Konvensyen, Keaslian dan Kelangsungan Teater Bangsawan di Malaysia


 

Konvensyen, Keaslian dan Kelangsungan Teater Bangsawan di Malaysia

Andika Aziz Hussin

Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia

Abstrak

Artikel ini meneliti satu paradoks dalam usaha pemuliharaan teater Bangsawan di Malaysia. Bangsawan muncul dan mencapai kegemilangannya pada penghujung abad ke-19 hingga pertengahan abad ke-20 melalui keupayaannya menyerap pelbagai pengaruh cerita, muzik, teknik pentas dan cita rasa khalayak. Namun, usaha mempertahankannya hari ini cenderung menekankan pematuhan kepada satu set konvensyen yang dibakukan. Berasaskan kaedah kajian konseptual-kritis dan analisis sumber sekunder, artikel ini berhujah bahawa kemerosotan Bangsawan tidak wajar dijelaskan semata-mata sebagai kegagalan beradaptasi tetapi sebagai keruntuhan ekosistem sosial, ekonomi dan teknologi yang pernah menyokongnya. Artikel ini membezakan antara pemeliharaan dan pembekuan tradisi, mempersoalkan andaian tentang "struktur asal" Bangsawan, serta mengalihkan fokus wacana daripada persoalan bentuk kepada persoalan khalayak. Sebagai sumbangan, artikel ini mencadangkan model tiga lapis, iaitu Bangsawan Warisan, Bangsawan Adaptasi dan Bangsawan Eksperimental, yang boleh wujud serentak dengan tujuan yang berbeza. Artikel ini diakhiri dengan satu agenda penyelidikan empirikal untuk menguji tesis bahawa konvensyen yang dianggap sebagai batas, bukan asas penciptaan, mungkin menjadi sebahagian daripada halangan kepada kelangsungan Bangsawan.

Kata kunci: Bangsawan; teater tradisional Malaysia; warisan tidak ketara; konvensyen; keaslian; adaptasi; pembangunan khalayak

Abstract

This article examines a paradox in the safeguarding of Bangsawan theatre in Malaysia. Bangsawan emerged and flourished from the late nineteenth to the mid-twentieth century through its capacity to absorb diverse stories, music, stagecraft and audience tastes, yet contemporary efforts to preserve it tend to emphasise adherence to a standardised set of conventions. Using a conceptual-critical approach grounded in secondary sources, the article argues that Bangsawan's decline should not be explained simply as a failure to adapt, but as the collapse of the social, economic and technological ecosystem that once sustained it. It distinguishes between the preservation and the freezing of tradition, interrogates assumptions about an "original structure" of Bangsawan, and shifts the debate from questions of form to questions of audience. It proposes a three-tier model, namely Heritage, Adaptive and Experimental Bangsawan, that can coexist with distinct purposes, and closes with an empirical research agenda.

Keywords: Bangsawan; Malaysian traditional theatre; intangible cultural heritage; convention; authenticity; adaptation; audience development

 

1. Pengenalan

Kelangsungan Bangsawan merupakan antara isu paling mendesak dalam perkembangan teater tradisional Malaysia. Wacana umum lazimnya mengaitkan kemerosotan Bangsawan dengan "perubahan zaman", seolah-olah tradisi ini menjadi mangsa pasif kepada kemodenan. Artikel ini mengambil pendirian yang lebih kritis: antara ancaman terhadap kelangsungan Bangsawan hari ini bukan semata-mata perubahan zaman tetapi juga cara komuniti penggiat, ahli akademik dan institusi mentafsir, mempertahankan serta memelihara tradisi tersebut. Pendirian ini tidak menafikan faktor luaran. Bangsawan juga merosot kerana ekosistem sosial, ekonomi, teknologi dan hiburan yang pernah menyokongnya telah berubah secara mendasar (Tan, 1993). Namun di sebalik pengakuan tersebut timbul satu persoalan yang jarang diangkat secara terbuka: mengapakah kita cuba menyelamatkan Bangsawan dengan menetapkan bentuknya secara ketat sedangkan sejarah kegemilangannya memperlihatkan bahawa Bangsawan sendiri berkembang melalui penyesuaian? Berdasarkan persoalan tersebut, artikel ini mempunyai empat objektif:

