MENGHIDUPKAN KARYA SASTERA KE PENTAS: TRADISI ADAPTASI NOVEL MELAYU OLEH BAHAGIAN LAKONAN DAN PENGARAHAN, PUSAT PENGAJIAN SENI UNIVERSITI SAINS MALAYSIA (2020–2026)

 

MENGHIDUPKAN KARYA SASTERA KE PENTAS: TRADISI ADAPTASI NOVEL MELAYU OLEH BAHAGIAN LAKONAN DAN PENGARAHAN, PUSAT PENGAJIAN SENI UNIVERSITI SAINS MALAYSIA (2020–2026)

Oleh

DR ANDIKA AZIZ HUSSIN (USM)

Abstrak

Hubungan antara kesusasteraan dan seni persembahan merupakan satu hubungan yang saling melengkapi dalam proses pembinaan tamadun sesebuah bangsa. Walaupun novel lazimnya dinikmati sebagai bahan bacaan, perkembangan seni persembahan moden memperlihatkan bahawa karya sastera turut berpotensi diterjemahkan ke dalam bentuk visual dan dramatik tanpa menghilangkan nilai pemikiran yang terkandung di dalamnya. Dalam konteks ini, Bahagian Lakonan dan Pengarahan, Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM) telah memperlihatkan satu usaha yang konsisten melalui Pesta Teater USM apabila menjadikan adaptasi novel sebagai salah satu identiti utama festival tersebut. Bermula dengan pementasan Seorang Tua di Kaki Gunung pada tahun 2020 dan diteruskan dengan TiVi (2021), Musafir (2022), Senjakala (2023), Aci Patmabi (2024), Tulang-Tulang Berserakan (2025) dan Menguak Kabus (2026), kesinambungan ini membuktikan bahawa adaptasi novel bukan lagi sekadar pilihan artistik sebaliknya merupakan satu pendekatan pedagogi yang menyepadukan bidang kesusasteraan, dramaturgi dan pendidikan teater. Artikel ini membincangkan falsafah pemilihan karya, peranan Bahagian Lakonan dan Pengarahan bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara serta impaknya terhadap pembangunan pelajar dan kelestarian warisan sastera negara.

 

Pengenalan

Kesusasteraan dan teater merupakan dua cabang seni yang lahir daripada keperluan manusia untuk memahami kehidupan, merakam sejarah serta menyampaikan pemikiran kepada masyarakat. Walaupun kedua-duanya menggunakan medium yang berbeza namun matlamat akhirnya tetap sama iaitu membentuk kesedaran, mencetuskan renungan dan memperkukuhkan nilai kemanusiaan. Novel menyampaikan cerita melalui bahasa penulisan manakala teater menghidupkan cerita tersebut melalui tubuh pelakon, ruang pentas, cahaya, bunyi dan interaksi dengan penonton.

Dalam dunia akademik, adaptasi karya sastera ke pentas bukanlah proses yang mudah. Ia memerlukan penelitian terhadap struktur naratif, pembinaan watak, konteks sejarah, latar budaya dan falsafah pengarang. Sutradara, dramaturg dan pelakon perlu mentafsir semula teks tanpa menghilangkan roh karya asal. Justeru adaptasi bukan sekadar proses menukar novel kepada dialog tetapi merupakan proses penterjemahan intelektual daripada satu medium kepada medium yang lain. Dalam konteks pendidikan seni persembahan di Malaysia, Bahagian Lakonan dan Pengarahan, Pusat Pengajian Seni USM telah memperlihatkan satu pendekatan yang unik apabila secara konsisten mengangkat novel-novel penting Malaysia ke pentas melalui Pesta Teater USM. Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuhkan latihan profesional pelajar malah turut menyumbang kepada usaha memartabatkan karya sastera kebangsaan dalam bentuk yang lebih dekat dengan masyarakat.

 

 

 

 

Tradisi Adaptasi Novel dalam Pesta Teater USM

Bermula pada tahun 2020 Pesta Teater USM memperlihatkan satu kesinambungan yang luar biasa apabila setiap tahun memilih sebuah novel penting negara untuk diadaptasikan sebagai produksi utama festival. Kronologi tersebut adalah seperti berikut:

 

  • 2020 – Seorang Tua di Kaki Gunung karya Azizi Haji Abdullah adaptasi oleh Yusof Bakar, arahan Encik Halimi Mohd Noh
  • 2021 – TiVi karya Shahnon Ahmad adaptasi oleh Siti Fatimah Manaf, arahan Dr Azrul Azizi Amirul
  • 2022 – Musafir karya Hassan Ali adaptasi oleh Siti Fatimah Manaf, arahan Dr Azrul Azizi Amirul
  • 2023 – Senjakala karya Baharuddin Kahar adaptasi oleh Siti Fatimah Manaf, arahan Dr Azrul Azizi Amirul
  • 2024 – Aci Patmabi karya Azmi Iskandar adaptasi oleh Siti Fatimah Manaf, arahan Dr Azrul Azizi Amirul
  • 2025 – Tulang-Tulang Berserakan karya Usman Awang adaptasi oleh Mohd Anwar Zulkifli, arahan Dr Andika Aziz Hussin
  • 2026 – Menguak Kabus karya Norhisham Mustaffa adaptasi oleh Yusof Bakar, arahan Dr Azrul Azizi Amirul

