ANALISIS TEKS MONODRAMA NISYA KHALEED KARYA SENI BAYAN
Monolog adalah sebuah pengucapan panjang (kebiasaannya adalah pengucapan dari hatinya) yang disampaikan oleh satu orang pemain tanpa ada sebarang interaksi langsung dengan pemain yang lainnya. Ada ketikanya watak utama ini akan mengajuk watak-watak lain dalam penceritaannya. Istilah ini berasal dari perkataan Yunani iaitu `monos’ yang bermaksud `sendiri’ dan `logos’ iaitu `pengucapan’. Pemain monolog adalah narator yang menceritakan sebuah cerita melalui watak yang mengungkapkan pemikiran dan perasaannya samada untuk dirinya, mengenai watak lain atau juga kepada penonton. Menurut Kyle Deguzman (2023) menyatakan monolog boleh dibahagikan kepada 3 jenis iaitu soliloki, dramatik dan monolog dalaman (internal). Jenis monolog ini bergantung pula kepada siapa monolog itu disampaikan. Soliloki ialah watak menyampaikan ucapan panjang kepada dirinya sendiri dan bukannya kepada watak lain atau kepada penonton. Watak yang bercakap dengan dirinya sendiri cuba menganalisis pemikiran, emosi, atau kesusahan yang dialaminya sendiri. Soliloki popular yang boleh dijadikan contoh ialah `To be or not to be’ oleh Hamlet dalam karya Shakespeare.
Monolog dramatik ialah
monolog yang disampaikan oleh watak utama kepada watak lain atau kepada
penonton. Dialog monolog dramatik agak panjang dan sering tidak terputus oleh
ucapan watak-watak lain. Monolog dramatic banyak dapat dilihat dalam filem. Contoh monolog dramatik ialah dari filem Call
Me By Your Name. Manakala monolog dalaman (internal) melibatkan pemikiran
watak disampaikan tanpa diucapkan dalam dunia cerita. Dalam kesusasteraan, ia
ditulis dalam perenggan yang dimiringkan (italic) untuk menunjukkan bahawa
kata-kata tersebut tidak diucapkan secara kuat. Dalam teater, ia disebut
sebagai aside. Manakala dalam filem, monolog dalaman disampaikan melalui
suara latar sebagai cara untuk penonton untuk mendengar pemikiran watak. Contoh
menarik dapat dilihat dalam filem Adaptations lakonan Nicholas Cage.
Seperti monolog,
monodrama juga hanya melibatkan seorang pemain sahaja. Monodrama adalah drama yang menampilkan satu pemain
tanpa adanya interaksi langsung dengan pemain lain, namun pemain tersebut boleh
melakonkan lebih dari satu watak (Kita harus tahu membezakan antara `mengajuk
dan `melakonkan);
“Monodrama is a type of theatrical
performance in which a single actor or actress performs a dramatic piece. The
focus is on the performer, who takes on multiple roles and tells a story
through their performance.” (Shawn, Manaher. 2023)
Ia
serupa dengan monolog dramatik kerana penonton menyaksikan pemikiran dan
tindakan oleh satu watak. Ia sebuah persembahan solo memaparkan pengalaman
watak yang mengandungi perkembangan watak, peneroklaan tema dan pemikiran yang
ingin disampaikan oleh penulis kepada penonton, konflik dan penyelesaian
konflik. Monolog wujud dalam sebuah
drama, manakala monodrama pula boleh wujud sebagai sebuah drama tersendiri.
Monodrama boleh dipersembahkan dalam bentuk opera atau muzikal (menggunakan
nyanyian dan muzik sebagai alat komunikasi menyampaikan cerita dan pemikiran
watak ( Helen Akers. 2024). Ia umpama one-person
show. Persembahan monodrama tidak memerlukan set latar atau penggunaan
props yang banyak kerana persembahan monodrama memfokuskan kepada keupayaan
seorang pelakon membawa penonton menyelami ke dalam minda watak yang
diperankan. Dengan kata lain, monodrama melibatkan seorang pemain yang
melakonkan pelbagai watak manusia yang terlibat dalam penceritaannya. Contoh
naskah monodrama menarik tulisan Samuel Beckett iaitu Krapp’s Last Tape dan
Happy Days.
