Payung Seni Persembahan: Meneroka Sempadan Disiplin, Kolaborasi, dan Persoalan Kelestarian Program Teater dan Muzik di Institusi Pendidikan Tinggi

 


1. Pengenalan

Dalam struktur pentadbiran akademik di kebanyakan institusi pendidikan tinggi, Teater dan Muzik sering ditempatkan di bawah satu payung disiplin yang lebih besar iaitu Seni Persembahan (Performing Arts). Pengelompokan ini mempunyai asas yang munasabah di mana kedua-dua bidang berteraskan penciptaan dan persembahan langsung di hadapan khalayak, memerlukan latihan praktikal yang berterusan dan beroperasi dalam ekosistem industri kreatif yang saling berkaitan. Namun kedudukan bersama di bawah satu payung pentadbiran tidak semestinya bermakna kedua-dua bidang menjadi satu disiplin ilmu yang sama. Teater dan Muzik masing-masing memiliki sejarah perkembangan, bahasa artistik, epistemologi, metodologi latihan, kompetensi profesional dan hala tuju kerjaya yang tersendiri.

Persoalan ini menjadi semakin relevan apabila program-program seni di institusi pendidikan tinggi berhadapan dengan cabaran enrolmen yang kecil. Apabila bilangan pelajar dijadikan ukuran utama kelestarian sesebuah program maka wujud kecenderungan pentadbiran untuk melihat penggabungan disiplin sebagai langkah penyelesaian yang paling mudah dan segera. Artikel ini mengemukakan persoalan asas yang perlu diteliti terlebih dahulu sebelum keputusan sedemikian dibuat: Adakah dua disiplin wajar kedua-dua disiplin ini disatukan semata-mata kerana masing-masing mencatatkan jumlah bilangan pelajar yang kecil? Bagi menjawab persoalan tersebut, artikel ini terlebih dahulu meneliti sifat dan struktur ilmu bagi kedua-dua disiplin secara berasingan sebelum membincangkan ruang pertemuan yang sah antara keduanya, dan seterusnya menghujahkan bahawa isu enrolmen perlu ditangani sebagai masalah permintaan dan bukan sebagai masalah kesahihan disiplin.

2. Teater sebagai Satu Disiplin Ilmu

Teater merupakan seni yang menjadikan manusia, tindakan, ruang, tubuh, suara, teks dan hubungan dengan penonton sebagai unsur asas bahasa penciptaannya. Pendidikan teater tidak terhad kepada latihan berdiri di atas pentas dan berlakon semata-mata sebaliknya merangkumi satu proses intelektual, artistik, dan praktikal yang kompleks meliputi bidang seperti:

       lakonan

       pengarahan

       dramaturgi

       analisis naskhah

       penulisan drama

       sejarah dan teori teater

       vokal dan tubuh

       sinografi

       reka bentuk produksi

       pengurusan produksi

       teknologi persembahan

       teater komuniti

       kajian persembahan

       penciptaan karya baharu

 

Dalam latihan lakonan misalnya, tubuh dan suara pelakon berfungsi sebagai instrumen utama penciptaan makna. Pelajar dilatih memahami bagaimana tindakan, emosi, imaginasi, ruang, tempo, ritma dan hubungan antara watak membentuk pengalaman dramatik. Dalam pengarahan pula, pelajar dilatih membaca dan mentafsir teks, membentuk konsep persembahan, mengurus ruang pentas, membimbing pelakon serta menyatukan pelbagai elemen artistik seperti visual, bunyi, gerak, dan naratif  menjadi satu pengalaman persembahan yang koheren. Justeru teater tidak boleh difahami semata-mata sebagai satu produk persembahan akhir. Teater pada hakikatnya merupakan proses penciptaan makna melalui tindakan manusia dalam ruang dan waktu, satu proses yang menuntut kompetensi khusus yang tidak boleh diperolehi secara sambil lalu melalui pendedahan umum kepada Seni Persembahan.

3. Muzik sebagai Satu Disiplin Ilmu

Muzik pula memiliki sistem pengetahuan dan bahasa artistiknya yang tersendiri. Jika teater membina makna melalui tubuh, tindakan, ruang dan watak maka muzik pula membina makna melalui bunyi, nada, ritma, melodi, harmoni, timbre, struktur dan interpretasi muzikal.

