MENYULAM NARATIF PENJARA MALAYSIA MELALUI PEMENTASAN PANTOMIN SEMPENA HARI PENJARA MALAYSIA 2025

 




Pada 17 Mei 2025, Padang Kota Lama Pulau Pinang telah menyaksikan suatu peristiwa yang luar biasa iaitu sambutan Hari Penjara Malaysia 2025 yang bukan sahaja meraikan institusi pemulihan ini tetapi turut mengetengahkan seni persembahan sebagai medium penyatuan antara institusi, masyarakat dan pendidikan. Antara acara kemuncak yang mencuri perhatian ramai ialah sebuah persembahan pantomim yang mengetengahkan tema kehidupan dan pemulihan dalam sistem penjara yang dilakonkan oleh gabungan 70 orang peserta yang terdiri daripada staf Penjara Malaysia dan pelajar Drama dari Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM). Persembahan ini bukan sekadar tontonan artistik tetapi merupakan manifestasi kerjasama merentas institusi yang diketuai bersama oleh Sarjan Mejar Khusyairi Mahyuddin, pensyarah teater Dr Andika Aziz Hussin, serta felo industri dan koreografer terkenal Aida Redza. Latihan intensif selama hampir dua minggu bermula 5 Mei hingga 16 Mei 2025 telah menghasilkan sebuah produksi yang menggabungkan elemen fizikal, dramatik dan teknologi seperti paparan imej AI secara kreatif. Gabungan ini bukan sahaja menyentuh emosi penonton malah membuka wacana tentang kehidupan di sebalik tembok penjara dan potensi seni dalam mencetuskan perubahan sosial.

Pemilihan pantomim sebagai bentuk persembahan teater fizikal yang menyampaikan cerita melalui gerak tubuh, ekspresi wajah dan simbolisme tanpa sebarang dialog verbal. Kekuatan pantomim terletak pada keupayaannya untuk merentasi sempadan bahasa dan budaya menjadikannya sangat sesuai untuk persembahan di ruang terbuka seperti Padang Kota. Dalam konteks ini pantomim menjadi medium yang inklusif dan universal membolehkan penonton daripada pelbagai lapisan masyarakat memahami dan menghayati mesej yang disampaikan. Pantomin juga menguji keupayaan pelakon untuk menyampaikan mesej secara visual dan emosi, tanpa bersandar kepada kata-kata.

Dari segi sejarah pantomin bukanlah sesuatu yang baru. Ia telah wujud sejak zaman Yunani dan Rom Purba di mana pelakon dikenali sebagai pantomimus mempersembahkan kisah-kisah mitologi melalui pergerakan yang ekspresif dan berirama. Tradisi ini kemudiannya diperkayakan lagi pada zaman Renaissance melalui bentuk commedia dell’arte di Itali dan mencapai bentuk klasiknya pada abad ke-19 dan 20 dalam persembahan mime di Perancis oleh tokoh seperti Jean-Gaspard Deburau dan Marcel Marceau. Menurut Robert Gordon (2006), tradisi pantomin Perancis memperkukuhkan pendekatan cerita tanpa suara yang menekankan kekuatan tubuh sebagai alat utama komunikasi dramatik. Dalam konteks pendidikan pula pantomim telah diiktiraf sebagai alat pedagogi berkesan dalam membina kepekaan tubuh, komunikasi bukan lisan dan kehadiran pentas seperti yang dihuraikan oleh Cohen (2013) dan Gordon (2006). Justeru projek ini bukan sahaja menampilkan persembahan tetapi juga merupakan satu proses pembelajaran yang holistik bagi pelajar dan peserta.

Sejarah penjara di Malaysia merupakan sebahagian daripada naratif nasional yang jarang diketengahkan melalui medium seni. Institusi penjara di Tanah Melayu telah bermula sejak era kolonial British dengan matlamat utama sebagai tempat pemulihan dan kawalan sosial. Dari kedatangan banduan dari India ke Pulau Pinang hingga ke institusi moden hari ini, fungsi penjara telah melalui pelbagai fasa transformasi. Bukan sahaja berperanan dalam aspek hukuman, institusi ini juga menekankan elemen pemulihan dan reintegrasi sosial. Namun, imej masyarakat terhadap penjara sering terikat dengan stigma negatif, dan di sinilah teater memainkan peranan penting sebagai medium refleksi dan pencerahan.

