MERASAI BUKAN MENDENGAR: PEMENTASAN `TEWAS’ DAN KEMATANGAN PHYSICAL THEATRE MALAYSIA

 MERASAI BUKAN MENDENGAR: PEMENTASAN `TEWAS DAN KEMATANGAN PHYSICAL THEATRE MALAYSIA

Oleh: Dr. Andika Aziz Hussin

 



Lampu pentas belum lagi menyala sepenuhnya apabila saya mula terasa sesuatu yang berbeza sedang berlaku di hadapan saya. Puluhan tahun menonton teater di negara ini, dari pentas kampus yang berdebu hinggalah ke blackbox yang berhawa dingin telah mengajar saya satu perkara: jarang sekali sebuah produksi berani mempertaruhkan segala-galanya pada tubuh semata-mata. TEWAS: No Light at the End of the Tunnel hasil kolaborasi Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM) bersama JDEV Studios telah melakukan pertaruhan itu dan menang besar! Kemenangannya sebagai Best Ensemble/Group Performance di BOH Cameronian Arts Awards 2025, diikuti pementasan di George Town Festival, bukan sekadar hiasan pada risalah produksi. Ia adalah pengiktirafan bahawa physical theatre Malaysia sudah melangkah keluar daripada bayang-bayang eksperimen memasuki fasa yang saya berani panggil kematangan.

Tetapi soalan yang saya bawa masuk ke dewan malam itu bukan "adakah ia bagus?" Soalan itu terlalu mudah. Soalan sebenar ialah adakah TEWAS hanya memakai kulit physical theatre ataupun ia benar-benar menghayati jiwa bentuk seni ini?

BUKAN TARIAN, BUKAN AKROBATIK TAPI SATU BAHASA

Kesilapan paling biasa dalam kalangan penonton malah kepada sesetengah pengamal teater ialah menyamakan physical theatre dengan "banyak pergerakan" atau "ada unsur tarian sikit." Anggapan ini cetek. Physical theatre bukan hiasan pergerakan yang ditampal pada skrip tapi ia satu falsafah persembahan di mana tubuh pelakon itu sendiri menjadi teks. Dialog turun takhta daripada singgahsananya sebagai raja penceritaan. Yang memerintah ialah gerak, tenaga, ritma dan jarak antara satu tubuh dengan tubuh yang lain.

Ini bermakna penonton tidak lagi duduk selesa menunggu diberitahu apa yang berlaku. Kita dipaksa membaca. Mentafsir. Merasai imej sebelum kita sempat memahaminya secara logik. Dan di sinilah TEWAS mula menunjukkan taringnya.

TUBUH SEBAGAI NASKHAH KEDUA

Keberanian paling menusuk dalam TEWAS ialah keputusan untuk menjadikan tubuh sebagai "naskhah kedua", sejajar malah ada ketika mengatasi kepentingan dialog. Penderitaan mangsa buli tidak diceritaka tapi; ia diukir di atas pentas melalui tubuh yang diheret, dihimpit, dipikul, dijatuhkan, dikurung, dipaksa bergerak mengikut kehendak orang lain.

Bandingkan ini dengan drama realisme konvensional di mana seorang mangsa mungkin sekadar berkata, "Saya takut." Ayat itu jujur tetapi ia sebagai laporan. Dalam TEWAS, ketakutan tidak dilaporkan sebaliknya ia dipersembahkan melalui tubuh yang menggigil, membongkok, kehilangan keseimbangan, digerakkan oleh kehendak orang lain sepenuhnya. Saya tidak diberitahu bahawa watak itu takut. Saya rasa jantung saya sendiri turut tersentak. Itulah perbezaan antara maklumat dan pengalaman dan physical theatre ini apabila dilakukan dengan betul ia sentiasa memilih pengalaman.