Pendidikan muzik lazimnya merangkumi bidang seperti:

       teori muzik

       latihan aural

       persembahan instrumental

       persembahan vokal

       komposisi

       harmoni

       latihan ensembel

       sejarah muzik

       analisis muzik

       teknologi muzik

       interpretasi karya

       penyelidikan muzik

 

Seorang pemain piano, pemain biola, penyanyi atau komposer memerlukan latihan teknikal yang berterusan dan sangat khusus kerana ia adalah satu bentuk kepakaran yang tidak mampu diperolehi hanya melalui kursus umum Seni Persembahan. Sebagaimana seseorang tidak menjadi pelakon hanya kerana pernah terlibat dalam sebuah produksi teater, seseorang juga tidak menjadi pemuzik hanya kerana memahami teori umum tentang persembahan. Muzik sama seperti teater, memiliki bahasa, teknik dan tradisi latihan profesionalnya yang tersendiri dan kepakaran tersebut terbina melalui proses pendidikan yang khusus dan mendalam.

4. Satu Payung Tidak Bermaksud Satu Disiplin

Kedua-dua disiplin ini berkongsi ruang yang dinamakan "persembahan" tetapi bahasa yang digunakan untuk menghasilkan persembahan tersebut tidak sama. Teater membina maknanya melalui tubuh, suara, watak, tindakan, ruang, teks dan dramaturgi; manakala Muzik membina maknanya melalui bunyi, nada, ritma, melodi, harmoni, timbre dan komposisi. Secara analoginya Seni Persembahan ibarat sebatang pohon manakala Teater dan Muzik merupakan cabang-cabangnya. Kedua-dua cabang tumbuh daripada ekosistem akar yang sama, namun setiap cabang memiliki bentuk, struktur, dan arah perkembangannya yang tersendiri. Konsep Performing Arts, dengan demikian, wajar difahami sebagai satu keluarga disiplin (a family of disciplines), bukan sebagai satu disiplin tunggal yang homogen.


5. Titik Pertemuan: Ruang Kolaborasi Teater dan Muzik

Perbezaan disiplin tidak bermakna kedua-dua bidang perlu berkembang secara terasing sepenuhnya. Sebaliknya Teater dan Muzik memiliki ruang kolaborasi yang luas dan produktif, antaranya melalui:

       teater muzikal

       opera

       persembahan eksperimental

       produksi multimedia

       reka bentuk bunyi

       persembahan digital

       festival seni

       seni komuniti

       produksi antara disiplin

       teknologi persembahan

       pengurusan seni

       keusahawanan kreatif

Sebuah produksi teater memerlukan khidmat komposer, pemuzik, dan pereka bunyi; manakala sebuah persembahan muzik pula boleh mengaplikasikan unsur dramaturgi, pencahayaan, ruang, visual, kostum, dan elemen teatrikal yang lain. Bukan mengatakan semua disiplin sama tetapi dengan menyediakan ruang bagi disiplin yang berbeza untuk bertemu dan mencipta sesuatu yang Baharu, di sinilah sebenarnya kekuatan konsep Seni Persembahan.

6. Kolaborasi Berbanding Penggabungan: Satu Perbezaan yang Kritikal

Bagi tujuan perancangan kurikulum dan pentadbiran akademik, perbezaan antara konsep "kolaborasi" dan "penggabungan" perlu dijelaskan dengan tepat. Dalam model kolaborasi, Teater kekal sebagai Teater dan Muzik kekal sebagai Muzik namun kedua-duanya bertemu dalam projek, produksi, penyelidikan, dan pembelajaran tertentu yang dirancang secara sengaja. Sebaliknya, dalam model penggabungan disiplin yang tidak dirancang dengan teliti, sempadan kompetensi antara kedua-dua bidang menjadi semakin kabur sehingga kedua-duanya berisiko kehilangan kedalaman latihan masing-masing. Kolaborasi, apabila dirancang dengan baik, memperkayakan disiplin. Penggabungan yang tergesa-gesa dan tidak berasaskan pertimbangan pedagogi pula berpotensi mencairkan disiplin. Oleh itu perkongsian sumber tidak semestinya menuntut penyatuan keseluruhan kurikulum. Aspek seperti pentadbiran, kemudahan tertentu, produksi bersama, beberapa kursus asas, projek akhir rentas disiplin, dan hubungan industri boleh dikongsi dan dibangunkan bersama. Namun latihan profesional khusus bagi setiap bidang perlu terus dibuat secara berasingan mengikut keperluan kompetensi masing-masing.

