Menghidupkan Tulang-Tulang Berserakan melalui Adaptasi dan Tafsiran Sutradara; Dari Novel ke Naskah Drama dan Seterusnya ke Pentas

Menghidupkan Tulang-Tulang Berserakan melalui Adaptasi dan Tafsiran Sutradara; Dari Novel ke Naskah Drama dan Seterusnya ke Pentas

 

Dr Andika Aziz Hussin

Pusat Pengajian Seni USM

  


Mengadaptasi Tulang-Tulang Berserakan daripada medium novel ke pentas teater bukanlah satu proses pemindahan cerita secara literal tetapi suatu perjalanan kreatif yang kompleks, penuh pemilihan estetika, pertimbangan sejarah dan tanggungjawab moral terhadap karya asal. Novel karya Usman Awang ini bukan sekadar naratif fiksyen tetapi dokumen kesedaran bangsa yang merakam luka penjajahan, konflik ideologi serta pergolakan sosial dalam era Darurat di Tanah Melayu. Oleh sebab itu proses menjelmakan naskhah ini ke atas pentas harus dilakukan dengan penuh cermat, menghormati roh perjuangan yang terkandung di dalamnya, sambil menyesuaikan bentuk persembahan dengan keperluan pentas dan penonton masa kini.

Adaptasi pertama berlaku apabila novel dipindahkan menjadi skrip pentas. Pada tahap ini, karya sastera yang kaya dengan naratif, deskripsi psikologi, lapisan watak serta perincian sejarah perlu dipadatkan dan distruktur semula dalam bentuk dramatik. Bukan semua episod boleh dibawa ke pentas justeru pemilihan dramatik menjadi proses teras. Watak-watak digabungkan, peristiwa tertentu dipilih sebagai nadi dramatik manakala monolog batin diterjemahkan menjadi dialog, aksi serta simbol visual. Pendekatan ini menuntut kepekaan tinggi kerana adaptasi bukan semata-mata soal memotong atau menterjemah tetapi keupayaan menjaga semangat asal yang digarap penulis sambil memastikan struktur dramatik tetap tajam dan efektif di ruang persembahan. Dalam bentuk ini kisah Leman diangkat bukan sekadar sebagai individu yang bergelut dengan tekanan sejarah tetapi sebagai representasi suara kolektif bangsa yang tercalar dan mencari makna perjuangan.



Namun skrip pentas bukan destinasi terakhir. Ia kemudian memasuki fasa kedua adaptasi: olahan semula oleh sutradara. Di sinilah pementasan Tulang-Tulang Berserakan berkembang menjadi sebuah wacana teater yang hidup. Sutradara tidak hanya membaca skrip tetapi mentafsirkannya sebagai teks persembahan; mencipta struktur visual, ritma dramatik, hubungan ruang serta pengalaman estetik yang ingin disampaikan kepada penonton. Pendekatan realisme sejarah semata-mata tidak dipilih kerana karya ini bukan bertujuan mempamerkan nostalgia masa lalu. Sebaliknya bentuk teater epik dan unsur dekon diperkenalkan untuk memecahkan ilusi keberadaan (illusion of reality) dan menggesa penonton merenung makna sejarah, bukan hanyut di dalamnya. Teknik Brechtian seperti narator, paparan teks, gestus sosial serta penggunaan cahaya ekspresionistik hitam-putih menjadi alat untuk menajamkan kesedaran penonton; sejarah bukan ditonton sebagai dramatik, tetapi dipersoal sebagai pengalaman kolektif. Dalam bingkai itu pelakon tidak hadir sekadar menjadi watak, tetapi berfungsi sebagai pengantara sejarah; menyampaikan pengalaman, bertindak sebagai saksi dan ada ketika keluar dari watak untuk mengulas peristiwa secara kritikal. Set pentas tidak direka untuk meniru zaman kolonial secara literal tetapi mengambil bentuk simbolik melalui penggunaan platform dan prop minimalis yang memberi metafora tentang struktur kuasa, tekanan dan perjalanan fizikal-emosional rakyat dalam perjuangan kemerdekaan. Multimedia pula berfungsi bukan sebagai hiasan tetapi sebagai arkib hidup yang membuka ruang interpretasi baharu, menjalin naratif sejarah dengan memori kontemporari.




