MODEL EKOSISTEM SENI MALAYSIA MADANI: Membentuk Seni Beretika, Matang dan Berdaya Tahan
Fenomena seni persembahan di Malaysia sentiasa bergerak
dalam ruang yang dinamik namun pada masa yang sama sering berhadapan dengan
pelbagai cabaran yang melibatkan nilai, persepsi dan kefahaman masyarakat. Isu
pementasan teater oleh pelajar di Universiti Malaya yang tular di TikTok
baru-baru ini telah mencetuskan polemik besar dalam kalangan masyarakat.
Kontroversi tersebut bukan sekadar berpunca daripada bentuk persembahan, tetapi
lebih mendalam iaitu pertentangan tafsiran antara kebebasan berkarya dengan
batas nilai agama dan budaya. Reaksi masyarakat yang berbelah bahagi
memperlihatkan bahawa ekosistem seni di Malaysia masih belum mempunyai satu
kerangka yang benar-benar seimbang dan disepakati bersama. Dalam konteks inilah
muncul keperluan mendesak untuk membangunkan satu model ekosistem seni yang
lebih tersusun, holistik dan berteraskan nilai iaitu Model Ekosistem Seni
Malaysia MADANI.
Model ini dicadangkan sebagai satu kerangka menyeluruh
yang menggabungkan dimensi penciptaan, pendidikan, pengurusan, pengedaran serta
penerimaan seni dalam masyarakat. Ia berpaksikan enam prinsip utama Malaysia
MADANI iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan
yang diterjemahkan secara langsung dalam pembangunan seni. Dalam kerangka ini
seni tidak lagi dilihat sebagai entiti yang terpisah daripada masyarakat
sebaliknya sebagai cerminan dan pembentukan tamadun. Dalam bidang teater model
ini menegaskan bahawa karya bukan sekadar medium ekspresi tetapi juga satu
bentuk tanggungjawab sosial yang perlu dibina dengan kesedaran nilai sejak
peringkat awal penciptaan lagi.
Salah
satu asas penting dalam model ini ialah kesedaran terhadap naskhah atau script
consciousness. Banyak
kontroversi yang berlaku dalam dunia teater berpunca daripada kelemahan di
peringkat teks sama ada dari segi tema, konflik mahupun dialog yang tidak
ditapis dengan kesedaran nilai. Model MADANI tidak menolak kebebasan berkarya
tetapi menekankan bahawa kebebasan tersebut perlu disertai dengan kebijaksanaan
dalam representasi. Realiti yang sensitif tidak perlu dipentaskan secara
literal sebaliknya boleh diolah melalui pendekatan simbolik, metafora dan
berlapik. Dengan pendekatan ini seni masih mampu menyampaikan kritikan sosial
tanpa mengabaikan adab dan sensitiviti masyarakat.
Dalam aspek sutradaraan pula model ini meletakkan sutradara
sebagai kurator makna bukan sekadar penterjemah teks ke pentas. Setiap
keputusan artistik samada daripada penggunaan tubuh pelakon, susun atur ruang,
hinggalah kepada visual pentas perlu berpaksikan niat yang jelas dan kesedaran
terhadap implikasi sosial. Tanpa kesedaran ini kebebasan artistik mudah disalahtafsir
sebagai kebebasan mutlak yang tidak bertanggungjawab. Oleh itu Model Ekosistem
Seni Malaysia MADANI menuntut satu bentuk penyutradaraan yang bukan sahaja
kreatif tetapi juga reflektif dan beretika.
Lebih penting lagi model ini mengusulkan satu struktur
pembangunan seni yang jelas melalui tiga lapisan utama iaitu Bengkel –
Inkubator – Sayembara. Lapisan pertama, bengkel pembinaan berfungsi sebagai
ruang asas untuk membina kemahiran dan kefahaman. Di sinilah pengkarya
didedahkan kepada teknik bahasa, struktur dramaturgi serta eksplorasi idea
tanpa tekanan untuk menang. Dalam konteks teater ia melibatkan latihan tubuh,
pembacaan skrip dan eksperimen pementasan awal. Hasilnya ialah draf karya yang
stabil dan pengkarya yang mempunyai asas yang kukuh.
