DRAMA PENTAS KANAK-KANAK DAN SEJARAH KEMUNCULANNYA
DRAMA
PENTAS KANAK-KANAK DAN SEJARAH KEMUNCULANNYA
Oleh
Dr Andika
Aziz Hussin
Pengenalan
Drama
pentas kanak-kanak merujuk kepada satu bentuk persembahan teater yang direka
khas untuk kanak-kanak sebagai khalayak utama. Ia menggabungkan elemen hiburan,
pendidikan, imaginasi dan nilai moral yang disampaikan secara dramatik. Teater
kanak-kanak berkembang selari dengan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan
kanak-kanak sebagai kelompok khalayak yang unik dan memerlukan pendekatan
berbeza. Sejak dahulu bentuk-bentuk persembahan yang bersifat ritual dan
hiburan telah melibatkan kanak-kanak, sama ada sebagai penonton mahupun
peserta. Namun bentuk teater yang khusus ditujukan kepada kanak-kanak hanya
mula muncul secara tersusun dan sistematik pada abad ke-20 seiring dengan perkembangan
pemikiran pedagogi dan hak kanak-kanak dalam masyarakat moden.
Pada
peringkat awal persembahan untuk kanak-kanak bersifat tidak formal seperti
cerita dongeng, persembahan boneka, dan persembahan rakyat di pasar-pasar dan
karnival. Bermula sekitar awal abad ke-20 di Eropah khususnya di Jerman dan
Rusia terdapat usaha awal untuk memperkenalkan teater yang direka khas untuk
kanak-kanak. Selepas Revolusi Bolshevik 1917 di Rusia, teater kanak-kanak
diberikan penekanan sebagai alat pendidikan dan ideologi. Teater seperti Moscow
Theatre for Children yang kemudiannya dikenali sebagai Russian Academic
Youth Theatre ditubuhkan untuk membawa cerita yang bersifat mendidik kepada
generasi muda. Teater ini bukan hanya sebagai hiburan tetapi menyelitkan
nilai-nilai sosialisme dan semangat kebangsaan. Di Eropah Barat pula pendekatan
terhadap teater kanak-kanak lebih bersifat pedagogi dan estetika. Gerakan
pendidikan progresif yang diasaskan oleh tokoh-tokoh seperti Jean Piaget dan
Maria Montessori menekankan kepentingan perkembangan imaginasi, kreativiti dan
emosi kanak-kanak dalam proses pembelajaran. Teater mula digunakan sebagai
medium untuk menyampaikan pelajaran melalui bentuk yang menyeronokkan dan
interaktif. Di England persembahan boneka dan pantomim menjadi budaya tahunan
yang dinikmati oleh keluarga dan kanak-kanak terutama semasa perayaan Krismas
meletakkan asas kepada bentuk hiburan teater ringan yang sesuai untuk mereka.
Teater
kanak-kanak terus berkembang pesat selepas perang Dunia Kedua. Kebanyakan
negara di Eropah memandang teater kanak-kanak sebagai sebahagian daripada
proses pemulihan emosi dan pembinaan semula masyarakat. Di sinilah muncul
pelbagai institusi teater yang memberikan fokus kepada produksi berkualiti
tinggi untuk kanak-kanak termasuk pementasan yang melibatkan pelakon
profesional, set dan rekaan pentas yang kreatif serta naskhah yang relevan
dengan dunia kanak-kanak. Di Amerika Syarikat teater pendidikan mula diterima
dalam sistem persekolahan sejak pertengahan abad ke-20. Teater digunakan bukan
sahaja sebagai bentuk hiburan tetapi juga sebagai alat pengajaran di bawah
konsep Children’s Theatre dan Theatre-in-Education (TIE).
