Penulisan Skrip Adaptasi Tulang-Tulang Berserakan Memecah Konvensi Drama Pentas Konventional
Penulisan Skrip Adaptasi Tulang-Tulang Berserakan
Memecah Konvensi Drama Pentas Konvensional
Oleh
Dr Andika Aziz Hussin
Pengenalan
Skrip Tulang-Tulang
Berserakan (TTB) hadir sebagai sebuah adaptasi yang bukan sahaja mengangkat
kembali sejarah sosial-politik pasca perang di Tanah Melayu tetapi juga
berperanan memecahkan kerangka konvensional drama pentas yang lazim
dipersembahkan di Malaysia. Secara tradisinya drama pentas konvensional
bertumpu pada penceritaan linear dengan fokus kepada watak utama selain
bergantung pada struktur dramatik Aristotelian berasaskan permulaan,
perkembangan konflik, klimaks dan peleraian. Penulisan skrip oleh Anuar Mohd.
Zulkifli ini menolak bentuk linear tersebut dengan menghadirkan lapisan naratif
yang lebih kompleks. Penceritaan TTB menggabungkan prosa realis dengan monolog
puitis sekali gus menjadikan sejarah sebagai tubuh dramatik yang sentiasa
bergerak dan berlapis. Usaha ini bukan sahaja memperlihatkan sifat dramatik
dalam penulisan skrip tetapi juga menawarkan pendekatan dekolonial dalam cara
penceritaan yang digarap.
Struktur Naratif
Episodik
Keberanian
TTB terserlah melalui pemilihan bentuk penceritaan yang berbeza daripada
kebiasaan skrip pentas tempatan. Drama konvensional biasanya ditulis dengan
pembahagian babak berdasarkan peralihan tempat, masa dan kronologi konflik.
Sebaliknya TTB membina naratifnya melalui struktur episodik yang dipecahkan
kepada episod dan sub-episod (1, 1.1, 1.1.1). Bentuk ini membolehkan setiap
peristiwa sejarah, pertembungan ideologi, dan detik kehidupan rakyat diangkat
secara berfokus dan berfragmentari. Struktur episodik ini juga memperlihatkan
pertembungan idea yang mendalam. Misalnya, episod perbualan antara Leman dan
Mahmud menyorot konflik keadilan dalam kalangan polis; pidato Burhan H, Ahmad B
dan Salmiah menekankan perbezaan ideologi tentang makna kemerdekaan — daripada
aspek adab dan ketuhanan, revolusi radikal sehinggalah kepada suara dan hak
wanita. Setiap episod bukan sahaja memanjangkan naratif sejarah tetapi menjadi
medan tafsiran semula makna kemerdekaan. Dengan pendekatan ini TTB lebih dekat
kepada bentuk teater wacana yang menekankan konflik idea berbanding konflik
watak.
Perspektif Teori:
Brechtian dan Postdramatik
Dari
sudut teori, TTB jelas memperlihatkan ciri Teater Epik Brecht. Brecht menolak
prinsip katarsis Aristotelian yang membuat penonton hanyut dalam emosi
sebaliknya mengangkat konsep Verfremdungseffekt (alienation effect) yang
menjarakkan penonton daripada watak agar mereka menilai isu secara kritikal.
Contohnya dalam episod “Nasi Merdeka”, nasi sebagai objek seharian dijadikan
simbol kelaparan makna kemerdekaan. Soalan retorik yang dilontarkan Ahmad B, “Bila
perut kenyang, apakah hati kita juga benar-benar bebas?” tidak
membangkitkan simpati semata-mata tetapi memaksa penonton berfikir tentang
makna kebebasan.
Selanjutnya
skrip ini turut mendekati gagasan Postdramatic Theatre (Lehmann, 2006)
yang menolak dominasi teks linear dan menekankan fragmen, kolaj makna, serta
kehadiran penonton sebagai sebahagian daripada teks dramatik. Elemen ini
kelihatan apabila Ahmad B memandang terus kepada penonton, memecahkan “dinding
keempat”, sementara cahaya lampu turut diarahkan ke arah penonton menandakan
mereka juga adalah sebahagian daripada sejarah yang dipentaskan.
