MEMBENTUK KEMENJADIAN MURID DI SEKOLAH MELALUI PENDIDIKAN DRAMA KREATIF

 Drama bukan sekadar persembahan, tetapi ia sebagai medium yang berkuasa untuk menanam nilai,
kreativiti, dan kepimpinan dalam minda generasi akan datang. Drama merupakan seni yang terawal
yang didedahkan kepada manusia, bermula dengan zaman bayi sehinggalah membawa ke usia tua.
Ia menjadi sesuatu yang sinonim dengan manusia. Malah dengan kemunculan era televisyen, telah
turut membantu penyebaran luas dan pemahaman terhadap seni berdrama di mana ia telah
menerobos masuk ke ruang tamu, menjadikan seni drama mampu dinikmati pada bila-bila masa. Di
dalam arena pendidikan moden, kepentingan memperkukuhkan pembelajaran yang merentasi  buku teks semakin mendapat pengiktirafan. Dalam konteks ini, pendidikan drama telah muncul sebagai satu bentuk pembelajaran yang menggabungkan elemen seni dan pendidikan untuk membentuk kemenjadian murid secara menyeluruh yang dikenali sebagai dramatika kreatif.  Pendidikan dramatika kreatif, jika dilaksanakan dengan cekap di dalam persekitaran sekolah, ia bukan sahaja mampu menjadi satu sumber pembelajaran yang merentasi disiplin dan silibus konvensional, malah ia  juga merangkumi pembentukan identiti dan kemahiran yang penting untuk menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks. Pendidikan dramatika kreatif di sekolah tidak sekadar membangkitkan semangat seni, tetapi juga membentuk asas yang kukuh bagi perkembangan holistik setiap murid.
Antara semua bidang seni yang ada, seni drama adalah bentuk seni yang menggabungkan semua elemen secara intelektual, emosi, fizikal, lisan, dan sosial. Melalui seni dramatika kreatif, kanak -kanak diberikan peluang untuk memainkan peranan watak orang lain, belajar memahami dan menjadi sensitif terhadap permasalahan serta menghargai nilai kemanusiaan yang berbeza. Pada  masa yang sama, mereka turut belajar bekerjasama kerana seni drama adalah sebuah seni komunal (communal art) di mana setiap individu itu adalah penting dan memainkan peranan masing-masing secara keseluruhannya. Melalui aktiviti dramatika kreatif, kanak -kanak terlibat dalam siri pengembaraan watak-watak. Ia memberi peluang kepada kanak -kanak untuk mengenali seni sastera dengan lebih dekat dan menikmati seni visual melalui penghasilan set latar, busana dan rias. Yang paling utama, seni dramatika kreatif mendidik kanak-kanak untuk berdisiplin kerana disiplin adalah elemen yang paling utama. Ia membolehkan kanak-kanak  mengalami sesuatu situasi itu secara langsung melalui kaedah bermain lakon di mana mereka akan berpeluang untuk merasakan pengalaman akibat dari tindakan mereka sendiri. Dramatika kreatif  melibatkan penceritaan yang mengandungi nilai-nilai penting seperti kejujuran, kesabaran, tanggungjawab, dan disiplin. Kanak-kanak dapat memahami kepentingan disiplin melalui perjalanan watak-watak dalam cerita tersebut. Mereka dapat melihat bagaimana tindakan yang tidak berdisiplin boleh membawa kepada masalah dan kesan negatif. Ia dapat memberikan mereka suatu pengalaman langsung tentang kepentingan disiplin dalam menjalani kehidupan seharian.  Selain itu, dramatika kreatif juga membolehkan kanak-kanak mempelajari aspek kepentingan bekerjasama, kaedah berkomunikasi, dan pengawalan diri. Untuk memastikan kejayaan sesebuah persembahan, mereka perlu bekerjasama dengan rakan-rakan mereka, berkomunikasi dengan jelas, dan mengawal emosi mereka. Ini semua merupakan aspek penting dalam membina disiplin diri. Kanak-kanak juga berpeluang untuk meneroka kreativiti dan imajinasi mereka melalui lakonan.  Mereka melihat situasi dari perspektif yang berbeza dan mencari penyelesaian secara kreatif. Ini membantu mereka memahami pengertian disiplin tidak hanya semata-mata tentang mengikuti peraturan, tetapi juga tentang mencari jalan terbaik dalam menghadapi sesuatu situasi. Latihan drama membolehkan kanak-kanak  menguasai kemahiran asas seperti konsentrasi, kesabaran, dan pengendalian diri. Mereka belajar untuk bersabar dalam menunggu giliran, mendengar arahan sutradara, dan mematuhi peraturan persembahan.