Pusat-pusat kegiatan teater seperti Children’s Theatre Company di
Minneapolis menjadi pelopor kepada pementasan kanak-kanak yang bersifat
artistik dan intelektual. Di Asia kemunculan teater kanak-kanak dipengaruhi
oleh struktur budaya tradisional dan sistem pendidikan moden. Di Jepun misalnya
persembahan boneka Bunraku dan teater Kabuki telah lama memaparkan unsur cerita
rakyat dan moral yang menarik minat kanak-kanak. Di India penggunaan
cerita-cerita epik seperti Ramayana dan Mahabharata turut menjadi
asas kepada pementasan yang dapat diakses oleh kanak-kanak, meskipun belum
diasingkan secara mutlak sebagai genre tersendiri. Dalam konteks Asia Tenggara
termasuk Malaysia teater kanak-kanak mula diberikan perhatian apabila
pendidikan seni diperkenalkan di sekolah dan universiti terutamanya pada akhir
abad ke-20. Namun kesedaran terhadap kepentingan teater kanak-kanak sebagai
bentuk seni tersendiri yang memerlukan kepekaan khusus masih dalam proses
pemantapan.
Sejarah
kemunculan teater kanak-kanak merupakan hasil daripada evolusi sosial,
pendidikan dan seni persembahan yang bersepadu. Bermula sebagai hiburan ringan
ia kini diiktiraf sebagai medium penting untuk membina pemikiran, emosi dan
nilai kehidupan dalam diri kanak-kanak. Perkembangan ini juga membuka ruang
kepada pengkarya untuk lebih bertanggungjawab dalam menghasilkan naskhah dan
persembahan yang selari dengan dunia kanak-kanak. Walaupun persembahan teater
kanak-kanak melibatkan pelakon dan aspek teknikal seperti pencahayaan, kostum
dan muzik fokus utama drama pentas kanak-kanak adalah pada naskhah dramanya
yang dibina untuk menjangkau dunia pemikiran dan perasaan kanak-kanak dengan
cara yang bersesuaian dengan usia mereka. Naskhah merupakan tulang belakang
kepada keseluruhan produksi kerana daripadanyalah cerita dibentuk, watak dibangunkan,
mesej disampaikan dan imaginasi kanak-kanak dipacukan. Sebuah naskhah yang baik
mampu menghidupkan pentas walaupun dengan sumber teknikal yang terhad kerana ia
menyentuh dunia dalaman kanak-kanak iaitu dunia yang sarat dengan keinginan
untuk memahami, meneroka dan merasa. Kanak-kanak merupakan khalayak yang sangat
istimewa dan berbeza daripada penonton dewasa. Oleh itu naskhah drama untuk
kanak-kanak perlu ditulis dengan memahami perkembangan kognitif, emosi dan
sosial mereka. Ini kerana setiap tahap perkembangan kanak-kanak berbeza
terutama dalam cara mereka berfikir, merasa dan berinteraksi dengan dunia
sekeliling. Maka naskhah drama yang ditujukan untuk khalayak ini mestilah mampu
bercakap dalam bahasa mereka, menyentuh emosi mereka dan memberi ruang kepada
mereka untuk memahami dunia melalui lensa pengalaman mereka sendiri.
Dari
sudut perkembangan kognitif, kanak-kanak terutamanya dalam lingkungan usia 5
hingga 12 tahun masih berada dalam fasa membina kefahaman tentang konsep-konsep
asas seperti sebab dan akibat, peraturan sosial dan perbezaan antara realiti
dan fantasi. Oleh itu penulis perlu menyusun struktur cerita dengan naratif
yang jelas, perkembangan plot yang logik dan dialog yang mudah difahami. Unsur
pengulangan, irama bahasa yang menyeronokkan serta penggunaan metafora visual
atau tindakan fizikal yang mudah ditangkap menjadi elemen penting dalam
memperkukuhkan pemahaman mereka terhadap cerita yang dipentaskan.
Dalam
aspek emosi pula kanak-kanak sedang belajar mengenali emosi mereka. Mereka
belum mampu menyatakan perasaan seperti kecewa, marah, takut atau gembira
secara kompleks seperti orang dewasa. Maka naskhah yang baik harus menyediakan
ruang untuk penonton cilik ini menyaksikan pergelutan emosi watak-watak secara
jujur tetapi tidak berlebihan. Penggunaan watak yang dekat dengan dunia mereka
seperti rakan sebaya, haiwan, objek bercakap atau alam semula jadi yang
berjiwa, membantu mencipta hubungan emosi yang kukuh antara penonton dan
cerita. Watak-watak ini menjadi cermin kepada emosi dan pengalaman dalaman
kanak-kanak. Ia membantu mereka mengiktiraf dan memahami perasaan sendiri.
