Resital Ohhhh Resital

Pada 3hb Feb telah berlangsung resital pelajar SENI yang dinilai jam kreditnya. Aku datang dengan semangat baru untuk melihat sesuatu yang baru. Tapi apa yang berlaku, corak persembahan yang dipaparkan untuk setengah jam pertama sahaja sudah memualkan. Pengurusan persembahan juga masih di takuk lama, tiada sebarang perubahan apatah lagi peningkatan. Hanya tema sahaja yang ditetapkan. Corak penyampaian masih lemah, lebih teruk dari sekolah rendah! Malu betul kalau orang seni di luar khususnya dari KL tengok persembahan pelajar SENI begini. Di ASWARA dan Universiti Sains Malaysia contohnya, penilaian persembahan dibuat secara serius dengan pelajar diminta mempersiapkan hasil dengan sesempurna mungkin. Ini kerana `nyawa’ dan kredibiliti tenaga pengajar menjadi cagarannya. Lemah kumpulan itu akan menyebabkan kredibiliti pengajarnya turut terjejas. Tetapi keadaan yang berbeza di SENI UMS ini. Tenaga pengajarnya tidak langsung endah dengan soal kredibiliti ini. Di biar sahaja pelajar membuat tanpa sebarang tunjuk ajar yang sewajarnya. Hasilnya, lahirlah persembahan seperti budak sekolah tadika pun ada.

Siapa berani lawan pensyarah? Kalau mahu dipotong markah, cubalah. Aku tidak suruh pelajar melawan pensyarah kerana anak murid yang melawan pensyarahnya tidak akan berkat ilmu yang dipelajarinya. Sebaliknya tegurlah sesama kita secara bijaksana apabila melihat sesuatu kepincangan. Kita semua manusia dan manusia sentiasa melakukan kesalahan. Malah sikap tegur menegur amat digalakkan dalam agama Islam kerana di dalam surah Al Asri ada dinyatakan bahawa; “… berpesan-pesan kepada kebaikan…”. Begitu juga dalam sabda nabi s.a.w yang bermaksud; “apabila kita melihat sesuatu kemungkaran berlaku, tegurlah dengan tanganmu, jika tidak berkemampuan, tegurlah dengan lidahmu, jika tidak berkemampuan juga maka tegurlah dengan hatimu. Maka ia adalah selemah-lemah iman.” Berpandukan pada firman Allah dan sabda rasulullah ini jelas menunjukkan bahawa kita perlu saling menegur dan mencegah sebarang kemungkaran mengikut kemampuan dan tahap yang kita miliki.

Kita tidak boleh menyalahkan pelajar kerana namanya pun pelajar jadi mereka masih belajar dan tentunya banyak kelemahan. Di sini kesalahan itu harus dipikul dan dibebankan sepenuhnya kepada tenaga pengajar dan pembimbingnya yang dilihat tidak begitu serius mengendalikan dan membimbing pelajar untuk mempersiapkan diri untuk membuat persembahan. Kasihan Dekan SENI yang mencadangkan idea resital ini. Impian dan gagasan Dekan dilihat cukup baik dalam usahanya untuk memantapkan ilmu yang dipelajari pelajar di bilik kuliah telah dipersia-siakan oleh mereka yang malas dan tiada motivasi ini. Aku lihat Dekan sentiasa melahirkan idea dan gagasan bernas tetapi malangnya idea itu tidak dilihat secara serius oleh kakitangannya. Aku memahami keadaan dan perasaan Dekan kerana aku juga berada di dalam kedudukan tersebut.

Resital seharusnya tempat untuk mempraktikkan ilmu masing-masing. SENI yang merangkumi 3 program; Muzik, Kreatif dan Teknologi Visual dilihat cukup mantap pendasarannya namun pengaplikasian terlalu lemah. Tiga program ini sepatutnya saling melengkapi untuk menghasilkan sebuah persembahan pentas yang mantap namun sejak kewujudan penilaian resital secara berkredit ini sehingga kini tidak ada satupun persembahan yang boleh dibanggakan dan diperkatakan kualitinya. Semua dibuat seperti `melepaskan batuk di tangga sahaja’. Mengecewakan! Itu sahaja perkataan yang boleh diperkatakan.

