MENGENALI UNSUR TEATER

1. PELAKON/PELAKU

Pelaku ialah seseorang yang berwatak yang melakukan sesuatu perbuatan atau aksi berdasarkan sebab dan akibat yang merujuk kepada sesuatu arahan. Dengan lebih jelas pelaku merujuk kepada “WATAK” di dalam skrip drama atau “PELAKON” di dalam pementasan teater.

Pelaku adalah pelakon yang membawa watak dan perwatakan di dalam cerita. Pelaku berperanan merealisasikan imaginasi penulis drama dan pengarah (sutradara) teater. Pelaku mempunyai kemampuan imaginasi (Khayal Cipta) namun tidak terlepas dari kawalan realiti. Pelaku mempunyai disiplin dan tanggungjawab di dalam produksi. Justeru itu pelaku wajib memahami dan melaksanakan Etika Pelakon.

Pelaku merupakan unsur yang paling aktif sebagai penggerak cerita di dalam naskah lakon atau pementasan teater. Biasanya WATAK di dalam naskah lakon ditentukan berdasarkan 3 ciri-ciri berikut, iaitu :

1.Fisiologi – Ciri-ciri fizikal@Tubuh-badan, umur, jantina dan lain-lain
2.Sosiologi – Latar belakang masyarakat, status sosial, pendidikan,
pekerjaan, peranan dalam masyarakat, kehidupan peribadi, pandangan
hidup, agama, hobi dan lain-lain.
3.Psikologi - Latar belakang kejiwaan, mental, sifat, sikap dan kelakuan, tahap
kecerdasan, kemahiran dalam bidang tertentu dan lain-lain.

Realitinya, Pelakon merupakan aspek yang amat penting dalam pementasan Teater. Pelakonlah yang bertanggungjawab merealisasikan keseluruhan cerita yang melibatkan elemen-elemen teater di atas pentas.

Dengan lebih jelas, penggunaan perkataan atau istilah Pelaku bukan hanya merujuk kepada pelakon secara total, tetapi semua tenaga produksi yang terlibat (peringkat pra dan pasca produksi) merupakan para Pelaku yang tidak boleh dipertikaikan tugas dan peranan mereka di dalam sesebuah produksi Teater.


2. PENONTON KOLEKTIF

Penonton ialah orang yang menyaksikan persembahan teater secara langsung ditempat dan masa yang sama. Penonton adalah pemerhati, penilai, penikmat dan menghargai persembahan.

Penonton berada di dalam dunia lakonan serta mempercayai apa yang berlaku di dalam lakonan.

Penonton berkomunikasi dan berkongsi emosi dengan pelakon serta memberikan rangsangan dan motivasi di dalam lakonan.

Penonton Kolektif ialah penonton yang mendapat pengajaran, pengetahuan dan pengalaman baru selepas menyaksikan pementasan teater. Dengan erti kata lain penonton kolektif juga boleh dianggap mencapai katarsis (penjernihan jiwa) selepas menonton teater.


3. RUANG

Ruang merujuk kepada tempat atau kawasan yang dapat menampung pelbagai bentuk persembahan seperti tarian, nyanyian, koir, orkestra, debat, pidato dan acara persembahan yang lain.

Ruang ialah sebuah kawasan atau tempat yang di khaskan untuk pelakon dan penonton bagi sesuatu acara persembahan baik secara langsung atau tidak langsung.

Ruang sekurang-kurangnya mempunyai fasiliti asas seperti tenaga elektrik yang dapat membekalkan tenaga pada sistem pencahayaan, sistem audio dan sistem penggantungan tirai dan lampu.

Ruang juga adalah tempat para pereka mempamerkan gabungan kerja-kerja artistik yang membolehkan penonton merasa teruja dan selesa menikmatinya.


4. NASKAH LAKON

Naskah lakon adalah skrip dan merupakan satu hasil penulisan karya sastera yang dikenali sebagai Drama. Walau bagaimanapun ciri-ciri atau bentuk penulisan naskah lakon adalah berbeza dengan bentuk karya sastera seperti cerpen, novel dan puisi.
Menurut Aristotle, drama ialah peniruan kehidupan, sebuah cermin budaya dan suatu bayangan kebenaran. Dalam buku The American College Dictionary, drama didefinisikan sebagai karangan prosa dan puisi yang menyajikan dialog, pantomin atau cereka yang mengandungi konflik untuk dipentaskan. Mengikut Oxford Dictionary, drama sebagai komposisi prosa yang boleh disesuaikan untuk diaksikan di atas pentas yang ceritanya disampaikan melalui dialog dan aksi, dan dipersembahkan dengan bantuan gerak, kostum dan latar hiasan seperti kehidupan yang sebenar.

