Review Pementasan Lara Jiwa Pseudologia karya Yusof Bakar di Panggung Sasaran USM 20 Januari 2024

Yusof Bakar memang sinonim dengan tajuk dramanya yang pelik dan memeningkan. Itulah cerminan pemikiran dan keintelektualan beliau. Apa yang bermain pada tajuk teater `Lara Jiwa Pseudologia’ ini? Melihat kepada posternya; seorang gadis remaja yang sedang duduk di atas bumbung bangunan tinggi, di kala hening senja sambil merenung jauh mengenang nasib diri. Apa yang direnungkan? Pasti bukan sesuatu yang menggembirakan. Kalau gembira, dia tak merenung dari tempat tinggi, bangunan batu, dalam keadaan duduk begitu... membahayakan! Mengapa pilih di atas bumbung bangunan, tidak di tepi tasik ke...tepi longkang ke..? Mengapa senja..mengapa tak tengah malam? Melihat pula kepada tulisan `Lara Jiwa’ yang ditindankan ke atas perkataan `Pseudologia’...apa maksudnya? Semua ini bermain dalam kotak fikiran aku.  Apa yang cuba disampaikan? Misteri sungguh! Tapi selepas menonton, akhirnya terjawab juga sikit persoalan aku ni.

Yusof Bakar bukan nama asing dalam dunia teater Malaysia hari ini. Selain mengarah dan berlakon beliau juga kerap menghasilkan naskah-naskah drama. Karya-karya beliau memang trendingnya ke arah berbentuk seperti ini. Beliau gemar bermain dengan perasaan pembaca dan penonton, membiarkan penonton sendiri yang mencari jawapan dan menentukan kesudahan dan kesimpulan. Ini yang berlaku dalam kebanyakan drama ciptaan Yusof Bakar. Beliau terkenal dengan bentuk  drama pasca modernisme, dengan naratif penulisan penceritaan yang berlapis-lapis, mengaburi batas antara realiti dan imaginasi, menyajikan cerita dalam cara yang tidak konvensional, pencampuran genre sehingga membaurkan garis antara komedi dan tragedi dan penonton turut diajak untuk merenungkan akan sifat teater itu sendiri.

Kali ini beliau kembali dengan karya Lara Jiwa Pseudologia. Pseudologia turut dikenali sebagai `pathological lying’, `pseudologia fantastica’. Ia adalah istilah yang berasal dari bahasa Yunani, iaitu ”pseudos"(palsu) dan "logia" (kata). Menurut Curtis and Hart (2020) menyatakan `pathological lying’ sebagai; "a persistent, pervasive, and often compulsive pattern of excessive lying behaviour that leads to clinically significant impairment of functioning in social, occupational, or other areas; causes marked distress; poses a risk to the self or others; and occurs for longer than 6 months".  Pseudologia merujuk pada kecenderungan untuk membuat kenyataan palsu atau berbohong secara terus-menerus dengan cara yang sangat meyakinkan dan menyebelahi kepada kepentingan dirinya. Orang yang memiliki pseudologia seringkali dapat membuat cerita atau pernyataan palsu secara terperinci dan sukar untuk dibezakan dari kebenaran. Pseudologia Fantastica dapat dikaitkan dengan gangguan keperibadian yang berfokus pada kecenderungan untuk merekacipta cerita atau mengada-adakan cerita. Mereka yang mengidap gangguan ini akan terdorong untuk berbohong tanpa sebarang motif yang jelas. Hubungan dengan `lara jiwa’ pula,  ia dapat dikaitkan dengan pelbagai gangguan keperibadian, seperti gangguan keperibadian lampau, narsistik, atau anti-sosial. Faktor-faktor seperti kurang  harga diri, rasa kurang diterima atau dicintai, maka untuk menutup kekurangan ini seseorang itu perlu berbohong.

