Deklamasi Lakon (Dekon) versi MAKUM Genre Baru Lakon Pentas Malaysia

“DEKON – memang benar ia satu istilah baru yang saya cipta kerana keperluan seni yang mendesak. Ringkasnya ia adalah jambatan bagi deklamasi dan lakon.” A.Samad Said (Lazri Meon)

Deklamasi Lakon atau lebih dikenali sebagai Dekon berasal dari dua perkataan iaitu deklamasi dan lakon. `Deklamasi ‘ membawa maksud recitation iaitu seni pengucapan (oratory). Mengikut Kamus Dewan, deklamasi ertinya pembacaan sajak dan sebagainya dengan lagu dan gaya; menyampaikan sajak untuk didengari (bukan ditontoni). Deklamasi juga boleh membawa makna bermadah, bercerita, berkisah, berkata-kata dan berceloteh. Lakonan pula membawa makna perihal memainkan sesuatu peranan atau watak. Kaitannya dengan Dekon ialah “penceritaan yang dilakon”; “ucapan atau madah yang disampaikan dengan aksi dan emosi”; “berkata-kata dengan penuh perasaan dan dilakonkan”. Dekon telah diilhamkan oleh Sasterawan Negara Dato A. Samad Said ketika beliau berusaha untuk menjelaskan novel karangannya Daerah Zeni melalui sudut pandangan watak utamanya Lazri Meon. Menurut A. Samad Said (Lazri Meon, 1992: vii); “… jalan terbaiknya ialah dengan saya membantu mereka menghayati novel ini secara lebih akrab lagi melalui dekon… dengan dekon, saya sendiri dapat menyampaikan semangat dan intisari kehidupan Daerah Zeni melalui deklamasi dan lakon – cara saya”. Menurut A. Samad Said lagi, dekon membolehkan bukan sahaja pelakon teater, malah sesiapa sahaja, untuk berlakon di atas pentas; “Saya bukan aktor, sekadar deklamator. Tapi dekon memungkinkan saya bergerak di atas pentas sebagai deklamator, juga sebagai aktor.” (Lazri Meon, 1992: vii). Ketika beliau ditemuramah pada tahun 2003 (persiapan Dekon MAKUM 2003), beliau percaya bahawa melalui dekon seorang deklamator itu mampu terasuh sebagai seorang pelakon teater yang baik kerana deklamasi merupakan satu kemahiran asasi untuk sesuatu dipentas. Mantan Dekan Sekolah Pengajian Seni Universiti Malaysia Sabah, Prof Madya Hj Inon Shaharuddin Abdul Rahman, turut menyatakan bahawa dekon lahir atas keinginannya dalam mencari genre sastera yang dapat menjadi suatu mekanisme pengajaran dan latihan untuk meningkatkan kebolehan berteater dan ketrampilan berkomunikasi pelajar-pelajar supaya mereka dapat membina esteem dan keyakinan diri yang memuaskan.


Festival Dekon MAKUM 2001 di UMS


Sejarah Penubuhan Dekon Majlis Kebudayaan Universiti Awam Malaysia (MAKUM)
Dekon telah dipersetujui untuk diangkat sebagai satu bentuk lakon baru di dalam mesyuarat Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Awam Malaysia (MAKUM) pada lewat tahun 2000 dan dipentaskan secara rasmi pada tahun Mac 2001 melalui penganjuran Festival Dekon MAKUM oleh Pusat (Sekolah) Pengajian Seni, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan disertai oleh enam (6) IPTA seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Dekon MAKUM telah berlangsung di UMS selama tiga (3) tahun berturut-turut (2001-2003) namun terhenti sementara pada tahun 2004 kerana pengasas dan penggerak Dekon MAKUM iaitu Dr Andika Aziz Hussin menyambung pengajiannya ke luar negara sehinggalah ia `dihidupkan semula’ pada tahun 2007 dengan kerjasama padu Sekolah Pengajian Seni UMS melalui penganjuran Seminar dan Bengkel Dekon MAKUM bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kehausan dan keinginan mementaskan dekon yang begitu memuncak di kalangan penggiat teater IPTA terbukti apabila pada 2009, Festival Dekon MAKUM kembali rancak di UMS dengan penyertaan dua belas (12) institusi pengajian tinggi awam dan pada 2010 dengan sebelas (11) penyertaan. Tahniah untuk semua rakan MAKUM yang sentiasa memberikan sokongan dan dorongan.


