ADAKAH TIKTOK THEATRE PEDAGOGY (TTP) BUKAN TEATER?

 Dalam perkembangan seni persembahan, persoalan tentang ketulenan sesuatu genre teater sering menjadi perdebatan dalam kalangan pengkarya dan pengkaji teater. Setiap kali muncul bentuk persembahan yang berbeza daripada tradisi yang sedia ada maka akan timbul pertanyaan sama ada bentuk tersebut masih boleh dianggap sebagai teater atau telah berubah menjadi sesuatu yang lain. Persoalan ini juga timbul apabila pendekatan baharu seperti TikTok Theatre Pedagogy (TTP) diperkenalkan, yang menggunakan format video pendek sebagai medium pembelajaran dan persembahan dramatik. Namun jika dilihat dari perspektif sejarah perkembangan teater, perdebatan mengenai ketulenan sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu. Sepanjang sejarah seni persembahan, teater sentiasa mengalami perubahan dari segi kaedah pementasan, medium penyampaian dan gaya persembahan. Perubahan ini sering menimbulkan keraguan pada peringkat awal tetapi akhirnya diterima sebagai sebahagian daripada proses evolusi seni. Oleh itu persoalan tentang sama ada sesuatu bentuk persembahan masih boleh dianggap sebagai teater perlu dinilai secara lebih mendalam dengan melihat unsur dramatik asas yang membentuk teater itu sendiri bukan semata-mata pada bentuk luaran persembahannya.

Salah satu faktor utama yang menimbulkan persoalan tentang ketulenan genre teater ialah perubahan medium persembahan. Secara tradisionalnya teater difahami sebagai persembahan yang berlaku secara langsung di atas pentas di mana pelakon dan penonton berada dalam ruang yang sama dan berkongsi pengalaman persembahan secara serentak. Hubungan langsung antara pelakon dan penonton ini sering dianggap sebagai ciri utama teater. Namun perkembangan teknologi dan media telah membuka ruang kepada bentuk persembahan dramatik yang berlaku di luar ruang pentas tradisional. Hari ini persembahan dramatik boleh berlaku melalui pelbagai medium seperti video performance, screen theatre, digital theatre dan persembahan dalam talian. Dalam konteks ini medium penyampaian telah berubah tetapi unsur asas drama seperti watak, konflik, dialog, aksi dramatik dan penceritaan masih kekal wujud. Oleh itu perubahan medium tidak semestinya menghapuskan sifat teater sebaliknya menunjukkan kemampuan teater untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi dan budaya penonton.

Selain perubahan medium, sejarah teater juga memperlihatkan bahawa kaedah pementasan sentiasa berevolusi. Sebagai contoh, teater Greek klasik menggunakan koir dan topeng besar sebagai elemen penting dalam persembahan. Pada abad ke-19 pula, kemunculan teater realisme memperkenalkan pendekatan naturalistik dengan penggunaan set pentas yang realistik. Kemudian muncul pula pendekatan teater epik oleh Bertolt Brecht yang secara sengaja memecahkan ilusi pentas bagi mendorong penonton berfikir secara kritis. Dalam perkembangan seterusnya, teater eksperimental mula menggabungkan pelbagai media seperti muzik, visual dan teknologi multimedia dalam persembahan. Pada peringkat awal kemunculan setiap bentuk ini terdapat juga pihak yang mempersoalkan sama ada pendekatan tersebut masih boleh dianggap sebagai teater. Namun lama-kelamaan bentuk-bentuk ini diterima sebagai sebahagian daripada perkembangan dan kepelbagaian dalam dunia teater. Hal ini menunjukkan bahawa teater bukanlah satu bentuk seni yang statik sebaliknya merupakan seni yang sentiasa berkembang mengikut perubahan sosial, budaya dan teknologi.

