPT) yang menawarkan program teater dan seni persembahan. Perkembangan ini secara zahirnya mencerminkan pengiktirafan yang semakin luas terhadap seni sebagai bidang ilmu yang signifikan dalam konteks akademik dan pembangunan budaya. Namun demikian pertambahan bilangan program tidak semestinya seiring dengan peningkatan mutu estetika atau inovasi artistik dalam produksi teater tempatan. Sebahagian penggiat dan pemerhati seni berpendapat bahawa pada era ketika jumlah IPT yang menawarkan bidang teater masih terhad, pementasan universiti memperlihatkan keberanian estetika yang lebih jelas, eksplorasi bentuk yang lebih berani serta identiti artistik yang tersendiri. Esei reflektif ini bertujuan meneliti faktor-faktor yang menyumbang kepada fenomena tersebut serta mengemukakan cadangan peranan strategik yang boleh dimainkan oleh pensyarah teater dalam memperkukuhkan ekosistem pendidikan dan praktikal seni persembahan di Malaysia.

Proses institusionalisasi seni dalam konteks pendidikan tinggi bukan sekadar merujuk kepada penyusunan kurikulum atau pemformalan struktur pengajaran tetapi turut melibatkan perubahan terhadap cara seni difahami, dinilai dan dihasilkan. Apabila teater ditempatkan dalam kerangka akademik yang menekankan standardisasi, pengukuran hasil pembelajaran serta pematuhan kepada garis panduan penilaian, wujud kecenderungan untuk mentafsir proses kreatif melalui lensa yang lebih birokratik. Dalam situasi ini produksi teater tidak lagi dilihat sepenuhnya sebagai ruang eksperimentasi artistik sebaliknya sebagai manifestasi pencapaian kursus yang perlu memenuhi indikator tertentu seperti rubrik prestasi, dokumentasi refleksi dan bukti hasil pembelajaran yang boleh diukur. Keadaan ini secara tidak langsung mengubah orientasi penciptaan karya dalam kalangan pelajar. Mereka lebih cenderung merancang pementasan berdasarkan strategi yang dianggap selamat dari sudut akademik misalnya memilih pendekatan pengarahan yang konvensional, struktur dramatik yang mudah difahami serta estetika visual yang tidak terlalu radikal. Risiko artistik yang lazimnya melibatkan kemungkinan kegagalan, ketidakpastian makna atau penerokaan bentuk baharu akan dielakkan kerana ia bertentangan dengan budaya penilaian yang menuntut kejelasan hasil dan kestabilan persembahan. Akibatnya walaupun kemahiran teknikal pelajar meningkat namun keberanian untuk mencipta bahasa teater yang segar akan berkurangan.

Selain itu institusionalisasi turut mempengaruhi hubungan antara pensyarah dan pelajar dalam proses kreatif. Pensyarah sering berada dalam dilema antara membimbing eksplorasi artistik yang berisiko dengan tanggungjawab memastikan pelajar mencapai piawaian akademik yang ditetapkan oleh institusi. Dalam banyak keadaan keputusan pedagogi cenderung memihak kepada pendekatan yang lebih selamat bagi menjamin kelancaran penilaian kursus. Hal ini menyebabkan ruang studio yang sepatutnya berfungsi sebagai makmal pencarian estetika berubah menjadi ruang latihan teknikal yang berorientasikan hasil akhir.

Dari sudut yang lebih luas fenomena ini juga mencerminkan peralihan paradigma dalam pendidikan seni iaitu daripada model apprenticeship yang menekankan proses pencarian artistik kepada model akademik yang menekankan penghasilan output yang boleh didokumentasikan. Walaupun transformasi ini membawa manfaat dari segi pengiktirafan akademik dan kebolehpasaran graduan tetapi ia berpotensi mewujudkan homogenisasi estetika apabila pelajar terbiasa menghasilkan karya yang memenuhi jangkaan institusi bukan semata-mata dorongan pencarian artistik.

Cabaran utama dalam konteks institusionalisasi bukanlah untuk menolak struktur akademik, tetapi mencari keseimbangan antara keperluan standardisasi dengan kebebasan artistik. Ruang pedagogi yang memberi legitimasi kepada kegagalan kreatif sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran perlu diperkukuhkan agar pendidikan teater tidak kehilangan fungsi asalnya sebagai medan eksplorasi estetika dan pembentukan bahasa seni yang baharu.

