Pengaplikasian Teknik Pengasingan Teater Epik dalam Pementasan Teater Tulang-Tulang Berserakan

 

Pengaplikasian Teknik Pengasingan Teater Epik dalam Pementasan

Teater Tulang-Tulang Berserakan

DR ANDIKA AZIZ HUSSIN

USM

 

 

A poster with text and images

AI-generated content may be incorrect.

 

Dalam pementasan Tulang-Tulang Berserakan penerapan teknik pengasingan (Verfremdungseffekt) dalam teater epik menjadi nadi pendekatan pengarahan untuk membantu penonton tidak hanyut secara emosi sebaliknya memproses maklumat secara intelektual. Teknik ini diperkenalkan oleh Bertolt Brecht untuk menjarakkan penonton daripada terjerumus ke dalam ilusi realisme pentas dan menjadikan mereka penonton yang kritis, berfikir dan merenung persoalan sosial serta politik yang dibentangkan. Melalui teater epik pementasan ini akan memanfaatkan pengasingan dengan pelbagai teknik selain narator seperti paparan teks, korus, penggunaan humor, tableau hidup dan interaksi langsung dengan penonton sebagai strategi untuk membina kesedaran sejarah dan kritikan sosial mengenai zaman darurat yang menjadi latar naskhah ini.

Salah satu teknik yang bakal digunakan ialah paparan teks di atas pentas dengan memprojeksikan tajuk babak, kata kunci atau fakta sejarah sebelum atau semasa babak berlangsung. Sebagai contoh ketika babak pemindahan pekebun sayur di Jasin pada tahun 1948 tayangan “JASIN, 1948: Kampung Akan Dikosongkan” akan muncul di skrin projektor untuk memberi konteks sejarah secara langsung kepada penonton. Teknik ini bukan sahaja memecahkan ilusi pentas tetapi membantu penonton menghubungkan peristiwa pentas dengan realiti sejarah, menjadikan mereka lebih peka akan pengaruh peristiwa tersebut terhadap rakyat marhaen pada waktu itu.

Selain itu penggunaan korus atau ensemble sebagai komentator juga akan diterapkan. Kumpulan pelakon akan muncul untuk membaca petikan akhbar, laporan darurat atau menyatakan pendapat rakyat secara kolektif pada saat tertentu dalam pementasan. Contohnya mereka boleh membaca statistik korban atau peraturan darurat sebagai ‘suara rakyat’ sambil berdiri dalam formasi tertentu, menjarakkan penonton daripada emosi sambil menekankan fakta sejarah yang keras. Teknik ini membantu mencipta jarak kritikal sambil menjalin hubungan naratif dengan realiti sosial masyarakat ketika darurat.

Penggunaan lagu atau muzikalisasi naratif turut menjadi strategi pengasingan dalam pementasan ini. Lagu akan dinyanyikan secara langsung oleh watak, korus atau pemuzik di sisi pentas untuk menerangkan situasi atau memberi komen tentang peristiwa yang berlaku seperti lagu “Lima Puluh Sen” yang menyindir tekanan ekonomi rakyat akibat dasar kolonial ketika darurat. Muzik akan dimainkan bukan untuk mengundang emosi mendalam tetapi untuk menjadikan penonton sedar tentang naratif yang ingin disampaikan melalui medium muzik sekaligus memecahkan kesinambungan dramatik secara halus.

Breaking the fourth wall juga akan dimanfaatkan apabila watak-watak bercakap terus kepada penonton untuk mengajukan persoalan kritikal seperti “Apakah ini merdeka kalau kami masih takut setiap malam?” Teknik ini membantu penonton sedar bahawa mereka sedang menonton sebuah pementasan yang sarat dengan persoalan sejarah dan sosial, mematahkan ilusi pentas agar mereka dapat berfikir secara kritis tentang tema penindasan dan perjuangan dalam teater Tulang-Tulang Berserakan.

Pementasan ini juga akan menggunakan tableau hidup di mana pelakon membentuk imej pegun seperti keluarga pekebun sayur yang ketakutan ketika pengumuman darurat, atau situasi penahanan pejuang. Narator boleh berjalan di antara tableau untuk memberikan penjelasan secara faktual menjadikan penonton lebih memahami konteks dengan penjarakan emosi secara terkawal.

Penggunaan placard atau banner oleh pelakon dengan frasa seperti “1948: BERMULA SEBUAH PERBURUAN” akan membawa maklumat secara langsung kepada penonton tanpa dialog panjang. Ini bakal memperkuatkan mesej dan memastikan fakta sejarah yang ingin diketengahkan tidak hilang dalam alunan emosi persembahan.

Untuk memperkukuhkan lagi teknik pengasingan, elemen dokumentari visual dan rakaman bunyi akan diselitkan seperti pengumuman darurat, suara propaganda radio penjajah, bunyi pasar, serta gambar arkib zaman darurat bagi menjalinkan ruang sejarah dengan pentas. Ia akan membangkitkan kesedaran sejarah secara realistik, tetapi masih mengekalkan jarak kritikal yang diperlukan dalam teater epik.

Akhir sekali penggunaan humor dan satira akan diselitkan dalam dialog contohnya watak Ujang membuat lawak mengenai “air dalam bosi, api dalam goleh” sebagai kritikan ironis terhadap kehidupan mereka sebagai polis ketika darurat. Humor yang bersifat sindiran akan membantu penonton menilai realiti tanpa hanyut dalam simpati terhadap watak secara membuta tuli.


Keseluruhan teknik pengasingan ini akan membentuk sebuah pementasan teater Tulang-Tulang Berserakan yang tidak hanya memaparkan naratif sejarah tetapi juga menjadi ruang pendidikan kritikal kepada penonton. Ia membuka ruang dialog antara pentas dengan masyarakat untuk menilai peristiwa sejarah negara dengan kesedaran dan kepekaan intelektual, menjadikan teater bukan hanya sekadar hiburan tetapi alat kesedaran sosial yang membebaskan pemikiran penonton daripada belenggu ilusi pentas yang menipu.

 

Comments

Popular Posts