INGIN MENJADI PENSYARAH? AKU LAYAK KE?
Ada orang cakap untuk menjadi pensyarah ni, seseorang itu perlu belajar dalam bidang yang sama dari peringkat ijazah pertama hingga Ph.D. Namun saya mempunyai pendapat yang berbeza. Jika seseorang benar-benar mahu menjadi pensyarah dalam bidang yang berbeza daripada ijazah pertama, ia bukanlah suatu halangan. Selagi ada usaha, minat yang mendalam, dan laluan yang jelas untuk menjadi pakar dalam bidang itu, pintu tetap terbuka. Dalam banyak kes, individu yang mempunyai latar belakang pelbagai disiplin (interdisciplinary) mampu menjadi aset besar kepada sesebuah institusi akademik. Dalam dunia akademik, terdapat banyak pensyarah yang memulakan pengajian dalam satu bidang tetapi melanjutkan pelajaran dalam bidang yang berbeza pada peringkat sarjana atau Ph.Dnya. Contohnya, seseorang yang memiliki ijazah pertama dalam bidang sejarah boleh melanjutkan pengajian dalam bidang seni persembahan, seperti produksi teater atau Teater Forum, jika mereka mempunyai minat dan pengalaman yang relevan. Selagi ia mempunyai keupayaan untuk menunjukkan kepakaran dalam bidang mereka, sama ada melalui kajian, pengalaman profesional, atau penerbitan, ia tetap layak untuk menjadi pensyarah.
Di peringkat universiti, pensyarah dinilai bukan hanya berdasarkan kelayakan akademik tetapi juga keupayaan untuk menyumbang kepada bidang melalui pengajaran, penyelidikan, dan penerbitan. Jika seseorang mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang tertentu dan melengkapkan pengajian pada peringkat tinggi misalnya, sarjana atau Ph.D dalam bidang itu, ia sudah cukup memadai untuk membuktikan kepakaran mereka. Tambahan pula, latar belakang dalam bidang lain sebenarnya memberikan perspektif yang unik dalam pengajaran dan penyelidikan. Sebagai contohnya seorang pensyarah teater dengan latar belakang sejarah boleh mengaitkan perkembangan teater dengan konteks sosio-sejarah, memberikan dimensi tambahan kepada pelajar. Pensyarah komunikasi dengan ijazah pertama dalam psikologi dapat menawarkan pandangan yang lebih mendalam mengenai tingkah laku manusia dalam komunikasi. Bidang-bidang seni dan sains sosial sering kali saling berkait. Justeru memiliki kefahaman dalam pelbagai disiplin adalah satu kelebihan.
Keputusan untuk melantik pensyarah biasanya bergantung kepada keperluan sesuatu institusi. Jika institusi memerlukan pensyarah dalam bidang tertentu, mereka lebih cenderung untuk melihat kepakaran dan pengalaman calon secara keseluruhan, bukan sekadar latar belakang ijazah pertama. Universiti juga menghargai calon yang membawa keunikan atau nilai tambah kepada jabatan mereka, seperti pengalaman industri atau pendekatan penyelidikan yang inovatif.
Apa yang lebih penting adalah sejauh mana seseorang benar-benar komited dan berminat untuk mendalami bidang yang mereka pilih di peringkat yang lebih tinggi. Jika seseorang berpindah dari bidang sejarah kepada bidang produksi teater, komitmen itu boleh dilihat melalui penglibatan dalam produksi, penyelidikan teater, dan penyampaian karya yang relevan. Oleh yang demikian, pendapat yang mengatakan bahawa seseorang mesti belajar bidang yang sama dari peringkat ijazah pertama hingga Ph.D adalah mitos semata-mata. Dunia akademik menghargai kepakaran, pengalaman, dan sumbangan lebih daripada keseragaman latar belakang akademik. Apa yang paling penting ialah kemampuan untuk memberikan impak dalam bidang yang diceburi, sama ada melalui pengajaran, penyelidikan, atau penglibatan profesional.
Syarat untuk melayakkan seseorang menjadi pensyarah, berbeza-beza bergantung kepada negara, universiti, dan bidang pengajian, tetapi secara umumnya terdapat beberapa syarat utama yang biasanya diambil kira oleh institusi pengajian tinggi. Jika diukur dari aspek kelayakan akademik, untuk menjadi pensyarah di peringkat universiti, kelayakan minimum biasanya adalah ijazah sarjana. Namun, kebanyakan universiti, terutama yang berstatus penyelidikan, meletakkan syarat Ph.D untuk kedudukan jawatan tetap. Di sesetengah institusi, seseorang yang belum memiliki Ph.D tetapi sedang dalam proses menyelesaikannya (contohnya, calon Ph.D) boleh dipertimbangkan untuk jawatan tertentu, seperti fellowship atau pensyarah sementara.
Selain itu, calon mesti mempunyai kepakaran dalam bidang yang diajarkan atau diselidiki. Kepakaran ini boleh dibuktikan melalui pengkhususan dalam tesis sarjana atau Ph.D, penerbitan artikel ilmiah dalam jurnal berwasit, projek atau pengalaman profesional yang relevan. Dalam dunia akademik, penerbitan dalam jurnal yang diiktiraf sangat penting. Universiti sering menilai kuantiti dan kualiti artikel dalam jurnal berindeks contohnya SCOPUS, dan Web of Science, buku akademik yang diterbitkan oleh penerbit yang bereputasi serta projek penyelidikan dan geran yang pernah diperolehi.
Pensyarah bukan sahaja seorang penyelidik tetapi juga pendidik. Kemahiran untuk mengajar, membimbing pelajar, dan menyampaikan ilmu secara jelas dan menarik adalah sangat penting. Pengalaman mengajar di universiti atau institusi lain menjadi nilai tambah dan satu kelebihan. Selain mengajar dan menyelidik, pensyarah juga bertanggungjawab menyumbang kepada perkhidmatan universiti seperti penyeliaan pelajar, pentadbiran jabatan, atau penganjuran program akademik dan pembangunan bidang melalui kolaborasi antarabangsa, perundingan, atau projek komuniti.
Pensyarah juga mesti menunjukkan profesionalisme dan komitmen terhadap bidang akademik serta berkemampuan untuk bekerjasama dengan rakan sekerja dan pelajar. Kemahiran teknologi seperti pengajaran dalam talian, penggunaan bahan peralatan penyelidikan tertentu disamping keupayaan untuk mendapatkan geran penyelidikan serta membina jaringan kolaborasi menjadi nilai tambah yang berharga kepada kredibiliti diri seorang pensyarah.
Sudah semestinya untuk menjadi pensyarah perlu memiliki kelayakan akademik yang relevan, kepakaran dalam bidang serta mempunyai rekod penyelidikan yang baik. Walau bagaimanapun, kombinasi kemahiran mengajar, pengalaman profesional, dan sikap profesional turut memainkan peranan besar untuk melayakkan diri menjadi seorang pensyarah. Jika seseorang memenuhi kriteria ini dan mampu memberikan sumbangan kepada institusi serta bidang akademik, peluang untuk menjadi pensyarah adalah sangat cerah.
Comments