Pengajian Seni Teater Pencetus Pembangunan Teater Berkualiti di Sabah

Pengajian Seni Teater Pencetus Pembangunan Teater Berkualiti di Sabah

        Pendidikan seni teater secara formal bukanlah sesuatu yang asing di kebanyakan sekolah baik rendah mahupun menengah, kolej dan universiti di Barat. Boleh dikatakan hampir setiap sekolah, kolej dan universiti di Barat ada menawarkan Sijil, Diploma, Ijazah dan Sarjana dan Doktor Falsafah di dalam pengajian seni teater. Tidak hairanlah jika kita dapati seni teater di sana mampu menjadi sebahagian dari budaya kehidupan masyarakat Barat melewati lingkungan umur dari peringkat kanak-kanak sehinggalah ke peringkat dewasa. Teater itu sendiri adalah kehidupan dan manusia. Teater merangkumi rentetan peristiwa, konflik dan hubungan sesama manusia. Teater adalah lambang ketamadunan negara dan bangsa. Oleh sebab itulah kita dapati  hampir di setiap negara maju di dunia ini mempunyai pergerakan dan kegiatan teaternya sendiri.

        Namun keadaannya berbeza dengan di Malaysia, bidang ini dianggap lekeh oleh sesetengah pihak dan dikatakan masih belum mampu menembusi pasaran pendidikan nasional. Adalah mustahil untuk mengatakan bidang ini asing kerana masyarakat kita telah didedahkan kepada dunia teater sejak beratus tahun seperti teater tradisional seperti Jikey, randai, menorah, teater transisi Bangsawan, Sandiwara, purbawara dan teater moden. Kehidupan manusia yang ketika itu sangat kuat dipengaruhi oleh alam sekeliling dikatakan menjadi penentu kepada perjalanan dan pengurusan kehidupan seharian dan elemen teater telah dijadikan sebagai wadah untuk membantu menyempurnakan kehidupan seharian. Selain daripada itu, teater juga pernah menjadi alat yang sangat berkesan untuk menyampaikan mesej baik berupa pesanan, didaktik mahupun propaganda seperti yang berlaku di zaman Jepun dan sejurus selepas merdeka.

Namun begitu, mengapa seni teater tidak diberikan kedudukan yang sewajarnya seperti lain-lain seni? Kegagalan pemimpin dan masyarakat Malaysia untuk melihat kepentingan dan peranan yang dimainkan oleh teater berpunca dari  sikap mereka sendiri yang terlalu melihat kepada aspek kebendaan (materialistik) dan keuntungan segera semata-mata. Pelbagai alasan diberikan untuk menolak dan menidakkan hak seni teater. Terdapat masyarakat termasuklah segelintir ahli akademik (amat memeranjatkan) menganggap bidang teater hanya suatu bidang seni hiburan tidak komersil sepertimana lain-lain bidang seni khasnya muzik. Apakah mereka kurang peka atau sengaja buat-buat tidak nampak bahawa terdapat beberapa buah negara luar yang berjaya menjadikan teater sebagai salah satu sumber pembangunan ekonomi negara seperti di London (West End), New York (Broadway) dan Tokyo (Kabuki).
         

Alasan lain yang diberikan bahawa penghasilan produksi teater sangat besar belanjanya. Adakah ini juga benar? Ya, mungkin juga benar sebab mereka hanya merujuk kepada beberapa buah produksi yang bersifat mega seperti pementasan-pementasan di Istana Budaya. Namun bagi mereka yang bijak, sebenarnya untuk menghasilkan sebuah produksi teater bergantung kepada kreativiti manusia dan teater itu juga sebenarnya fleksibel sifatnya. Teater itu adalah cerminan kehidupan! Pelbagai bentuk teater boleh dibuat tanpa memerlukan perbelanjaan atau kos yang besar seperti teater jalanan, teater lobi, teater khemah dan teater bergerak.