Selain
itu perkembangan sosial kanak-kanak juga tidak boleh diabaikan. Mereka berada
dalam proses memahami peranan sosial, belajar berkongsi, bekerjasama, mematuhi
peraturan dan membina empati terhadap orang lain. Justeru naskhah yang berkesan
selalunya menyelitkan tema persahabatan, tanggungjawab, kejujuran atau
toleransi. Konflik dalam cerita perlu disampaikan dengan cara yang ringan atau tidak
menyentuh isu sensitif secara langsung tetapi tetap memberikan kesan moral yang
membina. Dalam konteks ini dialog dan tindakan watak dapat dijadikan alat untuk
mencetuskan refleksi sosial serta membina kepekaan terhadap persekitaran serta
orang lain.
Penulis
naskhah drama kanak-kanak perlu sedar bahawa mereka tidak hanya menulis untuk
menghibur tetapi juga untuk membentuk. Sebuah cerita yang ditulis dengan teliti
mampu menjadi alat pendidikan yang halus dan berkesan. Ia dapat merangsang
pemikiran, memupuk nilai murni dan membina jati diri kanak-kanak dengan cara
yang menyeronokkan. Namun semua ini hanya dapat dicapai jika penulis
benar-benar memahami peringkat perkembangan kognitif, emosi dan sosial kanak-kanak,
serta menghormati dunia kecil mereka yang kaya dengan keajaiban dan kejujuran.
Naskhah drama untuk kanak-kanak bukan sekadar skrip di atas kertas. Ia adalah
pintu ke dunia imaginasi yang membina, pentas bagi suara kecil yang ingin
difahami, dan ruang bagi emosi yang ingin dikenali. Oleh itu setiap penulis
yang ingin menghasilkan karya dalam genre ini perlu menyantuni perkembangan
kanak-kanak dengan penuh kasih, kepekaan dan tanggungjawab agar naskhah yang
terhasil benar-benar memberi makna kepada generasi yang sedang membesar.
Bahasa
yang digunakan dalam dialog haruslah mudah difahami tetapi tidak pula
merendahkan keupayaan berfikir mereka. Jalan cerita pula perlulah mengandungi
unsur yang mampu merangsang imaginasi seperti watak-watak fantasi, haiwan yang bercakap,
objek yang hidup atau dunia-dunia ajaib. Namun begitu di sebalik elemen
khayalan itu cerita mestilah mempunyai struktur yang jelas, konflik yang sesuai
dengan pengalaman hidup kanak-kanak, serta penyelesaian yang memberikan
kepuasan dan pengajaran bermakna.
Selain
itu naskhah drama kanak-kanak berperanan penting dalam menyampaikan nilai-nilai
murni dan mesej sosial secara halus. Mesej seperti pentingnya berkongsi,
menghormati ibu bapa, menjaga alam sekitar atau berani berkata benar boleh
disampaikan melalui watak-watak yang menarik dan peristiwa dramatik yang
relevan. Jika mesej ini disampaikan secara berceramah ia mungkin akan membosankan
tetapi melalui drama yang berunsur permainan dan lakonan kanak-kanak lebih
mudah menerima dan menghayatinya. Justeru naskhah berfungsi bukan sahaja
sebagai alat hiburan tetapi juga sebagai alat pendidikan estetik dan moral.