Naskah lakon boleh dibaca secara individu atau berkumpulan tanpa memerlukan ruang, pelakon atau bantuan seni yang lain. Apabila skrip drama itu dilakonkan di atas ruang pentas dengan gabungan pelbagai seni yang lain dan ditonton pula oleh khalayak secara kolektif, maka ia dinamakan teater. Drama bukan semata-mata untuk dibaca, tetapi untuk dilakonkan di atas pentas, dengan penghayatannya berbeza antara dibaca dengan pementasannya. Di sinilah letaknya perbezaan maksud antara drama dengan teater.

Sememangnya sifat sesebuah naskhah drama digerakkan oleh dialog. Pemikiran atau gagasan pengarang disampaikan melalui dialog pelaku (watak-watak) yang berinteraksi dalam sesebuah drama. Sebuah naskah lakon yang baik akan dapat memberikan gambaran jelas tentang pemikiran pengarang melalui unsur-unsur dramatik dalam dialog yang dihasilkan. Unsur dramatik bermaksud diksi atau ungkapan yang boleh membangunkan konflik dalam drama seperti dialog yang menimbulkan perasaan.

4.1 Menulis Naskah Lakon
Tiga elemen yang cukup penting yang perlu diberikan tumpuan oleh penulis sebelum memulakan penulisan naskah lakonnya ialah:
1. Fokus
2. Logik
3. Perwatakan.

4.1.1 Fokus
Untuk sebuah cerita sentiasa dalam kesatuan, watak-watak dan cara mereka berfungsi memerlukan fokus atau tumpuan. Ia tidak ada bezanya sama ada jalan cerita kita berbentuk linear, non-linear (spiral) atau selari. Sentiasa memberikan tumpuan yang kukuh akan menjadikan proses penulisan kita mudah dan lancar. Fokus memerlukan beberapa pertimbangan. Yang utama adalah dengan mengetahui watak-watak (siapa mereka?), latar, sifat dan perkembangan mereka. Fokus juga memerlukan perwatakan dan cerita secara keseluruhan mempunyai matlamat yang jelas pada akhirnya.

4.1.2 Logik
Apabila kita menghasilkan cerita dengan segala perwatakannya, tema dan ruang tempat, kita sebenarnya terlibat dengan penciptaan. Segala perwatakan, tema dan ruang masa serta tempat mempunyai peraturannya sendiri sebagaimana sebuah dunia dicipta. Sebab itu penulis drama sering dikatakan mencipta sebuah dunia. Akan tetapi dunia bagaimanakah yang dicipta itu? Bagaimanakah kehidupannya? Drama mengangkat atau meniru realiti (kehidupan), tetapi realiti yang bagaimana? Oleh itu realiti sesebuah drama perlu dilihat dalam konteks ceritanya, perwatakan dan temanya. Di sinilah logik drama tersebut diukur.

4.1.3 Watak dan Perwatakan
Sebuah skrip drama yang baik mesti mempunyai watak-watak yang mampu membawa cerita untuk terus berkembang. Watak-watak inilah yang menjadi cerita, dan kuasa merekalah yang menghidupkan cerita. Oleh itu watak ialah elemen terpenting dalam drama. Wataklah yang menggerakkan plot cerita. Dalam sesebuah drama terdapat watak utama dan watak sampingan. Selalunya dalam sesebuah drama terdapat satu watak utama, tetapi pada saya sesebuah drama mempunyai dua watak utama, iaitu watak protagonis (watak yang menyokong idea penulis) dan watak antogonis (watak yang menentang idea penulis). Pertentangan idea ini akan menimbulkan konflik dan pertentangan konflik inilah yang membentuk struktur konflik dramatik yang menarik. Watak sampingan ialah watak-watak yang lain yang menyokong protagonis ataupun antogonis atau watak-watak yang melengkapkan cerita.

4.2 ELEMEN DRAMA
Elemen drama yang perlu diketahui oleh bakal penulis skrip ialah:

4.2.1 Tema/Pemikiran
Tema ialah idea atau persoalan pokok yang dapat dirumuskan daripada keseluruhan inti pati cerita. Persoalan pokok ini merupakan gagasan yang ingin disampaikan oleh penulis dalam skripnya. Pemikiran ini disampaikan melalui dialog dan aksi watak-wataknya. Pembaca naskhah atau penonton drama yang sensitif akan dapat menangkap idea atau persoalan pokok ini selepas selesai membaca skrip atau menonton teater. Malah, selalunya mereka bukan sahaja dapat menangkap idea atau tema drama tersebut, tetapi juga mereka akan dapat menjaring maksud lain atau lapisan maksud yang lain yang terkandung dalam drama tersebut. Pemikiran yang tersembunyi yang hanya dapat ditafsir oleh pembaca atau penonton yang mahu berfikir atau memahami perlambangan yang digunakan atau unsur cerita yang disampaikan oleh penulis dinamakan sebagai sub-teks.

