STRUKTUR NARATIF DALAM K-DRAMA BERSIRI `CHAMGYOYUK’ (TEACH YOU A LESSON) 2026
STRUKTUR NARATIF DALAM
K-DRAMA BERSIRI `CHAMGYOYUK’ (TEACH YOU A
LESSON) 2026
|
|
Dalam tradisi
penceritaan dramatik, kejayaan sesebuah karya tidak hanya bergantung kepada
keupayaannya menghasilkan konflik yang menarik atau pengakhiran yang
mengejutkan. Sebaliknya nilai sesebuah drama turut ditentukan oleh bagaimana
cerita itu dibina, bagaimana maklumat diberikan kepada penonton dan bagaimana
setiap peristiwa disusun sehingga akhirnya membentuk sebuah pengalaman dramatik
yang lengkap. Penonton akan mengingati kejutan pada penghujung cerita namun
hakikatnya kejutan tersebut hanya berkesan apabila keseluruhan struktur naratif
telah dirancang dengan cermat sejak awal lagi. Atas dasar inilah, drama Korea Teach
You a Lesson wajar diberikan perhatian bukan sekadar sebagai sebuah drama
popular tetapi sebagai contoh bagaimana seni pembinaan naratif mampu mengangkat
sebuah karya ke tahap yang lebih tinggi.
Drama Korea Teach
You a Lesson atau judul asalnya Chamgyoyuk diarahkan oleh Hong
Jong-chan, sutradara yang sebelum ini dikaitkan dengan karya seperti Juvenile
Justice. Siri terbitan Netflix ini dibintangi oleh Kim Mu-yeol
sebagai Na Hwa-jin, Lee Sung-min sebagai Choi Gang-seok, Jin Ki-joo sebagai Im
Han-rim dan Pyo Ji-hoon sebagai Bong Geun-dae. Secara ringkasnya drama ini
mengisahkan penubuhan sebuah agensi kerajaan fiksyen iaitu Educational Rights
Protection Agency, yang diberi kuasa untuk menangani isu keganasan sekolah,
buli, keruntuhan disiplin murid dan kelemahan sistem pendidikan. Watak Na
Hwa-jin muncul sebagai pegawai khas yang menggunakan pendekatan keras dan luar
biasa bagi membongkar salah laku murid, ibu bapa, guru serta pihak
berkepentingan yang menyalahgunakan kuasa dalam dunia pendidikan. Namun di
sebalik rangkaian kes yang kelihatan berasingan dalam setiap episod, drama ini
perlahan-lahan mendedahkan hubungan yang lebih besar antara tragedi peribadi
watak utama dengan dalang sebenar yang menggerakkan keseluruhan konflik cerita.
Pada pandangan
pertama, Teach You a Lesson menampilkan struktur yang lazim ditemui
dalam banyak drama penyiasatan. Setiap episod memperlihatkan satu kes atau
konflik yang berbeza, lengkap dengan watak-watak baharu dan penyelesaian yang
kelihatan tersendiri. Penonton seolah-olah dibawa menyaksikan beberapa cerita
kecil yang tidak mempunyai hubungan yang jelas antara satu sama lain. Namun
persepsi tersebut hanyalah ilusi naratif yang sengaja dibina oleh penulis
skrip. Apabila siri ini berkembang, setiap episod mula memperlihatkan
benang-benang halus yang menghubungkan semua peristiwa sehingga akhirnya
membentuk sebuah naratif besar yang utuh. Pada saat itu penonton menyedari
bahawa tiada satu pun episod yang benar-benar berdiri sendiri; semuanya ialah
kepingan mozek yang menyempurnakan gambaran keseluruhan.