7. Persoalan Enrolmen dan Kelestarian Program

Cabaran sebenar yang dihadapi oleh banyak program seni di institusi pengajian tinggi ialah bilangan pelajar yang semakin kecil. Program berkohort kecil sering dianggap tidak ekonomik apabila ukuran utama kelestarian yang digunakan hanyalah jumlah enrolmen. Andaikan Program Drama dan Teater mencatatkan 10 orang pelajar, dan Program Muzik turut mencatatkan 10 orang pelajar. Apabila kedua-dua program digabungkan menjadi Program Seni Persembahan, jumlah keseluruhan menjadi 20 orang pelajar. Pada tahap statistik, keadaan ini kelihatan seperti satu penyelesaian. Namun secara substantif, jumlah sebenar tetap 10 + 10 = 20. Maksudnya  permintaan terhadap kedua-dua bidang tidak berubah sedikit pun. Persoalan asas yang masih belum terjawab ialah: mengapakah hanya segelintir pelajar memilih Teater atau  Muzik? Penggabungan program mungkin dapat menyelesaikan masalah statistik di peringkat pelaporan pentadbiran tetapi ia belum tentu menyelesaikan masalah permintaan yang menjadi punca sebenar isu enrolmen.

8. Tidak Mengelirukan Masalah Enrolmen dengan Masalah Disiplin Bidang

Sekiranya bilangan pelajar didapati rendah, langkah pertama yang wajar diambil ialah mengenal pasti punca sebenar isu tersebut dan bukannya mengambil jalan pintas menggabungkan disiplin. Antara persoalan yang perlu diteliti oleh pentadbiran akademik termasuklah:

       Adakah program kurang dikenali oleh bakal pelajar?

       Adakah nama program tidak lagi menarik minat generasi baharu?

       Adakah kandungan kurikulum dilihat terlalu tradisional?

       Adakah calon pelajar memahami peluang kerjaya graduan bidang seni?

       Adakah wujud persepsi ibu bapa bahawa bidang seni tidak mempunyai masa depan kerjaya yang jelas?

       Adakah program mempunyai jaringan yang mantap dengan sekolah dan institusi pelapis (feeder institutions)?

       Adakah kandungan program mengambil kira perkembangan industri kreatif, teknologi digital, dan kecerdasan buatan?

       Adakah universiti melaksanakan strategi pemasaran program secara aktif dan bersasar?

 

Kesemua persoalan ini berkait rapat dengan isu positioning dan permintaan terhadap program, bukan dengan kesahihan atau kualiti disiplin ilmu itu sendiri. Menukar dua program berasingan menjadi satu program tidak secara automatik menjawab mana-mana persoalan struktural tersebut.

9. Risiko Menjadikan Bilangan Pelajar Sebagai Satu-satunya Ukuran

Institusi pengajian tinggi sememangnya perlu mengambil kira kelestarian kewangan dan kecekapan penggunaan sumber. Namun begitu adalah tidak wajar menilai setiap disiplin ilmu menggunakan satu formula kuantitatif yang seragam. Sesetengah bidang secara semula jadinya memerlukan saiz kohort yang lebih kecil disebabkan oleh sifat latihannya. Latihan studio, latihan instrumental, lakonan, pengarahan, dan produksi menuntut hubungan pengajaran yang intensif antara pensyarah dan pelajar. Dalam bidang seperti Teater dan Muzik, dua puluh orang pelajar dalam sebuah studio bukanlah setara dengan dua ratus orang pelajar dalam sebuah dewan kuliah kerana pedagoginya berbeza secara asas. Sekiranya semua bidang dinilai semata-mata berdasarkan bilangan pelajar, institusi berisiko mengutamakan program yang mudah memperolehi enrolmen besar sambil secara beransur-ansur mengecilkan bidang ilmu yang bersifat khusus dan intensif. Sedangkan sebuah universiti bukan sekadar institusi yang mengumpulkan pelajar dalam jumlah besar tetapi juga institusi yang berfungsi memelihara, mengembangkan, dan menghasilkan pengetahuan  termasuklah pengetahuan dan kepakaran dalam bidang seni yang memerlukan latihan mendalam dan intensif.