Ulasan Naskah Monodrama Nisya Khaleed
Umumnya naskah monodrama
"Nisya Khaleed" tulisan Ahmad Hashim atau lebih dikenali sebagai Seni
Bayan, menggambarkan perjalanan kehidupan seorang wanita yang terjerat dalam
jaringan terrorisme atas pengaruh suaminya, Zulkarnaen. Naskah ini dimulakan
dengan arahan pentas menunjukkan Nisya Khaleed yang sedang berada di dalam
bilik kurungan, menunjukkan bahawa dia sedang berada dalam situasi penahanan
atau soalsiasat;
Muzik. Spot pada Nisya Khaleed. Saat itu Nisya
Khaleed tunduk dengan rambut yang
dilepaskan menutup muka. Mentol di atas kepalanya sedikit bergoyang meliuk ke
kiri dan kanan. Sesekali dia mendongak
tepat ke satu arah. Matanya membulat terpaku terpacak merenung lintang
bayang biasan cahaya. Sudah hampir dua jam dia berada di bilik kurungan itu
dengan lontaran jawapan demi jawapan
Di peringkat berikutnya
naskah ini mengimbau perjalanan hidup Nisya dari seorang gadis desa yang
akhirnya terlibat dalam gerakan terrorisme yang dipimpin oleh suaminya. Seterusnya
ia mengisahkan perjalanan hidup Nisya yang menggambarkan bagaimana seseorang itu
boleh terjerumus ke dalam kumpulan yang ekstrim dan bagaimana mereka berjuang
untuk menemukan jati diri dan kebenaran di tengah-tengahnya;
Nisya Khaleed
:
Awal sebuah perjalanan…..Aku hanya seorang gadis kampung,
berpendidikan tamat Tingkatan Lima ,anak ketiga dari seorang Imam Masjid
Lukmanul Hakim Kg.Seberang Kota. Masih
kuingat pertama kali aku melihat wajah bersih dan mendengar lunak suara Zulkarnaen ketika berdakwah di Madrasah Haji
Ani di Kampung Tok Pasai, memang Zulkarnaen ada daya penariknya tersendiri.
Persinggahan singkat di mukim Kuala Kedah itu tanpa disangka, Zulkarnaen sudah
memberitahu ayah pada suatu malam selepas mengimamkan solat Isyak bahawa dia
ingin melamarku. Entah bila waktu dan
ketikanya Zulkarnaen sempat mencuri memerhati aku.
Dua bulan di kampungku, muaalim dari tanah
seberang ini cukup hebat berdakwah, sehebat matanya yang menata lincah. Ayah
dan ibu menerima lamaran itu di samping
aku hanya mengangguk dengan rasa kencang rentak nafas yang deras tak sanggup terucap.
Aku menjadi bisu dan keliru tetapi mahu
menerima dengan sisipan malu-malu.
Dua minggu selepas aku bernikah, Zulkarnaen
membawaku bersama -sama
memulai kehidupan rumahtangga di kampung asalnya Desa Lopang Gade, di
Banten, Indonesia. Banyak pertanyaan yang tak sempat kulontarkan, bergulir di hati tetapi
musim-musim awal bersama Zulkarnaen, aku merasa amat bahagia, bermesra dalam canda dan tawa, tiada langsung
keterpaksaan.
Detik itu
dunia lelah pun tak terasa,sampai aku mampu melihat di depan mata
tumpukan cahaya bianglala menunggu sambil seolah-olah tanganku dapat menyentuh
jengkal warnanya, kugenggam menjadi rindu dan cinta . Dan kini tinggal sehari
lagi, genaplah tujuh tahun perkahwinan kami.