 

1. Meneliti Bangsawan sebagai sebuah bentuk persembahan yang lahir dan berkembang melalui proses adaptasi.

2. Menganalisis faktor kemerosotan Bangsawan dari perspektif ekosistem bukan semata-mata kegagalan artistik.

3. Membincangkan ketegangan antara pemeliharaan dan pembekuan konvensyen, termasuk persoalan keaslian.

4. Mencadangkan satu model konseptual dan agenda penyelidikan bagi kelangsungan Bangsawan sebagai tradisi hidup.

 

2. Kerangka Konseptual

Perbincangan dalam artikel ini berpaksikan tiga himpunan konsep yang saling melengkapi. Tradisi sebagai proses hidup. Glassie (1995) melihat tradisi bukan sebagai himpunan objek atau bentuk yang tetap, tetapi sebagai proses penciptaan masa depan daripada masa lalu. Pandangan ini selari dengan konsep Williams (1977) tentang unsur budaya dominan, residual dan emergen iaitu unsur masa lalu kekal aktif dalam budaya semasa hanya apabila ia terus digunakan dan ditafsir semula. Hobsbawm dan Ranger (1983) pula mengingatkan bahawa banyak tradisi yang dianggap purba sebenarnya dibentuk atau dibakukan dalam tempoh yang agak baharu, lazimnya untuk tujuan institusi atau identiti. Smith (2006) memperkenalkan konsep Authorized Heritage Discourse, iaitu wacana yang memberi kuasa kepada pakar, institusi dan negara untuk menentukan apa yang dianggap warisan sah serta bagaimana ia wajar dipelihara. Kirshenblatt-Gimblett (2004) menambah bahawa pemuliharaan warisan tidak ketara merupakan satu bentuk penghasilan metabudaya: tindakan memelihara itu sendiri mengubah hubungan antara amalan, pengamal dan khalayaknya. Konvensyen Pemeliharaan Warisan Budaya Tidak Ketara (UNESCO, 2003) secara jelas mentakrifkan warisan tidak ketara sebagai sesuatu yang sentiasa dicipta semula oleh komuniti, bukan sesuatu yang dibekukan. Taylor (2003) membezakan antara arkib (dokumen, rakaman, artifak yang tahan lama) dengan repertoir (pengetahuan yang hidup melalui perlakuan dan penurunan secara langsung). Kedua-duanya penting tetapi pemuliharaan yang terlalu bergantung kepada arkib berisiko menggantikan amalan hidup dengan rekod bentuk luaran.

Ketiga-tiga himpunan konsep ini disokong oleh teori adaptasi Hutcheon (2006), yang melihat adaptasi sebagai "pengulangan tanpa salinan" iaitu proses kreatif yang mengekalkan hubungan dengan sumber tanpa mereplikasinya. Gabungan kerangka ini membolehkan Bangsawan dibaca bukan sebagai objek yang perlu disimpan tetapi sebagai amalan yang kelangsungannya bergantung kepada pengulangan yang kreatif.

 

3. Metodologi

Artikel ini menggunakan pendekatan kajian konseptual-kritis (conceptual-critical inquiry). Data utama terdiri daripada sumber sekunder, iaitu kajian sejarah dan etnomuzikologi Bangsawan (Rahmah Bujang, 1975; Tan, 1993; Matusky & Tan, 2017), kajian tentang teater Parsi sebagai sumber pengaruh (Gupt, 2005; Hansen, 2003), dokumen dasar warisan (UNESCO, 2003; Akta Warisan Kebangsaan 2005) serta literatur teori warisan dan adaptasi.