Lapisan kedua, inkubator karya merupakan ruang pematangan
yang sering tiada dalam ekosistem tempatan. Di sinilah karya diasah melalui
proses bimbingan mentor, pembacaan kritikal, penulisan semula dan simulasi
persembahan. Berbeza dengan bengkel yang bersifat eksploratif, inkubator memberi
fokus kepada penajaman karya sebenar. Ia menjadi ruang di mana idea berkembang
menjadi karya matang yang telah melalui proses kuratorial dalaman. Tanpa fasa
ini banyak karya terus dipentaskan dalam keadaan belum siap sepenuhnya.
Lapisan ketiga ialah sayembara atau festival yang
berfungsi sebagai ruang penapisan mutu dan pengiktirafan. Dalam model MADANI,
pertandingan bukan lagi medan untuk “menghukum”, tetapi sebahagian daripada
proses pembelajaran. Karya yang sampai ke tahap ini adalah karya yang telah
melalui proses pembinaan dan pematangan yang sistematik. Oleh itu sayembara
berperanan mengangkat karya terbaik sebagai indikator aras kualiti nasional.
Outputnya bukan sahaja karya yang unggul tetapi juga pengkarya yang matang
serta peningkatan standard estetika dalam industri seni.
Struktur tiga lapis ini seterusnya membentuk satu
ekosistem kitaran yang berterusandaripada bengkel kepada inkubator seterusnya
ke sayembara dan kembali semula ke bengkel melalui maklum balas kuratorial.
Pendekatan ini mengubah landskap seni daripada budaya “terus pentas” kepada
budaya pembangunan yang sistematik. Ia juga secara langsung mengurangkan
konflik antara juri dan pengkarya kerana setiap karya dinilai berdasarkan
proses yang telah dilalui bukan sekadar persembahan akhir.
Dalam konteks yang lebih luas, model ini turut menekankan
peranan institusi pendidikan sebagai pemangkin utama ekosistem seni. Universiti
dan sekolah seni perlu berfungsi sebagai ruang pembinaan bukan sahaja kemahiran
tetapi juga etika dan pemikiran kritis. Pendekatan pedagogi seperti teater
berasaskan pengalaman dan forum reflektif boleh digunakan untuk membentuk
generasi pengkarya yang bukan sahaja kreatif tetapi juga berfikir secara
mendalam tentang makna karya mereka. Dalam masa yang sama hubungan antara seni
dan masyarakat perlu diperkukuhkan melalui dialog terbuka, wacana pasca
persembahan dan pendidikan seni kepada khalayak.
Dari sudut pengurusan pula model ini menuntut
keseimbangan antara kebebasan berkarya dan garis panduan etika. Garis panduan
ini bukan bertujuan menyekat tetapi membimbing agar seni berkembang dalam
kerangka yang bertanggungjawab. Ia mengelakkan dua ekstrem iaitu seni yang
terlalu dikongkong hingga hilang kreativiti, dan seni yang terlalu bebas hingga
mengabaikan sensitiviti masyarakat.
Kesimpulannya Model Ekosistem Seni Malaysia MADANI
menawarkan satu pendekatan yang menyeluruh dan seimbang dalam membangunkan seni
di Malaysia. Ia bukan sekadar model produksi, tetapi satu falsafah pembangunan
insan kreatif. Dalam model ini bengkel melahirkan pengkarya, inkubator
melahirkan karya matang dan sayembara melahirkan sejarah. Tanpa bengkel, karya
akan rapuh; tanpa inkubator karya hanya menjadi separuh masak; dan tanpa
sayembara karya tidak akan pernah teruji. Jika dilaksanakan dengan komitmen
yang berterusan, model ini berpotensi membentuk sebuah ekosistem seni yang
matang, beretika dan berdaya tahan, sekali gus menyumbang kepada pembinaan
tamadun bangsa yang lebih bermakna.
Comments