ALUMNI UMPAMA IKAN PULANG KE LUBUK

 

”Ia bermula dengan minat dan rasa tanggungjawab

Ia diteruskan dengan ikatan perhubungan yang berfaedah

Ia tamat dengan memberi manfaat kepada semua.”

(Noraisyah Md Idris. (2015) Alumni Centre Universiti Selangor)

 

 

IPT merupakan `alma mater’ yang tidak seharusnya dilupakan... IPT menjadi medan terbaik dalam menyediakan graduan atau sumber manusia yang terbaik untuk keperluan industri. Ala mater mereka telah berjasa dalam membentuk kehidupan pasca-gradusi para alumni. Justeru sebagaim timbal balasnya, alumni bertanggungjawab membantu IPTnya membangunkan kapasiti dan menambahbaik kualiti penyampaian dan perkhidmatan IPT agar kesannya akan dapat dirasakan oleh generasi pelajar yang sedang menuntut (Khairunneezam Mohd Noor. 2021.) Alumni berperanan sebagai salah satu usaha untuk mengekalkan dan memperkembangkan pembangunan sesebuah universiti. Penglibatan alumni dalam menyokong dan memberikan sumbangan secara sukarela kepada sesebuah universiti amat penting untuk membantu membina dan memperkayakan pengalaman pelajar yang berada dalam universiti tersebut (Noraisyah Md Idris. 2015). Menurut Prof, Madya Dr Arba;ie Sujud, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) ketika Majlis prapelancaran Sambutan Hari Alumni Universiti Awam Malaysia pada 18 Julai 2021, beliau menegaskan bahawa setiap alumni mempunyai peranannya tersendiri dan peranan itu boleh disumbangkan dalam pelbagai cara dan kaedah berbeza mengikut kemampuan masing-masing. Justeru dapat dilihat ARCUPM dan Perstauan Alumni UPM (PAUPM) senantiasa berganding bahu bekerjasama membawa hala tuju alumni sehingga akhirnya aktiviti UPM Alumni Golden Fit berjaya dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records kerana penyertaan alumni teramai dalam program kecergasan universitinya. Peranan alumni bukan terhad kepada sumbangan kewangan semata-mata malah ia boleh sahaja dalam bentuk perkongsian ilmu dan penyediaan kemudahan kepada pelajar (Ts Dr Mohamed Nizam Abdul Aziz. 2023). Alumni adalah contoh teladan yang berkesan dan mudah diterima oleh pelajar kerana alumni sudah mempunyai kredibiliti dan justifikasinya tersendiri. Justeru alumni berupaya menjadi panduan dan inspirasi kepada pelajar sedia ada. Pengalaman yang dilalui para alumni terutamanya dalam soal pengurusan masa, kewangan, pembentukan sahsiah dan kerjaya amat berharga untuk dikongsikan sebagai pedoman kepada pelajar. Alumni umpama duta kecil yang membantu universiti menyalurkan semangat dan menyemai budaya seperti yang dihasratkan universiti kepada pelajarnya. Malah alumni boleh membantu mempromosi bidang pengajian dan  pusat pengajiannya kepada masyarakat luar. Alumni juga berperanan sebagai mentor kerjaya kepada pelajar yang bakal menamatkan pengajiannya. Mereka sudah mengetahui selok belok alam pekerjaan dan keperluan tuntutannya.  Alumni juga boleh menjadi panel rujukan dan penyumbang kepakaran kepada pusat pengajian terutama dalam perkara penambahbaikan kurikulum pengajian atau pembangunan program-program baharu agar dapat menyediakan keperluan pelajar dan graduan untuk menempatkan diri dalam bidang kerjaya tertentu.      

