Tadabbur Sosial Melalui Drama Adaptasi Epik Tulang-tulang Berserakan
Tadabbur Sosial Melalui Drama Adaptasi Epik
Tulang-tulang Berserakan
Oleh
Dr Andika Aziz Hussin
Teater
Epik yang
diperkenalkan Bertolt Brecht adalah satu pendekatan yang bukan hanya sekadar
untuk hiburan semata-mata tetapi pementasan yang bakal mengajak penonton
berfikir secara kritis terhadap isu-isu masyarakat. Prinsipnya menjadikan
teater sebagai ruangan pendidikan sosial dan refleksi masyarakat supaya sedar
akan tanggungjawab mereka untuk memperbaiki kehidupan secara bersama; “The
stage is not just for storytelling. It is for awakening the Ummah from
spiritual slumber—so they rise to fulfill their fardu kifayah.” Justeru dalam
konteks nilai Islam dan Malaysia prinsip dan kaedah Teater Epik ini perlu
diolah semula agar ia menjadi ruang tadabbur sosial dan pendidikan rohani
selaras dengan syariat dan budaya masyarakat tempatan.
Naskhah
drama Tulang-tulang Berserakan tulisan Anwar Zulkifli hasil adaptasi
dari novel Usman Awang menampilkan struktur episodik yang menonjolkan
penderitaan rakyat marhain akibat perang dan ketidakadilan sosial sangat selari
dengan prinsip Teater Epik yang membantu penonton memahami hubungan sebab dan
akibat dalam masyarakat. Prinsip tadabbur menuntut manusia untuk berfikir
secara mendalam terhadap sesuatu isu dan mengambil pengajaran daripada peristiwa
sejarah sesuai seperti firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang-orang
yang beriman, belanjakanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha
kamu yang baik-baik...". (Surah Al-Baqarah, ayat 267). Ayat ini menjelaskan
bahawa Islam mengajar kita untuk mengambil tanggungjawab membantu mereka yang
miskin dan memerlukan serta menjadikan isu kemiskinan bukan sekadar bahan
pementasan tetapi ruang untuk berefleksi mengukur sejauh mana kita menunaikan
tanggungjawab sosial sebagai umat Islam.
Prinsip
Teater Epik juga menekankan teknik breaking the fourth wall di
mana pelakon bercakap secara langsung kepada penonton, mengajak mereka berfikir
tentang tanggungjawab membantu orang miskin, melawan penindasan dan menjaga
keamanan. Dalam drama Tulang-tulang Berserakan watak Narator atau watak-watak
lain akan berhenti seketika untuk mengajukan persoalan seperti "Apakah
peranan kita dalam membantu mereka yang tertindas dan memperjuangkan keadilan
dalam masyarakat?". Firman Allah yang lain yang bermaksud "Mengapa
kamu tidak mahu berjuang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah
daripada kalangan lelaki, wanita dan kanak-kanak..." (Surah An-Nisa',
ayat 75). Ayat ini turut mengingatkan manusia bahawa membela golongan
tertindas adalah tuntutan agama dan teater mampu menjadi ruang tadabbur sosial
yang mengajak penonton berfikir bukan sekadar dengan emosi tetapi dengan akal
yang dipandu oleh iman.
Brecht
menegaskan prinsip Teater Epik ialah “There’s no crying in dialectical
materialism” iaitu penonton tidak seharusnya hanyut dalam emosi hingga
melupakan akal dalam menganalisis konflik masyarakat. Dialectical
materialism menjadi dasar pemikiran Brecht yang menekankan bahawa perubahan
masyarakat berlaku melalui pemahaman struktur konflik dalam masyarakat bukannya
simpati semata-mata. Dalam konteks Islam prinsip ini dimaksudkan sebagai “Tiada
tindakan tanpa ilmu dan akal yang dipandu oleh iman” kerana emosi adalah fitrah
manusia yang perlu dipandu oleh akal dan syariat agar setiap tindakan yang
dilakukan itu tidak terpesong ke arah nafsu semata-mata. Teknik Verfremdungseffekt
(V-Effect) berperanan untuk menjauhkan keterikatan emosi yang berlebihan juga
diterapkan dalam drama Tulang-tulang Berserakan supaya penonton dapat
menilai akar penindasan, kerakusan kuasa dan ketidakadilan dengan akal yang
rasional. Prinsip ini sejajar dengan ajaran Islam yang mengajak umatnya
berfikir secara kritis sebelum bertindak sesuai dengan firman Allah yang
bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu menjadi orang
yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan
adil..." (Surah Al-Ma’idah, ayat 8). Narator boleh memetik
ayat-ayat Al-Quran dan hadis berkaitan tema kemiskinan, tanggungjawab sosial
dan keadilan sebagai pembuka episod atau penutup babak yang mampu menjadikan drama
ini bukan sahaja refleksi kemanusiaan tetapi juga ruangan untuk pendidikan
agama. Teater Epik menjadi alat tarbiah hiburan yang mendidik dan bukan sekadar
hiburan kosong menepati prinsip dalam Islam yang membenarkan hiburan yang
mengandungi nilai pendidikan untuk kesejahteraan masyarakat.
Secara
tuntasnya drama Tulang-tulang Berserakan menekankan amar makruf nahi
mungkar (perintah dalam Islam yang wajb dilaksanakan oleh setiap Muslim, baik
individu atau berkumpulan) secara kreatif, mengajak penonton berfikir,
bermuhasabah dan mengambil tindakan dalam ruang lingkup tanggungjawab sosial. Pendekatan
sebegini boleh mengikis pemahaman terhadap Teater Epik sebagai alat ideologi
komunisme sebaliknya sebagai ruangan pendidikan sosial yang selaras dengan
nilai Islam, budaya masyarakat Malaysia dan tuntutan syariat. Teater Epik boleh
menjadi ruangan yang dapat merangsang akal, mendidik hati dan memperkukuhkan
masyarakat dalam membina kehidupan yang lebih baik, adil dan diredhai Allah.
Comments