Elemen penting yang perlu diketahui oleh pengarah persembahan resital

Aspek teknikal melibatkan spectacle atau pemandangan. Hari ini istilah tersebut merangkumi segala perlakuan yang dikenakan kepada pentas dan penonton seperti set, kostum, rias, pencahayaan dan lain-lain yang disebut sebagai scenography. Untuk memudahkan pemahaman, pengertian sinografi di golongkan ke dalam dua golongan yang saling bertimbal balik iaitu sinografi yang dikenakan kepada pelakon dan sinografi yang dibina di atas pentas.

Sinografi yang dikenakan kepada pelakon melibatkan ciptaan kostum, rias, prop tangan dan pencahayaan. Ketiga-tiganya diusahakan oleh ketua bahagian yang berlainan iaitu pereka kostum akan mereka kostum untuk para pelakon, ketua rias akan memberikan penekanan kepada rias para pelakonnya sementara pencahayaan akan dilakukan oleh penata lampu. Sementara dalam bahagian sinografi yang dibina di atas pentas melibatkan kerja-kerja pembinaan dan pertukangan yang dilakukan oleh pekerja-pekerja mahir. Ia termasuklah set dan rekabentuk pentas, peralatan pentas dan pencahayaan.

Walaupun pencahayaan disebut di dalam dua bahagian tetapi kedua-dua hal tersebut bukanlah bersifat berasingan. Sebaliknya pencahayaan dan sinografi pada pelakon dan pada pentas adalah sama. Kerjasama antara setiap bahagian teknikal penting kerana penentuan akan dibuat kepada warna yang digunakan dan juga bentuk-bentuk yang sesuai antara satu sama lain. Misalnya kalau kostum yang diciptakan menggambarkan suatu suasana yang menggerunkan maka set yang direka juga mempunyai rekabentuk ke arah tersebut. janganlah kalau gambaran di sebuah rumah lama dan using, pelakon-pelakon semuanya berpakaian baru yang berwarna-warni dan baru dijahit. Ertinya ketepatan pada segala aspek yang melibatkan rekabentuk sinografi adalah penting.

Segala rekacipta para pengarah teknik hendaklah sesuai dengan mood lakonan. selain daripada menyediakan suatu suasana kreatif para pelakonnya, segala peralatan yang diletakkan di atas pentas, pada pelakon dan yang digunakan oleh pelakon hendaklah membantu bagi memudahkan pergerakan para pelakon. Kalau tujuan kita adalah untuk menunjukkan kemampuan dan kebolehan dalam rekacipta sinografi sedangkan rekacipta kita itu boleh mengganggu pergerakan pelakon dan ada pula yang tidak berkaitan langsung dengan lakonan maka ciptaan kita itu adalah sia-sia sahaja.

Oleh kerana keadaan kewangan yang sempit (biasanya dialami oleh kebanyakn kumpulan bersifat amatur) maka tendensi mereka untuk membina sesuatu rekacipta untuk persembahan mereka adalah tipis. Mereka lebih gemar menggunakan peralatan yang telah sedia ada seperti tangga, bongkah dan sebagainya. Semua benda ini boleh dipinjam atau disewa dengan harga yang murah sahaja. Walaupun demikian, daya cipta dari segi penyesuaian dan pemikiran tentang penyusunan (tokok tambah) adalah penting. Tanpa memikirkan tentang lokasi objek dan sebagainya mungkin peralatan tersebut akan menjadi faktor penghalang dan kesannya boleh merosakkan keseluruhan persembahan tersebut.
Satu lagi aspek sinografi yang tidak kurang pentingnya adalah pencahayaan atau disebut juga teknik lampu. Pada dasarnya kumpulan-kumpulan teater yang tumbuh di luar Bandar tidak ada kemudahan lampu yang sempurna. Yang paling mudah ialah menggunakan pencahayaan yang digunakan pada peringkat yang paling minimu sekali. Bagi yang mampu sedikit dapatlah menggunakan dua atau tiga lampu spot. Ertinya, fdari beberapa fungsi pencahayaan, kumpulan-kumpulan tersebut hanya mampu menyempurnakan fungsi dasarnya sahaja iaitu untuk menerangkan pelakon agar dapat dilihat oleh penontonnya. Tetapi diharapkan janganlah kerana kekurangan yang disebutkan itu akan melemahkan para pekerja taeter untuk terus bergiat dalam pementasan drama pentas. Tanamkan dalam ingatan kita bahawa kalau kita juga mempunyai kemudahan seperti kumpulan-kumpulan yang bernasib baik dengan teknik lampu yang canggih, kita juga boleh buat sama seperti mereka itu. Apa yang penting adalah semangat untuk terus berteater sentiasa ditanamkan di benak kita.