SANGKAR BESI YANG TIDAK PERNAH KEKAL SEBAGAI SATU BENDA

Di tengah pentas berdiri satu struktur besi dan di sinilah kecerdikan dramaturgi TEWAS benar-benar terserlah. Dalam drama konvensional sebuah meja kekal sebagai meja, sebuah kerusi kekal menjadi kerusi. Tetapi struktur besi ini menolak kestabilan sedemikian. Inilah kegemaran saya bila mengeksplorasi persembahan. Sepanjang persembahan berlangsung ia bertukar menjadi meja sekolah, koridor, locker, penjara, sangkar, ruang psikologi, sistem pendidikan, tekanan masyarakat, bukan kerana bentuknya berubah tetapi kerana hubungan tubuh pelakon dengannya sentiasa dibina semula.

Inilah transformative scenography dalam erti kata yang paling murni di mana objek tidak bermakna secara sendirian tapi ia bermakna melalui apa yang tubuh manusia lakukan terhadapnya. Set sangat minimum tetapi lapisan makna yang dihasilkan jauh lebih kaya daripada mana-mana set megah yang pernah saya saksikan.

APABILA ENSEMBEL MENJADI SATU ORGANISMA

Kerja ensembel TEWAS layak disebut secara khusus. Dalam drama realisme setiap pelakon membina watak secara berasingan seperti kepingan yang disusun bersebelahan. Dalam TEWAS, ensembel bernafas sebagai satu organisma tunggal di mana sekelompok tubuh yang boleh menjelma menjadi dinding, tekanan sosial, suara hati, kumpulan pembuli, sistem yang menindas hanya dalam hitungan saat.

Untuk mencapai keselarasan sedemikian latihan melibatkan ritma, keseimbangan, kepercayaan sesama pelakon, kesedaran ruang yang tajam sudah pasti luar biasa disiplinnya. Ini bukan kemahiran yang boleh dipalsukan di atas pentas. Ia sama ada ada atau ia runtuh di depan mata penonton. Malam itu, ia ada.

KEGANASAN TANPA KEGANASAN

Ramai sutradara apabila berdepan tema ganas seperti buli kebiasaannya akan tergoda untuk memaparkannya secara literal seperti tamparan, jeritan, pergaduhan, darah. TEWAS menolak godaan-godaan itu dan keputusan inilah yang paling saya hormati sebagai pengkritik. Keganasan dibina bukan melalui aksi kekerasan yang jelas tetapi melalui tekanan tubuh, himpitan ensembel, keseimbangan yang sengaja diganggu, gerakan berulang, ritma yang perlahan-lahan menyesakkan. Penonton tidak disajikan keganasan. Penonton dipaksa merasainya, dari dalam. Dan itu bagi saya jauh lebih ganas daripada mana-mana tamparan literal yang pernah saya saksikan di pentas tempatan.

BERBUAL DENGAN TRADISI ANTARABANGSA TANPA MENIRU

Saya tidak menonton TEWAS sebagai karya yang meniru mana-mana produksi luar negara. Sebaliknya saya menonton sebuah karya yang sedang berbual dengan tradisi antarabangsa dalam bahasanya sendiri. Persamaan paling nyata ialah dengan DV8 Physical Theatre dari United Kingdom, sebuah kumpulan yang terkenal yang seringkali menggunakan tubuh untuk menghadapi isu diskriminasi, maskuliniti dan keganasan. Dalam karya seperti Enter Achilles umpamanya, konflik dibina bukan melalui dialog panjang tetapi hubungan fizikal antara tubuh. TEWAS berkongsi naluri yang sama apabila isu buli diterjemahkan melalui tekanan tubuh dan koreografi ensembel.  Namun jika DV8 lebih condong ke arah tari kontemporari, TEWAS memilih mengekalkan struktur dramatik yang lebih jelas, lebih mudah diikuti khalayak umum.