Teater sebagai alat pendidikan memiliki keupayaan luar biasa untuk menyampaikan mesej kompleks dengan cara yang menyentuh emosi dan pemikiran. Dalam konteks pantomin sempena Hari Penjara Malaysia ini teater bukan sahaja menjadi wadah ekspresi bagi warga penjara dan pelajar universiti tetapi juga sebagai jambatan antara institusi dan masyarakat umum. Melalui persembahan tanpa dialog verbal ini unsur simbolik, pergerakan dan ekspresi wajah serta gestur tubuh menjadi kekuatan utama yang mampu merentasi sempadan bahasa dan latar belakang penonton. Tema seperti penyesalan, harapan, dan pemulihan dapat diterjemahkan secara efektif menjadikan pementasan ini sebagai ruang dialog senyap yang penuh makna.

Kepentingan kerjasama antara Pasukan Penjara Malaysia dan Pusat Pengajian Seni USM ini juga amat signifikan dari sudut perkembangan industri teater dan keilmuan. Bagi para pelajar Drama USM, projek ini menawarkan pengalaman lapangan yang luar biasa. Mereka bukan sahaja berpeluang menerapkan kemahiran teater secara praktikal malah dapat menyaksikan bagaimana seni boleh berperanan dalam konteks sosial yang sebenar. Lebih penting lagi kolaborasi antara Pasukan Penjara Malaysia dan USM ini memperlihatkan bagaimana institusi pengajian tinggi boleh memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat melalui pendekatan seni.  Kolaborasi ini memperluaskan horizon pemahaman pelajar terhadap peranan teater di luar ruang akademik dan komersial. Ia juga memperkukuhkan nilai empati, komunikasi, dan pengurusan produksi dalam persekitaran yang sebenar yang merupakan antara kompetensi utama dalam latihan teater profesional.



Selain itu dari perspektif industri pula, kerjasama seperti ini membuka ruang untuk memperkukuhkan hubungan antara institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan dalam membentuk projek berimpak tinggi.. Ini selari dengan aspirasi pendidikan tinggi negara untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten dalam bidang masing-masing tetapi juga peka terhadap isu kemasyarakatan dan mampu menyumbang secara kreatif kepada pembangunan negara. Penglibatan felo industri seperti Aida Redza juga turut memperkukuhkan nilai kerjasama antara akademia dan profesional luar, menyokong aspirasi pendidikan tinggi yang menyeluruh dan berpaksikan kepada kemasyarakatan. Persembahan ini juga membuktikan bahawa teater masih relevan dalam usaha pembinaan naratif kebangsaan. Ia bukan sekadar aktiviti seni semata-mata, tetapi satu bentuk intervensi sosial yang mampu menjana kesedaran dan perubahan. Dengan melibatkan warga institusi penjara sendiri dalam latihan dan persembahan, ia secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka untuk menyampaikan suara dari dalam yang seringkali tidak diberi ruang dalam wacana umum. Gabungan ini memperlihatkan bahawa teater bukan hanya milik penggiat seni, tetapi milik semua insan yang mahu berkongsi cerita dan harapan.

Kehadiran tokoh-tokoh penting negara dalam sambutan Hari Penjara Malaysia 2025 memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan dalam usaha memperkukuhkan institusi pemulihan sebagai salah satu tonggak dalam sistem keadilan negara. Antara yang paling menonjol ialah kehadiran Menteri Dalam Negeri YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail dan Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, Dato’ Haji Abdul Aziz bin Abdul Razak. Kehadiran kedua-dua tokoh ini bukan sekadar memenuhi protokol majlis rasmi tetapi lebih besar daripada itu. Ia mencerminkan kesungguhan politik dan dasar dalam mendukung agenda reformasi penjara yang inklusif, berperikemanusiaan dan selari dengan prinsip masyarakat madani.