Analisis dijalankan secara tematik dan dialektik. Hujah yang lazim dalam wacana Bangsawan, seperti "Bangsawan jatuh kerana gagal beradaptasi" atau "tanpa struktur asal, ia bukan Bangsawan", dikenalpasti dan diuji terhadap bukti sejarah serta kerangka konseptual. Pengalaman penulis sebagai pengamal dan pengkritik teater selama kira-kira tiga dekad turut menjadi lensa reflektif tetapi tidak dijadikan bukti empirikal. Batasan kajian perlu dinyatakan dengan jelas. Artikel ini tidak mengumpul data lapangan baharu daripada penonton atau penggiat. Oleh itu, pernyataan yang dikemukakan bersifat hipotesis kritis yang memerlukan pengesahan melalui kajian empirikal, sebagaimana digariskan dalam Bahagian 10.

 

4. Bangsawan sebagai Produk Adaptasi

Sejarah Bangsawan memperlihatkan satu ironi: bentuk yang kini dipertahankan dengan ketat sebenarnya lahir daripada proses adaptasi. Kemunculannya pada penghujung abad ke-19 berkait rapat dengan lawatan kumpulan teater Parsi (Wayang Parsi) dari India ke Pulau Pinang dan Singapura. Kumpulan Pushi Indera Bangsawan yang diasaskan di Pulau Pinang sekitar 1885 sering dirujuk sebagai antara kumpulan Bangsawan Melayu terawal (Rahmah Bujang, 1975; Tan, 1993). Teater Parsi itu sendiri merupakan bentuk hibrid yang menggabungkan teater komersial Eropah dengan tradisi penceritaan dan muzik Asia Selatan, serta mempersembahkan karya dalam pelbagai bahasa bagi khalayak yang pelbagai (Gupt, 2005; Hansen, 2003). Sepanjang perkembangannya, Bangsawan menyerap pelbagai unsur:

 

• Cerita daripada tradisi Melayu, India, Timur Tengah, Cina dan Barat, termasuk hikayat, cerita Seribu Satu Malam dan adaptasi karya Shakespeare.

• Muzik, nyanyian dan tarian daripada pelbagai pengaruh budaya, termasuk alat muzik Barat dan rentak tempatan (Matusky & Tan, 2017).

• Teknik pentas proscenium, latar lukisan, kostum dan kesan spektakular.

• Cerita popular yang disesuaikan dengan cita rasa penonton semasa.

• Unsur improvisasi dan interaksi yang memberi ruang kreativiti kepada pelakon.

 

Tan (1993) menunjukkan bahawa kumpulan Bangsawan beroperasi sebagai perusahaan komersial yang sentiasa bersaing untuk menarik penonton. Repertoir, gaya muzik dan unsur extra turn sentiasa diubah mengikut citarasa khalayak di bandar-bandar Semenanjung, Singapura, Sumatera dan Jawa. Dengan kata lain, kekuatan asal Bangsawan tidak terletak pada kesetiaan mutlak kepada satu bentuk, tetapi pada kebolehannya menyerap perubahan tanpa kehilangan identiti persembahannya.

Di sinilah paradoks yang menjadi teras artikel ini. Bangsawan yang dahulu berkembang kerana fleksibiliti kini kadangkala dipertahankan melalui pendekatan yang menekankan pematuhan kepada konvensyen tertentu. Dalam istilah Williams (1977), unsur yang dahulunya emergen dan dinamik berisiko dipelihara sebagai unsur residual yang dipamerkan, bukan dihidupkan.

 

5. Kemerosotan Bangsawan: Kegagalan Adaptasi atau Keruntuhan Ekosistem?

Kemerosotan Bangsawan semata-mata sebagai kegagalan beradaptasi merupakan penjelasan yang terlalu mudah bagi satu fenomena sejarah yang kompleks. Artikel ini mengenalpasti sekurang-kurangnya empat faktor yang saling berkait. Pertama, perubahan dalam industri hiburan. Kemunculan filem, radio, piring hitam dan kemudiannya televisyen mengubah cara masyarakat menikmati hiburan. Selepas Perang Dunia Industri filem Melayu di Singapura berkembang pesat dan menyerap ramai pelakon, pemuzik serta penonton yang sebelumnya menyokong Bangsawan (Tan, 1993). Bangsawan yang bergantung pada persembahan langsung, kumpulan bergerak dan kutipan tiket berhadapan persaingan yang semakin sengit.