Dalam
dunia teater kanak-kanak kejayaan sesebuah pementasan tidak hanya ditentukan
oleh kecanggihan teknologi atau kehebatan visual pentasnya. Walaupun elemen
teknikal memainkan peranan penting dalam menarik perhatian penonton, hakikatnya
aspek teknikal hanyalah sebagai pelengkap persembahan sahaja. Penentuan
kejayaan sesebuah persembahan ialah naskhah dramanya. Naskhah ialah jantung
pementasan dan ia merupakan asas yang membina cerita, watak, emosi, mesej dan
penghayatan. Semua elemen ini penting dalam membina hubungan dengan penonton
muda. Kebanyakan produksi professional cenderung untuk menumpukan perhatian
kepada unsur luaran seperti visual 3D, muzik latar yang megah dan pentas yang interaktif
dalam usaha memukau kanak-kanak. Namun begitu tumpuan yang keterlaluan kepada
elemen teknikal menyebabkan kita terlupa kepada roh sebenar penceritaan iaitu
kekuatan naskhah itu sendiri. Kegagalan segelintir produksi besar dalam
mengangkat teater kanak-kanak walaupun dengan bajet dan teknologi yang tinggi
selalunya berpunca daripada kelemahan naskhah. Naskhah yang terlalu rumit tidak
relevan dengan dunia kanak-kanak malah tidak menyentuh langsung emosi mereka
menyebabkan jalan cerita menjadi hambar dan sukar difahami.
Seperti
yang telah dinyatakan sebelum ini, naskhah teater kanak-kanak yang berkesan
mestilah dibina dengan mengambil kira tahap kognitif, emosi dan imaginasi
kanak-kanak. Cerita yang terlalu berlapis atau menggunakan simbolisme yang
abstrak akan mengelirukan mereka. Begitu juga dengan cerita yang gagal
menggambarkan pengalaman hidup atau dunia fantasi yang dekat dengan pemikiran
kanak-kanak akan membuatkan mereka rasa terasing dan tidak terlibat. Penonton
muda memerlukan cerita yang mempunyai konflik yang mudah difahami, watak yang
hidup dan boleh dirasai serta mesej yang dapat dijadikan pengajaran. Jika
elemen-elemen ini tidak wujud dalam naskhah maka sehebat mana pun rekaan pentas
atau kesan bunyinya ia tetap tidak akan memberikan kesan yang mendalam. Tambahan
pula naskhah teater kanak-kanak perlu bersifat mendidik. Ia perlu menyampaikan
mesej secara halus melalui cerita dan setiap tindakan watak bukan dalam bentuk berceramah
atau nasihat langsung. Watak seperti binatang bercakap, robot comel atau
kanak-kanak yang berani boleh menjadi medium untuk menyampaikan nilai-nilai
seperti keberanian, kejujuran, empati dan persahabatan. Apabila mesej
disampaikan melalui tindakan dramatik yang sesuai kanak-kanak akan lebih mudah untuk
memahami dan menghayatinya. Oleh itu penulis naskhah perlu memahami bahawa
mereka tidak sekadar menulis untuk ditonton tetapi untuk membina pengalaman
emosi, kognitif dan sosial penonton kecil mereka. Kekuatan sesebuah naskhah bergantung
kepada keupayaannya untuk menjana imaginasi. Kanak-kanak adalah golongan yang
sangat responsif terhadap cerita yang mencabar imaginasi mereka. Sebuah naskhah
yang berjaya ialah naskhah yang mampu membawa kanak-kanak ke dalam dunia lain seperti
dunia raksasa di bawah katil, bandar yang dibina oleh semut atau planet yang
penuh dengan teka-teki dan dalam proses pengembaraan itu pula kanak-kanak ini
akan menemukan sesuatu yang berguna untuk kehidupan sebenar mereka. Apabila
imaginasi mereka dirangsang barulah teater benar-benar hidup dalam minda dan
jiwa mereka. Teknologi boleh membantu mencantikkan dunia itu tetapi tanpa
naskhah yang membinanya, dunia itu tidak akan wujud.