         Ada juga yang beranggapan mempelajari teater itu tidak akan membantu seseorang individu di masa akan datang. Soalan yang biasa diajukan ialah ke mana hala tuju dan masa depan graduan berkelulusan teater? Di manakah pasarannya? Pandangan ini jelas sempit dan bersifat tidak adil kerana ia merujuk kepada sudut perolehan peluang pekerjaan yang baik serta keuntungan yang besar dalam masa yang singkat semata-mata. Dari sudut manakah teater dikatakan mempunyai prospek yang terhad, adalah suatu persoalan yang melucukan. Persoalan-persoalan ini wujud kerana mereka melihat teater hanya sebagai lakonan persembahan sahaja, tidak lebih dari itu. Pernah suatu ketika heboh di akhbar mengenai isu graduan seni hanya layak untuk memegang tombak sahaja. Sejauh manakah kenyataan ini benar dan sekiranya benar apakah puncanya? Penggiat dan graduan seni tidak seharusnya melenting dengan kebenaran fakta ini. Persoalan samada graduan seni dan sijilnya itu berkualiti atau tidak seharusnya menjadi isu lagi kerana jelas tenaga pengajar seni khususnya di bidang teater di Malaysia mempunyai kelulusan daripada pusat pengajian yang hebat dan diiktiraf dunia. Ini berbalik kepada soal pendidikan dan budaya. Budaya masyarakat Malaysia yang menghargai dan menilai kemampuan seni teater itu masih berada di tahap yang rendah. Masyarakat kita lebih menjiwai seni muzik berbanding lain-lain seni yang ada. Muzik dilihat sebagai sebuah seni yang elit. Seni pentas teater hanya dilihat sebagai seni kelas ketiga. Mengapa ini terjadi? Terlalu banyak faktornya. Antaranya ialah seni muzik yang telah lama mempunyai asasnya tersendiri. Muzik dilihat sebagai salah satu cara untuk `mencari makan’ atau perniagaan. Ramai yang telah menjadi kaya dan terkenal melalui muzik. Wujudnya banyak sekolah muzik umpama cendawan tumbuh selepas hujan di mana-mana pelusuk negeri menjadi faktor penggalak yang utama dan mendapat sambutan setiap golongan lapisan masyarakat khususnya masyarakat bandar. Seni muzik sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan, di mana-mana sahaja kita disogokkan dengan muzik; di kaca televisyen, di corong radio, hinggakan tanpa muzik, manusia akan merasa kesunyian dan kesepian. Muzik hidup kerana irama, tempo, rentak, liriknya telah menjadi halwa telinga yang cukup menghiburkan.
           Berbalik kepada teater, mengapa ia tidak mampu mencapai tahap kemasyhuran seperti seni muzik? Mengapa hal sedemikian boleh terjadi? Semuanya berpunca daripada sistem pendidikan teater kita yang terlalu bersifat lahiriah dan tidak langsung atau sekadar sepintas lalu sahaja menumpukan kepada aspek pembangunan rohani, teknikal, pensejarahan teater, psikologi dan sosiologi teater dan kreativiti pengurusan. Perkara ini pernah dikeluhkan oleh Sasterawan Negara Dato Syed Alwi di dalam temubual dengan majalah Pentas (2007). Kebanyakan institusi pengajian yang menawarkan kursus atau program teater tidak bersifat inovatif, masih berada di takuk lama, era lama. Kebanyakannya memfokuskan lebih kepada aspek bagaimana untuk menjadi seorang pelakon, tatacara menghasilkan sebuah produksi atau tatacara melihat dan mengkritik sebuah produksi dari sudut estetikanya semata. Akibatnya lahirlah kumpulan penggiat teater yang kurang masak atau separuh masak. Masyarakat melihat mempelajari lakonan dan seni teater sebagai satu perkara yang remeh dan tidak memberikan apa-apa kebaikan kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara. Masyarakat melihat seni berteater itu mudah. Sesiapa sahaja boleh buat teater dan berlakon. Dari sudut ekstrinsiknya memang benar tetapi berbicara dari sudut intrinsiknya pula, kualiti, dan impak sosialnya bagaimana? Melihat sudut lakonan pelakon Malaysia di kaca televisyen dan panggung wayang umpamanya seperti melihat patung kayu yang digerak-gerakkan, tiada emosi dan jiwa. Kebanyakan pelakon yang ada di Malaysia ini tidak mendalami ilmu lakonan mereka malah berpuas hati dengan setakat apa yang mereka ada sahaja.