Watak Nisya digambarkan
sebagai seorang wanita Melayu yang naif yang telah terjerat dalam dunia terrorisme,
namun masih mempertahankan sisi kemanusiaannya dengan menyimpan cerita pahit
dan manis dalam kehidupannya. Nisya mengalami konflik dalaman yang kuat antara kesetiaannya
kepada suaminya dan tanggungjawabnya sebagai ibu kepada dua orang anaknya. Dia
terjebak dalam lingkaran kekerasan dan keganasan yang dilakukan oleh suaminya, namun
dalam masa yang sama, dia menyedari bahawa tindakan suaminya akan membawa akibat
buruk kepada keluarganya. Melalui pengucapannya, Nisya mengungkapkan bagaimana
agama dan pemahaman jihad telah dimanipulasikan oleh suaminya serta lingkungan
pengikut yang lain untuk membenarkan tindakan kekerasan dan terrorisme. Nisya
mula mempersoalkan nilai-nilai yang ditanamkan kepadanya dan mencari jalan
keluar dari lingkaran kekerasan tersebut;
(Spot pada
Nisya Khaleed disamarkan. Bunyi riuh tembakan. Spot kembali pada Nisya Khaleed
di satu sudut. Nisya mengenakan pakaian ala tentera sambil memikul selaras
senjata)
Nisya Khaleed
:
Dua tahun kemudiannya setelah aku melahirkan putri
sulungku Rabiatul Addawiyah, Zulkarnaen mula membawaku berjumpa dengan
rakan-rakan dakwahnya di luar Banten. Dari situ aku mula mengenali faham
Sufistik dan mengenal periodisasi gerakan Mekah Madinah dengan adaptasi
pemikiran Islam dari Timur Tengah. Kemudian aku didedahkan dengan medan keras
Afghanistan yang mengubah fitrah Islam dari Mujahidin Arab menjadi faham
Salafi. Zulkarnaen pernah berkata …” Nisya, perjalanan ini masih sangat
panjang,awalnya kita tidak saling mengenal, kemudian kita mencari saudara dan
hari ini kita adalah keluarga yang besar yang bakal bersama-sama Malaikat
mengibarkan panji-panji”.
Semakin
jauh aku dibawa Zulkarnaen mengembara ke seluruh kepulauan Indonesia. Dari
Pekanbaru, Bengkulu, Jakarta, Bandung,
Semarang,Solo, Lamongan, Jawa Timur, Sulawesi dan Makassar bertemu dengan kelompok relawan
jihad dalam satu titik persamaan ideologi perjuangan dan macam-macam fatwa yang
telah aku dengar. Dari mulut Aris Sumarsono Komanden Tertinggi Sayap Militan Gebang, Sragen dengan
penuh semangat mengungkapkan :
“ Dalam setiap doa ada serimbun harapan,dalam setiap
rimbunan harapan itu perlu ada perbuatan jihad yang tersemat teduh dan rendang
pohon-pohon syurga” .
Aku semakin
melangkah jauh bersama Zulkarnaen dalam lebat hujan semangat yang
tak pernah menghanyutkan makna mencari kebebasan. Tahun berikutnya aku
melahirkan seorang putera, Amir
Firdausi. Kedua-dua beradik Rabiatul
Addawiyah dan Amir Firdausi kami tinggalkan di Malaysia bersama datuk dan nenek
mereka di kampung supaya membolehkan perjalanan rencana serta agenda aku dan
Zulkarnaen menjadi lancar.
Dan hari ini aku berdiri teguh berganding dengan kumpulan
wanita Asia dalam latihan bersenjata bersama kumpulan Militan di perkhemahan Al
Ghozi di pendalaman perbukitan Lahore .Sumpah kami adalah sumpah syahid dan mati untuk meledakkan ketidakadilan dan
kemunafikan yang masih terhidang dalam pandangan mata.
(Spot pada
Nisya Khaled disamarkan. Paparan multimedia menggambarkan berlakunya pengeboman
di sebuah hotel.)