10. Ke Arah Memperkukuhkan Ekosistem Seni Persembahan

Penyelesaian yang lebih progresif ialah dengan memperkukuhkan payung Seni Persembahan tanpa menghapuskan identiti setiap disiplin. Model ini boleh dirumuskan sebagai prinsip "satu payung, identiti berbeza, ekosistem dikongsi." Di bawah ekosistem Seni Persembahan, Teater dan Muzik boleh bekerjasama dalam bidang seperti produksi, teknologi, industri kreatif, komuniti, keusahawanan, penyelidikan, kecerdasan buatan dan media digital. Dalam  masa yang sama Teater terus memperdalamkan kompetensi dalam lakonan, pengarahan, dramaturgi, produksi dan penciptaan persembahan manakala Muzik terus memperdalamkan kompetensi dalam persembahan, teori, komposisi, instrumental, vokal dan penciptaan karya muzik. Pelajar juga boleh diberikan ruang untuk mengambil kursus merentas disiplin seperti pelajar Teater berpeluang mempelajari asas muzik dan pelajar Muzik pula berpeluang mengambil kursus lakonan atau produksi. Ini sekali gus membuka ruang penciptaan karya secara bersama. Inilah makna sebenar pendidikan antara disiplin (interdisciplinary education), bukan menghapuskan sempadan disiplin tetapi membolehkan disiplin yang berbeza saling memperkayakan antara satu sama lain.

11. Mengukur Relevansi Melalui Impak, Bukan Sekadar Angka

Satu lagi perubahan penting yang perlu dipertimbangkan ialah cara institusi pendidikan tinggi mengukur nilai sesebuah program Seni Persembahan. Sekiranya ukuran kejayaan program selama ini ditakrifkan secara sempit sebagai jumlah bilangan pelajar semata-mata maka ukuran tersebut wajar diperluaskan untuk merangkumi pelbagai dimensi relevansi yang lain iaitu enrolmen, kebolehpasaran graduan, produksi, penyelidikan, inovasi, jalinan industri, penglibatan komuniti, visibiliti awam, penjanaan pendapatan, dan impak sosial. Sebuah program Teater mungkin hanya mempunyai 15 orang pelajar major namun sebuah produksinya boleh melibatkan puluhan mahasiswa, bekerjasama dengan pihak industri dan komuniti serta ditonton oleh ribuan khalayak. Begitu juga dengan program Muzik mungkin mempunyai kohort yang kecil tetapi ensembel, konsert, komposisi, penyelidikan dan kolaborasinya berpotensi memberikan impak yang jauh melampaui bilangan pelajar berdaftar. Dengan itu saiz program dan saiz impak merupakan dua perkara yang berbeza dan tidak boleh disamakan begitu sahaja.

12. Kesimpulan

Teater dan Muzik sememangnya merupakan sebahagian daripada keluarga besar Seni Persembahan. Kedua-duanya berkongsi persamaan dan saling memerlukan antara satu sama lain dalam pelbagai bentuk kolaborasi kreatif. Namun begitu, kedua-duanya bukanlah disiplin ilmu yang sama. Masing-masing memiliki bahasa artistik, tradisi keilmuan, pedagogi, metodologi, kompetensi profesional, dan hala tuju kerjaya yang tersendiri. Oleh yang demikian, persoalan tentang masa depan kedua-dua bidang tidak seharusnya difokuskan kepada andaian "pelajarnya sedikit, maka perlu digabungkan." Sebaliknya persoalan yang lebih tepat dan produktif untuk diajukan ialah: bagaimanakah ekosistem Seni Persembahan dapat diperkukuhkan sambil mengekalkan kedalaman Teater dan Muzik sebagai dua disiplin ilmu yang berasingan? Kerjasama antara kedua-dua bidang perlu terus diperluaskan, sumber boleh dirasionalisasikan secara bijaksana, kurikulum boleh dimodenkan mengikut keperluan semasa, teknologi boleh diintegrasikan secara strategik, produksi bersama boleh diperbanyakkan dan strategi pengambilan pelajar perlu sentiasa diperbaharui. Namun identiti keilmuan setiap disiplin tidak sewajarnya dikorbankan semata-mata untuk menjadikan angka statistik kelihatan lebih besar pada kertas. Kesimpulannya Teater dan Muzik tidak perlu disatukan untuk menjadi kukuh secara bersama. Kedua-duanya boleh terus berdiri di bawah satu payung ekosistem yang sama, bergerak melalui hala tuju keilmuan yang berbeza dan bertemu pada titik-titik tertentu apabila seni memerlukan mereka untuk mencipta pengalaman manusia yang lebih besar dan lebih bermakna.

 

Satu Payung. Dua Disiplin. Berbeza Hala Tuju. Saling Melengkapi.

Comments

Popular Posts