TEATER ALIENASI BRECHT DAN RELEVANSINYA DALAM KONTEKS MALAYSIA
TEATER
ALIENASI BRECHT DAN RELEVANSINYA DALAM KONTEKS MALAYSIA
Bertolt
Brecht merupakan salah seorang tokoh penting dalam sejarah teater abad ke-20
yang memperkenalkan pendekatan alienasi atau Verfremdungseffekt.
Pendekatan ini lahir daripada pengalaman hidupnya yang penuh dengan konflik dan
pergolakan. Brecht melalui zaman Perang Dunia Pertama yang menyaksikan
kejatuhan Republik Weimar, kebangkitan Nazi di Jerman serta merasai sendiri
pengalaman hidup sebagai pelarian politik. Dari situ beliau menyedari bahawa
seni khususnya teater boleh dimanipulasi untuk menjadi alat propaganda yang
mengawal emosi massa. Brecht menolak gaya teater realisme dan naturalisme yang
dominan pada zamannya, kerana baginya bentuk teater sebegini terlalu menekankan
emosi hingga menjadikan penonton pasif. Sebaliknya Brecht menginginkan sebuah
teater yang membebaskan penonton daripada khayalan dan mengajak mereka berfikir
secara kritis terhadap realiti sosial.
Ideologi
Marxis turut memberi pengaruh besar terhadap estetikanya. Brecht percaya bahawa
seni mempunyai tanggungjawab sosial untuk membuka mata kelas pekerja terhadap
penindasan kapitalis. Teater tidak lagi harus difahami sekadar ruang pelepasan
emosi atau hiburan tetapi sebagai “sekolah politik” yang mencungkil kesedaran
masyarakat. Beliau terinspirasi oleh bentuk teater bukan Barat khususnya opera
Cina yang tidak bergantung kepada ilusi realistik. Daripada situ Brecht
menggabungkan teknik seperti penggunaan narator, muzik, papan tanda serta
lakonan yang sengaja memecahkan ilusi watak untuk menjarakkan penonton daripada
keterikatan emosi penuh. Baginya teater adalah sebuah makmal sosial di mana
penonton dapat menilai sebab dan akibat sesuatu peristiwa dengan rasional bukan
sekadar hanyut dalam perasaan.
Pendekatan
Brecht ini amat signifikan apabila dilihat dalam konteks Malaysia hari ini.
Negara kita sedang berdepan dengan pelbagai isu semasa seperti
ketidaksamarataan sosial, rasuah, birokrasi yang pincang, politik identiti dan
pelbagai bentuk ketidakadilan yang memberi kesan langsung kepada rakyat.
Keadaan ini sering membuatkan masyarakat hanyut dalam emosi marah atau kecewa
tanpa benar-benar menyoal punca struktur dan sistem yang melahirkan masalah
tersebut. Dengan mengaplikasikan pendekatan alienasi, teater di Malaysia boleh
menjadi medium untuk mengajak penonton bukan sahaja bersimpati dengan kisah
yang dipentaskan tetapi juga mengkritik dan menyoal sistem yang menjadi akar
kepada masalah itu. Sebagai contoh dalam adegan tentang keluarga miskin yang
terhimpit dengan kenaikan harga barang, pelakon boleh menghentikan seketika
adegan dan bertanya kepada penonton: “Siapa sebenarnya yang mengawal harga,
dan mengapa kita hanya berdiam diri?” Dengan itu penonton tidak sekadar
tersentuh hati tetapi mula berfikir tentang realiti sosial di sekeliling
mereka.
Selain
itu masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, budaya dan agama memberi peluang
yang luas untuk menggabungkan estetika teater alienasi dengan bentuk
persembahan tradisional tempatan seperti bangsawan, mak yong, wayang kulit atau
opera Cina. Penggabungan ini bukan sahaja memperkayakan bentuk persembahan
tetapi juga menjarakkan penonton daripada ilusi cerita yang realistik. Ia boleh
digunakan untuk membincangkan isu-isu sensitif seperti tanah adat Orang Asli,
kemiskinan bandar atau ketidakadilan gender secara berlapik tanpa perlu
menyebut nama individu atau parti politik secara terang-terangan. Dengan
demikian alienasi bukan sekadar teknik estetika tetapi juga strategi budaya
untuk membolehkan kritikan sosial diungkap dengan lebih bijaksana.