Kejayaan
sebuah naskhah drama kanak-kanak terletak pada keupayaannya membina jambatan
antara realiti dengan dunia dramatik yang ingin disampaikan. Ini menuntut
penulisnya untuk memiliki empati dan kepekaan tinggi terhadap dunia dalaman
kanak-kanak, suatu dunia yang penuh dengan rasa ingin tahu, kejujuran emosi,
imaginasi kreatif dan persoalan eksistensial yang sering dipendamkan. Gaya
bahasa yang digunakan harus dekat dengan bahasa kanak-kanak tanpa meremehkan
keupayaan mereka untuk memahami sesuatu yang lebih kompleks secara simbolik. Penulisan
naskhah drama kanak-kanak perlu menjelmakan pengalaman hidup mereka secara
dramatik dan menyeronokkan. Dalam dunia yang semakin dikuasai oleh teknologi
digital dan visual, teater masih memiliki kekuatan unik iaitu hubungan langsung
antara cerita dan penonton. Teater mempersembahkan keajaiban yang tidak
diperolehi daripada skrin iaitu interaksi hidup yang mengundang reaksi spontan,
imaginasi aktif dan pembelajaran emosi yang mendalam. Namun keajaiban ini hanya
berlaku apabila asasnya iaitu naskhah drama dibina dengan penuh rasa kasih,
kefahaman terhadap jiwa kanak-kanak dan kesediaan untuk menyelami dunia mereka.
Menulis untuk kanak-kanak bukanlah tugas yang mudah. Ia menuntut keseimbangan
antara nilai seni dan pemahaman psikologi kanak-kanak, antara hiburan dan
pendidikan, antara realiti dan fantasi. Dalam drama pentas kanak-kanak,
kekuatan naskhah adalah sumber nyawa kepada seluruh produksi. Ia adalah titian
pertama yang menghubungkan dunia cerita dengan jiwa penonton kecil yang hadir
yang suatu hari kelak akan menjadi sang pemikir, sang pemimpi atau menjadi pelakon
besar hasil daripada pengalaman awal mereka duduk di hadapan pentas dan
terpesona oleh cerita yang menyentuh hati mereka.
Ciri-Ciri Naskhah Drama
Kanak-Kanak
Ciri |
Penjelasan |
Bahasa Mudah |
Menggunakan
dialog yang ringkas, jelas dan sesuai dengan tahap pemahaman kanak-kanak.
Elakkan metafora yang rumit atau abstrak. |
Konflik
Sederhana |
Mengangkat
isu yang dekat dengan kehidupan seharian kanak-kanak seperti berkongsi
mainan, takut gelap, atau salah faham dengan rakan. |
Elemen Magis
dan Imaginatif |
Memasukkan
dunia fantasi seperti hutan ajaib, makhluk pelik, kuasa luar biasa yang
menggalakkan imaginasi dan rasa ingin tahu. |
Watak
Berwarna-warni dan Dinamik |
Watak
yang menarik perhatian seperti haiwan bercakap, robot, makhluk mitos atau
tokoh legenda dengan sifat unik dan menyeronokkan. |
Pengakhiran
Positif |
Cerita
diakhiri dengan penyelesaian konflik dan mesej positif agar kanak-kanak
pulang dengan perasaan gembira dan termotivasi. |
Unsur
Pengajaran (Didaktik) |
Cerita
menyampaikan nilai moral, sosial atau emosi sama ada secara langsung atau
simbolik tanpa terlalu mengajar. |
Kesimpulan
Drama
pentas kanak-kanak bukan sekadar wadah hiburan semata-mata tetapi merupakan
jambatan penting yang menghubungkan dunia imaginasi dengan pembentukan emosi
dan nilai kehidupan kanak-kanak. Ia adalah ruang untuk mereka melihat, merasai
dan memahami kehidupan melalui kisah dan watak yang dekat dengan jiwa mereka.
Dalam landskap teater moden yang kian diperkayakan dengan teknologi, kekuatan
sebenar drama kanak-kanak tetap terletak pada keutuhan naskhahnya yang ditulis
dengan empati, kreativiti dan kefahaman terhadap psikologi kanak-kanak. Dari
akar tradisi lisan yang kaya hingga ke pentas moden yang berwarna-warni, teater
kanak-kanak telah berkembang menjadi medium seni yang bukan sahaja mendidik
tetapi juga menyentuh. Oleh itu para penulis dan penggiat teater perlu
memandang serius kepentingan menghasilkan naskhah yang mampu merangsang minda,
mengasah emosi dan menyampaikan nilai hidup dengan cara yang menyeronokkan dan
bermakna. Hanya dengan pendekatan yang tulus dan penuh kefahaman terhadap dunia
kanak-kanak sahajalah teater dapat meninggalkan kesan yang kekal dan membina.
Comments