Hasad Dengki dalam Kalangan Penggiat Teater: Suatu Analisis Sosial terhadap Kekangan Perkembangan Teater Malaysia

 

Hasad Dengki dalam Kalangan Penggiat Teater: Suatu Analisis Sosial terhadap Kekangan Perkembangan Teater Malaysia

 

Pengenalan

Dalam konteks perkembangan seni teater di Malaysia, hasad dengki dalam kalangan penggiat bukanlah fenomena baharu. Ia muncul dalam pelbagai bentuk samada daripada persaingan tidak sihat antara individu dan kumpulan hingga kepada tindakan sabotaj dan fitnah yang menjejaskan usaha kolektif dalam penghasilan produksi. Teater sepatutnya menjadi ruang ekspresi kreatif, pendidikan masyarakat dan wacana kritikal terhadap isu sosial. Namun apabila hasad dengki membayangi hubungan antara penggiat, potensi teater sebagai wahana seni dan pendidikan terganggu. Artikel ini membincangkan bagaimana fenomena hasad dengki mengekang perkembangan teater Malaysia dengan merujuk kepada kerangka teori sosial seperti konsep cultural capital (Pierre Bourdieu) dan third space (Homi K. Bhabha).

Hasad Dengki sebagai Simptom Struktur Sosial

Menurut Bourdieu (1984), setiap medan seni mempunyai struktur hierarki yang ditentukan oleh bentuk modal tertentu seperti cultural capital, social capital dan symbolic capital. Dalam medan teater Malaysia penggiat berlumba-lumba mengumpul pengiktirafan melalui anugerah, peluang pementasan, serta pengaruh dalam komuniti seni. Hasad dengki timbul apabila perebutan modal budaya ini gagal diuruskan secara sihat. Individu yang berjaya sering dilihat sebagai ancaman bukan sebagai inspirasi. Justeru hasad dengki bukan sekadar penyakit individu tetapi suatu simptom kepada struktur sosial teater yang menekankan persaingan status berbanding kolaborasi.

Kesan terhadap Dinamika Kerjasama

Teater sebagai seni kolektif menuntut hubungan harmoni antara pelbagai lapisan penggiat – penulis, pengarah, pelakon, pereka set, penata cahaya dan tenaga teknikal. Namun sikap dengki sering mengakibatkan boikot, perpecahan kumpulan serta keengganan untuk berkongsi ilmu dan pengalaman. Fenomena ini boleh ditafsirkan menerusi kerangka third space oleh Bhabha (1994) iaitu ruang pertembungan budaya yang berpotensi melahirkan hibriditi kreatif. Malangnya dalam situasi hasad dengki, third space ini gagal berfungsi kerana bukannya melahirkan pertukaran idea, ia menjadi ruang penuh kecurigaan dan konflik. Akibatnya potensi kolaborasi silang budaya dan inovasi artistik menjadi terbantut.

Dampak terhadap Kualiti dan Inovasi Teater Malaysia

Kesan paling jelas daripada budaya hasad dengki ialah pengekangan kreativiti. Teater yang sepatutnya menjadi medium eksperimen artistik berubah menjadi arena pertarungan ego. Penggiat lebih menumpukan kepada menjatuhkan lawan berbanding mempertingkatkan mutu produksi. Ini sejajar dengan pandangan Bourdieu bahawa medan seni sentiasa dipengaruhi oleh perebutan kuasa simbolik. Natijahnya penonton sering disajikan dengan produksi yang kurang segar, berulang dan tidak berani mencabar minda. Situasi ini menjejaskan reputasi teater Malaysia bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga di pentas antarabangsa.

Kesan terhadap Sokongan Luar dan Kelestarian Teater

Selain menjejaskan kreativiti dalaman, budaya dengki - mendengki turut meruntuhkan kepercayaan pihak luar terhadap teater. Penonton, penaja dan badan kerajaan melihat konflik dalaman sebagai tanda ketidakprofesionalan. Dari sudut jangka panjangnya ia mengurangkan sokongan kewangan dan moral yang amat diperlukan untuk kelangsungan produksi. Teater akhirnya terperangkap dalam lingkaran kelemahan: tanpa sokongan, kualiti sukar ditingkatkan. Maka tanpa peningkatan kualiti kepercayaan masyarakat tidak dapat dipulihkan.

Cadangan Jalan Penyelesaian

Untuk keluar daripada kemelut ini, perlu wujud perubahan paradigma dalam kalangan penggiat. Pertama, pendidikan teater harus menekankan nilai kolaborasi dan empati. Institusi Pengajian seni boleh memperkenalkan modul khusus yang mengajar pengurusan konflik, kerja berpasukan dan etika profesional. Kedua, platform kolaboratif yang inklusif perlu diwujudkan bagi menggalakkan pertukaran idea merentas kumpulan dan generasi. Ketiga, pihak berautoriti dalam bidang seni harus mengangkat naratif bahawa kejayaan individu merupakan kejayaan kolektif dan setiap pencapaian bakal membuka ruang yang lebih luas untuk perkembangan teater di peringkat nasional.

Kesimpulan

Fenomena hasad dengki dalam kalangan penggiat teater di Malaysia tidak boleh dipandang ringan kerana ia merupakan faktor yang mengekang perkembangan seni ini. Dengan memahami fenomena ini melalui lensa teori sosial jelas bahawa ia bukan sekadar masalah individu tetapi hasil daripada struktur medan seni yang sarat dengan perebutan modal budaya dan kuasa simbolik. Selagi penggiat teater gagal mengikis sikap hasad dengki selagi itulah teater Malaysia akan terperangkap dalam kitaran konflik dalaman yang merugikan. Sebaliknya dengan membudayakan semangat apresiasi, solidariti, dan kolaborasi, teater Malaysia berpotensi untuk berkembang sebagai wahana seni yang bukan sahaja memikat penonton, tetapi juga membina kesedaran dan jati diri bangsa di peringkat global.

 

Comments

Popular Posts