Kedua, perubahan pada ekonomi produksi. Bangsawan tradisional memerlukan pelakon, pemuzik, kostum, latar pentas, pengangkutan dan tempoh persembahan yang panjang. Baumol dan Bowen (1966) menjelaskan bahawa seni persembahan langsung secara struktural mengalami peningkatan kos tanpa peningkatan produktiviti yang setara, fenomena yang dikenali sebagai cost disease. Apabila kos meningkat dan pasaran penonton menyusut, model perniagaan kumpulan Bangsawan menjadi semakin sukar dipertahankan.

Ketiga, perubahan pada cita rasa masyarakat. Penonton memperoleh lebih banyak pilihan hiburan dengan tempo penceritaan, durasi dan pengalaman tontonan yang berbeza. Jangkaan khalayak terhadap durasi dan rentak persembahan turut berubah.

Keempat, kelemahan aspek kesinambungan ekosistem. Apabila kumpulan profesional semakin berkurangan, ruang latihan, pewarisan kemahiran, peluang pekerjaan dan pembangunan khalayak turut menjadi terbatas. Dalam istilah Taylor (2003), repertoir yang hidup semakin menipis manakala pemuliharaan beralih kepada arkib.

Oleh itu, persoalan adaptasi memang penting tetapi tidak boleh dipisahkan daripada perubahan struktur industri hiburan. Implikasinya besar: sekiranya punca kemerosotan bersifat ekosistemik maka penyelesaian yang hanya memfokuskan ketepatan bentuk persembahan tidak akan mencukupi.

6. Konvensyen: Antara Pemeliharaan dan Pembekuan

Konvensyen Bangsawan mempunyai nilai yang besar. Antaranya ialah penggunaan tirai dan latar lukisan, pembahagian babak dalam dan babak luar, extra turn, iringan muzik dan nyanyian, gaya lakonan yang stilistik serta struktur penceritaan yang membentuk identitinya (Rahmah Bujang, 1975; Ghulam-Sarwar Yousof, 2004). Usaha mendokumentasi, mengkaji dan mengajarkan konvensyen tersebut sangat penting dan wajar diteruskan. Walau bagaimanapun, perlu dibezakan antara dua orientasi terhadap konvensyen, sebagaimana diringkaskan dalam Jadual 1.

 

PEMELIHARAAN

PEMBEKUAN

Memahami prinsip dan sejarah konvensyen

Menetapkan konvensyen sebagai peraturan mutlak

Membenarkan interpretasi baharu

Menganggap perubahan sebagai penyimpangan

Mewariskan pengetahuan dan kemahiran (repertoir)

Mewariskan bentuk luaran semata-mata (arkib)

Membina penonton generasi baharu

Mengharapkan penonton menerima bentuk lama tanpa penyesuaian

Jadual 1. Perbezaan antara orientasi pemeliharaan dan pembekuan. Sumber: Analisis penulis

 

Masalah bermula apabila konvensyen yang sepatutnya menjadi panduan artistik bertukar menjadi syarat wajib untuk menentukan keaslian sesuatu persembahan. Dalam kerangka Smith (2006), keadaan ini mencerminkan wacana warisan berautoriti iaitu kuasa mentakrif keaslian berpindah daripada amalan hidup kepada pakar dan institusi. Beberapa persoalan boleh dijadikan ujian. Adakah sesebuah pementasan masih Bangsawan jika menggunakan pemetaan video menggantikan sebahagian latar lukisan? Bagaimana pula jika extra turn dipersembahkan dengan muzik kontemporari atau jika durasi dipendekkan tanpa menghilangkan ciri dramaturginya? Persoalan sebegini tidak wajar dijawab dengan penolakan automatik. Ukuran yang lebih produktif ialah sama ada perubahan tersebut masih mengekalkan prinsip estetik dan pengalaman dramatik yang menjadi identiti Bangsawan. Ukuran ini selari dengan Hutcheon (2006): adaptasi yang berjaya mengekalkan hubungan yang dapat dikenali dengan sumbernya, tanpa perlu menyalinnya.


