MENCARI TITIK PERTEMUAN ANTARA TEATER DAN MUZIK DALAM DUNIA AKADEMIA
MENCARI
TITIK PERTEMUAN ANTARA
TEATER
DAN MUZIK DALAM DUNIA AKADEMIA
Pengajian
bidang teater dan muzik di universiti atau mana-mana pusat pengajian tinggi
seringkali berdepan dengan cabaran yang sama iaitu sambutan masyarakat yang
tidak sehebat bidang profesional lain serta persepsi bahawa kedua-dua bidang
kurang memberikan impak secara langsung terhadap pembangunan ekonomi negara.
Bagi sebahagian pihak pentadbiran hal ini menimbulkan kerisauan apabila
pengambilan pelajar semakin menurun dan minat masyarakat semakin terhad. Akhirnya
muncullah cadangan dan arahan supaya bidang teater dan muzik digabungkan
menjadi sebuah program yang lebih besar dan inklusif dengan harapan gabungan
itu mampu meningkatkan daya tarikan serta memberi justifikasi kewujudan di
institusi pengajian tinggi. Namun cadangan penggabungan ini menimbulkan
persoalan dan kegusaran dalam kalangan pensyarah dan pengamal seni sendiri terhadap
siapa yang akan mendominasi siapa. Adakah muzik hanya akan dilihat sebagai
sekadar iringan untuk teater? Atau adakah teater pula dianggap hanya sebagai visual
tambahan kepada muzik? Kerisauan ini memang berasas kerana setiap bidang
memiliki sejarah, metodologi dan kepakaran tersendiri yang unik. Muzik sebagai
disiplin mempunyai tradisi teori, komposisi dan persembahan yang panjang,
sementara teater menekankan aspek lakonan, pengarahan, dramaturgi dan
interpretasi teks. Jika gabungan dibuat secara terburu-buru tanpa kerangka yang
jelas, besar kemungkinan salah satu bidang akan merasa dianaktirikan. Bayangkan
sebuah perkahwinan yang diaturkan tanpa persetujuan kedua-dua mempelai bukan
kerana cinta tetapi kerana keluarga merasakan itu jalan terbaik untuk
menyelamatkan maruah. Di atas pelamin mereka nampak bahagia tetapi di sebalik
senyuman ada tanda tanya siapakah yang akan berkuasa dalam rumah tangga ini?
Begitulah juga kegusaran para pensyarah teater dan muzik apabila arahan
penggabungan datang dari atas. Mereka tahu rumah tangga ini boleh jadi indah
tetapi juga berisiko menjadi hubungan yang dingin jika asasnya rapuh.
Di
sinilah perlunya pendekatan seimbang dan interdisiplin. Penggabungan tidak
boleh difahami sebagai tindakan meletakkan satu bidang di bawah bidang yang
lain tetapi sebagai satu usaha mencipta ruang bersama yang dapat memperkukuhkan
kedua-dua disiplin. Pertama struktur kurikulum harus dibangunkan dengan teliti.
Mata pelajaran teras yang wajib diambil semua pelajar perlu melibatkan
kedua-dua bidang seperti Sejarah Teater Muzikal Dunia, Asas Interdisiplin dalam
Seni Persembahan atau Analisis Muzik & Drama. Modul-modul khusus mengikut
kecenderungan harus disediakan di mana pelajar muzik boleh mendalami komposisi
untuk pementasan, reka bentuk bunyi dan vokal untuk teater manakala pelajar
teater pula boleh memperdalamkan lakonan dalam teater muzikal, penulisan
libretto atau pengarahan dengan muzik. Dengan kaedah sebegini identiti asal
setiap bidang akan tetap terpelihara dan mereka bertemu dalam kursus silang
yang menggalakkan kolaborasi.
Selain
itu projek kolaborasi tahunan wajar diwujudkan sebagai ruang praktikal di mana
pelajar teater dan muzik boleh bersama-sama menjadi pencipta. Dalam produksi
teater muzikal misalnya pelajar muzik berperanan mencipta skor atau mengarah
persembahan vokal sementara pelajar teater menumpukan kepada pengarahan,
lakonan dan dramaturgi. Kedua-dua kumpulan diberikan kredit akademik yang
setara, memastikan tiada pihak merasakan sumbangan mereka sekadar sampingan.
Model kepimpinan bergilir juga boleh diamalkan seperti mengadakan projek yang
diketuai oleh pensyarah muzik, ada pula yang dipimpin oleh pensyarah teater supaya
wujud rasa keadilan dan kesetaraan.
Pembinaan
identiti baru juga amat penting bagi mengukuhkan penggabungan ini kerana identiti
ini akan menjadi payung yang menyatukan kedua-dua disiplin. Dengan identiti
baru yang jelas maka bidang ini boleh dipromosikan bukan sekadar sebagai kursus
muzik dan teater tetapi sebagai sebuah pengalaman pembelajaran seni
interdisiplin yang melatih komunikasi, kreativiti, disiplin dan kepimpinan yang bakal membentuk kemahiran insaniah yang
sangat relevan dalam pelbagai industri.
Namun
pembentukan identiti akademik sahaja tidak mencukupi tanpa adanya usaha promosi
yang strategik. Oleh itu langkah jerayawara dan promosi kreatif perlu
digerakkan seperti mengadakan showcase gabungan tahunan yang
menggabungkan muzik dan teater sebagai platform memperkenalkan hasil kerja
pelajar kepada masyarakat, media dan bakal penaja, mengadakan jerayawara ke sekolah
dan komuniti melalui persembahan mini di sekolah menengah, kolej matrikulasi
dan pusat komuniti untuk membuka mata generasi muda terhadap potensi bidang ini,
mewujudkan kolaborasi dengan industri hiburan melalui kerjasama dengan syarikat
produksi filem, televisyen, festival muzik atau kumpulan orkestra bagi
memberikan pengalaman industri sebenar, mempergiatkan promosi digital menggunakan
media sosial, YouTube, TikTok dan podcast untuk menampilkan sisi moden dan kerelevanan
program ini sekali gus mengubah persepsi bahawa ia hanya untuk golongan seni
semata-mata.
Penggabungan
bidang teater dan muzik harus difahami sebagai peluang untuk mencipta ruang
seni yang lebih segar dan relevan. Kerisauan para pensyarah bahawa satu pihak
akan mendominasi yang lain boleh diatasi dengan struktur yang adil, projek
kolaborasi yang setara, identiti baru yang inklusif serta strategi promosi yang
mesra masyarakat. Jika dilaksanakan dengan teliti, gabungan ini bukan sahaja
dapat mengekalkan kepentingan kedua-dua bidang malah mampu menjadikan seni
persembahan sebagai disiplin yang lebih berimpak, lebih dihargai dan lebih
dekat di hati masyarakat.
Comments