Naskah ini mencapai kemuncaknya
apabila Nisya akhirnya menyedari bahawa tindakan suaminya itu salah, lalu dia
memutuskan untuk menentangnya. Walaupun sudah agak terlewat, namun keputusan yang
beliau ambil itu sebagai satu lambang kesedaran serta harapannya untuk
memperbaiki kesalahan masa lalunya;
Nisya
Khaleed :
Memang kisah manis amat indah menjadi
kenangan, pun begitu cerita-cerita pahit amat sulit dilupakan. Penggantian
waktu berlegar pada setiap tibanya musim berkaleh bayang. Pada momen sukar itu
Zulkarnaen pertama kalinya meninggikan suara padaku.
“ Nisya ! Jangan sesekali menjadi manusia
munafik pada sumpah ! Inilah peluang kita untuk memberi jawapan pada dunia
dengan hanya menarik pemicu di saku kanan depan rompi di dadamu, itu sahaja! Berkali-kali
aku seperti mendengar suara putri sulungku Rabiatul Addawiyah berbisik ke telingaku “ Ummi, jangan lakukan
Ummi, jangan tinggalkan kakak dan adik Amir Firdausi Ummi, jangan Ummi,
jangan…”
Aku terus menyoal, abang, perlukah kita
melakukannya, Nisya tidak mahu tertipu dengan janji dan warna syurga…Bukan
Nisya seorang sahaja yang bakal hancur menjadi debu, tapi bang…ada manusia
kecil dan jiwa-jiwa lain yang tidak berdosa seharusnya diberi peluang mengecap
nikmat kehidupan ini bang! Masih ada jalan lain untuk berjuang tapi bukan
dengan perintah nafsu mengambil nyawa kita sendiri , bukan dengan mayat dan
darah bang !
Zulkarnaen semakin marah, merah padam mukanya
dan menengking aku semahunya. Zulkarnaen mula menghampiriku sambil tangan
kanannya mencengkam leherku. “ Nerakalah engkau Nisya! Kita telah bersumpah
atas nama jihad !
Abang, hari ini baru Nisya sedar bahawa kita
lahir dalam dunia yang berbeza, abang mahu melupakan kehidupan yang selama ini
kita bina atas dasar cinta, kasih dan sayang lalu ditukarkan dengan kehidupan
jauh lebih rakus dan ganas? Mengapa ramai mereka yang tidak berdosa harus mati
kerana kita ? Biarlah fatwa -fatwa itu berbicara hanya dengan amarah, kematian
manusia lain bukan jawapan kepada perjuangan! Hentikan perang ini bang,
hentikan membunuh dan menjadi pembunuh bang !
Anak-anak kita bang, Rabiatul Addawiyah dan
Amir Firdausi … Mereka masih mentah dan memerlukan ibu dan ayah, mereka juga
perlu dihidupkan, bukan dimatikan oleh mimpi ngeri seperti mayat-mayat yang
bakal bergelimpang di seluruh pelusuk dunia oleh ledakan bom dari dada kejam
orang seperti kita!
Biar kita pincang di mata dan sumpah
mujahid tetapi tidak berdosa di mata
Tuhan.
Zulkarnaen melepaskan cengkaman tangannya
dari leherku dan terus berjalan tanpa menoleh padaku. Memang hari itu genap
tujuh tahun perkahwinan kami,hari Zulkarnaen meletupkan dirinya di hotel itu.
Naskah ini secara
implisit telah mengkritik tindakan terrorisme dan kekerasan yang dilakukan atas
nama agama atau ideologi tertentu. Melalui watak Nisya yang ketika ini
berperanan sebagai raisonneur, penulis cuba untuk menyampaikan bahawa
tindakan kekerasan tidak akan membawa kebaikan atau keadilan, sebaliknya jalan
menuju kedamaian perlu dicapai melalui dialog dan kesefahaman sesama manusia.