7. Persoalan Keaslian: Struktur Asal yang Mana?

Persoalan sama ada wujud keangkuhan dalam kalangan penggiat dan ahli akademik sering timbul dalam perbualan tidak formal tentang Bangsawan. Namun istilah tersebut perlu digunakan dengan berhati-hati dan tidak wajar digeneralisasikan kepada seluruh komuniti. Ramai penggiat mempertahankan konvensyen kerana kebimbangan yang munasabah bahawa warisan ini akan kehilangan identitinya. Walau bagaimanapun sikap yang terlalu eksklusif dalam menentukan apa yang boleh dan tidak boleh dianggap sebagai Bangsawan berpotensi menyekat inovasi. Pernyataan seperti "kalau tidak mengikut struktur asal, itu bukan Bangsawan" menimbulkan satu persoalan akademik yang besar: struktur asal yang mana satu? Adakah yang dimaksudkan ialah Bangsawan pada penghujung abad ke-19, era kegemilangan awal abad ke-20, bentuk yang diamalkan oleh kumpulan tertentu atau bentuk yang dibakukan melalui pendidikan dan program pemuliharaan selepas merdeka? Kajian Tan (1993) menunjukkan variasi yang ketara antara kumpulan, zaman, tempat dan khalayak termasuk perbezaan repertoir, bahasa persembahan dan gaya muzik.

Dalam kerangka Hobsbawm dan Ranger (1983), "struktur asal" yang dirujuk hari ini mungkin sebahagiannya merupakan rekonstruksi yang dibakukan dalam tempoh pemuliharaan, bukan cerminan tunggal amalan sejarah. Ini tidak menjadikan rekonstruksi tersebut tidak bernilai. Tetapi ia menuntut kesedaran bahawa usaha membakukan konvensyen boleh menyebabkan satu versi sejarah diangkat sebagai satu-satunya bentuk yang sah, lalu menenggelamkan kepelbagaian yang sebenarnya menjadi ciri Bangsawan itu sendiri.

 

8. Daripada Persoalan Bentuk kepada Persoalan Khalayak

Mengapakah pelbagai usaha mendokumentasi konvensyen dan program pemuliharaan masih belum mencukupi? Artikel ini berhujah bahawa wacana Bangsawan terlalu banyak memberi perhatian kepada persoalan "bagaimanakah Bangsawan sepatutnya dipentaskan?", tetapi kurang memberi perhatian kepada persoalan "mengapakah masyarakat hari ini perlu datang menonton Bangsawan?"

Kedua-dua persoalan ini berbeza secara mendasar. Konvensyen menjawab persoalan bentuk dan tatacara persembahan. Kelangsungan pula memerlukan penonton, penggiat, latihan, pembiayaan, ruang persembahan dan permintaan yang berterusan. Sebuah pementasan boleh mematuhi hampir semua konvensyen Bangsawan tetapi masih gagal menarik penonton. Sebaliknya pementasan yang mengolah sebahagian konvensyen secara kreatif mungkin lebih berjaya memperkenalkan semula Bangsawan kepada generasi muda. Namun populariti juga tidak boleh menjadi satu-satunya ukuran kejayaan. Sesebuah adaptasi mungkin menarik ramai penonton tetapi kehilangan ciri penting Bangsawan sehingga hubungannya dengan tradisi hanya tinggal pada label. Kirshenblatt-Gimblett (2004) mengingatkan bahawa warisan yang diubah menjadi tontonan semata-mata juga merupakan satu bentuk penghasilan metabudaya yang boleh memisahkan amalan daripada komunitinya.

Oleh itu cabaran sebenar ialah mencapai keseimbangan antara tiga dimensi: kesinambungan identiti, kebebasan artistik dan relevansi sosial. Ketiga-tiga dimensi ini tidak boleh dicapai melalui satu jenis pementasan sahaja, lalu membawa kepada cadangan model dalam bahagian seterusnya.