4.2.2 Plot
Plot sangat penting dalam pembinaan struktur drama. Plot adalah struktur drama yang dibina melalui dialog dan aksi setiap watak. Dialog terbina melalui kata-kata atau bahasa. Melalui dialog inilah konflik dan perkembangan cerita berlaku. Seperti yang dijelaskan sebelum ini, konflik memainkan peranan yang cukup penting dalam membangunkan struktur sebuah drama. Bertolak daripada konflik dan ketegangan inilah sesuatu peristiwa digerakkan dan dilanjutkan perkembangannya hingga kepada peleraiannya atau kesimpulan cerita. Plot bukan cerita atau naratif. Mengikut E.M. Forster cerita ialah huraian tentang peristiwa yang disusun mengikut urutan waktu. Plot ialah jalan cerita yang memberikan maklumat cerita. Ia dibina oleh watak dan apa yang berlaku melalui kesan sebab dan akibat dalam ruang dan waktu.

Penulis perlu memahami bahawa dalam sesebuah persembahan teater, usaha menarik perhatian penonton dan menahan perhatian mereka selama mungkin ialah tugas yang cukup penting. Sebuah plot mesti berupaya menarik perhatian dan mencipta suspens dan di sinilah kesemua binaan dramatik memberi tumpuan. Harapan atau jangkaan penonton atau pembaca mesti dibina (tetapi hanya diselesaikan pada babak adegan terakhir). Aksi (adegan) mesti kelihatan hampir mencapai objektifnya tetapi ia perlu tidak tercapai sehinggalah di akhir adegan. Perkara yang paling penting ialah sebuah plot mesti mempunyai kepelbagaian (variasi) rentak dan tempo. Sebuah plot yang monotonos akan hanya menghilangkan minat penonton dan akhirnya kelihatan hambar dan mendatar.

Terdapat beberapa bentuk suspens atau ketegangan yang boleh dicipta dalam sesebuah skrip. Soalan-soalan asas ini boleh menjadi contoh ketika hendak memulakan tulisan skrip anda. “Apa yang akan berlaku selepas ini?”, atau yang sama maksudnya, “Saya tahu apa yang akan berlaku, tetapi bagaimana ia akan berlaku?”, atau, “Saya tahu apa yang akan berlaku dan saya tahu bagaimana ia akan berlaku, tetapi bagaimanakah watak X memberi reaksi atau bertindak balas kepadanya?”

Soalan-soalan asas ini wajar berlaku di awal bahagian skruktur dramatik skrip anda supaya pembaca atau penonton anda dapat terus bersedia kepada elemen utama suspens dalam drama anda. Seseorang mungkin mengatakan tema utama sesuatu drama itu mesti jelas. Bagaimanapun dalam sebuah skruktur skrip drama yang baik, ia terletak pada persoalan. Contohnya, siapakah yang melakukan pembunuhan itu, lelaki manakah yang akhirnya berjaya memiliki gadis itu, atau bagaimana bila sesorang suami mengetahui yang isterinya berlaku curang dan memiliki kekasih lain?

Apabila penonton atau pembaca telah mengetahui tema dan persoalan dan objektif aksinya, maka jangkaan mereka akan tertumpu kepada titik akhir drama tersebut (penyelesaian) dan tahu ke mana tumpuan drama tersebut akan bergerak. Perhatian penonton tertumpu ke arah yang betul.

Bagaimanapun perlu juga diketahui, tumpuan perhatian penonton selalunya adalah pendek. Satu elemen suspens utama tidak mencukupi untuk terus mengikat perhatian penonton. Oleh itu, sebuah struktur skrip drama memerlukan suspens sampingan. Jadi suspens sampingan ini akan mendukung elemen suspens yang utama. Suspens sampingan ini diperlukan pada setiap adegan atau bahagian drama, yang akhirnya bergabung dengan keseluruhan momentum struktur drama tersebut.