Menonton persembahan teater Lara Jiwa Pseudologia  menciptakan sebuah pengalaman unik walaupun sedikit meresahkan. Sutradara memilih untuk menggabungkan elemen-elemen bentuk persembahan prosenium-arena di mana  penempatan ruang persembahan berkonsepkan prosenium, dan disusunletak pada empat sudut di sekeliling penonton menjadikannya tontonan berbentuk arena. Bagi penonton yang tidak biasa dengan bentuk pementasan sebegini, mungkin akan membuatkannya sedikit resah kerana terpaksa menoleh atau merobah kedudukan duduknya setiap kali berubahnya babak atau adegan. Bentuk prosenium-arena (bukan arena) mungkin sesuatu yang jarang dilihat oleh segelintir masyarakat kita. Namun ia bukan sesuatu yang mustahil dan bercanggah dalam era pasca modenisme atau avant-garde. Pelbagai eksperimentasi boleh dilakukan kepada bentuk dan kaedah pementasan teater asalkan ia tidak melanggar prinsip dan aturan asas berteater. Konsep ini memungkinkan adanya hubungan  interaksi yang lebih erat antara para pelakon dan penonton, walaupun masih mempertahankan elemen-elemen bentuk prosenium yang tradisional. Untuk mengaplikasikan bentuk pementasan prosenium-arena, panduan perlu jelas. Walaupun  terdapat adegan atau interaksi yang terjadi di setiap sudut ruang persembahan yang mengelilingi penonton, akan tetap ada suatu ’pentas utama’ yang masih mendominasi ruangan pusat. Ia menjadi ruang pemula cerita, ruang kemuncak dan penutup cerita. Maka amat penting bagi sutradaranya untuk memastikan bahawa elemen-elemen pentas dikelolakan dengan cermat supaya setiap sudut persembahan itu memberikan sumbangan yang signifikan pada naratif penceritaan keseluruhan.
Walaupun dalam pementasan Lara Jiwa Pseudologia menggunakan bentuk prosenium-arena namun dari segi lakonannya masih terbatas kepada bentuk prosenium.  Bentuk lakonan dalam konteks prosenium-arena sebenarnya memperlihatkan beberapa ciri yang lebih khusus seperti fleksibiliti penempatan pelakon yang tidak terbatas kepada panggung utama dan pelakon perlu memahami dan memanfaatkan keseluruhan ruang pementasan, termasuk keempat-empat sudut di sekitar penonton. Dari aspek keterlibatan penonton yang dikelilingi oleh ruang lakon, peluang untuk meningkatkan interaksi antara pelakon dan penonton lebih besar. Ini termasuklah dialog secara langsung, permainan bisnes lakon, interaksi dan lain-lain. Persembahan dalam pentas prosenium-arena menuntut penonton untuk berubah arah duduk dan pandang boleh menyebabkan konsentrasi penonton sedikit terganggu. Justeru amat penting untuk menjaga kesinambungan dalam naratif penceritaan secara keseluruhannya. Sutradara melalui para pelakonnya perlu bekerjasama untuk memastikan bahawa cerita yang disampaikan tetap utuh ikatannya dan dapat difahami oleh penonton dari segala sudut.

Keselesaan penonton merupakan kunci utama yang perlu dipertimbangkan dalam perencanaan pementasan teater, terutama dalam konteks teater prosenium-arena ini di mana penonton perlu berpindah atau berpaling untuk mengikuti perubahan posisi persembahan. Perlu dipastikan adanya tanda atau  petunjuk yang jelas untuk membimbing penonton di kala mereka berpindah dari satu posisi kepada posisi yang lain. Elemen penanda yang baik yang dapat difahami akan membantu penonton untuk melayari persembahan tanpa sebarang kesulitan. Penyediaan kerusi untuk penonton juga perlu bersifat mudah pusing kerana persembahan berada di sekeliling mereka (nasib baiklah di panggung Sasaran penontonnya disuruh duduk bersila, hanya perlu mengalih punggung dan leher sahaja). Mungkin juga perlu dipertimbangkan dalam aspek merancang pusingan posisi secara bertahap agar penonton tidak perlu berpaling secara tiba-tiba atau terlalu kerap. Ini penting untuk memastikan keselesaan penonton. Sebaiknya penonton diberikan informasi awal sebelum persembahan bermula mengenai kebarangkalian akan berlaku perubahan posisi kedudukan tontonan. Ini dapat membantu penonton untuk bersedia secara mental dan menjadikan penonton bersedia dan lebih selesa dengan sebarang perubahan.

Seperti juga beberapa drama lain ciptaan Yusof Bakar, drama Lara Jiwa Pseudologia ini berbentuk eksperimentasi pelbagai yang dapat dirangkumkan dalam pelbagai genre. Beliau cukup mahir bermain aspek berkaitan psikologi kemanusiaan dan fokus beliau adalah kepada isu permasalahan emosional dan psikologi watak yang menuntut penonton untuk membuat penafsiran dan renungan. Drama ini juga turut memasukkan elemen-elemen yang bersifat eksperimental, memaparkan `slice of life’ yang memberikan banyak kebebasan kepada penonton untuk menafsirkan mesej cerita dan memberikan makna. Yusof Bakar juga gemar memberikan sentuhan misteri atau thriller, bermain dengan realisme kontemporeri yang menghadirkan isu-isu sebenar dalam kehidupan seharian tanpa memberikan jawapan atau kesimpulan yang jelas sehingga pembaca dan penonton merasa terdorong untuk mencari makna di sebalik isu permasalahan yang ditampilkan.

Meskipun teater ini menggunakan set yang sederhana dan ringkas, namun tetap berjaya menciptakan suasana persembahan teater yang baik. Walaupun secara kasarnya, gandingan casting semacam kurang sesuai, namun dari aspek gabungan antara pelakon berpengalaman dan baru agak seimbang dan saling menyokong menjadikan hiasan latar set yang ringkas bukan penghalang, malah persembahannya tidak membosankan dan dapat diikuti sehingga ke akhirnya. Inilah kelebihan dan kebijaksanaan Yusof Bakar kerana dia tahu tanpa sokongan dana besar untuk penyediaan set latar yang penuh maka tumpuan beliau adalah kepada aset sedia ada iaitu pelakon yang versatile. Kejayaan teater ini banyak disokong oleh kehadiran individu-individu berpengalaman dan berbakat dalam lakonan.  Selain itu, pencahayaannya yang efektif, dapat menciptakan suasana yang tepat dan memfokuskan perhatian penonton.