Naskah "Nisya Khaleed" bukan hanya sekadar monodrama yang
menggambarkan perjalanan hidup seorang wanita yang bergelut dalam lingkungan
terrorisme, tetapi sebagai satu kritikan sosial terhadap ekstremisme dan
kekerasan yang dilakukan atas nama agama atau ideologi tertentu.
Plot
Menurut Louis E Catron (1989: 41)
mendefinisikan plot sebagai;
Plot is the structure of the play, the
playwright's selection of a meaningful arrangement of events that shapes the
story by creating conflict and complications to demonstrate the play's thought.
It is the action of the play, presenting dramatic challenges to the characters,
which cause responses that bring to life added facets of personality.
Dari segi teorinya, plot dalam naskah
monodrama "Nisya Khaleed" tergolong dalam bentuk plot piramid Freytag
yang mengandungi eksposisi, konflik awal (rising action), klimak, penyelesaian
konflik dan peleraian. Plot sebegini adalah salah satu bentuk plot yang paling
biasa dan kerap digunakan dalam sastera dan drama. Peringkat pengenalan atau
eksposisinya memperkenalkan tentang watak Nisya sebagai seorang wanita yang
berada dalam situasi penahanan untuk soal siasat. Ketika ini beliau merenung
kembali masa lampaunya dan latar belakang kehidupannya, termasuklah bagaimana
beliau terlibat dalam lingkaran terrorisme. Pada peringkat konflik awal (Rising
Action) memaparkan konflik dalaman Nisya yang mulai terungkap ketika dia mula
mempersoalkan tindakan suaminya, Zulkarnaen, yang terlibat dalam kegiatan
terrorisme. Dia turut rasa berbelah bahagi antara kesetiaan kepada suami dan
rasa tanggungjawabnya sebagai seorang ibu kepada kedua anaknya. Peringkat
Klimak atau puncak konflik berlaku apabila Nisya menyedari bahawa tindakan
terrorisme suaminya salah selepas mendengar suara hatinya dan bisikan
anak-anaknya. Dia mendepani dan menolak hasrat suaminya serta berbicara dengan
penuh keyakinan tentang bahaya tindakan tersebut dan keperluan untuk memilih
jalan perdamaian dan kasih sayang. Peringkat penyelesaian konflik (Falling
Action) apabila Nisya mengambil keputusan untuk menentang suaminya dan enggan
terlibat dalam tindakan terrorisme. Walaupun kesedaran itu sudah terlambat, namun
ia sesuai sebagai sebuah drama yang berpaksikann kesedaran dan pengajaran untuk
menunjukkan perubahan besar dalam watak Nisya serta keinginannya untuk
memperbaiki kesilapan lalunya. Peleraiannya dapat dilihat pada dua bahagian
akhir drama iaitu mengikut arahan pentas menjelaskan tindakan Nisya yang
menangis sambil melepaskan pengikat bom rompi secara perlahan-lahan, sebagai
perlambangan menunjukkan simbol pembebasan diri
dari bebanan dan pilihan yang salah yang pernah diambilnya;
(Nisya terus
menangis sambil membuka jaket pengikat bom rompi lalu dijatuhkan perlahan-lahan
ke lantai. Lampu pada meja di sudut lain di bilik kurungan dinyalakan. Nisya
Khaleed berjalan ke arah meja itu lalu kembali duduk.)
Yang kedua ialah melalui
pengucapan monolog akhir Nisya yang mengakui bahawa hanya Tuhan sahaja yang
memiliki kekuasaan atas kehidupan dan kematian, bukannya manusia;
Nisya
Khaleed :
Itulah kali terakhir saya melihat wajah suami
saya tuan.Baginya itulah yang memaknakan jihad, kebebasan dan syurga,namun tanpa sedar ada takdir kehidupan yang tertoreh
dan lebur menghentam detak jantung. Mimpi dan hasrat yang kerap kali menipu,
apa yang dikejar sebenarnya adalah keabadian yang lelap dan gelap. Hanya Tuhan
yang Maha Layak memberi dan mengembalikan nafas dan nyawa. Bukan kita..Bukan.