 

Apabila diperhalusi secara mendalam, pemilihan karya-karya novel yang diadaptasikan dalam Pesta Teater USM dari tahun 2020 hingga 2026 memperlihatkan satu kecenderungan yang sangat signifikan. Karya-karya tersebut tidak dipilih secara rawak, tidak juga semata-mata kerana populariti pengarang atau kemasyhuran judulnya. Sebaliknya setiap novel yang dipilih membawa persoalan besar yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat Malaysia, perubahan zaman, hubungan manusia dengan alam, krisis identiti, nilai kemanusiaan, persoalan agama, sejarah bangsa serta pembinaan negara. Hal ini menunjukkan bahawa Pesta Teater USM bukan sekadar ruang pementasan tahunan tetapi telah berkembang menjadi sebuah platform akademik yang menghubungkan dunia kesusasteraan dengan seni persembahan secara serius dan bermakna.

Pemilihan novel seperti Seorang Tua di Kaki Gunung, misalnya memperlihatkan keprihatinan terhadap persoalan tradisi, alam dan perubahan sosial. Novel ini tidak hanya bercerita tentang seorang tua yang mempertahankan cara hidupnya tetapi mengangkat konflik antara dunia lama dengan dunia baharu. Melalui adaptasi ke pentas, persoalan ini dapat diterjemahkan secara lebih hidup melalui tubuh pelakon, ruang, bunyi, cahaya dan simbol pentas. Penonton bukan sahaja memahami konflik watak melalui pembacaan tetapi dapat merasai ketegangan antara nilai tradisional dengan arus pemodenan yang semakin menekan kehidupan manusia.

Begitu juga dengan TiVi karya Shahnon Ahmad yang membawa kritikan tajam terhadap pengaruh media massa dalam masyarakat. Pemilihan karya ini menunjukkan bahawa Pesta Teater USM turut membuka ruang kepada wacana tentang masyarakat moden, kuasa media, budaya hiburan dan pembentukan pemikiran manusia melalui teknologi. Apabila novel ini diangkat ke pentas, kritikan sosial yang terkandung dalam teks asal dapat disampaikan secara lebih langsung kepada khalayak. Teater dalam konteks ini menjadi medium kesedaran bukan sekadar hiburan. Ia mengajak penonton menilai semula cara media mempengaruhi cara mereka berfikir, bertindak dan memahami realiti.

Novel Musafir pula memperluaskan dimensi pemilihan karya kepada persoalan kerohanian, pencarian makna hidup dan perjalanan manusia sebagai makhluk yang sentiasa diuji oleh keadaan. Konsep “musafir” bukan sahaja merujuk kepada perjalanan fizikal tetapi juga perjalanan batin, moral dan spiritual. Melalui adaptasi teater, pengalaman perjalanan ini dapat divisualkan sebagai proses pencarian diri, pergelutan nilai dan hubungan manusia dengan Tuhan, masyarakat serta dirinya sendiri. Di sinilah pentas berfungsi sebagai ruang renungan yang menghubungkan pengalaman individu dengan persoalan kewujudan yang lebih luas.

Sementara itu, Senjakala karya Baharudin Kahar membawa persoalan usia tua, kesunyian, maruah, alam dan perubahan zaman. Watak pemburu tua dalam novel ini boleh dibaca sebagai lambang kecekalan hati seorang manusia yang tidak mahu menerima kekalahan, tentang harga diri dan kasih sayang. Ia juga mencakup hubungan manusia dengan Tuhannya, alam dan sesama manusia. Di atas segala-galanya tersimpan falsafah tentang proses pencarian diri, tentang kewujudan kita yang perlu menerima kekalahan bersandarkan kesedaran pada keagungan Tuhan. Adaptasi karya sebegini memberi peluang kepada pelajar dan penonton untuk memahami bahawa sastera bukan hanya berbicara tentang cerita, tetapi turut menyimpan renungan mendalam tentang keadaan manusia. Dalam konteks pementasan, tema seperti kesunyian, usia tua dan hubungan manusia dengan alam boleh diterjemahkan melalui pergerakan perlahan, ruang kosong, bunyi alam dan pencahayaan yang membina suasana kontemplatif.

Pemilihan Aci Patmabi pula memperlihatkan kepekaan terhadap sejarah tempatan, identiti budaya dan masyarakat majmuk, pada zaman penjajahan British di Pulau Pinang pada abad ke-19. Kisah ini menyaksikan bagaimana pulau mutiara itu tergadai ke tangan bangsa asing, kelicikan kaum penjajah dan keterlekaan kaum peribumi. Protagonis Patmabi bagaikan wirawati yang cuba menyelamatkan Pulau Pinang dan nasib segugus peribumi penghuninya. Novel ini penting kerana ia membuka ruang perbincangan tentang kepelbagaian budaya, hubungan antara komuniti dan sejarah yang sering tidak mendapat tempat utama dalam naratif besar negara. Apabila karya seperti ini dipentaskan di USM, ia bukan sahaja memperkenalkan pelajar kepada karya sastera tetapi turut mendidik mereka tentang pentingnya memahami sejarah setempat, identiti masyarakat dan sensitiviti budaya. Ini menjadikan teater sebagai ruang dialog antara masa lalu dengan masa kini.