           Semua pendekatan pengajaran atau pengajian teater yang diaplikasikan di kebanyakan institusi pengajian selama ini kebanyakannya berpaksikan dari ilmu Barat yang menekankan aspek lahiriah dan materialistik semata-mata tanpa mengambilkira faktor persekitaran dan keperluan nasional. Penawaran kursus lakonan umpamanya tanpa menitik beratkan kepada peranan serta hubungkait diri seseorang itu dengan jiwa, agama dan pembangunan sahsiah kemanusiaan menjadikan pendidikan teater menjadi kosong dan jumud. Seni teater sebenarnya cukup lengkap dalam ertikata mencari dan mengenal diri dan Penciptanya. Pengenalan istilah `Teater Memanusiakan Manusia’ adalah sangat tepat sekali. Melalui berteater kita belajar tentang hubungan diri, hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam. Pengamalan sesi olahan tubuh umpamanya, mampu melatih seseorang insan itu mengenal tubuhnya sendiri dengan lebih dekat dan sekaligus menjadikannya seorang manusia yang insaf dan tawadduk kepada kuasa yang lebih agung yang menjadikan dirinya sedemikian rupa. Melalui olahan tubuh juga boleh melatih manusia untuk bersyukur dengan apa yang mereka miliki. Dalam pengurusan teater pula, seni teater dapat melatih seseorang itu untuk menerima dan memberi arahan, mewujudkan sikap toleransi dan bekerjasama serta meningkatkan daya kreativiti.  Pelakon yang baik  tidak kira dalam seni teater atau filem adalah mereka yang sanggup dan tidak jemu-jemu untuk mendalami ilmu lakonan mereka. Ilmu di dunia ini umpama buih di lautan, yang tidak akan pernah habis. Pelakon yang baik itu perlu mendalami bukan sahaja ilmu lakonan malahan juga perlu mendalami ilmu di luar daripada bidang lakonan tetapi masih dalam ruang lingkup teater seperti gerakgeri, seni muzik dan seni suara agar pelakon itu dapat mengekploitasikan seluruh anugerah yang ada pada tubuhnya seperti menari, menyanyi dan bermain alat muzik. Penggiat atau pelajar teater juga wajib mempelajari ilmu psikologi, sosiologi dan antropologi masyarakat. Ini kerana seorang pengarah teater sebelum dia boleh mengarah sebuah drama, ia perlu memahami budaya, sastera dan sejarah berkaitan cerita yang dibawa, memahami psikologi watak dan pelakon dan lain-lain. Seni teater menyediakan pengamalnya dengan ilmu dan  membantunya melihat dunia dan kehidupan sesama manusia dari sudut yang lebih luas. Ini sekaligus mampu menjadikan pengamal teater sebagai manusia yang terbaik di kalangan manusia!
            Pandangan mempelajari seni teater tidak memberikan sebarang manfaat menunjukkan betapa ceteknya pemikiran sekelompok manusia dalam melihat dunia teater. Teater memainkan peranan jauh lebih daripada itu. Teater sejak dahulu hingga kini menjadi wadah pembangunan sosial malah ia telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai medium perubahan sosial masyarakat dan manusia amnya. Di Rio de Janeiro, seni teater yang dikenali sebagai Forum Theatre telah dijadikan sebagai alat untuk membantu kerajaan dalam menggubal dasar dalam perlembagaan dan undang-undang. Teater menjadi saluran untuk rakyat menyuarakan pandangan dan teguran secara aman, selamat dan terkawal terhadap pemerintah. Di Eropah, teater dijadikan sebagai alat luahan perasaan dalam membantu pesakit yang mengalami masalah tekanan perasaan seperti pendekatan psikodrama, sosiodrama, Playback theatre dan lain-lain.
Apapun kesalahan tidak boleh dibebankan sepenuhnya kepada golongan yang dengkel pemikiran ini kerana mereka bercakap berdasarkan pengalaman seharian dan kecetekan ilmunya dalam seni itu sendiri. Faktor lain juga berpunca daripada pihak ilmuan sendiri yang tidak sensitif dan peka dalam mengajar bidang teater secara sambil lewa. Skop pengajarannya hanya lebih kepada bagaimana menyediakan pementasan teater sahaja. Pengajaran bidang lakonan contohnya, tidak dijalankan secara serius berbeza seperti yang dilaksanakan di Barat di mana pengajaran lakonan sahaja mempunyai banyak peringkat yang terdiri daripada beginner, intermediate dan advance acting.
                 Perkembangan teater di Sabah bukanlah suatu yang baru di dalam arena seni teater tanahair. Apabila kita menyebut tentang teater Sabah, akan terpapar di fikiran kita kepada gabungan seni persembahan pelbagai budaya suku-suku kaum di Sabah yang unik dan menarik. Corak serta konsep persembahan lakonan yang abstrak, penuh imaginasi dan improvisasi seolah-olah tidak dapat dipisahkan dari dunia teater Sabah. Sememangnya teater Sabah penuh dengan `elemen of suprises’. Ini terbukti di era 70an hingga akhir 90an, dalam setiap siri pertandingan Pekan Teater Kebangsaan atau Festival Teater, kumpulan teater dari Sabah pastinya akan menonjolkan sesuatu kelainan yang sememangnya memukau perhatian khalayak yang datang menonton. Teater Sabah mempunyai prospek yang sangat cerah dan kejayaan itu adalah kerana ketika itu Sabah mempunyai ramai penggiat teater yang bersemangat tinggi serta berbakat besar dan terdiri dari kalangan mereka mempunyai asas serta ilmu teater yang mantap hasil cedokan ilmu yang baik khususnya para lepasan USM.