Pengaruh Frantic Assembly juga turut dirasakan melalui contact work, lifting, catching, gerakan berulang dan koreografi ensembel di mana tubuh yang saling menyokong dan saling menjatuhkan sebagai elemen dramatik utama. Tetapi ada ketikanya Frantic Assembly  melayang ke wilayah eksperimental namun TEWAS memilih untuk kekal berpijak pada naratif.

Daripada Complicite, saya melihat ada gema penggunaan ruang kosong dan imaginasi penonton di mana cara satu objek kecil boleh menjelma menjadi pelbagai ruang dan makna. Struktur besi TEWAS yang sentiasa berubah fungsi ialah warisan pendekatan ini membolehkan imaginasi penonton kekal aktif sepanjang persembahan.

Dan pada tahap falsafah paling dasar TEWAS mengingatkan saya kepada Poor Theatre milik Jerzy Grotowski. Walaupun produksi ini menggunakan elemen teknikal moden seperti pencahayaan dan reka bentuk pentas namun segala-galanya tetap berkhidmat kepada satu fokus iaitu tubuh pelakon.

AKAR YANG SANGAT TEMPATAN

Namun di sinilah TEWAS membuktikan ia bukan sekadar salinan setia tradisi Barat. Buli sekolah di Malaysia membawa dimensi budaya yang tersendiri seperti tekanan rakan sebaya, hierarki sosial dalam institusi pendidikan, sikap berdiam diri pemerhati, hubungan kuasa antara pelajar dan sistem yang mengelilingi mereka. Kepelbagaian bahasa dan latar budaya masyarakat kita turut menambah lapisan makna yang tidak akan wujud dalam konteks lain. TEWAS bercakap dalam bahasa physical theatre yang antarabangsa tetapi cerita yang disampaikannya sangat-sangat tempatan.

APA YANG BERJAYA — DAN APA YANG BELUM

Sebagai kritikan yang jujur, saya wajib meletakkan neraca dengan seimbang. Kekuatan TEWAS jelas dan berlapis dengan bahasa tubuh yang konsisten menjadikannya boleh difahami merentas sempadan bahasa; kerja ensembel yang kukuh menghasilkan imej pentas yang bertenaga dan mendedahkan disiplin latihan yang tinggi; penggunaan struktur besi secara kreatif membuktikan set minimum boleh menjana makna yang maksimum; dan yang paling penting ialah keberanian mengangkat isu sosial berat melalui pendekatan estetik yang menjadikan pengalaman menonton ini lebih daripada sekadar hiburan — ia menjadi ruang refleksi.

Tetapi saya juga perlu jujur tentang cabarannya. Makna yang terlalu simbolik berisiko menyesatkan penonton yang tidak biasa dengan konvensi physical theatre; ada adegan yang saya sendiri terpaksa tafsir dua-tiga kali sebelum yakin dengan maksudnya. Pendekatan ini juga sangat bergantung kepada keupayaan fizikal pelakon. Jika disiplin ensembel menurun atau berlaku pertukaran pelakon tanpa latihan mencukupi, kualiti persembahan boleh terjejas dengan cepat dan ketara. Struktur naratif yang begitu visual kadangkala mengorbankan ruang untuk pembangunan psikologi watak secara mendalam. Ini sesuatu yang lazim dalam drama realisme di mana penonton lebih mengingati imej berbanding latar belakang setiap watak. Dan physical theatre secara jujurnya menuntut penonton yang sedia mentafsir, bukan sekadar menerima cerita secara linear. Bagi khalayak yang lebih selesa dengan drama realistik atau komersial ini memerlukan sedikit penyesuaian.

Namun saya tidak melihat cabaran-cabaran ini sebagai kelemahan mutlak. Ia sifat semula jadi bentuk seni physical theatre yang mengutamakan pengalaman, tafsiran dan penglibatan aktif penonton dan sesiapa yang mahukan segala-galanya dihidangkan secara jelas mungkin sedang menonton bentuk teater yang salah.