Misi dan harapan dekan SENI cukup murni. Mewujudkan penilaian berkredit kepada persembahan resital sebagai satu langkah untuk menggalakkan pelajar berusaha bersungguh-sungguh mengaplikasikan teori yang dipelajari ke pentas. Namun sehingga kini, tidak pernah sekalipun kita lihat pelajar dari program visual umpamanya yang kelihatan mempamerkan hasil visual yang membanggakan dalam resital. Begitu juga dengan program kreatif penulisan, tiada satu karya penulisan yang boleh dibanggakan dilihat di atas pentas Dewan Resital. Belum pernah ada satu pun!!!!! Semuanya hanya `tangkap muat’ sahaja.

Tindakan drastik perlu dibuat agar masalah dan kepincangan ketara ini dapat diatasi. Penyelarasan persembahan resital perlu dirombak. Setiap persembahan yang dibuat hendaklah memenuhi tiga elemen dasar dalam persembahan pentas iaitu elemen visual, kinetik dan auditorinya. Program kreatif yang mengandungi tiga modul (penulisan, tari dan teater) menjadi tonggak utama, perlu bergabung membuat sebuah persembahan seperti modul penulisan menghasilkan naskah (cerita) sementara modul teater dan tari berperanan dari segi kinetiknya dengan `menghidupkan’ naskah tersebut dengan dibantu penzahirannya dari sudut kreativiti visualnya seperti latar oleh program visual. Sementara aspek auditorinya diperkukuhkan oleh pelajar dari program muzik. Cara ini barulah terlaksana apa yang dikatakan `Minda, Jiwa dan Diri Bersatu’.

BANGUNLAH WAHAI TENAGA PENDIDIK SENI UMS. JANGAN LENA DAN LEKA DIBUAI GAJI BULANAN YANG LUMAYAN SEMATA.

Bukan niat menghina atau menyindir, tetapi sedih melihat sikap dan mentaliti yang ada. Biarlah penulisanku ini menjadikan aku tidak popular, biarlah luahan ikhlasku ini menjadi sumpah seranah ke atasku, aku dah biasa. Aku dah lali dengan keadaan ini. Niatku baik untuk pembangunan sekolah. Aku perlu kawan? Selama ini aku ada kawan ke di SENI? Aku rasa tidak. Kewujudanku juga tidak dirasai. Mereka lebih gembira barangkali jika aku tiada dalam kelompok mereka. Apa yang aku buat adalah baik. Benda baik ni macam ubat yang pahit, tidak ada yang suka makan ubat walaupun ia baik untuk kesihatan. Ada orang kata cara aku salah biarpun niat ku betul. Apa yang salahnya? Adakah kerana aku melanggar norma-norma sosial dan adat melayu yang ditetapkan? Seperti kata Tun Dr Mahathir melalui buku Dilema Melayu, sesekali kita perlu melanggar norma sosial dan adat sedia ada demi untuk membawa angin kesedaran. Aku tidak mahu jadi hipokrit atau munafik. Aku juga tidak suka bercakap belakang. Aku tidak mengganggap tulisan ku dianggap sebagai fitnah atau surat layang, jauh sekali menjadi penakut. Aku menulis dengan keikhlasan dan kebenaran. Aku letakkan namaku sebagai pengenalan diriku. Aku menulis bukan kerana nama tetapi kerana aku tidak mahu sekolah kesayanganku yang aku bina bersusah payah bersama-sama dekan dan segelintir tenaga pengajar itu dihancurkan begitu sahaja oleh mereka yang tidak mengerti. Kita perlu sedar bahawa pelajar adalah klien kita dan kita perlu ikhlas membantu mereka mendapat ilmu. Laksanakan janji kita pada UMS dan klien kita yang dibuat semasa menandatangi Akuan AKUJANJI. Hanya…aku ulangi, hanya di tangan pendidik SENI lah misi dan visi SENI itu boleh terlaksana. Tidak ada yang mustahil.

Andika Aziz Hussin

Comments

saya puji semangat RESITAL itu tapi semangat orang yang membuat resital itu sangat mengecewakan. mereka menggunakan konsep seperti tanam lalang:

T-tanam
T-tinggal
T-tebas

tiada hasil yang dapat. semua kosong dan tidak berbaloi langsung.
Andy D'Great said…
telah ditegur namun reaksi agak mengecewakan. umpama menuang air di daun keladi

Popular Posts