Tulang-Tulang Berserakan karya Usman Awang pula membawa dimensi sejarah dan pembinaan negara. Novel ini tidak hanya berlatarkan Zaman Darurat tetapi turut mengangkat persoalan perjuangan, pengorbanan, kekuasaan, ideologi dan kemanusiaan di tengah-tengah konflik bersenjata. Melalui pendekatan Teater Epik, pementasan karya ini dapat membawa penonton melihat sejarah secara kritis, bukan sekadar emosional. Penonton diajak berfikir tentang siapa yang menulis sejarah, siapa yang menjadi mangsa, siapa yang berkuasa dan bagaimana manusia biasa terperangkap dalam pertarungan politik serta ideologi. Dalam hal ini, adaptasi novel menjadi medan untuk menilai semula sejarah bangsa melalui bahasa pentas.

Pementasan Menguak Kabus pula bakal dipersembahkan pada bulan Oktober 2026 nanti bakal meneruskan tradisi ini dengan membawa persoalan pencarian kebenaran, harapan dan transformasi kehidupan. Tajuknya sendiri mengandungi makna simbolik yang kuat. “Kabus” boleh dibaca sebagai lambang kekeliruan, ketidakpastian, halangan sosial atau kegelapan pemikiran, manakala tindakan “menguak” menggambarkan usaha manusia mencari jalan keluar, pencerahan dan makna baharu dalam kehidupan. Pemilihan karya ini sesuai sebagai kesinambungan kepada tradisi adaptasi novel di USM kerana ia terus menegaskan bahawa teater harus menjadi ruang untuk membuka persoalan, bukan sekadar menyampaikan cerita secara lurus.

Keseluruhan tujuh karya ini membentuk satu landskap pemikiran yang luas. Ia merangkumi desa, alam, media, agama, sejarah, identiti, masyarakat majmuk, perjuangan, usia tua, kemanusiaan dan masa depan. Kepelbagaian tema ini membuktikan bahawa Pesta Teater USM tidak terikat kepada satu jenis cerita atau satu bentuk pemikiran sahaja. Sebaliknya festival ini telah menjadi ruang pertemuan antara pelbagai wacana yang membentuk kehidupan masyarakat Malaysia. Setiap tahun, pelajar dan khalayak dibawa menelusuri persoalan yang berbeza tetapi semuanya berakar kepada pengalaman manusia dan realiti sosial negara.

Dari sudut akademik, pemilihan karya-karya ini memperlihatkan bahawa Pesta Teater USM berfungsi sebagai makmal penyelidikan seni persembahan. Novel yang asalnya berbentuk teks naratif dianalisis, ditafsir, disusun semula dan diterjemahkan ke dalam bentuk pementasan. Proses ini menuntut pelajar membaca secara kritis, memahami pemikiran pengarang, meneliti struktur cerita, mengenal pasti konflik utama, membina pendekatan dramaturgi dan akhirnya mencari bahasa pentas yang sesuai. Dengan kata lain, pementasan bukan bermula daripada latihan lakonan semata-mata tetapi daripada kerja intelektual yang mendalam terhadap teks. Hal ini sangat penting kerana adaptasi novel ke pentas bukanlah kerja memendekkan cerita. Ia merupakan proses pemilihan, penafsiran dan penciptaan semula. Tidak semua peristiwa dalam novel boleh dibawa ke pentas. Tidak semua narasi boleh ditukar menjadi dialog. Tidak semua pemikiran pengarang boleh diterjemahkan secara literal. Oleh itu, sutradara, penulis adaptasi dan pelajar perlu membuat keputusan artistik dan akademik: apakah inti pemikiran novel yang perlu dikekalkan, apakah episod yang harus dipilih, apakah watak yang perlu ditonjolkan dan apakah bentuk persembahan yang paling sesuai untuk menyampaikan maksud karya asal.

Dalam konteks inilah Pesta Teater USM berperanan sebagai jambatan antara kesusasteraan dengan seni persembahan. Kesusasteraan memberikan bahan pemikiran, manakala teater memberikan bentuk pengalaman. Novel menyimpan dunia dalam bahasa manakala teater menzahirkan dunia itu melalui tubuh, ruang, suara dan imej. Pertemuan kedua-dua bidang ini menghasilkan pengalaman seni yang lebih menyeluruh kerana penonton bukan sahaja menerima cerita tetapi turut mengalami suasana, emosi, konflik dan pemikiran yang terkandung dalam karya. Pemilihan karya-karya ini menunjukkan bahawa Bahagian Lakonan dan Pengarahan Pusat Pengajian Seni USM tidak hanya melihat teater sebagai latihan teknikal. Teater dilihat sebagai ruang pembinaan ilmu, pemikiran dan kepekaan budaya. Pelajar tidak hanya dilatih untuk menjadi pelakon, sutradara atau pengurus produksi tetapi juga sebagai pembaca, penyelidik, pemikir dan penterjemah budaya. Ini memberikan nilai akademik yang besar kepada proses pementasan kerana setiap produksi menjadi sebahagian daripada pendidikan intelektual pelajar.