  Pendidikan dramatika kreatif perlu diterapkan sejak dari awal persekolahan kanak-kanak agar budaya mengapresiasi untuk menikmati dan menghargai hasil seni dalam kehidupan dapat diwujudkan. Jika bidang seni muzik dan seni visual boleh dilaksanakan di sekolah, mengapa tidak drama? Bila menyebut drama sahaja, langsung tergambar dalam fikiran sebuah pementasan yang merumitkan, menuntut jumlah pelakon yang ramai, keperluan kepada persediaan teknikal pencahayaan dan bunyi yang pelbagai, busana yang berkilauan, serta set latar yang besar. Adakah seni berdrama menuntut tempoh masa yang panjang, memerlukan tenaga kerja yang ramai dan menuntut kos kewangan yang tinggi? Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat segelintir masyarakat yang mempersoalkan kepentingan bidang seni drama dalam pendidikan anak -anak mereka. Sebenarnya, jika difahami dengan jelas, dramatika kreatif ini merupakan kegiatan seni yang paling kurang memerlukan dana untuk dilaksanakan tetapi memberikan kesan potensi pembelajaran yang sangat besar.
  Harus difahami bahawa drama dan teater ini walaupun serupa namun tidak sama. Drama bersifat participant centered, manakala teater pula adalah audience centered (Nellie, McCashlin, 2006). Persoalannya, yang mana satu? Adakah teater atau drama yang perlu dilaksanakan di sekolah? Sebenarnya, aktiviti drama itu luas cakupannya bergantung kepada tujuan dan matlamat. Untuk peringkat sekolah, aktiviti drama atau dramatika kreatif ini harus disesuaikan dengan tujuan untuk pengembangan diri, bakat dan skil murid. Justeru, membuat aktiviti dramatika kreatif di sekolah seharusnya tidak sama seperti kita membuat sebuah pementasan teater di luar.  Aktiviti dramatika kreatif tidak memerlukan kos yang besar, peralatan yang khusus, malah tidak menuntut penyediaan panggung yang khusus. Apa yang diperlukan hanyalah masa, ruang, semangat serta pembimbing yang berilmu. Aktiviti dramatika kreatif mampu dilaksanakan secara mudah, selesa, menarik tanpa sebarang tekanan, serta boleh memberi kelebihan kepada kanak-kanak untuk menjelajah dunia kehidupannya dengan selesa dan mengujakan. Aktiviti ini boleh dilaksanakan di mana-mana ruang yang sesuai, tanpa  keperluan penggunaan kesan khas atau teknik pementasan yang canggih, bersesuaian dengan naskah yang dipilih mengikut tahap keupayaan dan pemikiran kanak-kanak. Kewujudan ruang pentas tidak dinafikan boleh membantu mengangkat nilai estetika visual sesuatu pementasan, namun ia bukanlah satu keutamaan dan keperluan yang wajib ada. Yang perlu hanyalah murid dan pembimbing yang berkaliber dan perancangan yang sesuai; “Sincerity, sensitivity, and intelligent planning are the most important components of an effective performance.” (Nellie McCaslin .2006).
Bagi memastikan keberkesanan perlaksaaan dramatika kreatif di sekolah, selain penganjuran bengkel-bengkel drama untuk kanak-kanak dan remaja di peringkat sekolah rendah dan menengah, perlu juga diadakan bengkel drama untuk guru-guru sekolah agar pihak pentadbiran dan para guru sekolah dapat melihat kepentingan pengaplikasian pendekatan dramatika kreatif dalam mencipta keseronokan sesi pengajaran dan pembelajaran (PnP) serta keberkesanannya terhadap kefahaman murid. Secara kasarnya, objektif pelaksanaan aktiviti dramatika kreatif sebenarnya bersesuaian dengan objektif yang digagaskan dalam sistem pendidikan negara iaitu untuk memaksimalkan pertumbuhan kanak-kanak dan remaja secara individu dan bermasyarakat. Umumnya, berikut adalah perbandingan antara objektif yang cuba dicapai dalam sistem pendidikan negara dengan kegiatan drama sekolah;
 