Dalam menilai ketulenan sesuatu genre teater adalah penting untuk membezakan antara perubahan bentuk (form) dan perubahan identiti atau hakikat asas (essence). Sesuatu bentuk teater mungkin mengalami perubahan dari segi tempoh persembahan, teknik lakonan, penggunaan teknologi atau medium penyampaian. Namun selagi prinsip asas dramatik seperti struktur cerita, konflik dramatik, perkembangan watak dan tujuan penceritaan masih wujud, bentuk tersebut masih boleh dianggap berada dalam kerangka teater. Dengan kata lain, perubahan yang berlaku mungkin hanya melibatkan cara penyampaian bukan roh atau prinsip asas teater itu sendiri. Dalam banyak keadaan, perubahan ini sebenarnya membawa kepada kelahiran sub-genre baharu dalam teater. Contohnya ialah site-specific theatre, immersive theatre, digital theatre dan screen performance. Bentuk-bentuk ini pada awalnya juga dipersoalkan ketulenannya tetapi akhirnya diterima sebagai sebahagian daripada ekosistem seni persembahan yang semakin berkembang.

Untuk memahami perkara ini dengan lebih mudah kita boleh melihatnya melalui satu analogi yang dekat dengan kehidupan seharian, iaitu nasi goreng. Pada asalnya nasi goreng dimasak dengan cara yang sangat ringkas, hanya menggunakan nasi, bawang, telur dan sedikit kicap. Inilah bentuk asas yang menjadi identiti kepada hidangan tersebut. Namun seiring dengan perkembangan masa dan kreativiti masyarakat, pelbagai variasi nasi goreng mula muncul seperti nasi goreng kampung, nasi goreng pattaya, nasi goreng seafood dan nasi goreng tomyam. Setiap variasi ini mungkin menggunakan bahan tambahan yang berbeza seperti ayam, udang, sotong atau pelbagai rempah. Walaupun cara penyediaannya berubah dan bahan yang digunakan semakin pelbagai, masyarakat masih mengenalinya sebagai nasi goreng. Hal ini kerana unsur asasnya masih kekal iaitu nasi yang digoreng dan disediakan melalui teknik memasak yang sama. Perubahan yang berlaku sebenarnya hanyalah pada variasi dan gaya penyediaan, bukan pada identiti asas hidangan tersebut.

Begitu juga halnya dengan sesuatu genre teater. Pada peringkat awal kemunculannya, sesebuah genre mungkin mempunyai bentuk pementasan tertentu sama ada dari segi tempoh persembahan, teknik lakonan atau susunan pentas. Namun apabila zaman berubah, pengkarya teater sering melakukan penyesuaian bagi memastikan bentuk persembahan tersebut terus relevan dengan perkembangan semasa. Penyesuaian ini mungkin melibatkan penggunaan teknologi baharu, pendekatan visual yang berbeza atau perubahan dalam cara cerita dipersembahkan kepada penonton. Walau bagaimanapun perubahan pada aspek luaran ini tidak semestinya menghilangkan identiti genre tersebut. Selagi unsur dramatik seperti watak, konflik, tindakan dramatik dan penceritaan masih menjadi asas persembahan, bentuk tersebut masih boleh dianggap sebagai sebahagian daripada teater.

Oleh itu persoalan tentang ketulenan sesuatu genre teater tidak seharusnya dilihat secara terlalu sempit. Perubahan dalam kaedah pementasan atau medium persembahan sebenarnya menunjukkan bahawa teater masih hidup dan terus berkembang. Seperti nasi goreng yang mempunyai pelbagai variasi tetapi masih dikenali sebagai nasi goreng, sesuatu bentuk teater juga boleh berkembang dalam pelbagai bentuk tanpa kehilangan identiti asalnya. Dalam konteks ini pendekatan seperti TikTok Theatre Pedagogy (TTP) boleh dilihat sebagai salah satu usaha untuk menyesuaikan latihan dan pemahaman teater dengan budaya media digital generasi masa kini. Walaupun medium penyampaiannya berbeza daripada pementasan pentas tradisional namun prinsip asas dramatik masih menjadi teras kepada proses pembelajaran dan persembahan. Dengan itu perdebatan tentang ketulenan bukanlah tanda kelemahan sesuatu bentuk teater. Sebaliknya, ia merupakan tanda bahawa genre tersebut sedang berkembang dan berinteraksi dengan perubahan zaman, teknologi serta cara baharu masyarakat berkomunikasi dan menikmati seni persembahan.

 


Comments

Popular Posts