Oleh itu Pesta Teater USM boleh difahami sebagai sebuah platform akademik yang menghubungkan tiga perkara penting: karya sastera, proses pendidikan dan pengalaman masyarakat. Karya sastera menjadi sumber ilmu; proses produksi menjadi kaedah pembelajaran; dan pementasan menjadi ruang penyampaian kepada masyarakat. Gabungan ini menjadikan Pesta Teater USM lebih daripada sekadar acara tahunan. Ia menjadi gerakan budaya dan pendidikan yang berusaha menghidupkan semula karya sastera Malaysia melalui medium persembahan.

 

Evolusi Kepimpinan Artistik dalam Tradisi Adaptasi Novel Pesta Teater USM

Salah satu aspek yang menarik dalam perkembangan adaptasi novel di Bahagian Lakonan dan Pengarahan Pusat Pengajian Seni USM ialah kesinambungan kepimpinan artistik yang dapat diperhatikan sepanjang tempoh 2020 hingga 2026. Daripada tujuh produksi yang dipentaskan, tiga orang sutradara telah memainkan peranan penting dalam membentuk identiti artistik Pesta Teater USM iaitu Encik Halimi Mohd Noh, Dr. Azrul Azizi Amirul dan Dr. Andika Aziz Hussin. Tradisi ini bermula pada tahun 2020 menerusi pementasan Seorang Tua di Kaki Gunung yang diadaptasikan oleh Yusof Bakar dan diarahkan oleh Encik Halimi Mohd Noh. Produksi ini menjadi titik permulaan kepada usaha sistematik Bahagian Lakonan dan Pengarahan dalam mengangkat novel Melayu sebagai sumber utama latihan penyutradaraan dan produksi teater.

Bermula tahun 2021 sehingga 2024, kesinambungan tersebut diteruskan di bawah kepimpinan Dr. Azrul Azizi Amirul. Dalam tempoh empat tahun berturut-turut, beliau mengarahkan empat produksi adaptasi novel, iaitu TiVi, Musafir, Senjakala dan Aci Patmabi. Kesemua karya tersebut diadaptasikan oleh Siti Fatimah Manaf. Keadaan ini memperlihatkan kewujudan satu kolaborasi yang mantap antara penulis adaptasi dan sutradara. Keserasian ini membolehkan proses adaptasi berkembang secara lebih konsisten kerana kedua-duanya membina kefahaman bersama tentang pendekatan dramaturgi, struktur naratif dan bahasa pentas yang ingin diketengahkan.

Pada tahun 2025 pula, Pesta Teater USM memperlihatkan satu perkembangan baharu apabila Tulang-Tulang Berserakan diadaptasikan oleh Mohd Anwar Zulkifli dan diarahkan oleh Dr. Andika Aziz Hussin. Produksi ini bukan sahaja memperkenalkan pasukan kreatif yang berbeza malah turut membawa pendekatan penyutradaraan yang berasaskan Teater Epik Bertolt Brecht. Berbeza dengan produksi sebelumnya yang lebih menekankan penceritaan dramatik, pendekatan ini memberi penekanan kepada unsur historifikasi, kesedaran kritis penonton, penggunaan narator, episodik dan kesan pengasingan (Verfremdungseffekt). Perubahan ini membuktikan bahawa tradisi adaptasi novel di USM bukan bersifat statik tetapi sentiasa berkembang mengikut falsafah dan pendekatan artistik sutradara yang meneraju produksi.

Pada tahun 2026 kesinambungan tersebut bakal diteruskan melalui pementasan Menguak Kabus yang sekali lagi memperlihatkan kerjasama antara Yusof Bakar sebagai penulis adaptasi dan Dr. Azrul Azizi Amirul sebagai sutradara. Kembalinya Yusof Bakar selepas enam tahun sejak Seorang Tua di Kaki Gunung menunjukkan bahawa Bahagian Lakonan dan Pengarahan bukan sahaja membangunkan bakat baharu malah terus menghargai kepakaran penulis adaptasi yang telah menyumbang kepada tradisi ini.

Perkembangan ini memperlihatkan bahawa Pesta Teater USM tidak bergantung kepada seorang individu semata-mata. Sebaliknya ia dibangunkan melalui ekosistem kolaboratif yang melibatkan beberapa sutradara dan penulis adaptasi dengan pendekatan artistik yang berbeza tetapi berkongsi matlamat yang sama iaitu menghidupkan karya sastera Malaysia melalui seni persembahan. Daripada perspektif akademik, pola ini mencerminkan satu bentuk pemindahan ilmu dan kesinambungan kepimpinan artistik (artistic succession). Setiap sutradara membawa tafsiran, pengalaman dan pendekatan estetika yang tersendiri sekaligus memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar. Dalam masa yang sama kepelbagaian ini mengelakkan tradisi adaptasi novel daripada menjadi bersifat homogen atau terikat kepada satu gaya penyutradaraan sahaja.

Justeru kekuatan sebenar Bahagian Lakonan dan Pengarahan Pusat Pengajian Seni USM bukan terletak pada bilangan pementasan yang dihasilkan tetapi pada keupayaannya membina satu budaya akademik yang menyokong penyelidikan, kolaborasi dan inovasi dalam bidang adaptasi karya sastera. Tradisi ini memperlihatkan bahawa adaptasi novel di USM bukan lagi merupakan projek tahunan semata-mata tetapi telah berkembang menjadi satu identiti artistik dan pedagogi yang tersendiri.