Fenomena ini
memperlihatkan penggunaan struktur naratif hibrid yang menggabungkan naratif
episodik (episodic narrative) dengan naratif bersiri (serial
narrative). Dalam naratif episodik, setiap episod memiliki kesempurnaan
dramatiknya sendiri. Konflik diperkenalkan, berkembang dan mencapai
penyelesaian dalam ruang episod tersebut. Penonton memperolehi kepuasan segera
tanpa perlu menunggu sehingga episod akhir. Sebaliknya naratif bersiri
menangguhkan penyelesaian konflik utama dan membenarkan cerita berkembang
secara kumulatif sepanjang keseluruhan musim. Gabungan kedua-dua pendekatan ini
menghasilkan keseimbangan yang sukar dicapai: setiap episod memuaskan penonton
pada peringkat mikro, sementara keseluruhan siri memberikan kepuasan pada
peringkat makro.
Dalam konteks
teori naratif, pendekatan ini mengingatkan kita kepada konsep hermeneutic code
yang diperkenalkan oleh Roland Barthes. Menurut Barthes, sesuatu cerita menjadi
menarik apabila penulis sengaja menangguhkan jawapan kepada persoalan-persoalan
penting. Penonton terus didorong untuk menonton kerana mereka ingin mengetahui
jawapan kepada misteri yang sedang dibina. Dalam Teach You a Lesson,
persoalan utama bukan sekadar siapakah pembunuh sebenar atau apakah motifnya.
Persoalan yang lebih besar ialah mengapa pelbagai kes yang berlaku dalam
episod-episod awal mempunyai persamaan tertentu dan apakah hubungan sebenar
antara semua peristiwa tersebut. Penangguhan maklumat inilah yang menjadikan
penonton sentiasa aktif menafsir, membuat andaian dan membina hipotesis
sepanjang siri berlangsung.
Selain itu drama
ini turut memanfaatkan teknik foreshadowing dengan sangat berkesan.
Petunjuk-petunjuk penting disisipkan secara halus melalui dialog, perlakuan
watak, objek tertentu mahupun peristiwa yang pada awalnya kelihatan tidak
signifikan. Penonton akan menganggap unsur-unsur tersebut sebagai kebetulan
atau sekadar pelengkap suasana. Namun apabila identiti dalang utama akhirnya
didedahkan, semua petunjuk tersebut memperolehi makna baharu. Penonton
terdorong untuk mengimbas semula episod-episod terdahulu dan menyedari bahawa
jawapan sebenarnya telah berada di hadapan mereka sejak awal lagi. Dalam teori
dramatik, pengalaman ini dikenali sebagai retrospective coherence iaitu
keadaan apabila keseluruhan struktur cerita hanya benar-benar difahami setelah
cerita berakhir.
Kejayaan drama
ini juga terletak pada pembinaan antagonisnya. Dalam kebanyakan drama
konvensional, antagonis biasanya diperkenalkan lebih awal sebagai musuh yang
jelas kepada protagonis. Penonton mengetahui siapa yang harus dibenci dan
perkembangan cerita hanya menunggu saat antagonis ditewaskan. Sebaliknya dalam Teach
You a Lesson memilih pendekatan yang jauh lebih kompleks. Antagonis utama
tidak muncul sebagai ancaman yang dominan sejak awal. Sebaliknya kehadirannya
dirasakan melalui kesan daripada tindakannya terhadap pelbagai watak lain.
Penonton mengenali akibat sebelum mengenali puncanya. Hanya menjelang
penghujung siri, identiti sebenar pembunuh tunang watak utama didedahkan
sebagai individu yang menghubungkan keseluruhan konflik dalam cerita.
Pendedahan ini bukan sekadar kejutan dramatik tetapi juga penjelasan terhadap
semua persoalan yang dibina sejak episod pertama.
Dari perspektif
dramaturgi strategi ini menunjukkan bahawa watak antagonis tidak semestinya
menjadi pusat perhatian sepanjang masa. Sebaliknya antagonis boleh berfungsi
sebagai kuasa yang tidak kelihatan (invisible dramatic force) iaitu
penggerak kepada semua konflik tanpa perlu sentiasa berada di hadapan penonton.
Teknik sebegini sering digunakan dalam karya-karya misteri kerana ia
membolehkan penonton memberi perhatian kepada perkembangan watak, tema dan
konflik sosial sebelum akhirnya memahami siapakah dalang sebenar di sebalik
semua peristiwa.