(Nisya terus
menangis dalam rentan jiwa yang terbelah untuk menelan segala kepahitan. Betapa
dunia ini tidak langsung bererti tanpa rasa kasih, sayang dan cinta ! .Muzik dan lagu )
Secara keseluruhannya, perjalanan plot drama
ini menciptakan sebuah penceritaan yang mendalam dan memikat, dengan penekanan
kepada perubahan-perubahan yang berlaku kepada diri Nisya dan perkembangan
moralnya dalam menghadapi konflik yang kompleks. Inilah pembentukan mesej
yang ingin disampaikan oleh penulis tentang peri-pentingnya perdamaian, kasih
sayang, dan penolakan terhadap tindakan kekerasan.
Watak dan Perwatakan
Watak dalam naskah
monodrama “Nisya Khaleed” boleh dibahagikan kepada empat watak iaitu Nisya,
Zulkarnaen, anak-anak Nisya (Rabiatul Addawiyah dan Amir Firdausi) dan Aris
Sumarsono. Watak Nisya menunjukkan beberapa kompleksiti. Dia memiliki konflik
dalaman yang kuat antara kesetiaannya pada suaminya, Zulkarnaen, dan rasa
tanggungjawab sebagai ibu kepada kedua anaknya. Namun dalam masa yang sama,
Nisya cuba menunjukkan keberaniannya untuk menentang tindakan terrorisme yang
dilakukan oleh suaminya. Watak Nisya mengalami perubahan besar sepanjang
perjalanan cerita. Pada awalnya Nisya digambarkan sebagai wanita yang pasif dan
mudah terjebak dalam lingkaran terrorisme yang dipimpin oleh suaminya. Namun,
seiring dengan perjalanan waktu, Nisya mula mempersoalkan tindakan suaminya dan
akhirnya beliau memutuskan untuk menentangnya. Dia mulai mempersoalkan
nilai-nilai yang diajarkan oleh suaminya, dan menganggap semua tindakan
kekerasan yang diajarkan suaminya itu adalah tidak benar. Kesedaran ini telah
menyebabkan Nisya menolak untuk terlibat lebih jauh dalam tindakan terrorisme.
Watak Zulkarnaen, suami
kepada Nisya, digambarkan sebagai seseorang yang manipulatif dan gagah. Dia berjaya
mempengaruhi Nisya untuk terlibat dalam gerakan terrorisme dengan menggunakan
agama dan ideologi sebagai alat untuk membenarkan tindakannya. Zulkarnaen
diperlihatkan sebagai suami yang kurang sensitif terhadap perasaan dan
keinginan isterinya Nisya sebaliknya lebih mementingkan prinsip perjuangannya
sahaja. Beliau juga digambarkan sebagai seorang yang suka mengongkong dan
memaksa Nisya untuk patuh pada kehendaknya. Dia menggunakan kekerasan dan
ancaman untuk mempertahankan kekuasaannya;
“Nisya! Jangan sesekali menjadi manusia
munafik pada sumpah! Inilah peluang kita untuk memberi jawapan pada dunia
dengan hanya menarik pemicu di saku kanan depan rompi di dadamu, itu sahaja!”
Zulkarnaen semakin marah, merah padam mukanya
dan menengking aku semahunya. Zulkarnaen mula menghampiriku sambil tangan
kanannya mencengkam leherku. “ Nerakalah engkau Nisya! Kita telah bersumpah
atas nama jihad!”
Zulkarnaen melepaskan cengkaman tangannya
dari leherku dan terus berjalan tanpa menoleh padaku. Memang hari itu genap
tujuh tahun perkahwinan kami,hari Zulkarnaen meletupkan dirinya di hotel itu.