Busana dapat membantu menentukan identiti dan keperibadian watak. Busana juga melambangkan ekonomi, budaya dan sosial watak. Busana yang baik dapat memperkuat watak dan membantu mengidentifikasikan peranan masing-masing. Namun dalam teater ini sutradara kurang memberikan tumpuan kepada aspek ini. Busana yang ditampilkan watak  agak biasa mungkin kerana mementingkan paparan realiti. Hanya watak Joe dan doktor yang agak jelas penampilan busana dengan aksesorinya sesuai dengan imej wataknya. Manakala busana watak-watak yang lain tiada menampakkan sebarang keistimewaan atau justifikasi untuk wataknya. 

Pencahayaan adalah aspek penting dalam pertunjukan teater dan dapat sangat mempengaruhi suasana dan pemahaman penonton terhadap sesebuah penceritaan. Dalam konteks pementasan Lara Jiwa Pseudologia, di mana penonton dikelilingi oleh ruang persembahan dari pelbagai arah, pencahayaannya terfokus pada kawasan-kawasan tertentu merujuk kepada fokus cerita pada sesuatu waktu. Ini membantu memberikan penekanan visual pada adegan atau watak tertentu. Penataan cahayanya juga banyak bermain dengan bentuk pencahayaan multi-directional atau pencahayan dari pelbagai sudut. Ia dapat membantu meningkatkan dimensi visual dan dramatik kepada persembahan tersebut. Pencahayaan sebegini memfokuskan tekstur ruang dan menampakkan aspek-aspek yang berbeza pada setiap sudut. Penggunaan warna pencahayaan dalam persembahan ini  juga  membantu menentukan suasana dan emosi dalam setiap adegan yang ditampilkan. Permainan pencahayaan lembut (soft) dan hangat (warm), tajam (sharp) dan sejuk (cool) berjaya menciptakan suasana yang berbeza dan meyakinkan. Begitu juga dengan aspek transisi pencahayaannya agak lancar dan tidak menganggu konsentrasi biarpun penonton dipaksa berpindah posisi berulangkali.

Keseluruhannya, menonton teater Lara Jiwa Pseudologia memang tidak membosankan. Pengalaman sutradaranya memang tidak boleh disangkalkan, ditambah lagi dengan pemikiran dalam naskah yang cukup mengesankan, disertakan dengan sokongan barisan pemain yang berpengalaman dan berbakat menjadikan keseluruhan penyampaian agak menghiburkan. Pelajar bidang Lakonan dan Pengarahan di USM sepatutnya tiada alasan untuk tidak menonton persembahan ini. Bukan selalu kita dapat menyaksikan pementasan berkualiti apatah lagi disutradarai oleh individu berpengalaman. Ia bakal memberikan pengalaman dan buah fikiran untuk anda menggarap naskah dan mementaskan nanti. Tahniah untuk team produksi Lara Jiwa Pseudologia. Teruskan usaha.

Rujukan
Drew A. Curtis & Christian L. Hart. (2020, Oct 16). Pathological Lying: Theoretical and Empirical Support for a Diagnostic Entity dalamPsychiatric Research & Clinical Practice. Vol 2. Issue 2. https://doi.org/10.1176/appi.prcp.20190046

SINOPSIS
Nan tiba-tiba tidak pulang ke rumah dan diisytihar hilang. Sahabat baiknya Grey pula tiba-tiba jatuh koma. Kini semua persoalan tertumpu kepada sahabat mereka seorang lagi iaitu Black. Situasi ini juga mengakibatkan berlakunya pertelingkahan di antara keluarga mereka. Saling mencurigai dan saling membenci menjadi norma, sehinggalah terbongkarnya rahsia yang tidak disangka-sangka. Apakah rahsia yang membawa kepada kehilangan Nan dan menjadi punca Grey koma?

Semuanya di dalam TEATER 'LARA JIWA PSEUDOLOGIA'
Karya dan Arahan YUSOF BAKAR

18, 19, 20 & 21 Januari 2024
8.30 malam
Panggung Sasaran
Universiti Sains Malaysia

RM 30 (Dewasa)
RM 20 (Pelajar)

Klik pautan ini untuk tiket :
https://upay.usm.my/teater
Pertanyaan :
IG pesta_teater_usm
Whatsapp +601125004059

#akubukanmanusiabaik
#stagelight
#livetheatre
#theatrelife
#theatre
#stagedirector
#teaterberilmu
#stage
#theatreworks
#rumahlakonrm
#Persatuanteatermalaysia
#leadership
#director
#theatrefanmalaysia
#theactorschannel
#stageCraft
#Performingartinmalaysia
#nextgenstagedirectors
#theatrethreesixty
#beritateatermalaysia
#suarateaternusantara
#kakiseni
#jomteater
#teatermalaysia
#beritateater
#teatermemanusiakanmanusia
#kakiseni

Comments

Popular Posts