Dalam pembentukan plot, setiap watak bergerak dalam kerangka sebab dan akibat. Sesuatu peristiwa berlaku disebabkan oleh sesuatu alasan yang kukuh dan ia akan menghasilkan sesuatu akibat yang wajar. Ia merupakan hukum yang mempunyai logikanya yang tersendiri. Oleh itu, seseorang penulis perlu memastikan tindakan sesuatu watak itu wajar mengikut latar watak, tempat dan waktu, dan peristiwanya dan akibat yang berlaku itu adalah munasabah.

4.2.3 Latar
Elemen tempat, masa atau zaman serta masyarakat yang diceritakan selalunya dijelaskan melalui latar. Latar dalam drama penting dijelaskan, tetapi perincian latar dalam drama adalah terhad. Ia hanya perlu untuk tujuan pementasan untuk menjelaskan tentang tempat dan masa, cukup untuk memberikan panduan kepada pembaca atau penonton. Berbanding dengan filem atau televisyen, drama pentas menghadapi kekangan dalam menukar set atau prop yang kerap dari satu babak ke satu babak yang lain.

4.2.4 Babak
Bahagian dalam drama yang menjelaskan peristiwa yang berlaku dalam sesuatu latar tempat dan masa disebut babak. Pertukaran latar tempat dan masa membawa perubahan babak.

4.2.5 Adegan
Adegan merupakan pecahan dalam sesuatu babak yang menjelaskan sesuatu peristiwa yang berlaku dalam sesuatu latar tempat tetapi pada masa yang berbeza.

4.2.6 Bahasa
Asas sebuah drama ialah perkataan atau dialog. Drama terbina oleh dialog dan aksi. Oleh itu, bahasa yang menjadi asas perkataan adalah elemen yang cukup penting bagi sesebuah drama. Daripada bahasa yang dituturkan oleh pelakon itu, pemikiran dan gagasan pengarang disampaikan. Sesebuah drama yang baik akan menggunakan bahasa yang ringkas, padat dan mudah difahami supaya berkesan kepada penonton. Gaya bahasa atau dialog yang meleret dan sukar difahami akan menyebabkan pembaca dan penonton bosan dan akhirnya hilang tumpuan.

Gaya bahasa yang baik dalam sesebuah drama akan memberikan latar zaman, masyarakat dan tempat. Justeru itu, dialek sesuatu daerah boleh digunakan oleh sesuatu watak untuk menghidupkan lagi perwatakannya, tetapi pastikan yang pembaca dan penonton dapat memahami dialek tersebut. Kekuatan sesuatu watak itu terpancar daripada kualiti dialog yang diucapkannya. Watak yang gagal mengucapkan dialog kuat, humor dan menarik akan sukar menarik perhatian penonton. Oleh itu, pemilihan diksi, ayat atau unsur bahasa penting dalam mengekalkan keinginan pembaca dan penonton sesebuah drama.

4.2.7 Ekonomi, emosi dan keseimbangan
Secara keseluruhannya struktur sesebuah drama bergantung kepada keseimbangan dalam semua elemen. Setiap suatu elemen tersebut mestilah memberikan sumbangan dalam membentuk corak dan pola sesebuah drama itu. Setiap suatu elemen itu sentiasa berkaitan dan bergantungan antara satu sama lain. Satu aspek yang mesti juga diberi perhatian oleh penulis skrip ialah faktor ekenomi. Hal ini demikian kerana drama ialah satu bentuk komunikasi yang elemen masa memainkan peranan yang penting. Oleh itu, faktor masa perlu diberikan perhatian. Selain itu, drama juga merangkumi aspek emosi. Hal ini demikian kerana sesebuah drama itu dihasilkan untuk manusia dan emosi memainkan peranan penting dalam soal komunikasi kemanusiaan.

4.2.8 Jenis-jenis drama
Pada umumnya terdapat tiga jenis drama yang utama, iaitu:
1. Tragedi – sebuah drama yang mengisahkan suka duka dan tragisnya kehidupan wira
utamanya. Kisah wira ini selalunya berakhir dengan tragedi. Dalam drama ini
perjalanan kisahnya menemui tragedi itulah yang utama.

2. Komedi – Drama ini memaparkan kisahnya dalam bentuk lucu dan menghiburkan.
Ceritanya serius, tetapi disampaikan dalam bentuk kelucuan oleh watak-wataknya.
Drama ini selalunya digunakan untuk menyindir masyarakat. Plot drama komedi boleh
berakhir dengan kepuasan penonton (kegembiraan) dan boleh juga berakhir dengan
kedukaan .Drama begini dikenali juga sebagai tragik-komedi.