Yang lebih
menarik ialah konflik utama dalam drama ini berkembang melangkaui kisah
pembunuhan semata-mata. Sedikit demi sedikit penonton didedahkan kepada
penyalahgunaan kuasa, manipulasi institusi, budaya menutup kesalahan, pengaruh
politik dan jaringan individu yang saling melindungi kepentingan masing-masing.
Pembunuh tersebut akhirnya bukan lagi dilihat sebagai seorang individu yang
bertindak bersendirian tetapi sebagai simbol kepada sebuah sistem yang rosak.
Dalam hal ini antagonis sebenar bukan hanya manusia tetapi struktur sosial yang
membenarkan ketidakadilan terus berlaku. Pendekatan ini memberikan dimensi yang
jauh lebih mendalam kepada drama kerana ia mengubah konflik peribadi menjadi
kritikan terhadap masyarakat.
Pendekatan
sebegini mengingatkan kita kepada konsep dramaturgi yang diperjuangkan oleh
Bertolt Brecht. Walaupun Teach You a Lesson bukan sebuah drama epik
dalam pengertian Brecht yang sebenar namun ia berkongsi aspirasi yang sama
iaitu mengajak penonton melihat konflik sebagai hasil daripada sistem sosial
bukannya sekadar kelemahan individu. Penonton bukan hanya digalakkan bersimpati
terhadap watak utama tetapi juga diajak menyoal bagaimana sistem yang rosak
membolehkan tragedi sedemikian terus berulang. Drama menjadi ruang untuk
berfikir, bukan sekadar ruang untuk beremosi.
Dari sudut
penulisan skrip Teach You a Lesson memberikan pengajaran yang sangat
penting kepada penulis muda. Ramai penulis beranggapan bahawa cerita episodik
bermaksud setiap episod perlu terpisah sepenuhnya daripada episod yang lain.
Hakikatnya struktur episodik yang paling berjaya ialah struktur yang menjadikan
setiap episod sebagai satu unit dramatik yang lengkap tetapi pada masa yang
sama menyumbang kepada perkembangan konflik utama. Setiap episod bukan sekadar
cerita baharu tetapi juga penambahan maklumat baharu kepada sebuah naratif yang
lebih besar. Dengan kata lain setiap episod ialah satu kepingan teka-teki yang
akhirnya membentuk gambaran keseluruhan.
Prinsip ini
sebenarnya boleh diaplikasikan dalam penulisan drama pentas. Dalam teater
khususnya teater epik, kolaj dramatik atau pementasan berstruktur episodik,
setiap babak boleh dibina sebagai unit dramatik yang berdiri sendiri. Namun
apabila semua babak digabungkan, penonton akan melihat satu perkembangan idea
yang lebih besar. Justeru kesatuan sesebuah drama bukan semestinya lahir
daripada kesinambungan masa atau tempat tetapi daripada kesinambungan pemikiran
dan tema. Di sinilah terletaknya perbezaan antara sekadar menghimpunkan
beberapa adegan dengan membina sebuah struktur dramatik yang benar-benar
mempunyai kesatuan artistik.
Kesimpulannya
kekuatan sebenar Teach You a Lesson bukan terletak pada kejutan identiti
pembunuh semata-mata tetapi pada keupayaannya membuktikan bahawa sebuah cerita
yang besar tidak perlu diceritakan secara terus. Sebaliknya cerita yang besar
boleh disembunyikan di sebalik cerita-cerita kecil yang kelihatan tidak
berkaitan. Apabila semua kepingan tersebut akhirnya bercantum, penonton bukan
sahaja memperolehi jawapan kepada misteri yang dibina sejak awal malah turut
menyedari bahawa mereka sebenarnya telah dipimpin melalui sebuah perjalanan
naratif yang dirancang dengan penuh disiplin, ketelitian dan kecerdikan. Inilah
seni sebenar penulisan drama, bukan sekadar menceritakan kisah tetapi
mengetahui bila sesuatu harus didedahkan, bila ia perlu disembunyikan dan
bagaimana setiap pendedahan akhirnya mengubah cara penonton memahami
keseluruhan cerita.
Comments