Pendekatan
ini turut menjadi strategi selamat dalam konteks Malaysia yang mempunyai garis
sempadan terhadap kebebasan bersuara. Melalui simbol, satira dan metafora,
mesej kritikal dapat disampaikan dengan halus tetapi mendalam. Teknik seperti
lagu, papan tanda atau peranan narator menjadikan penonton lebih terbuka untuk
menerima mesej kerana mesej itu tidak disampaikan secara langsung tetapi
melalui bentuk kreatif yang mengundang renungan. Dalam dunia pendidikan,
pendekatan ini juga sangat relevan khususnya di sekolah dan universiti. Ia
boleh digunakan untuk mengajar semula sejarah, sastera atau isu-isu masyarakat
dengan cara yang mengaktifkan pemikiran kritis pelajar bukan sekadar menghafal
fakta.
Salah
satu kunci utama dalam teater alienasi Brecht ialah peranan pelakon. Pelakon
tidak diminta untuk sepenuhnya “menjadi” watak secara naturalistik seperti
dalam kaedah Stanislavski. Sebaliknya pelakon harus mempersembahkan atau
mendemonstrasikan watak itu. Tujuannya ialah supaya wujud jarak kritis antara
pelakon dengan watak dan penonton pula tidak hanyut dalam ilusi realiti tetapi
kekal sedar bahawa apa yang dipentaskan hanyalah sebuah representasi. Contohnya
daripada menangis dengan penuh emosi sebagai watak, pelakon boleh menunjukkan
bagaimana watak itu menangis sambil menambah gerak atau ulasan yang menyedarkan
penonton bahawa itu hanya lakonan. Malah pelakon boleh tiba-tiba keluar
daripada watak untuk bercakap terus kepada penonton atau menukar gaya lakonan
di tengah adegan sebagai tanda bahawa persembahan ini bersifat “dibina” dan
bukan realiti sebenar. Dengan cara ini penonton sentiasa diingatkan: “Ini
hanyalah sebuah kisah yang sedang dipentaskan untuk anda; fikirkan mengapa ia
dipersembahkan dengan cara sebegini.”
Kepentingan
pendekatan ini dapat dilihat apabila dibandingkan dengan gaya realisme. Dalam
teater realisme pelakon benar-benar berusaha menjadi watak sehingga penonton
percaya dengan penuh emosi. Hasilnya penonton akan menangis kerana kasihan
tetapi selepas tamat persembahan mereka kembali kepada kehidupan tanpa sebarang
perubahan. Sebaliknya dalam teater Brecht, penonton diganggu daripada
kenyamanan itu supaya mereka sentiasa bertanya: “Mengapa watak itu miskin?
Siapa yang bertanggungjawab? Apa kaitannya dengan masyarakat kita?”
Misalnya adegan pekerja kilang yang dibuang kerja, gaya realisme mungkin hanya
menekankan ratapan dan tangisan tetapi gaya Brecht akan memecahkan adegan
dengan pelakon berpaling kepada penonton dan berkata: “Beginilah nasib
ribuan pekerja kontrak di negara ini, dibuang tanpa pampasan. Esok mungkin
giliran anda. Siapa yang sepatutnya bertanggungjawab?” Dalam hal ini
penonton bukan sekadar kasihan tetapi mula berfikir tentang sistem pekerjaan
yang tidak adil.
Kesimpulannya
teater alienasi Brecht lahir daripada gabungan pengalaman sejarah, ideologi
politik dan eksperimen estetika untuk menjadikan teater sebagai alat perubahan
sosial. Dalam konteks Malaysia pendekatan ini sangat relevan kerana ia bukan
sahaja membolehkan penonton mengkritik realiti dengan lebih rasional tetapi
juga berfungsi sebagai strategi budaya dan pendidikan. Teater tidak lagi hanya
menjadi wadah hiburan tetapi juga sebagai cermin yang memantulkan persoalan
masyarakat dan tukul yang membentuk kesedaran baharu dalam kalangan rakyat
Comments