3. Melodrama – Drama ini bersifat sentimental dan ceritanya sering berpusat pada
persoalan keluarga atau wanita. Drama ini selalunya akan menyentuh emosi pembaca
atau penonton.

4.2.8 Format Skrip Drama Pentas
Skrip drama pentas mempunyai formatnya yang sendiri. Anda wajar mengikut format yang standard apabila menulis skrip supaya ia mudah dibaca, difahami oleh pengarah drama dan yang penting ia menunjukkan yang anda memahami genre sastera yang anda tulis.

Dalam format penulisan skrip, anda perlu memuatkan perkara-perkara yang berikut:
• Muka surat judul yang mempunyai judul drama anda, nama penulis (nama anda), judul
sumber asal (novel) jika skrip drama itu karya adaptasi, nama dan tempat terbit
(jika diterbitkan) dan tahun.

• Sinopsis. Anda perlu juga menulis sinopsis atau ringkasan drama anda (kira-kira 150
patah perkataan). Sinopsis ini perlu memberikan maklumat tentang watak, tema dan
perjalanan cerita dan yang penting mampu menarik minat pembaca untuk membaca
seterusnya skrip drama anda.

• Watak dan senarai watak – Anda perlu memberikan senarai watak yang terlibat dalam
drama anda serta deskripsi ringkas tentang perwatakannya seperti bentuk fizikal,
usia dan sifat-sifat tertentu watak itu.

• Pecahan babak juga perlu.

• Adegan atau babak sesebuah drama berlaku dalam satu ruang tempat, masa dan watak.
Oleh itu, ruang tempat, masa dan watak perlu juga diberitahu sebelum sesuatu
adegan itu bermula.

• Format atau stail menaip skrip terdapat beberapa bentuk. Lihatlah bentuknya
daripada beberapa skrip yang pernah anda baca.


5. MESEJ

Mesej merupakan agenda penting sesebuah pementasan atau persembahan. Tanpa mesej sesebuah pementasan itu diumpamakan seperti tin kosong. Pelbagai isu yang ada disekeliling kita digarap dalam bentuk persembahan untuk disampaikan semula kepada masyarakat sama ada melalui perlakuan atau perkataan. Perlakuan adalah melibatkan gerakkan pancaindera dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Mesej ialah maklumat. Dalam bidang teater, mesej dapat diperolehi melalui penilaian, penghayatan dan kajian terhadap sebuah naskah lakon dan sesebuah pementasan teater. Tujuan pementasan teater ialah untuk mengajar dan menghiburkan. Apabila adanya aktiviti mengajar dan menghibur sudah tentu adanya mesej yang disampaikan oleh pelaku kepada khalayak. Mesej akan menjadi maklumat untuk tatapan penonton sebagai pengajaran. Mesej yang diterjemahkan melalui pementasan teater mempunyai nilai positif dan negatif. Di sinilah terletaknya peranan penonton yang bijak untuk mengambil atau mengutip mesej yang baik dan negatif sebagai panduan hidup yang baik dan selamat di dunia dan akhirat.


6. GABUNGAN PELBAGAI SENI

Gabungan pelbagai seni merujuk kepada kemahiran yang dimiliki oleh pelaku yang menggabungkan beberapa kemahiran asas yang meliputi aspek gerak fizikal, lontaran vokal, kawalan mental dan emosi. Dengan gabungan unsur-unsur ini para pelaku dapat melaksanakan tugas sebagai pelakon yang baik dan berkesan.

Selain itu gabungan seni yang lain seperti gerak tari, bunyi muzik, rekaan visual (setting, props, kostum, mekap, pencahayaan dan bunyian) dapat membantu meingkatkan tahap persembahan atau pementasan yang mantap.

Gabungan kerja-kerja kreatif dan Pengurusan berdasarkan daripada naskah lakon dipersembahkan secara langsung kepada penonton yang dipisahkan oleh ruang dan waktu.

Di peringkat ini kemahiran dan kaedah Sinografi amat diperlukan. Sinografi digunakan untuk mencantikkan dan memberi makna cerita dalam persembahan berdasarkan pada setiap rekaan yang dihasilkan oleh pereka-pereka.

(NOTA : Makalah ini dihasilkan berdasarkan kutipan dan kupasan daripada sumber-sumber ilmiah dan nota-nota simpanan penulis hasil daripada bengkel, seminar, dan kuliah TEATER. Terima kasih kepada guru-guru yang memberi ilmu TEATER kepada penulis. Hanya Allah s.w.a sahaja yang dapat membalasnya.)

Comments

Popular Posts