Dalam ucapan rasminya YB Menteri Dalam Negeri menekankan bahawa penjara bukan lagi harus dilihat sekadar sebagai tempat menghukum tetapi sebagai ruang mendidik, memulih dan memberi peluang kedua kepada insan yang tersasar. Pendekatan ini selaras dengan tema sambutan tahun ini “Peradaban Manusiawi Perkukuh Masyarakat Madani” yang menyoroti keperluan mengangkat nilai kemanusiaan dalam setiap aspek institusi negara termasuk institusi pemulihan. Penekanan terhadap nilai empati, pendidikan, dan pembinaan semula maruah manusia menunjukkan bahawa kerajaan mengiktiraf bahawa setiap individu yang menjalani hukuman juga berhak untuk dibantu kembali ke pangkuan masyarakat secara bermaruah.

Lebih menarik lagi pengiktirafan terhadap seni sebagai medium komunikasi dan pemulihan turut menjadi aspek penting dalam sambutan ini. Dengan memberi ruang kepada pementasan seni seperti pantomim yang melibatkan staf penjara dan pelajar universiti, kerajaan secara tidak langsung menyatakan pendirian bahawa seni bukan hanya sebagai alat hiburan tetapi juga wadah penyampaian mesej sosial yang kuat dan menyentuh. Seni persembahan khususnya dalam bentuk fizikal dan simbolik seperti pantomim, mampu membuka ruang kontemplasi, empati, dan refleksi dalam kalangan masyarakat umum. Ia mampu membina jambatan antara dunia dalam penjara dan di luar penjara yang selama ini sering terasing oleh stereotaip dan stigma.

Pendekatan ini juga memperlihatkan bahawa kerajaan tidak lagi melihat sistem penjara secara unilateral dari sudut kawalan dan keselamatan semata-mata. Sebaliknya ia mula memperkukuhkan pendekatan multidisiplin yang merangkumi aspek psikososial, pendidikan, keusahawanan, dan juga ekspresi kreatif sebagai kaedah pemulihan. Di sinilah ucapan dan kehadiran pemimpin tertinggi seperti Komisioner Jeneral Penjara memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej bahawa institusi ini sedang beranjak dari paradigma lama kepada pendekatan yang lebih progresif dan bersifat kemanusiaan.

Apa yang lebih mengesankan usaha ini tidak berlaku secara retorik semata-mata. Ia disokong oleh pelbagai inisiatif konkrit yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Penjara Malaysia seperti program parol, pusat reintegrasi penghuni, pelaksanaan kerja komuniti dan penekanan terhadap pengukuran kadar pesalahlaku semula (recidivist) sebagai indikator keberkesanan sistem pemulihan. Dalam konteks ini sambutan Hari Penjara menjadi platform untuk memperkenalkan dan mengkomunikasikan pelbagai inisiatif ini kepada masyarakat secara terbuka dan inklusif. Penyertaan tokoh-tokoh penting negara dalam sambutan Hari Penjara Malaysia 2025 bukan sahaja memperlihatkan komitmen kerajaan terhadap pembaharuan sistem penjara tetapi turut menandakan perubahan paradigma dalam melihat peranan institusi ini dalam masyarakat. Ia adalah usaha menyusun semula naratif penjara daripada simbol hukuman kepada lambang harapan, pemulihan dan pembinaan semula maruah insan. Dalam dunia yang semakin mencabar dari segi sosial dan moral, pendekatan seumpama ini amat diperlukan bagi memastikan institusi negara tidak ketinggalan dalam membina peradaban yang lebih berperikemanusiaan dan inklusif. Sambutan ini bukan hanya meraikan sejarah 235 tahun penubuhan institusi penjara di Malaysia, tetapi juga membuka lembaran baru dalam usaha membina sistem keadilan yang lebih adil, progresif dan bersifat penyembuhan.

Projek pantomin sempena Hari Penjara Malaysia 2025 ini merupakan contoh cemerlang bagaimana sejarah, seni dan pendidikan dapat bersatu dalam satu persembahan yang bermakna. Ia menandakan kematangan industri teater dalam memainkan peranannya di tengah masyarakat serta membuktikan keupayaan pusat pengajian tinggi dalam menghasilkan graduan seni yang bukan sahaja mahir tetapi juga berjiwa besar. Semoga projek seumpama ini menjadi perintis kepada lebih banyak kerjasama antara institusi agar seni terus berkembang sebagai agen perubahan sosial yang berkesan.

Comments

Popular Posts