Persoalan sama ada apa yang terlihat di atas pentas merupakan hasil kerja sutradara atau hasil kerjasama penulis skrip drama dan penulis novel merupakan perbincangan penting dalam dunia adaptasi teater. Dalam konteks pementasan Tulang-Tulang Berserakan, apa yang terjadi di pentas bukanlah milik tunggal mana-mana individu tetapi hasil pertemuan antara suara asal pengarang, struktur dramatik penulis skrip adaptasi dan visi pementasan sutradara. Novel menyediakan roh, dunia, falsafah dan jiwa perjuangan. Skrip pentas pula berfungsi sebagai jambatan yang mentafsirkan teks sastera kepada bentuk dramatik; memilih adegan, memadatkan naratif, membina dialog dan konflik. Sutradara kemudian melakukan adaptasi kali kedua iaitu menterjemahkan skrip ke bahasa tubuh, ruang, cahaya, tempo, bunyi dan simbol pentas. Dalam proses ini sutradara bukan peniru novel dan penulis skrip bukan sekadar penyalur kandungan teks asal. Setiap lapisan memainkan peranan kreatif yang berbeza. Jika novelis mencipta dunia dan makna manakala penulis skrip membentuk struktur dramatiknya maka sutradara menghidupkan dan mengartikulasikan pengalaman tersebut dalam bentuk yang boleh disaksikan, dirasa dan direnung. Maka apa yang terhasil bukan sekadar kisah Usman Awang atau penulisan adaptasi semata-mata tetapi satu penjelmaan kolektif yang hanya wujud apabila ketiga-tiga lapisan wacana ini bertemu dan saling menyempurnakan. Novel ialah akar, skrip ialah batang dan dahan manakala pementasan adalah bunganya dan bunga hanya mekar melalui interaksi harmoni ketiga-tiganya.

Teater ialah seni kolaboratif. Apa yang penonton lihat di atas pentas merupakan hasil sintesis kolektif antara jiwa novelis, struktur dramatik penulis skrip, imaginasi estetika serta strategi komunikasi sutradara. Namun pada masa yang sam, sutradara bertanggungjawab mengarahkan makna akhir kerana apabila teks dipindahkan ke pentas ia menjadi karya persembahan yang menuntut keputusan visual, ritma emosional, gaya lakonan, pembinaan imej serta bahasa simbolik yang memerlukan tangan penyutradaraan. Maka pementasan bukan peniruan novel tetapi dialog hidup antara teks dan dunia hari ini yang dipandu oleh sutradara yang menghormati asal tetapi berani mentafsirkan semula.




Pementasan Tulang-Tulang Berserakan lahir sebagai sebuah karya yang melampaui fungsi hiburan. Ia bukan sahaja mengangkat kembali novel Usman Awang tetapi juga menyuntik semula roh perjuangan, membina pertanyaan baharu untuk generasi hari ini: apakah makna merdeka dalam konteks moden? Adakah penindasan benar-benar berakhir? Dan siapakah yang terus memikul beban sejarah yang lama berserakan dalam tanah ini? Oleh yang  demikian pentas menjadi medan renungan bukan sekadar ruangan cerita, ingatan sejarah menjadi tubuh yang bergerak bukan teks yang beku dan karya Usman Awang diberikan kehidupan baharu melalui proses adaptasi berganda yang jujur kepada niat asal tetapi berani mencipta tafsiran semasa.

Di persimpangan inilah teater menjadi upacara kesedaran menghidupkan kembali suara-suara yang pernah ditindas dan menuntut agar generasi kini tidak melupakan harga sebuah kebebasan. Tulang-Tulang Berserakan di pentas bukan nostalgia romantik, ia sebuah pergelutan intelektual, emosi, dan moral yang terus menyoal kita: apakah tulang-tulang itu sudah dikumpulkan dan dimuliakan atau ia masih berserakan, menunggu generasi baharu memahami sejarahnya dan menuntut keadilan yang belum selesai?

 



Comments

Popular Posts