Sesuatu rekacipta untuk sinografi hendaklah bersesuaian dengan sesebuah bentuk pentas yang akan digunakan untuk pementasan. Tidak ada satu rekacipta yang dapat disesuaikan seratus peratus bagi kesemua bentuk pentas. Rekacipta untuk pentas proscenium misalnya tidak dapat digunakan untuk pentas arena. Begitulah juga dengan bentuk-bentuk pentas yang lain. Kalau pada pentas proscenium kita boleh letakkan atau bina set-set yang banyak (heavy-setting) seperti membina tembok dan sebagainya, tetapi perkara tersebut tidak boleh dilakukan untuk sebuah pentas arena. Pentas arena yang terletak di tengah-tengah penonton (penonton berada pada empat bahagian iaitu depan, belakang, kiri dan kanan pentas) memerlukan sebuah rekacipta yang berbeza.kita tidak boleh membina tembok tinggi atau meletakkan peralatan pentas yang boleh melindung pelakon dari pandangan penonton. Ertinya gubahan rekabentuknya adalah sederhana tetapi memberikan fungsi yang sewajarnya, kerana peralatan yang berlebihan akan melindungi segala aksi yang hendak digambarkan kepada penonton. Oleh itu kita haruslah meletakkan peralatan yang rendah, ringkas dan represent pada apa yang disampaikan.

Segala rekacipta oleh masing-masing pengarah bahagian teknik hendaklah terlebih dahulu dipersetujui oleh sutradara drama tersebut. walaupun kita berupaya melakukan apa sahaja untuk tujuan sinografi namun suara mutlah adalah dari sutradaranya sendiri. Oleh itu sebelum pembinaan dibuat, lukisan rekabentuk hendaklah ditunjukkan dan disahkan oleh sutradara.

Lukisan pelan pentas dan perspektifnya dengan kedudukan set dan sebagainya amat berguna kepada sutradara. Bila sutradara melihat pelan pentas akan ternampak dua perkara iaitu;
i) Tentang penyebaran para pelakon di sekitar pentas iaitu untuk tujuan blocking.
ii) Tentang keadaan susunan para pelakon bila pelakon-pelakonnya bergerak di atas pentas.

Dari segi estetika, set menyumbangkan bahagian yang besar dalam sesuatu persembahan teater. banyak perkara yang dapat ditimbulkan dengan adanya set. Walaupun dalam drama yang tidak memerlukan set seperti dalam anti-setting drama atau theatre minus theatre, set berbentuk blok-blok atau kotak-kotak masih digunakan untuk tujuan leveling.

Dengan kehadiran set, kita melihat bagaimana para pelakon memanipulasikan serta menggunakan alatan yang ada di atas pentas dengan sempurna. Untuk itu, set yang dibina mestilah yang akan memberikan makna kepada persembahan bukan sekadar diletakkan tanpa apa-apa fungsi tertentu dalam satu-satu masa drama tersebut. set juga bertugas untuk melahirkan idea dan konsep penulis atau sutradara secara visual. Ia menyediakan keadaan untuk pembinaan suasana kreatif pelakon-pelakonnya. Di bawah ini diperincikan lagi fungsi set untuk pemahaman yang lebih mendalam.