 

9. Model Tiga Lapis: Warisan, Adaptasi dan Eksperimental

Artikel ini mencadangkan agar kelangsungan Bangsawan difahami melalui tiga lapis amalan yang boleh wujud serentak tanpa saling menafikan. Model ini diringkaskan dalam Jadual 2.

 

LAPIS

TUJUAN UTAMA

PENDEKATAN

UKURAN KEJAYAAN

Bangsawan Warisan

Menjaga pengetahuan sejarah

Merekonstruksi bentuk sejarah berdasarkan sumber, dokumentasi dan pengetahuan pengamal

Ketepatan sejarah; pewarisan kemahiran; nilai penyelidikan dan pendidikan

Bangsawan Adaptasi

Membina kesinambungan persembahan

Mengekalkan ciri dramaturgi dan estetik teras, tetapi mengolah teknologi, durasi, lakonan, muzik dan penceritaan untuk khalayak semasa

Kesinambungan identiti; pertumbuhan khalayak; kelestarian produksi

Bangsawan Eksperimental

Membuka kemungkinan artistik baharu

Menggunakan Bangsawan sebagai sumber penciptaan, termasuk pendekatan silang disiplin dan teater digital

Kebaharuan artistik; kejelasan hubungan kritis dengan tradisi

Jadual 2. Model tiga lapis kelangsungan Bangsawan. Sumber: Cadangan penulis.

 

Bangsawan Warisan berfungsi sebagai arkib yang hidup. Ia penting untuk penyelidikan, pendidikan dan pemeliharaan, serta menjadi titik rujukan bagi dua lapis yang lain. Bangsawan Adaptasi merupakan lapis yang paling kritikal untuk kelangsungan. Ia meneruskan semangat asal Bangsawan sebagai teater komersial yang responsif kepada khalayak, sebagaimana diperlihatkan oleh sejarahnya (Tan, 1993). Bangsawan Eksperimental memberi ruang kepada penggiat untuk meneroka bentuk baharu. Namun, hubungannya dengan Bangsawan perlu dijelaskan secara kritis dan tidak sekadar meminjam label tradisi untuk legitimasi.

Kelebihan model ini ialah ia menggantikan perdebatan tentang bentuk mana yang "paling asli" dengan soalan yang lebih produktif: apakah tujuan sesebuah pementasan, dan dengan ukuran apakah ia wajar dinilai? Model ini juga selari dengan semangat Konvensyen UNESCO (2003) yang mengiktiraf penciptaan semula oleh komuniti sebagai sebahagian daripada pemeliharaan.

 

10. Agenda Penyelidikan

Sebagai bidang ilmu, kajian Bangsawan tidak wajar berhenti pada usaha mengenal pasti dan menyenaraikan konvensyen. Artikel ini mencadangkan lima persoalan penyelidikan yang boleh dijadikan asas kajian empirikal melibatkan penggiat, ahli akademik, pembuat dasar dan penonton:

1. Adakah pembakuan konvensyen membantu atau membataskan kreativiti penggiat? (Kaedah cadangan: temu bual mendalam dan kajian kes produksi.)

2. Sejauh manakah penonton muda memahami dan menikmati struktur Bangsawan tradisional? (Kaedah cadangan: kajian penerimaan khalayak dan kumpulan fokus.)

3. Apakah unsur yang benar-benar menjadi teras identiti Bangsawan, dan apakah unsur yang boleh berubah? (Kaedah cadangan: kaedah Delphi dalam kalangan pengamal dan sarjana.)

4. Mengapakah pementasan Bangsawan sering bergantung pada festival, institusi atau dana khas, bukannya berkembang sebagai kegiatan persembahan yang berterusan? (Kaedah cadangan: analisis dasar dan ekonomi produksi.)

5. Bolehkah Bangsawan membina semula khalayak dan model ekonominya tanpa mengorbankan nilai warisan? (Kaedah cadangan: penyelidikan berasaskan amalan dan kajian tindakan.)