Watak anak-anak Nisya
iaitu Rabiatul Addawiyah dan Amir Firdausi walaupun tidak dimunculkan secara
langsung dalam naskah, namun kedua-dua anak ini memainkan peranan penting dalam
mempengaruhi keputusan dan perkembangan watak Nisya. Bisikan anak-anak ini telah
memberikan Nisya kekuatan untuk menentang suaminya dan memilih jalan yang
benar;
Berkali-kali aku seperti mendengar suara
putri sulungku Rabiatul Addawiyah
berbisik ke telingaku “ Ummi, jangan lakukan Ummi, jangan tinggalkan
kakak dan adik Amir Firdausi Ummi, jangan Ummi, jangan…”
Watak Aris Sumarsono
hanya digambarkan sekali sahaja secara tidak langsung, namun perwatakan watak
tersebut jelas tercermin melalui ungkapan dan pemikirannya tentang ideologi dan
gerakan jihad. Aris Sumarsono digambarkan sebagai seorang Komanden Tertinggi
Sayap Militan Gebang Sragen yang memiliki keyakinan yang kuat terhadap ideologi
jihad dan perjuangan militan. Dia memaparkan pemikiran fanatik yang penuh
semangat tentang pentingnya melakukan jihad dalam usaha mencapai tujuan-tujuan
tertentu yang diyakini sebagai bentuk perjuangan agama;
Dari mulut Aris Sumarsono Komanden Tertinggi
Sayap Militan Gebang, Sragen dengan penuh semangat mengungkapkan:
“Dalam setiap doa ada serimbun harapan,dalam
setiap rimbunan harapan itu perlu ada perbuatan jihad yang tersemat teduh dan
rendang pohon-pohon syurga”.
Bahasa
Penggunaan bahasa dalam
naskah tidak hanya berfungsi sebagai alat untuk menyampaikan cerita, tetapi
juga untuk menggambarkan dengan lebih mendalam tentang watak, suasana, dan
konflik dalam cerita. Louis E Catron (1989:87) menyatakan;
”...the language of the play, subtly half
reveals and half conceals the plays heart and soul while communicating the play’s
unique style and characters…diction enriches the understanding of the play’s
character and thought, creates imagery and beauty, and establishes the plays
rhythmic beat… diction is a significant aesthetic pleasure of theatre.”
Penggunaan gaya bahasa
deskriptif dalam naskah "Nisya Khaleed" menggambarkan suasana,
perwatakan, dan konflik dalam cerita. Penulis menggunakan bahasa yang kuat dan
menggugah untuk menyampaikan pelbagai emosi dan pemikiran yang dialami oleh watak
utama, Nisya Khaleed. Bahasa yang digunakan juga mencerminkan kekacauan batin
dan konflik dalaman yang dirasakan oleh Nisya, seperti kebingungan, rasa
bersalah, dan perjuangan moral. Penulis juga menggunakan monolog naratif
melalui sudut pandangan Nisya Khaleed untuk menyampaikan cerita. Melalui
monolog ini, pembaca dapat menyelami pemikiran dan perasaan Nisya, dan memahami
perjalanan emosi dan mentalnya dengan lebih mendalam. Selain monolog, penulis
turut menggunakan dialog dalaman untuk memperlihatkan pertentangan batin yang
dialami oleh Nisya Khaleed. Dialog ini membantu pembaca untuk memahami konflik
dalaman yang kompleks yang dirasakan oleh watak utama. Penulis turut
menggunakan istilah dan frasa khusus yang berkaitan dengan konteks jihad dan
terrorisme untuk memperkuatkan gambaran lingkungan dan situasi yang dialami
oleh watak-watak dalam naskah. Penulis telah memilih bahasa dengan cermat untuk
menekankan makna dan simbolisme tertentu seperti penggunaan metafora dan
analogi untuk menyampaikan mesej-mesej moral dan falsafah kepada pembaca.