 

Teater Seorang Tua Di Kaki Gunung (2020)

Teater TiVi (2021)

Teater Musafir (2022)

Teater Senjakala (2023)

Teater Aci Patmabi (2024

Teater Tulang-tulang Berserakan (2025)

Selain trend penyutradaraan, perkembangan adaptasi novel dalam Pesta Teater USM juga memperlihatkan satu lagi dimensi yang sangat penting iaitu trend penulis adaptasi. Dimensi ini sering kali kurang diberikan perhatian kerana tumpuan lazimnya lebih banyak diberikan kepada sutradara, pelakon atau hasil pementasan. Namun dalam konteks adaptasi novel ke pentas, peranan penulis adaptasi sebenarnya amat besar kerana merekalah yang bertanggungjawab membina jambatan awal antara teks sastera dengan teks persembahan. Tanpa proses adaptasi yang teliti, karya novel yang luas, kompleks dan bersifat naratif sukar diterjemahkan ke dalam bentuk pementasan yang padat, dramatik dan komunikatif.

Dalam tradisi Pesta Teater USM dari tahun 2020 hingga 2026, peranan penulis adaptasi dapat dilihat sebagai salah satu asas utama yang membentuk kesinambungan identiti festival tersebut. Hal ini dapat diperhatikan melalui sumbangan tiga orang penulis adaptasi, iaitu Yusof Bakar, Siti Fatimah Abdul Manaf dan Mohd Anwar Zulkifli. Setiap seorang daripada mereka hadir dalam fasa yang berbeza dan membawa sumbangan yang tersendiri terhadap pembinaan bahasa adaptasi novel di USM. Yusof Bakar boleh dilihat sebagai tokoh yang membuka dan kemudian menyambung semula tradisi adaptasi novel dalam tempoh yang dikaji. Pada tahun 2020, beliau mengadaptasikan novel Seorang Tua di Kaki Gunung karya Azizi Haji Abdullah, yang kemudiannya diarahkan oleh Encik Halimi Mohd Noh. Produksi ini boleh dianggap sebagai titik mula kepada usaha sistematik Pesta Teater USM dalam menjadikan novel Melayu sebagai sumber utama pementasan. Menariknya, Yusof Bakar kembali pada tahun 2026 melalui adaptasi Menguak Kabus karya Norhisham Mustaffa yang diarahkan oleh Dr. Azrul Azizi Amirul. Kehadiran beliau pada awal dan penghujung tempoh kajian ini memperlihatkan satu bentuk kesinambungan yang penting. Ia seolah-olah menjadi bingkai kepada perjalanan tujuh tahun tradisi adaptasi novel di Pesta Teater USM.

Siti Fatimah Abdul Manaf pula memainkan peranan yang sangat signifikan dalam membina kesinambungan bahasa adaptasi novel di USM sepanjang empat tahun berturut-turut. Beliau mengadaptasikan TiVi karya Shahnon Ahmad pada tahun 2021, Musafir karya Hasan Ali pada tahun 2022, Senjakala karya Baharudin Kahar pada tahun 2023 dan Aci Patmabi karya Azmi Iskandar pada tahun 2024. Keempat-empat produksi ini diarahkan oleh Dr. Azrul Azizi Amirul. Kesinambungan antara penulis adaptasi dan sutradara dalam tempoh ini sangat penting kerana ia memperlihatkan kewujudan satu hubungan kreatif yang stabil, matang dan berkembang secara berperingkat. Melalui kerjasama yang berulang, bahasa adaptasi dapat dibina dengan lebih konsisten kerana penulis dan sutradara berpeluang membentuk kefahaman bersama tentang struktur dramatik, pemilihan episod, pembangunan watak, dialog, ritma pentas dan kesesuaian bentuk persembahan.

Peranan Siti Fatimah Abdul Manaf tidak boleh dilihat sekadar sebagai penulis yang menukar novel kepada skrip teater. Sebaliknya beliau berfungsi sebagai dramaturg adaptasi yang menyusun semula dunia naratif novel ke dalam bahasa pentas. Novel lazimnya bergerak melalui penceritaan, deskripsi, monolog dalaman, latar yang luas dan perkembangan masa yang panjang. Pentas pula memerlukan tindakan yang jelas, konflik yang terarah, dialog yang berfungsi, imej visual yang kuat dan kehadiran tubuh pelakon dalam ruang persembahan. Oleh itu, tugas penulis adaptasi adalah untuk memilih inti karya asal, mengekalkan roh pemikiran pengarang dan pada masa yang sama mencipta struktur baharu yang sesuai untuk pementasan.

Kehadiran Mohd Anwar Zulkifli pada tahun 2025 melalui adaptasi Tulang-Tulang Berserakan karya Usman Awang pula membuka ruang kepada pendekatan adaptasi yang berbeza. Apabila naskhah ini digandingkan dengan penyutradaraan Dr. Andika Aziz Hussin yang menerapkan pendekatan Teater Epik Bertolt Brecht, proses adaptasi tidak lagi hanya tertumpu kepada penceritaan dramatik secara konvensional. Sebaliknya adaptasi tersebut perlu mengambil kira unsur historifikasi, struktur episodik, narator, jarak kritis, komentar sosial dan kesan pengasingan. Dalam konteks ini, penulis adaptasi perlu menyusun semula novel bukan semata-mata untuk membina emosi dramatik tetapi untuk membuka ruang pemikiran kritis kepada penonton.

