Dari Naskah Drama Anak Tanjung ke Tulang -tulang Berserakan: Tafsiran Maruah dan Kemerdekaan

 

Dari Naskah Drama Anak Tanjung ke Tulang -tulang Berserakan:

Tafsiran Maruah dan Kemerdekaan

 Oleh

 Dr Andika Aziz Hussin

 





Dalam sejarah perkembangan teater Melayu moden dua naskah penting yang memperlihatkan pendekatan dramatik berbeza ialah Anak Tanjung karya SN Noordin Hassan dan Tulang-Tulang Berserakan karya SN Usman Awang (dalam adaptasi teater). Kedua-duanya lahir daripada kesedaran sejarah dan sosial bangsa Melayu tetapi bentuk, gaya serta penekanan mesejnya berbeza. Anak Tanjung menyorot isu maruah bangsa, kemiskinan dan manipulasi kuasa dalam masyarakat Melayu manakala Tulang-Tulang Berserakan mengangkat kisah penderitaan rakyat semasa zaman Darurat dan menekankan pengorbanan demi kemerdekaan sejati.

Dari segi tema, Anak Tanjung lebih menekankan kepada persoalan maruah bangsa dan kelemahan masyarakat Melayu dalam mendepani cabaran penjajahan serta kepincangan dalaman. Noordin Hassan menampilkan bagaimana pemimpin palsu seperti Qadir memperalatkan agama, simbol dan ideologi melalui kumpulan “Qadiri Petala Tujuh” untuk menguasai pengikutnya. Di samping itu kehidupan watak-watak seperti Sahak, Sapura, Hamzah, dan Mak Su memaparkan realiti sosial masyarakat seperti kemiskinan, pergantungan ekonomi serta konflik rumah tangga. Maruah, yang sepatutnya menjadi benteng harga diri digugat bukan sahaja oleh penjajahan tetapi juga oleh kelemahan peribadi dan pengkhianatan dalaman.

Sebaliknya Tulang-Tulang Berserakan berakar pada tema penderitaan rakyat di bawah penindasan kolonial British semasa Darurat (1948–1952). Naskah ini menyorot bagaimana masyarakat Melayu, bersama kaum lain berhadapan dengan penangkapan, pengeboman dan kekejaman sistem kolonial. Watak-watak seperti Salmiah, Ahmad B, dan Burhan H, merupakan cerminan tokoh sejarah sebenar seperti Shamsiah Fakeh, Ahmad Boestamam, dan Burhanuddin Helmi. Tema utama yang ditegaskan ialah bahawa kemerdekaan tidak pernah datang sebagai hadiah tetapi merupakan hasil daripada pengorbanan darah dan maruah rakyat.

Dari segi latar dan konflik pula Anak Tanjung berpusat di Pulau Pinang dengan latar masyarakat kampung, kesatuan Melayu dan pengaruh kolonial. Konfliknya bercampur antara politik, keluarga dan peribadi. Sahak misalnya, hilang arah hingga menolak nilai maruah, sementara Hamzah pula muncul sebagai suara nasionalisme yang sedar tentang kepentingan pendidikan dan perjuangan. Konflik perebutan kuasa antara ahli kumpulan Qadiri juga menambah lapisan dramatik, memperlihatkan bagaimana bangsa mudah terpedaya dengan simbol dan slogan kosong. Tulang-Tulang Berserakan pula memaparkan latar kampung yang dilanda darurat, polis kolonial dan ladang Inggeris. Konflik utamanya lebih jelas iaitu penindasan penjajah terhadap rakyat dan pengorbanan rakyat yang tidak pernah reda.

Dari aspek watak Anak Tanjung menampilkan karakter berlapis yang mewakili pelbagai sudut masyarakat. Qadir ialah simbol pemimpin oportunis, Sahak pula adalah lambang lelaki Melayu yang terpinggir dan hilang maruah, Sapura pula mewakili wanita Melayu yang setia tetapi tertekan, Hamzah mewakili generasi muda yang berpendidikan dan progresif, sementara Mak Su menjadi suara rakyat kecil. Watak-watak ini menggambarkan perpecahan dan pertembungan nilai dalam masyarakat Melayu. Dalam Tulang-Tulang Berserakan, watak-wataknya lebih berfungsi sebagai representasi sejarah dan kolektif. Salmiah melambangkan perjuangan wanita, Ahmad B dan Burhan H mewakili semangat nasionalisme politik manakala watak-watak kolonial dan rakyat bawahan memperlihatkan pertentangan kelas serta kuasa.

Perbezaan yang paling ketara dapat dilihat pada aspek gaya dan bentuk. Anak Tanjung menggunakan pendekatan teater sindiran dan simbolik dengan pengaruh teater tradisi Melayu moden. Unsur boria, puisi, tarian seperti “Melati Putih” dan “Selendang Merah” serta alegori seperti kisah burung dalam sangkar menjadikan pementasan sarat dengan simbolisme. Noordin Hassan menggunakan bahasa yang penuh perumpamaan, sindiran sosial dan satira politik. Penonton bukan sahaja menonton pementasan tetapi juga dituntut menafsir lapisan makna yang tersirat. Sebaliknya, Tulang-Tulang Berserakan berbentuk teater epik Brechtian. Naskah ini bersifat episodik, memecahkan naratif linear kepada beberapa bahagian seperti episod pengeboman, penangkapan dan perarakan. Kehadiran narator, teknik historifikasi, serta penggunaan kesan penjarakan (verfremdungseffekt) mengingatkan penonton bahawa mereka sedang menyaksikan sejarah yang perlu ditafsir secara kritis, bukan sekadar dihayati secara emosional. Watak tidak ditekankan dari segi psikologi individu, tetapi dilihat sebagai lambang ideologi, kelas sosial dan perjuangan kolektif.

Manakala dari segi mesej, Anak Tanjung menegaskan bahawa bangsa Melayu perlu bangkit daripada kelemahan, memulihkan maruah dan tidak mudah diperdaya oleh pemimpin palsu yang hanya mementingkan diri. Pendidikan, keberanian, dan kesedaran politik menjadi kunci kepada kebangkitan. Tulang-Tulang Berserakan pula menegaskan bahawa kemerdekaan sejati hanya dapat dicapai melalui pengorbanan dan penderitaan rakyat tidak sia-sia kerana daripadanya lahir semangat perjuangan untuk masa depan bangsa.

Kesimpulannya meskipun Anak Tanjung dan Tulang-Tulang Berserakan berbeza dari segi gaya dan bentuk kedua-duanya bertemu pada matlamat yang sama: membangkitkan kesedaran tentang maruah bangsa dan perjuangan rakyat. Anak Tanjung menyelami perpecahan dalaman melalui sindiran sosial dan simbolisme budaya, manakala Tulang-Tulang Berserakan menegaskan pengorbanan sejarah bangsa melalui bentuk epik yang sarat dengan kesedaran politik. Perbandingan ini membuktikan bahawa teater Melayu tidak harus dipandang semata-mata sebagai hiburan tetapi sebagai wahana pendidikan dan renungan; sebuah pentas perjuangan yang menuntut penonton bukan sahaja berempati tetapi juga berfikir, menilai, dan akhirnya bertindak. Teater dalam kedua-dua naskah ini menjadi cermin dan juga obor; cermin untuk kita melihat kelemahan diri dan obor untuk menerangi jalan ke arah kebangkitan bangsa.

Comments

Popular Posts