1.Menyediakan tempat untuk sesuatu perkara yang berlaku. Lokasi atau tempat cerita berlaku digambarkan melalui set seperti keadaan dalam rumah, ruang tamu, pejabat, kaeasan luar rumah dan sebagainya. Pemandangan secara visual itu diperkukuhkan lagi dengan dialog dari para pelakon yang dengan dengan sendirinya mengekalkan kepercayaan penonton terhadap apa yang terjadi di atas pentas sebagai gambaran suatu kehidupan yang benar.

2. Menolong para wataknya menyatakan tentang statusnya dalam masyarakat yang digambarkan. Melalui pemandangan (spectacle), penonton akan mengetahui kedudukan dan sosioekonomi watak itu sama ada kaya, miskin atau gambaran tentang hidup.

3. Menunjukkan masa yang tepat bagi perlakuan drama itu. Melaluinya penonton dapat mengagak masa dan zaman peristiwa itu berlaku sama ada pada kurun ke-18, 19 atau kurun ke-20.

4. Memberi suasana drama sama ada tragedi, komedi, melodrama atau menggambarkan stail-stail tertentu yang dibawa oleh drama itu.

5. Memperteguhkan jalinan tema, kerana dari pemandangan keseluruhannya tema drama dapat diperjelaskan.

6. Memberikan perspektif dengan menunjukkan gubahan tiga dimensi atau menunjukkan keluasan (width) dan kedalaman (depth) kawasan lakonan.

Perhiasan pentas hendaklah bersesuaian dengan keadaan drama yang dipentaskan. Janganlah terlalu ghairah untuk memperlihatkan kemampuan menghias pentas sehingga mencalarkan tujuan drama yang sebenarnya di mana perhiasan itu lebih berupa timbunan-timbunan setting yang tidak berfungsi.

Pemilihan warna yang betul pada setting adalah perlu. Kita janganlah melahirkan warna-warna yang antara dua tona pilihan kita itu amat jauh bezanya melainkan untuk memberikan penekanan kepada sesuatu yang mahu dilahirkan. Biasanya dalam teater orang bercakap mengenai harmoni iaitu satu perkara adalah bersesuaian dengan yang lain hingga melahirkan satu kesatuan yang jitu. Dari itu, warna yang dilahirkan juga tidak dapat dipisahkan antara satu dengan yang lain. Apa yang dimaksudkan di sini adalah intensiti warna yang dipilih hendaklah mendatangkan harmoni yang unik.

Pengetahuan tentang warna pada peringkat yang paling dasar sekali adalah perlu. Misalnya, seseorang itu harus mengetahui perbezaan antara warna garang dengan warna lembut. Sebagai keperluan dasar, diterangkan di sini warna-warna yang dimaksudkan itu iaitu warna merah, merah tua dan jingga adalah warna garang atau disebut juga sebagai warna panas (warm color), sementara warna-warna biru, biru muda, biru tua, hijau, hijau muda dan hijau tua adalah warna lembut yang juga disebut sebagai warna sejuk (cool color). Dengan pemilihan warna yang betul itu akan melahirkan perasaan yang betul pada keseluruhan drama kita kelak. Melalui pemilihan warna yang betul dan sesuai yang kelak dipadankan dengan warna-warna kostum akan menimbulkan harmoni yang dimaksudkan. Kalau pemilihan tidak teliti maka ditakuti kostum akan tenggelam dalam warna setting dan kemudiannya baru kita menyesali perkara itu kerana tenaga yang begitu banyak dicurahkan menjadi abu sahaja. Warna setting dengan warna kostum hendaklah suatu warna yang kontra tetapi tidaklah terlalu kontra sehingga menyakitkan mata yang memandang.

Semoga ilmu peringkat 1 ini berguna untuk pembaca. yang tak faham, boleh bertanya.sila...sila

Comments

Popular Posts