Setiap IPT pastinya mempunyai satu entiti yang dinamakan sebagai pejabat alumni yang bertanggungjawab untuk memastikan  hubungan yang erat antara alma mater dan alumni akan tetap terjalin sepanjang masa. Kewujudan pejabat ini sudah membuktikan peri pentingnya alumni kepada alma maternya (Suziana Che Wil. 2021). Hasil inisiatif beberapa pentadbir pusat alumni IPT telah membawa kepada kewujudan Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia (MAUAM) dengan keanggotaan 20 Universiti Awam seluruh negara. Kewujudan pejabat alumni dan MAUAM membuktikan bahawa setiap mahasiswa yang telah bergraduat mempunyai hubungan yang tidak terputus bersama universiti masing-masing. Malah kepulangan dan sumbangan mereka kepada pusat pengajian adalah sangat dialu-alukan.  Terdapat beberapa cara yang dapat dilakukan untuk menarik kembali alumni bidang pengajian untuk datang dan menyumbangkan pengalaman mereka kepada pusat pengajian, antaranya:

 

1. Membentuk komuniti alumni yang aktif akan dapat membantu menjalinkan hubungan yang lebih erat antara alumni dan pusat pengajian. Komuniti ini boleh menjadi medan forum dan diskusi samada secara  online atau bersemuka untuk saling berkongsi pengalaman dan maklumat. Pusat pengajian juga dapat memanfaatkan media sosial untuk berkomunikasi dengan alumni dan mempromosikan aktiviti-aktiviti yang boleh melibatkan mereka.

 

2. Mengadakan program alumni seperti reunion,seminar atau wacana dapat menjadi pemangkin untuk mengundang alumni kembali ke pusat pengajian. Acara ini dapat diisi dengan sesi diskusi atau pembentangan oleh alumni yang telah berjaya dalam bidang pengajian mereka. Dengan adanya acara ini, alumni akan merasa lebih dihargai dan dikenang oleh pusat pengajiannya.

 

3. Menggunakan media online  seperti surat elektronik (email), website, atau media sosial  adalah antara cara untuk menarik perhatian alumni.  Pusat pengajian dapat mengirimkan emel newsletter kepada alumni yang berisi informasi terkini tentang pusat pengajian serta kegiatan-kegiatan yang melibatkan alumni. Selain itu, penggunaan media sosial seperti Facebook atau LinkedIn juga dapat membantu membangun jaringan alumni yang lebih mantap.

 

4. Memberikan penghargaan kepada alumni yang telah mencapai kejayaan dalam  bidang pengajian mereka akan mampu menjadi motivasi kepada mereka untuk kembali ke pusat pengajian dan berkongsi pengalaman. Penghargaan ini dapat berupa penghargaan anugerah atau pengiktirafan secara terbuka yang dapat memberikan kebanggaan kepada mereka sebagai alumni.

 

5. Melibatkan alumni dalam kegiatan pengajaran dan penyelidikan seperti menjemput alumni sebagai pembicara undangan, pengajar sambilan dalam kelas-kelas atau acara-acara pengajaran dapat memberikan manfaat langsung kepada mahasiswa sedia ada. Selain itu, pusat pengajian juga dapat melibatkan alumni dalam penyelidikan kolaboratif atau projek-projek pengembangan yang sedang dilakukan.

 

6.  Pusat pengajian perlu menjalin hubungan yang lebih erat dengan dunia industri berkaitan dengan bidang pengajian. Dengan adanya kerjasama ini, para alumni dapat melihat dan merasakan manfaat yang diperolehi dari pusat pengajian mereka, sehingga merasa terpanggil untuk kembali dan menyumbang kepada pusat pengajiannya.

 

Dengan melaksanakan langkah-langkah ini secara konsisten dan berterusan akan dapat membantu menimbulkan rasa keakraban antara alumni dengan pusat pengajiannya. Ini akan membuka peluang untuk alumni kembali dan menyumbangkan pengalaman mereka, serta membantu memperkayakan pengajaran dan pengalaman belajar dalam pusat pengajian masing-masing.

 

Rujukan

1.      Noraisyah Md Idris. (2015). Peranan Alumni dalam Pembangunan Universiti. Alumni Centre, <https://uniselalumni.wixsite.com/>. Accessed by 29 Mac 2024

 2.      Khairunneezam Mohd Noor. (2021). Sumbangan alumni kepada universiti sangat dituntut. MalaysiaGazette. 1 Disember 2021. < https://malaysiagazette.com/>)

  3.      Suziana Che Wil. (2021) accessed by 28 Ogos 2021. < https://alumni.upm.edu.my/>

 4.      Ts Dr Mohamed Nizam Abdul Aziz. (2023). Peranan Alumni dalam Membantu Universiti dalam Berkongsi Ilmu dan Kemudahan Pendidikan. UiTM News Hub. Accessed by 19 Sept. 2023.< https://news.uitm.edu.my/>

Comments

Popular Posts