Hal ini memperlihatkan bahawa trend penulis adaptasi dalam Pesta Teater USM sebenarnya tidak boleh dipisahkan daripada trend penyutradaraan. Kedua-duanya saling melengkapi dan saling menentukan bentuk akhir sesebuah pementasan. Penulis adaptasi membina bahasa dramaturgi manakala sutradara membina bahasa artistik. Bahasa dramaturgi merujuk kepada bagaimana cerita dipilih, disusun, dipadatkan, distrukturkan dan diberikan bentuk dramatik. Bahasa artistik pula merujuk kepada bagaimana teks tersebut diterjemahkan ke pentas melalui lakonan, ruang, cahaya, bunyi, gerak, imej dan gaya persembahan. Dalam proses adaptasi novel, bahasa dramaturgi sangat penting kerana novel tidak boleh dipindahkan ke pentas secara langsung. Novel mengandungi banyak lapisan cerita, latar, watak sampingan, pemikiran dalaman dan perincian naratif. Penulis adaptasi perlu menentukan perkara yang harus dikekalkan, diringkaskan, digugurkan atau ditafsir semula. Keputusan-keputusan ini bukan sahaja bersifat teknikal tetapi juga bersifat intelektual dan ideologikal. Apa yang dipilih untuk dipentaskan akan menentukan cara penonton memahami karya asal. Oleh sebab itu penulis adaptasi memainkan peranan sebagai pembaca kritis, pentafsir teks dan pencipta struktur persembahan.

Pada masa yang sama, bahasa penyutradaraan memberi nyawa kepada teks adaptasi tersebut. Sutradara menentukan pendekatan pementasan, gaya lakonan, susunan ruang, tempo persembahan, penggunaan simbol, bentuk visual dan hubungan antara pelakon dengan penonton. Sekiranya penulis adaptasi membina kerangka dramatik, sutradara pula membina pengalaman pentas. Gabungan kedua-dua dimensi ini menjadikan adaptasi novel bukan sekadar proses pemindahan cerita tetapi proses penciptaan semula karya dalam medium yang baharu.

Dalam konteks Pesta Teater USM, trend penulis adaptasi ini membuktikan bahawa tradisi adaptasi novel yang dibina bukan bersifat sambilan atau kebetulan. Sebaliknya ia berkembang melalui satu sistem kerja kreatif yang mempunyai kesinambungan. Siti Fatimah Abdul Manaf memberikan kestabilan bahasa adaptasi selama empat tahun berturut-turut. Yusof Bakar membuka dan meneruskan tradisi pada dua titik penting, iaitu 2020 dan 2026. Mohd Anwar Zulkifli pula memperkenalkan kemungkinan baharu melalui adaptasi yang lebih terbuka kepada pendekatan epik dan kritis. Kesemua ini menunjukkan bahawa Pesta Teater USM memiliki ekosistem penulisan adaptasi yang berkembang seiring dengan keperluan artistik festival.

Lebih penting lagi kewujudan trend penulis adaptasi ini memberikan nilai pedagogi yang besar kepada pelajar. Pelajar bukan sahaja menyaksikan bagaimana sebuah novel dipentaskan tetapi dapat memahami proses bagaimana teks sastera dibaca, ditafsir, dipilih dan distrukturkan semula. Mereka belajar bahawa adaptasi bukan kerja mudah. Ia memerlukan pemahaman terhadap karya asal, kepekaan terhadap pemikiran pengarang, pengetahuan tentang struktur dramatik dan kesedaran terhadap keperluan pentas. Dengan kata lain, proses adaptasi melatih pelajar untuk berfikir secara dramaturgikal. Hal ini juga memperkukuhkan identiti Bahagian Lakonan dan Pengarahan, Pusat Pengajian Seni USM sebagai sebuah ruang pendidikan seni yang tidak memisahkan amali daripada pemikiran. Pementasan bukan hanya tentang kemampuan pelakon menghafal dialog atau kemampuan sutradara menyusun adegan tetapi turut bergantung kepada kekuatan teks adaptasi sebagai asas pembinaan persembahan. Dalam tradisi ini penulis adaptasi menjadi tokoh penting yang menghubungkan sastera, dramaturgi dan penyutradaraan. Oleh itu, dapat dihujahkan bahawa trend penulis adaptasi dalam Pesta Teater USM sama penting, malah dalam konteks tertentu lebih mendasar daripada trend sutradara. Hal ini kerana bahasa adaptasi merupakan pintu pertama yang menentukan bagaimana sesebuah novel memasuki dunia pentas. Tanpa bahasa adaptasi yang kukuh, sutradara tidak mempunyai asas dramatik yang mantap untuk diterjemahkan ke dalam bentuk persembahan. Sebaliknya, apabila bahasa adaptasi dan bahasa penyutradaraan bergerak secara seimbang, pementasan yang terhasil bukan sahaja mampu menghidupkan cerita, tetapi juga mengekalkan pemikiran, roh dan nilai karya asal.