Dari perspektif sosiologi seni proses institusionalisasi boleh difahami sebagai pembentukan “medan” (field) yang mempunyai struktur kuasa tersendiri. Pierre Bourdieu melihat institusi pendidikan sebagai ruang yang menentukan legitimasi estetika melalui mekanisme penilaian, pengiktirafan dan hierarki simbolik. Dalam konteks pendidikan teater di IPT, kurikulum, rubrik penilaian dan standard akademik berfungsi sebagai alat yang membentuk apa yang dianggap karya yang baik atau karya yang berkualiti. Apabila legitimasi estetika ditentukan melalui mekanisme institusi, pelajar secara tidak sedar akan menyesuaikan pilihan artistik mereka dengan norma yang dominan. Ini bukan semata-mata soal kepatuhan kepada pensyarah tetapi hasil daripada internalisasi habitus akademik iaitu kecenderungan untuk menghasilkan karya yang mudah diterima dalam kerangka penilaian formal. Situasi ini berpotensi mewujudkan homogenisasi estetika kerana variasi artistik yang terlalu radikal  dilihat sebagai risiko terhadap kestabilan penilaian.

Dalam wacana teater moden Peter Brook menekankan bahawa proses penciptaan teater sentiasa melibatkan ketidakpastian dan risiko. Eksplorasi ruang kosong (empty space), pencarian bahasa tubuh yang baharu dan pemecahan konvensi dramatik hanya dapat berlaku apabila pencipta diberi kebebasan untuk gagal. Namun dalam sistem pendidikan formal yang menuntut hasil yang dapat diukur, kegagalan sering ditafsirkan sebagai kelemahan pedagogi bukan sebagai sebahagian daripada proses kreatif. Paradoks ini menghasilkan ketegangan antara dua nilai yang berbeza iaitu kestabilan akademik dan keberanian artistik. Pensyarah berada di persimpangan antara memastikan pelajar memenuhi piawaian universiti dengan keperluan membina daya eksperimen yang sebenar. Dalam banyak keadaan keseimbangan ini condong kepada kestabilan kerana struktur institusi lebih menghargai konsistensi hasil berbanding risiko estetika yang tidak menentu.

Peralihan pendidikan seni daripada model apprenticeship tradisional kepada model akademik turut mengubah cara ilmu teater dipindahkan. Kalau dahulu latihan teater banyak berlaku melalui proses pemagangan yang menekankan pengalaman langsung, hubungan mentor–anak didik serta eksplorasi studio yang bebas. Kini konsep practice-as-research cuba menggabungkan praktikal artistik dengan kerangka penyelidikan akademik namun pelaksanaannya sering terhad oleh birokrasi dokumentasi. Apabila praktikal seni perlu diterjemahkan ke dalam laporan, refleksi bertulis dan hasil pembelajaran yang terukur, terdapat risiko bahawa proses artistik menjadi terlalu rasional. Bahasa tubuh, intuisi pelakon dan pengalaman ruang yang bersifat sensori sukar diukur melalui indikator akademik. Akibatnya pelajar lebih fokus kepada cara menjelaskan karya mereka secara teori berbanding memperluaskan pengalaman estetika itu sendiri.

Michel Foucault melihat institusi moden sebagai ruang yang membentuk disiplin melalui mekanisme pengawasan dan normalisasi. Dalam konteks pendidikan teater, disiplin ini boleh dilihat melalui keperluan latihan yang standard, jadual produksi yang ketat serta dokumentasi yang sistematik. Walaupun disiplin penting bagi memastikan profesionalisme, ia juga boleh mengurangkan spontanisasi artistik apabila setiap proses perlu diselaraskan dengan prosedur rasmi. Kesan jangka panjangnya ialah kemunculan budaya estetika yang terkawal iaitu karya yang mematuhi norma institusi tetapi kurang mencabar batas bahasa teater. Pelajar  menjadi cekap dari segi teknik namun kurang terdedah kepada pengalaman artistik yang benar-benar menggugat persepsi atau membuka ruang wacana yang baharu.

Pendekatan kritikal terhadap institusionalisasi bukan bermaksud menolak struktur akademik, tetapi menuntut pembinaan pedagogi yang mampu mengimbangi disiplin dengan kebebasan kreatif. Konsep pedagogi berisiko boleh menjadi kerangka alternatif di mana kegagalan kreatif diiktiraf sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran. Pensyarah berperanan sebagai fasilitator yang membuka ruang bereksperimentasi bukan sekadar penilai hasil akhir. Dalam konteks ini studio teater perlu berfungsi sebagai makmal estetika yang membenarkan pelajar mencabar konvensi, meneroka bentuk minimalis atau membangunkan metodologi tempatan tanpa tekanan untuk mencapai kesempurnaan teknikal semata-mata. Dengan cara ini institusi tidak lagi dilihat sebagai penghalang kepada inovasi sebaliknya sebagai ruang yang melindungi dan memupuk keberanian artistik secara bertanggungjawab.