Gaya Penceritaan dan
Arahan Pentas
TTB
memperlihatkan pemecahan bentuk dramatik melalui penggunaan narator yang
melompat daripada posisi watak kepada posisi pengulas. Teknik ini menjadikan
pentas terbuka dan menekankan sifat representasi bukan ilusi realiti. Hal ini
sekali gus memaksa penonton membaca pementasan sebagai representasi sejarah
yang kritis bukan sekadar hiburan dramatik. Arahan pentas dalam TTB juga
membezakan dirinya daripada skrip konvensional. Jika arahan lazimnya ringkas
dan bersifat teknikal sebaliknya arahan dalam TTB panjang, terperinci dan
bersifat puitis. Misalnya: “angin laut Selatan Melaka mengusap wajah-wajah
yang malang” atau “lampu kini menyinari juga penonton – mewujudkan
suasana ‘saling diperhatikan’”. Arahan ini bukan sahaja memberi panduan
teknikal tetapi turut membina lapisan emosi, nilai sejarah dan kesedaran
kolektif yang harus dijelmakan di atas pentas.
Bahasa dan Dialog
Puitis
Dari
segi bahasa, TTB memperlihatkan keunikan dengan penggunaan dialog puitis yang
sarat dengan ideologi perjuangan. Pidato Salmiah “Tangan yang menghayunkan
buaian mampu menggoncang seisi dunia”, menegaskan suara wanita sebagai agen
revolusi, manakala seruan Ahmad B “Biar putih tulang, jangan putih mata!
Merdeka!”, memperlihatkan semangat perjuangan yang tegas. Dialog-dialog
seperti ini tidak hanya menggerakkan naratif tetapi berfungsi sebagai wahana
refleksi sosial dan pergolakan ideologi — jauh berbeza daripada skrip
konvensional yang lebih menekankan konflik watak dalam ruang peribadi.
Tema dan Pengisian
Sejarah
Dari
sudut tema, TTB tidak menekankan kisah individu semata-mata sebaliknya
memperluaskan horizon naratif kepada persoalan nasionalisme, pengkhianatan dan
suara rakyat kecil. Babak penangkapan Anuar misalnya, bukan sahaja menyentuh
emosi keluarga tetapi menjadi alegori kepada kezaliman undang-undang darurat
kolonial. Peralihan daripada realisme domestik kepada persoalan sejarah yang
lebih luas menjadikan TTB sebuah teks yang berfungsi sebagai ruang arkib iaitu
medan untuk menghidupkan kembali pengalaman kolektif rakyat yang sering
diketepikan daripada naratif rasmi.
Kesimpulan
Secara
keseluruhannya TTB boleh dianggap sebagai sebuah adaptasi kritis. Ia tidak
sekadar menghidupkan semula teks asal tetapi berani memecahkan konvensi
dramatik dengan memperkenalkan struktur episodik, gaya penceritaan fragmentari,
penggunaan narator dan monolog yang berinteraksi dengan penonton, bahasa puitis
berideologi serta mengandungi arahan pentas puitis yang menyalurkan roh
pementasan. Dengan strategi ini TTB berfungsi sebagai alat teater pendidikan
rakyat yang menyemai kesedaran sejarah, menghidupkan semangat perjuangan dan
menyalakan roh kemerdekaan secara mendalam. Dalam konteks perkembangan teater di
Malaysia, TTB membuktikan bahawa penulisan skrip adaptasi mampu menolak
homogeniti bentuk konvensional yang kaku sebaliknya membuka ruang kepada
eksperimen dramatik yang segar, berlapis dan kritis. Justeru TTB memperkukuhlan
lagi kedudukan teater sebagai medan wacana yang sentiasa relevan untuk menyoal
makna sejarah, kebebasan dan kemanusiaan dalam realiti kontemporari.
Comments