 

Penulis Adaptasi

Bilangan Produksi

Siti Fatimah Manaf

4 (2021–2024)

Yusof Bakar

2 (2020 & 2026)

Mohd Anwar Zulkifli

1 (2025)

 

 

Kepelbagaian Pemikiran yang Diangkat Melalui Novel

Novel Seorang Tua di Kaki Gunung mengangkat persoalan hubungan manusia dengan alam, keteguhan mempertahankan warisan serta konflik antara tradisi dan kemodenan. TiVi pula menampilkan kritikan terhadap pengaruh media massa, budaya popular dan kehilangan nilai kemanusiaan dalam masyarakat moden. Melalui Musafir, penonton dibawa menyelami perjalanan fizikal dan spiritual manusia dalam mencari makna kehidupan, manakala Senjakala mengangkat persoalan usia tua, kesunyian, hubungan manusia dengan alam dan perubahan zaman. Aci Patmabi memperlihatkan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia melalui sejarah tempatan, identiti komuniti dan hubungan antara kaum. Sementara itu, Tulang-Tulang Berserakan mengangkat sejarah Darurat, perjuangan anggota keselamatan serta persoalan kemanusiaan di tengah-tengah konflik bersenjata. Pementasan Menguak Kabus pula meneruskan tradisi ini dengan mengetengahkan usaha manusia mencari kebenaran, harapan dan pencerahan dalam menghadapi cabaran kehidupan. Kesemua karya ini memperlihatkan bahawa pemilihan novel oleh Pusat Pengajian Seni USM berasaskan nilai intelektual dan sastera yang tinggi, sekali gus memperkukuhkan fungsi teater sebagai wahana pendidikan masyarakat.

 

Peranan Bahagian Lakonan dan Sutradaraan Pusat Pengajian Seni USM

Bahagian Lakonan dan Pengarahan Pusat Pengajian Seni USM memainkan peranan yang jauh lebih besar daripada sekadar menganjurkan pementasan tahunan. Bahagian ini bertindak sebagai institusi yang menterjemahkan khazanah kesusasteraan negara ke dalam bentuk seni persembahan yang dapat dihayati oleh masyarakat. Setiap proses adaptasi bermula dengan pembacaan kritis terhadap novel, diikuti penyelidikan sejarah, analisis dramaturgi, pembangunan skrip adaptasi, eksplorasi visual dan latihan lakonan. Pendekatan ini menjadikan pementasan sebagai satu makmal penyelidikan yang menggabungkan teori dan amali. Selain itu Bahagian ini juga turut berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan dunia akademik dengan industri kreatif melalui penglibatan penulis novel, penulis skrip, ahli akademik, sutradara profesional dan pelajar dalam satu ekosistem pembelajaran yang holistik.

 

Kerjasama Strategik dengan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBP)

Kerjasama dengan DBP Wilayah Utara memberikan dimensi yang lebih luas kepada usaha ini. Sebagai institusi yang bertanggungjawab memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan, DBP menyediakan ruang kolaborasi yang membolehkan karya-karya penting negara diperkenalkan semula kepada masyarakat melalui medium teater. Kerjasama ini membolehkan pementasan disokong dengan pelbagai aktiviti ilmiah seperti forum, wacana, diskusi karya, pelancaran buku program serta penglibatan penulis dan tokoh sastera. Dengan demikian teater tidak lagi dilihat sebagai hiburan semata-mata tetapi menjadi medium apresiasi sastera dan pendidikan budaya. Hubungan ini turut memperlihatkan satu model kerjasama strategik antara universiti dan institusi kebangsaan dalam memelihara warisan intelektual negara.

 

Impak terhadap Pembangunan Pelajar

Manfaat terbesar daripada pendekatan adaptasi novel ke pentas dalam Pesta Teater USM dapat dilihat secara jelas melalui pembangunan pelajar. Dalam tradisi ini pelajar tidak hanya dilatih sebagai pelakon, sutradara, pengurus pentas atau tenaga produksi semata-mata. Malah mereka dibentuk sebagai sarjana seni yang mampu memahami hubungan antara teks, budaya, sejarah dan masyarakat. Hal ini penting kerana pendidikan teater di peringkat universiti tidak seharusnya terbatas kepada latihan kemahiran persembahan sahaja tetapi perlu merangkumi pembinaan pemikiran, kepekaan budaya, daya analisis dan kesedaran terhadap fungsi seni dalam kehidupan masyarakat.

Pertama, pendekatan ini membantu membina budaya membaca secara kritis dalam kalangan pelajar. Sebelum sesuatu novel boleh diadaptasikan ke pentas, pelajar perlu membaca keseluruhan karya asal secara teliti. Mereka tidak boleh bergantung kepada sinopsis ringkas, ringkasan bab atau pemahaman sepintas lalu. Pembacaan yang serius diperlukan bagi memahami pemikiran pengarang, struktur cerita, perkembangan watak, gaya bahasa, simbolisme, latar sosial, latar sejarah dan persoalan utama yang ingin diketengahkan. Dalam konteks ini, novel bukan sekadar bahan cerita tetapi menjadi teks ilmu yang perlu diteliti secara mendalam. Proses membaca ini membentuk disiplin intelektual pelajar kerana mereka perlu menyoal, menafsir dan memahami makna yang tersurat serta tersirat dalam karya.