Banyak program teater masa kini menekankan pendekatan multidisiplin yang merangkumi lakonan, pengarahan, penulisan skrip, pengurusan produksi dan media digital. Walaupun pendekatan ini meningkatkan kebolehpasaran graduan namun ia turut menimbulkan cabaran dari segi pembinaan identiti artistik yang mendalam. Pelajar didedahkan kepada pelbagai kemahiran secara serentak tanpa ruang yang mencukupi untuk mengasah kepakaran secara mendalam dalam satu-satu bidang tertentu. Berbeza dengan generasi terdahulu yang menjalani latihan intensif dalam bidang khusus, pelajar hari ini berisiko mempunyai pengetahuan umum tanpa arah estetika yang jelas. Tanpa proses pematangan artistik yang berterusan, karya yang dihasilkan cenderung kepada homogen dan kurang memiliki suara kreatif yang tersendiri.

Isu lain yang turut signifikan ialah kedudukan pensyarah teater yang terpaksa mengimbangi tuntutan akademik dengan keperluan praktikal seni. Tekanan untuk memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) seperti penerbitan ilmiah, penyelidikan dan tanggungjawab pentadbiran sering menghadkan peluang pensyarah untuk terlibat secara aktif dalam produksi teater. Dalam disiplin seni persembahan, pengajaran yang efektif bukan sahaja bergantung pada teori tetapi juga pengalaman praktikal yang berterusan. Apabila pensyarah semakin jauh daripada medan pementasan sebenar maka proses pengajaran berisiko menjadi retrospektif iaitu bersandarkan pengalaman lampau yang mungkin tidak lagi selari dengan perkembangan estetika semasa.

Pertandingan dan festival universiti sememangnya memainkan peranan dalam memberikan pengiktirafan kepada pelajar. Namun apabila pertandingan dijadikan matlamat utama maka proses pembelajaran artistik akan  terjejas. Pelajar cenderung menghasilkan karya yang memenuhi jangkaan juri berbanding meneroka bahasa teater yang lebih autentik. Keadaan ini mewujudkan kecenderungan terhadap estetika yang seragam kerana karya dibentuk berdasarkan formula yang dianggap berpotensi untuk menang. Tanpa ruang inkubator yang memberi penekanan kepada proses eksplorasi, inovasi artistik jangka panjang akan menjadi terbatas.

Perbezaan ketara antara generasi terdahulu dan masa kini ialah kekuatan jaringan teater di luar kampus. Jika dahulu produksi universiti sering berinteraksi dengan kumpulan teater bebas dan khalayak umum. Namun kini banyak produksi kekal dalam lingkungan universiti tanpa melalui proses dialog yang lebih luas dengan masyarakat. Ketiadaan hubungan ekosistem yang organik menyebabkan pelajar kurang terdedah kepada realiti industri dan konteks sosial teater. Tanpa maklum balas daripada khalayak yang pelbagai maka perkembangan estetika menjadi terbatas dan kurang dinamik.

Dalam menghadapi cabaran ini pensyarah teater perlu mengubah peranan daripada sekadar penyampai kandungan kursus kepada kurator ekosistem artistik. Antara langkah yang boleh dipertimbangkan ialah:

  1. Mewujudkan ruang inkubator karya yang menekankan proses eksplorasi jangka panjang bukan hanya sekadar produksi berasaskan semester.
  2. Mengintegrasikan penyelidikan berasaskan praktikal pementasan agar pensyarah kekal sebagai pengamal aktif dalam bidang seni.
  3. Membangunkan metodologi tempatan yang berakar kepada konteks budaya Malaysia bagi mengelakkan kebergantungan mutlak kepada model Barat.
  4. Mengimbangi penilaian akademik dengan kebebasan artistik termasuk memberikan ruang kepada kegagalan kreatif sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran.

 

Pendekatan ini berpotensi membina ekosistem seni yang lebih holistik bermula daripada latihan asas, pematangan karya melalui inkubator hingga kepada ruang sayembara sebagai platform pengiktirafan.

 

Kesimpulan

Pertambahan IPT yang menawarkan program teater bukanlah faktor utama kepada peningkatan kualiti seni persembahan di Malaysia. Sebaliknya isu sebenar sangat berkait rapat dengan orientasi pendidikan seni yang terlalu institusional, fragmentasi latihan artistik serta jurang antara akademik dan praktikal pentas. Pensyarah teater mempunyai peranan penting dalam menggerakkan perubahan melalui pendekatan pedagogi yang lebih reflektif, kontekstual dan berteraskan identiti tempatan. Masa depan teater universiti tidak bergantung kepada jumlah institusi semata-mata tetapi kepada keberanian komuniti akademik untuk menilai semula pendekatan pendidikan seni dan menghidupkan kembali semangat pencarian artistik dalam latihan teater.

 

Comments

Popular Posts