 

Sistem Pendidikan Negara

Aktiviti Dramatika Kreatif

a. 

membina skil asas dalam membaca, menulis, mengira, pengajian sosial, sains dan seni

Pembinaan kreativiti dan nilai estetik

b. 

membina dan mengekalkan kesihatan mental dan fizikal yang baik

Pembinaan nilai moral dan spiritual

c. 

keupayaan berfikir di luar kotak

Keupayaan untuk berfikir secara kritis

d. 

menjelaskan nilai dan menzahirkan kepercayaan dan harapan

Pembangunan sosial dan keupayaan untuk bekerjasama dengan orang lain

e. 

membina kefahaman terhadap nilai keindahan melalui penggunaan pelbagai media termasuklah perkataan, warna, bunyi, dan pergerakan.

Membina pengetahuan tentang diri sendiri serta meningkatkan keupayaan skil berkomunikasi

f. 

Membesar dan merasai pengalaman kehidupan secara kreatif.     

Memahami dan mengapresiasi latar dan nilai kebudayaan yang berbeza dengan dirinya

 
Budaya dan persekitaran masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk dengan budaya kepelbagaian kaum telah disesuaikan melalui prinsip yang termaktub dalam Dasar Kebudayaan Negara (DKN) dan Rukun Negara.  Walau bagaimanapun, di peringkat awal persekolahan seperti di sekolah rendah, pihak sekolah dipertanggungjawabkan untuk mendepani permasalahan kepelbagaian kaum ini.  Kanak-kanak ini hadir ke sekolah dengan latar belakang budaya yang pelbagai, ditambah lagi dengan sistem nilai dan kepercayaan keluarga dan masyarakatnya yang begitu kuat mempengaruhi cara berfikir, bercakap, perasaan dan tingkah lakunya. Ia memang sesuatu yang mencabar bagi guru-guru. Namun ia juga menjadi ruang dan peluang paling berkesan untuk kanak-kanak ini saling mempelajari dan memahami budaya yang sama sekali berbeza dengan dirinya. Kepercayaan kononnya tindakan tersebut dikhuatiri akan menjejaskan atau menghapuskan sama sekali budaya nenek moyang adalah sesuatu yang tidak munasabah. Ia tidak akan melunturkan sama sekali kepercayaan dan kefahaman terhadap budaya sendiri malah ia akan menjadikan kanak-kanak lebih mengenali, terbuka dan bertoleransi. Sekaligus, dapat mewujudkan sebuah bangsa Malaysia yang harmoni. Kaedah paling berkesan untuk belajar dan memahami kepelbagaian budaya yang ada ialah melalui aktiviti dramatika kreatif kerana prosesnya melibatkan aspek hubungan intelektual dan berbagai emosi.
Dramatika Kreatif bukan sekadar sebuah persembahan tetapi lebih kepada satu bentuk permainan kreatif untuk kanak-kanak di mana mereka akan menjelajahi alam persekitarannya, meniru aksi dan gaya watak-watak yang ada di sekelilingnya.  Dramatika kreatif berbentuk fragmentasi dan wujud untuk tempoh ketika itu sahaja. Ia boleh dilaksanakan berulangkali dan ia tidak dianggap sebagai rehearsal kerana pengulangan itu tidak akan serupa. Ia adalah satu proses pengulangan pengalaman secara impromptu dan  kreatif untuk memberikan rasa keseronokan kepada pelakunya; they repeat, re-enact and relive these experiences (McCaslin. 2006:7). Menurut Ruth Hartley (1964) dalam kajian yang ditulis dalam Understanding Children’s Play menyatakan;
 
“…through this activity children are given an opportunity to imitate adults and are encouraged to play out real-life roles with intensity, to dramatize relationships and experiences, to express their own most pressing needs, to release unacceptable impulses, to reverse the roles usually taken to try to solve problems and to experiments with solutions.”
 
Permainan dramatika kreatif tidak ada permulaan, pengembangan dan penghujungnya. Kanak-kanak akan berusaha untuk mencipta dunia mereka sendiri dalam usahanya untuk memahami kehidupan sebenar. Mereka cuba untuk menyelesaikan permasalahan sebenar melalui dunia ciptaannya; “dramatic play helps the child develop from a pure ego-centric being into a person capable of sharing and of give and take…they repeat, re-enact and relive these experiences.” (Ruth Hartley, 1964:19). Dramatika kreatif merujuk kepada pendekatan dalam penghasilan drama yang memberi penekanan kepada proses kreatif dan eksplorasi, bukannya sekadar mengikut skrip atau lakonan yang telah ditetapkan. Ia memberikan kebebasan kepada murid untuk mengembangkan cerita, watak, dan persembahan mereka sendiri dengan menggunakan imaginasi dan kreativiti mereka. Dramatika kreatif memberikan penekanan kepada pembelajaran yang berpusat kepada murid di mana merekalah yang akan memainkan peranan yang aktif dalam proses pembelajaran. Mereka diberi ruang untuk mencuba, membuat kesilapan, dan belajar dari pengalaman mereka sendiri. Murid digalakkan untuk menggunakan imaginasi mereka untuk mencipta cerita, watak, dan situasi. Murid akan dibimbing untuk berfikir secara kreatif dan mengeksplorasi idea-idea baru. Dramatika kreatif melibatkan eksperimentasi dengan ruang dan objek untuk mencipta atmosfera dan kesan yang diinginkan. Murid akan  didorong untuk berfikir secara kreatif tentang cara menggunakan ruang dan objek untuk menyampaikan mesejnya. Murid berpeluang untuk mengekspresi emosi, pandangan, dan pengalaman mereka sendiri melalui persembahan melalui watak-watak yang mereka cipta.
 
Melalui pendekatan dramatika kreatif ia tidak hanya membantu murid untuk mengembangkan kemahiran lakonan dan pementasan, tetapi juga membuka pintu kepada pengalaman pembelajaran yang mendalam, kreatif dan  ekspresif. Justeru, kefahaman terhadap kegiatan drama di sekolah-sekolah perlu diperjelaskan kembali. Halatuju dan kaedah pelaksanaan drama sekolah perlu dikaji semula agar bersesuaian dengan objektif dan matlamat yang termaktub dalam sistem pendidikan.
 
Rujukan
 
1. Nellie McCaslin. 2006. Creative Drama in the Classroom and Beyond. 8th ed. Boston. Pearson Education Inc.
 
2. Ruth Hartley, Lawrence K., Frank, and Robert M. Goldenson. 1964. Understanding Children’s Play. New York. Columbia University Press. 

Comments

Popular Posts