UKM Johan Dekon MAKUM kali pertama anjurannya pada 2001


Kegiatan Dekon MAKUM mendapat perhatian tokoh teater Malaysia

Dato A. Samad Said, orang yang bertanggungjawab mencetuskan idea dekon, tidak pernah dan tidak mahu menetapkan satu bentuk yang khusus bagaimana seharusnya Dekon itu dipersembahkan. Sebaliknya, membebaskan kepada peminat Dekon untuk menafsirkan dan mencorakkan bentuk pementasannya. Akibatnya muncul pelbagai penafsiran terhadap pengertian dekon itu sendiri. Di peringkat awal kemunculan Dekon MAKUM pada tahun 2001 itu kelihatan pelbagai tafsiran dibuat terhadap Dekon dan wujud pelbagai variasi dalam corak pementasan Dekon tersebut. Ada yang menganggapnya sebagai sebuah persembahan yang menggabungkan elemen puisi dan drama kerana merujuk kepada konotasi `deklamasi’ itu sendiri yang tidak dapat dipisahkan dengan puisi, disamping kesan yang ditonjolkan melalui diri A. Samad Said sendiri yang sangat dikenali sebagai seorang pemuisi Negara. Mereka percaya bahawa bentuk pementasan Dekon perlu melibatkan pendeklamasian puisi secara lakonan (puisidra), mempunyai pengucapan dialog yang puitis, wujudnya elemen nyanyian, korus, gerak dan sebagainya. Semua pandangan ini tidak ada salahnya kerana corak atau acuan dekon itu sendiri masih belum wujud. Namun ketiadaan bentuk atau acuan Dekon bukanlah satu alasan untuk semua kekeliruan ini dibiarkan berterusan kerana ia boleh membantutkan gagasan mewujudkan seni dekon itu sendiri.


Datuk A. Samad Said ketika berucap dalam Festival Dekon MAKUM UMS 2001

Hakikatnya, dekon itu bukanlah persembahan yang menggabungkan puisi dan drama. A. Samad Said sendiri ada menjelaskan bahawa seorang deklamator dibenarkan untuk memegang teks puisi sebagai iringannya dan dia boleh membebaskan dirinya dari teks tersebut tatkala dia sudah menghafalnya. Ketika deklamator sudah boleh berlakon tanpa menghiraukan teksnya, saat itulah bermulanya dekon kerana pendeklamator sudah berdeklamasi dan berlakon sekaligus. Peranan Universiti Malaysia Sabah (UMS) selaku pengasas dan penggerak utama genre Dekon versi MAKUM di Malaysia melalui platform Majlis Kebudayaan Universiti Awam Malaysia (MAKUM), berusaha memperkenalkan dan memperkasakan genre baru kepada khalayak yang ada. dengan menganjurkan Seminar dan Bengkel Dekon MAKUM pada 17 Mac 2007 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Bengkel Penulisan Skrip Dekon MAKUM di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 2013.
Festival Dekon MAKUM terhenti pada tahun 2012 atas sebab-sebab tertentu. Walaupun festival tidak lagi dilangsungkan, namun kajian terhadap genre ini masih terus dilakukan oleh pengkaji Dekon MAKUM di UMS dan pada tahun 2013 terhasillah sebuah buku Dekon iaitu Prosedur Pementasan Dekon MAKUM. Dalam tempoh waktu 2014 sehingga 2016 pengkajian seni dekon ini telah dilakukan secara serius oleh beberapa orang pelajar Sarjana sehingga berjaya menghasilkan tiga buah tesis akademik berkaitan seni Dekon MAKUM. Setelah Dr Andika Aziz Hussin, penggerak utama Dekon MAKUM berpindah dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK), usaha untuk mengangkat kembali mula gigih dilakukan dengan kerjasama Bahagian Kebudayaan UMK dan MAKUM. Akhirnya setelah 6 tahun berlalu maka pada tanggal 26 Oktober 2018, Dekon MAKUM sekali lagi berjaya dihidupkan kembali dengan penganjuran Bengkel Dekon MAKUM UMK.

Andika Aziz Hussin pengasas Dekon MAKUM
merupakan dahulunya pensyarah di UMS dan kini sedang berkhidmat di UMK



Buku Prosedur Pementasan Dekon MAKUM



Logo Dekon MAKUM 2001-2012 UMS

Logo Dekon MAKUM 2018 UMK



Comments

Popular Posts