SUARA-SUARA LAIN DI DEWAN YANG SAMA

Saya bukan satu-satunya yang tersentak. Sejak TEWAS mula bergerak dari Penang ke Kuala Lumpur dan kembali semula ke Penang untuk George Town Festival 2026, barisan pengamal dan pemerhati teater turut menyuarakan kekaguman yang sejajar dengan penilaian saya.

Jo Kukathas, nama yang tidak asing dalam teater Malaysia telah merakamkan bagaimana keberanian fizikal dan komitmen para pelakon TEWAS membuatkan jantungnya sendiri berdegup di kerongkong sepanjang persembahan. Davina Goh pula menggambarkan kelasakan atletik ensembel ini sebagai sesuatu yang belum pernah beliau saksikan dalam teater Malaysia sebelum ini. Nadia Khan melihatnya sebagai potret dinding yang semakin menghimpit, suatu klaustrofobik dan menyayat hati, tepat seperti yang sepatutnya. Newswav pula meringkaskannya dengan tepat: TEWAS memaksa rakyat Malaysia berdepan dengan keganasan yang selama ini kita normalisasikan dalam diam.

Suara-suara ini bukan suatu kebetulan. Ia mengesahkan sesuatu yang saya cuba jelaskan sepanjang kritikan ini bahawa TEWAS bukan sekadar berjaya pada tahap teknik atau konsep tetapi berjaya menembusi pertahanan emosi penonton tanpa mengira latar belakang mereka menonton teater atau tidak.

PENUTUP: TUBUH SEBAGAI BAHASA YANG PALING JUJUR

TEWAS: No Light at the End of the Tunnel membuktikan sesuatu yang saya sudah lama nantikan di pentas tempatan bahawa physical theatre Malaysia telah berkembang daripada eksperimen bentuk kepada satu bahasa persembahan yang matang dan berdaya saing di peringkat antarabangsa. Tubuh, ruang, objek dan kerja ensembel bergabung menjadi satu sistem dramaturgi yang menyampaikan trauma dengan kedalaman yang sukar dicapai oleh dialog atau aksi realistik semata-mata.

Ya, memang terdapat persamaannya dengan DV8 Physical Theatre, Frantic Assembly, Complicité dan falsafah Poor Theatre Grotowski, tetapi TEWAS tidak hilang dalam bayang-bayang mereka. Sebaliknya ia membuktikan bahasa physical theatre antarabangsa boleh diolah untuk menceritakan realiti sosial yang berakar di Malaysia iaitu isu buli yang bukan sekadar tema tetapi diterjemahkan ke dalam setiap gerak tubuh, setiap hubungan ruang, setiap imej pentas.

Bagi saya, pencapaian terbesar TEWAS bukan piala di BOH Cameronian Arts Awards atau tempatnya di George Town Festival walaupun kedua-duanya layak disambut. Pencapaian sebenarnya ialah ia membuka ruang baharu untuk penggiat teater tempatan melihat bahawa masa depan teater Malaysia tidak semestinya bergantung pada kekuatan dialog atau kemegahan set pentas tetapi juga pada keberanian menjadikan tubuh manusia sebagai bahasa seni yang paling jujur, paling universal dan paling berkesan.

TEWAS bukan sekadar sebuah persembahan tentang buli. Ia penanda aras bahawa physical theatre Malaysia kini berada di fasa yang lebih berani, lebih matang dan semakin relevan dalam wacana teater kontemporari dunia.

Malam ini (4hb Ogos 2026) dan malam esok (5hb Ogos 2026) di The Courtyard, Beach Street, tirai TEWAS akan turun buat kali terakhir pada George Town Festival 2026. Jika ura-ura yang saya dengar sepanjang musim ini benar dan jika penilaian saya sendiri boleh dipercayai maka sesiapa yang masih ragu-ragu untuk menonton perlu bertindak sekarang kerana bahasa tubuh sebegini, apabila ia benar-benar jujur, tidak selalu datang dua kali dalam satu generasi teater.

Comments

Popular Posts