        Namun semangat dan kebanggaan tersebut semakin pudar apabila kelompok aktivis tersebut tidak dilapisi oleh golongan pewaris yang mantap dan berilmu. Memang ada sedikit kebenarannya mengenai pendapat mengatakan teater di Sabah mundur akibat dari pengurangan dana bantuan yang selama ini agak mewah diperolehi oleh badan-badan teater di Sabah.  Namun itu hanya sebagai faktor luaran sahaja. Faktor utama yang mendorong kepada kemelesetan kualiti seni pementasan teater di Sabah adalah disebabkan oleh kedengkelan ilmu teater itu sendiri di kalangan penggiat-penggiat baru turut harus diambilkira. Kebanyakan penggiat teater yang baru di Sabah tidak memiliki ilmu teater yang secukupnya. Kebanyakan penggiat teater mewarisi bakat teater melalui pengalaman yang sememangnya tidak lengkap tanpa disertai dengan pengajian teater secara formal. Samalah seperti mahu belajar agama, ia tidak akan lengkap dan sempurna jika hanya belajar melalui pengalaman dan pengamatan semata-mata tanpa disertai oleh seorang guru bertauliah yang memberikan tunjukajar dan teguran. Semangat yang tinggi serta bakat yang besar jika tidak disertai dengan asas ilmu teater yang kuat tidak akan memberikan sebarang impak yang besar. Teater Sabah akan selamanya terus berada di takuk yang lama.
          Ketandusan penggalian ilmu teater di kalangan penggiat-penggiat teater di Sabah bukan kerana keengganan penggiatnya untuk mempelajarinya tetapi disebabkan oleh ketiadaan kemudahan untuk mendapatkannya. Kalau nak dibandingkan dengan di Semenanjung, berapa banyakkah pusat pengajian yang ada menawarkan kursus pengajian teater secara lengkap? Penubuhan ASWARA, penawaran kursus-kursus teater di pusat-pusat pengajian tinggi tempatan seperti UMS, USM, UITM dan UM walaupun tidak secara khusus ia dilihat mampu membantu meringankan masalah ini. Namun berapa ramai rakyat Sabah terutama penggiat teater Sabah yang mampu untuk menimba ilmu teater di institusi pengajian yang dimaksudkan? Kemiskinan dan kos pembiayaan yang terlalu tinggi menjadi faktor penghalang utama. Di sinilah peri pentingnya ada suatu pusat pendidikan teater yang munasabah yang dapat mengatasi masalah tersebut di negeri Sabah jika mahu melihat masalah ini tidak berterusan. Penawaran kursus sijil, diploma dan ijazah pertama pengajian teater perlu diwujudkan di Sabah kerana ia dilihat sebagai antara alternatif yang perlu dan bijak. Belum ada lagi sebuah pusat atau badan tertentu yang benar-benar menawarkan kursus teater secara intensif di Sabah termasuklah di Sekolah Pengajian Seni UMS. Sabah adalah sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian etnik dan budaya. Pastinya ia bakal melahirkan sebuah kumpulan masyarakat yang unik mdari segi kehidupan dan cara hidup. Peluang ini seharusnya diambil oleh UMS kerana kekayaan sumber budaya di Sabah perlu dieksploitasi dan sekaligus menjadikan UMS sebagai pusat kepada kegiatan teater intelektual yang bermutu di rantau Borneo. Dengan adanya kursus pengajian teater di Sabah akan memberikan nafas baru kepada industri teater di Sabah sekaligus melahirkan tokoh-tokoh teater tempatan yang berkaliber dan bukannya sekadar tong-tong kosong yang hanya kuat berbunyi tetapi tiada hasil. Pengujudan kursus pengajian teater di Sabah dijangka mampu menarik minat ramai penggiat dan peminat teater dari Sabah khususnya kerana peluang ini sememangnya telah lama dinanti-nantikan oleh mereka.