 

Persoalan ketiga amat penting kerana jawapannya menentukan sempadan antara Bangsawan Adaptasi dengan Bangsawan Eksperimental dalam model yang dicadangkan. Tanpa konsensus yang berasaskan kajian tentang unsur teras, perdebatan tentang keaslian akan terus bergantung pada autoriti individu dan bukannya bukti.

 

11. Kesimpulan

Persoalan kelangsungan Bangsawan bukanlah pertentangan antara golongan tradisionalis dengan golongan moden. Ia merupakan pertentangan antara dua cara memahami warisan: warisan sebagai sesuatu yang perlu dikekalkan dalam bentuk tertentu, atau warisan sebagai tradisi hidup yang mempunyai ruang untuk berkembang (Glassie, 1995; UNESCO, 2003). Kedua-dua kefahaman ini diperlukan, tetapi tujuan masing-masing perlu dinyatakan dengan jelas. Bangsawan tidak semestinya perlu berubah dalam segala hal untuk terus hidup. Namun, Bangsawan juga tidak semestinya perlu kekal dalam segala hal untuk mempertahankan identitinya. Berdasarkan perbincangan ini, artikel ini mengemukakan satu hipotesis untuk diuji:

 Bangsawan dahulu berkembang kerana kebijaksanaannya menyesuaikan diri dengan perubahan zaman. Ironinya, usaha mempertahankannya hari ini mungkin menjadi sebahagian daripada halangan kepada perkembangannya apabila konvensyen dianggap sebagai batas kreativiti, bukannya asas untuk penciptaan.

 Hipotesis ini bukan kesimpulan muktamad. Ia perlu dibuktikan melalui penelitian sejarah yang lebih terperinci dan kajian terhadap amalan Bangsawan kontemporari.

Akhir sekali artikel ini mengemukakan satu persoalan untuk wacana akademik: adakah Bangsawan hari ini kehilangan penonton kerana masyarakat tidak lagi memerlukannya atau kerana kita masih menawarkannya melalui kerangka persembahan yang tidak lagi memenuhi keperluan masyarakat? Kemungkinan kedua jauh lebih mencabar. Sekiranya benar, tanggungjawab menghidupkan kembali Bangsawan tidak lagi terletak pada penonton tetapi pada cara ahli akademik, penggiat, institusi dan pembuat dasar memahami serta membangunkan tradisi tersebut.

Rujukan

Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645). (2005). Percetakan Nasional Malaysia Berhad.

Baumol, W. J., & Bowen, W. G. (1966). Performing arts: The economic dilemma. Twentieth Century Fund.

Ghulam-Sarwar Yousof. (Ed.). (2004). The encyclopedia of Malaysia: Vol. 8. Performing arts. Archipelago Press.

Glassie, H. (1995). Tradition. *The Journal of American Folklore, 108*(430), 395–412. https://doi.org/10.2307/541653

Gupt, S. (2005). The Parsi theatre: Its origins and development (K. Hansen, Trans.). Seagull Books.

Hansen, K. (2003). Languages on stage: Linguistic pluralism and community formation in the nineteenth-century Parsi theatre. Modern Asian Studies, 37(2), 381–405.

Hobsbawm, E., & Ranger, T. (Eds.). (1983). The invention of tradition. Cambridge University Press.

Hutcheon, L. (2006). A theory of adaptation. Routledge.

Kirshenblatt-Gimblett, B. (2004). Intangible heritage as metacultural production. Museum International, 56(1–2), 52–65.

Matusky, P., & Tan, S. B. (2017). The music of Malaysia: The classical, folk and syncretic traditions (2nd ed.). Routledge.

Rahmah Bujang. (1975). Sejarah perkembangan drama bangsawan di Tanah Melayu dan Singapura. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Smith, L. (2006). Uses of heritage. Routledge.

Tan S.B. (1993). Bangsawan: A social and stylistic history of popular Malay opera. Oxford University Press.

Taylor, D. (2003). The archive and the repertoire: Performing cultural memory in the Americas. Duke University Press.

UNESCO. (2003). Convention for the safeguarding of the intangible cultural heritage. UNESCO.

Williams, R. (1977). Marxism and literature. Oxford University Press.

Comments

Popular Posts