ADAPTASI ATAU ORIGINAL? Isu Etika, Pedagogi dan Kejujuran Intelektual dalam Penulisan dan Pementasan Teater Pelajar

 

ADAPTASI ATAU ORIGINAL?

Isu Etika, Pedagogi dan Kejujuran Intelektual dalam Penulisan

dan Pementasan Teater Pelajar

 

Dalam latihan teater di peringkat pengajian tinggi, adaptasi karya sastera sering dijadikan medium pedagogi untuk melatih kefahaman teks, keupayaan dramaturgi serta kecekapan menterjemahkan naratif kepada bentuk pementasan. Ini adalah amalan lazim kerana ia memperkenalkan dan mendedahkan pelajar dengan tradisi penulisan, struktur dramatik dan pemikiran pengarang-pengarang terdahulu. Namun demikian adaptasi juga membawa bersamanya satu persoalan dasar yang semakin ketara dalam kebanyakan Projek Akhir Pelajar Teater hari ini iaitu: apakah batas etika apabila sesebuah karya adaptasi telah mengubah mesej, pemikiran dan plot asal secara menyeluruh tetapi masih mengekalkan nama, tajuk dan autoriti karya asal?

Persoalan ini bukan sekadar bersifat teknikal semata-mata tetapi menyentuh intipati kejujuran intelektual, etika kepenulisan, dan tanggungjawab pedagogi dalam pendidikan seni persembahan. Dalam banyak kes projek pelajar kita dapati adaptasi tidak lagi berfungsi sebagai dialog dengan teks asal sebaliknya telah menjadi karya baharu yang berdiri atas pemikiran, konflik dan penyelesaian yang berbeza. Namun karya tersebut masih diposisikan sebagai adaptasi dan menggunakan tajuk serta rujukan asal seolah-olah meminjam legitimasi sastera dan simbolik daripada pengarang terdahulu. Di sinilah letaknya masalah etika yang perlu ditangani secara serius.

Secara prinsipnya adaptasi yang beretika menuntut kesetiaan terhadap roh karya bukan kesetiaan literal terhadap plot atau dialog. Kesetiaan ini merujuk kepada pemikiran teras, mekanisme konflik, logik dramatik dan falsafah naratif yang menggerakkan karya asal. Perubahan dalam adaptasi dibenarkan dan malah sangat digalakkan tetapi perubahan tersebut seharusnya berfungsi untuk menyesuaikan karya dengan medium baharu. Contohnya daripada cerpen ke teater, adaptasi bukanlah untuk menggantikan ideologi atau mesej asal dengan yang baharu tanpa pengakuan jujur. Apabila teras pemikiran ini masih dapat dikenali maka penggunaan tajuk dan kredit asal masih wajar dan beretika. Namun masalah timbul apabila adaptasi pelajar mengubah secara asas struktur dan pemaknaan karya. Perubahan ini merangkumi penggantian konflik psikologi dengan konflik sosial, penyingkiran mekanisme ironi utama, penciptaan penyelesaian baharu yang bertentangan dengan logik asal serta pembinaan watak yang berfungsi di bawah sistem nilai yang berbeza. Karya tersebut sebenarnya telah melangkaui adaptasi dan bergerak ke wilayah reinterpretasi bebas atau karya original yang diinspirasikan. Jika perubahan ini tidak diakui secara jelas maka akan berlaku apa dianggap sebagai misrepresentation iaitu penggunaan nama karya dan pengarang asal untuk mewakili sesuatu yang tidak lagi setia kepada pemikiran asalnya.

Dari sudut etika kepenulisan tindakan ini menimbulkan beberapa implikasi negatif. Pertama, ia mengelirukan penonton dan penilai yang menjangkakan satu dialog dengan teks asal tetapi disajikan pula dengan naratif baharu yang tidak lagi berkait secara substansial. Kedua, ia melemahkan hujah akademik pelajar sendiri kerana adaptasi tersebut sukar dipertahankan secara konseptual dalam sesi viva atau penilaian. Ketiga, yang lebih membimbangkan lagi ia menanam satu budaya tidak sihat dalam kalangan pelajar iaitu kepercayaan bahawa menumpang nama besar karya sedia ada adalah jalan mudah untuk menghalalkan idea sendiri tanpa perlu memikul sepenuhnya tanggungjawab sebagai pengarang.

Dalam konteks pendidikan menulis karya yang original sebenarnya lebih jujur dan lebih mendidik berbanding adaptasi separuh-setia. Jika pelajar telah membina mesej, konflik dan penyelesaian yang baharu maka dengan mengisytiharkan karya tersebut sebagai original bukanlah satu kelemahan tetapi satu bentuk keberanian intelektual. Ia membolehkan pelajar dinilai atas kekuatan idea sendiri, membina identiti penulis dan memahami bahawa kreativiti juga datang bersama tanggungjawab etika. Dalam dunia profesional keberanian ini jauh lebih dihargai berbanding karya yang kabur kedudukannya antara adaptasi dan original.

Penggunaan tajuk asal dalam keadaan perubahan menyeluruh juga wajar dipersoalkan. Tajuk bukan sekadar label tetapi janji pemaknaan kepada penonton. Apabila tajuk dikekalkan sedangkan isi telah berubah maka janji tersebut telah dikhianati. Dari sudut pedagogi ini mencerminkan kegagalan memahami konsep adaptasi itu sendiri. Adaptasi bukan lesen bebas untuk mengambil cerita orang dan mengubah sesuka hati sebaliknya satu proses dialog kritikal yang menuntut penghormatan terhadap struktur pemikiran asal.

Oleh itu garis pemisah antara adaptasi dan karya original perlu dipertegaskan secara jelas dalam pendidikan teater. Pelajar harus dididik untuk membuat pilihan yang tegas sama ada setia sebagai adaptasi atau berani sebagai karya original. Kedua-duanya sah dan bernilai tetapi ia menuntut kejujuran yang berbeza. Karya yang berdiri di Tengah, tidak setia sebagai adaptasi dan tidak jujur sebagai original ialah karya yang paling lemah dari segi etika dan artistik.

Peranan pensyarah dan panel penilai dalam konteks ini bukan sekadar menilai hasil akhir tetapi membentuk kerangka pemikiran pelajar tentang tanggungjawab sebagai pengkarya. Teguran terhadap isu adaptasi bukan bertujuan menghukum kreativiti tetapi untuk mengasah integriti intelektual. Dengan menetapkan garis panduan yang jelas pelajar akan memahami bahawa adaptasi ialah satu bentuk dialog dengan pengarang lain manakala karya original ialah dialog dengan diri sendiri. Kedua-duanya mulia, jika dilakukan dengan jujur.

Kesimpulannya isu adaptasi versus karya original bukan sekadar persoalan teknik dramatik tetapi cerminan kematangan disiplin teater itu sendiri. Dalam mendidik pelajar teater kita bukan hanya melatih mereka menghasilkan pementasan tetapi membentuk cara berfikir, menulis dan bertanggungjawab terhadap idea. Etika adaptasi yang jelas akan memastikan bahawa kreativiti berkembang seiring dengan integriti dan bahawa teater sebagai satu disiplin terus dipelihara sebagai ruang pemikiran yang jujur, kritikal dan berprinsip.

Comments

Popular Posts