             Seperti yang telah dijelaskan diawalnya, bidang pengajian teater sedia ada perlu dirombak agar ia mampu memberikan pulangan rohani yang baik bukan sahaja kepada pihak pelaksana malahan juga kepada masyarakat dan negara amnya. Penyediaan kursus-kursus teater perlu diteliti agar ia mampu memenuhi pasaran dan kepentingan negara. Penawaran kursus lakon, pengarahan, teknikal, dan pengurusan seni perlu disertai dengan ilmu pembangunan sahsiah dan rohani. Kerakusan mengejar material dan wang ringgit oleh sesetengah penganjur menjadikan teater sebagai alat untuk mengumpul harta menjadikan teater seperti sampah dan dipandang sebagai seni yang membazir dan tidak berfaedah. Ambil contoh di Barat semua penawaran kursus teater akan disertai dengan aspek pengajian sejarahnya, peranannya  kepada individu dan negara serta  sumbangannya kepada pembangunan dan kesihatan manusia amnya. Pengajian teater dilihat mampu melahirkan insan yang memenuhi dasar Falsafah Pendidikan Negara iaitu insan yang seimbang dari sudut jasmani, emosi, rohani dan intelek.
         Sudut materialnya pengkorporatan IPT memerlukan pihak pengurusan mendapatkan dana melalui pelbagai alternatif antaranya melalui yuran pengajian pelajar. Penawaran kursus teater yang lengkap mampu menarik minat masyarakat tempatan dan sekaligus bakal menyediakan sumber dana yang besar. Penawaran kursus pengajian produksi teater secara keseluruhannya tidak memerlukan kos yang terlalu besar sepertimana lain-lain kursus kerana pengajian teater lebih banyak menumpukan kepada pengeksploitasian tubuh manusia yang telah tersedia hasil anugerah Ilahi, hanya dari aspek penyediaan panggung sahaja yang memerlukan kos tertent, itupun lebih bersifat one-off sahaja. Pengajian teater dari sudut jangka panjangnya lebih banyak memberikan manfaat serta akan memberikan pulangan modal yang besar di masa akan datang.
              Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengambil langkah yang bijak apabila menawarkan pengkhususan dalam bidang lakonan dan pengarahan pada Mei 2000. Usaha yang dijalankan oleh pihak USM ini merupakan satu langkah yang positif serta bijak dalam menyediakan tenaga-tenaga intelektual di dalam bidang seni terutamanya seni teater bagi menuju alaf baru. Dan usaha ini seharusnya menjadi contoh dan iktibar kepada lain-lain IPTA yang ada menawarkan pengajian teater. Khasnya UMS kerana di Sabah segalanya telah tersedia, yang perlu sekarang hanyalah tindakan dan perlaksanaan. Semoga dengan wujudnya sebuah pusat pengajian seni teater di Sabah akan dapat mengembalikan zaman keagungan teater yang berilmu dan berkualiti seperti pandangan yang diutarakan oleh Dato Syed Alwi dalam temubualnya dengan majalah Pentas (Mac/April 2007) bahawa sekiranya masyarakat sedar dan mengerti akan peranan dan tujuan seni teater yang sebenarnya, sudah pasti mereka tidak akan teragak-agak untuk menubuhkan jabatan teater yang lengkap, malah akan melaksanakannya dengan cepat supaya Malaysia boleh membangunkankan teater yang mampu memberikan identiti dan daulat dalam seni budaya dunia.

Comments

pada dapatan secara umun, saya mengatakan bahawa teater di Malaysia masih kebelakang oleh sebab pemikiran masyarakat ramai yang masih terikat dengan hukum diri sendiri dan terus mengatakan TEATER TAK ADA MASA DEPAN dan BUANG MASA.dari segi agama tidak melarang kita bermain teater asalkan kita tahu batasnya.Sifat orang kita yang suka mengkritik sesebuah persembahan teater tetapi tidak pernah tampil untuk menyumbangkan idea seperti "berbisik dalam selimut".

Popular Posts