Penulis juga berjaya menyampaikan sudut pandangan Nisya tentang ideologi dan
perjuangan jihad yang dianuti oleh suaminya dan kelompok militannya. Bahasa
yang digunakan untuk merujuk pemikiran Aris Sumarsono yang menunjukkan semangat,
kefanatikan, dan ketegasan terhadap ideologi yang dianutinya. Ungkapan-ungkapan
yang penuh bersemangat dan retorik digunakan untuk menggambarkan pemikiran Aris
Sumarsono tentang jihad dan perjuangan militan;
Dari mulut Aris Sumarsono Komanden Tertinggi
Sayap Militan Gebang, Sragen dengan penuh semangat mengungkapkan:
“Dalam setiap doa ada serimbun harapan,dalam setiap
rimbunan harapan itu perlu ada perbuatan jihad yang tersemat teduh dan rendang
pohon-pohon syurga”.
Pemikiran
“Thought, the intellectual focus of the play,
is a crucial component of effective play analysis leading to your directorial
vision. Thought is the play’s meaning; the playwright’s observations about life
that motivate writing the play; and the writer’s philosophical, moral, or
ethical assessment of the world.”
(Louis E Catron: 71)
Pemikiran yang ingin disampaikan oleh watak
utama, Nisya Khaleed, mencerminkan konflik dalamannya yang kompleks,
pertentangan moral, dan pertimbangan yang mendalam terhadap tindakan dan
keputusan yang dihadapinya. Nisya Khaleed mengalami konflik dalaman yang
besar antara kesetiaannya kepada suaminya, Zulkarnaen, dan rasa
tanggungjawabnya sebagai ibu kepada anak-anaknya, serta prinsip moralnya dan
penolakannya terhadap tindakan terrorisme. Nisya gusar dengan kesan dari
tindakan kekerasan yang diperjuangkan oleh suaminya terhadap kehidupan
orang-orang yang tidak bersalah, termasuk anak-anaknya sendiri, dan
mempersoalkan tentang kebaikan dan keburukan
hasil dari tindakan tersebut. Dari monolog Nisya itu mencerminkan pencarian
identiti dirinya sendiri di tengah-tengah lingkungan yang ekstrem dan radikal.
Nisya mempersoalkan tentang nilai dan keyakinannya sendiri, mencari jatidirinya
yang sebenari dan arah untuk menentukan hidupnya sesuai dengan nilai yang
diyakininya. Mesej utama yang terdapat dalam naskah ini ialah penolakan
terhadap ekstremisme dan kekerasan atas nama agama atau ideologi tertentu.
Penulis ingin menyampaikan bahawa kekerasan dan terrorisme tidak akan membawa
kebaikan atau keadilan, dan jalan untuk menuju perdamaian perlu dicapai melalui
dialog, pemahaman, dan tolak ansur. Pemikiran yang disampaikan oleh Nisya
Khaleed, membolehkan penulis berhasil mengeksplorasi pelbagai konflik moral
dalaman yang dihadapi oleh individu yang terjerat dalam lingkaran terrorisme
dan radikalisasi. Ini memberikan dimensi psikologi dan falsafah yang mendalam
kepada naskah, serta membolehkan pembaca untuk merenungkan implikasi sosial dan
moral akibat dari tindakan terrorisme.
Rujukan
1. Akers, Helen.
2024. What is a Monodrama? in MusicalExpert.org. https://www.musicalexpert.org/. March 06, 2024.
2. Catron, L.E.
1989. The Director’s Vision; Play Direction from Analysis to Production.
California. Mayfield Publishing Company.
3. Deguzman, Kyle.
2023. What is a Monolgue – Definition, Examples & Types Explained. In
Studiobinder. https://www.studiobinder.com/. January 29, 2023.
4. Evgeniya
Kukushkina. 2022 Monodrama in Malaysian National Dramaturgy: A Retrospective of
the Emergence of the Genre. DOI:
10.25136/2409-8698.2022.9.38753
5. Manaher, Shawn.
2023. Monodrama vs Play: The Main Differences and When to Use Them. In
The Content Authority. https://thecontentauthority.com/
Comments