Kedua, pelajar memperolehi kemahiran analisis naskhah dan dramaturgi yang lebih kukuh. Adaptasi novel menuntut mereka mengenalpasti konflik utama, objektif watak, subteks, struktur dramatik, titik perubahan, tema dominan dan mesej yang perlu dikekalkan dalam pementasan. Hal ini berbeza daripada pementasan skrip drama sedia ada kerana novel lazimnya mempunyai struktur naratif yang lebih luas, watak yang banyak, latar yang pelbagai dan rentang masa yang panjang. Oleh itu pelajar perlu belajar membuat pemilihan secara bijaksana. Mereka perlu menentukan bahagian mana yang wajar dikekalkan, diringkaskan serta ditafsir semula bagi memenuhi tuntutan pentas. Proses ini melatih pelajar berfikir secara dramaturgikal iaitu melihat teks bukan hanya sebagai cerita tetapi sebagai bahan persembahan yang mempunyai struktur, fungsi dan makna.

Ketiga, pelajar mendapat pengalaman sebenar dalam proses adaptasi. Mereka memahami bahawa adaptasi bukan sekadar memendekkan cerita novel atau menukar narasi kepada dialog. Sebaliknya adaptasi ialah proses kreatif dan intelektual yang kompleks. Ia melibatkan kerja memilih episod, menyusun semula kronologi, membina dialog baharu, menggabungkan watak, memadatkan konflik, mencipta imej pentas dan menghasilkan bentuk persembahan yang mampu menyampaikan roh karya asal. Dalam proses ini, pelajar belajar bahawa kesetiaan terhadap karya asal tidak semestinya bermaksud menyalin semua peristiwa dalam novel. Kesetiaan yang lebih penting ialah kesetiaan terhadap pemikiran, nilai, suasana dan inti kemanusiaan yang terkandung dalam karya tersebut. Kefahaman ini sangat penting dalam melahirkan pelajar yang matang dalam kerja adaptasi.

Keempat, pendekatan ini membentuk pelajar sebagai pelakon yang tidak sekadar menghafal dialog dan melaksanakan pergerakan yang diarahkan. Mereka perlu berfikir dan memahami dunia watak secara menyeluruh termasuklah latar sejarah yang membentuk watak, keadaan sosial yang mempengaruhi tindakannya, psikologi yang mendorong pilihannya serta nilai budaya yang menentukan cara watak berhubung dengan orang lain. Pelakon perlu melakukan penyelidikan, membina latar hidup watak dan memahami subteks sebelum mampu menghasilkan lakonan yang meyakinkan. Inilah yang menjadikan pelajar bukan sekadar pelakon yang “mempersembahkan” watak tetapi pelakon yang memahami dan menghayati dunia pemikiran watak tersebut.

Kelima, proses produksi adaptasi novel memperkukuhkan kemahiran insaniah dan profesional pelajar. Sebuah pementasan tidak boleh berlaku melalui usaha seorang individu sahaja. Ia memerlukan kerja berpasukan yang melibatkan sutradara, penolong sutradara, pelakon, penulis adaptasi, dramaturg, pengurus pentas, pereka set, pereka cahaya, pereka kostum, pereka bunyi, pengurus produksi dan pasukan teknikal. Melalui proses ini, pelajar belajar tentang kepimpinan, komunikasi, disiplin masa, penyelesaian konflik, pengurusan tekanan dan tanggungjawab kolektif. Mereka juga belajar menerima arahan, memberi pandangan, menyesuaikan diri dengan perubahan serta menyelesaikan masalah secara kreatif. Semua kemahiran ini merupakan kompetensi penting dalam industri kreatif masa kini, khususnya dalam bidang teater, filem, televisyen, pendidikan seni dan pengurusan acara.

Keenam, pengalaman adaptasi novel memperluaskan kepekaan pelajar terhadap budaya dan masyarakat. Novel-novel yang dipilih dalam Pesta Teater USM membawa pelbagai persoalan tentang alam, desa, media, agama, sejarah, identiti, masyarakat majmuk, perjuangan, kemanusiaan dan pembinaan negara. Apabila pelajar terlibat secara langsung dalam proses pementasan karya-karya ini, mereka secara tidak langsung didedahkan kepada realiti sosial yang lebih luas daripada pengalaman peribadi mereka sendiri. Mereka belajar memahami kehidupan generasi terdahulu, konflik masyarakat, nilai budaya, perubahan zaman dan persoalan sejarah yang membentuk identiti bangsa. Dengan demikian, teater menjadi ruang pendidikan sosial dan budaya yang sangat berkesan.

Ketujuh, tradisi ini turut melatih pelajar menghormati karya sastera dan pemikiran pengarang. Dalam dunia kreatif, terdapat kecenderungan untuk mengubah karya asal secara bebas atas nama pembaharuan. Namun melalui latihan adaptasi yang berasaskan penyelidikan, pelajar belajar bahawa kreativiti perlu disertai tanggungjawab. Mereka perlu memahami mengapa sesuatu karya ditulis, apakah pemikiran pengarang, apakah konteks zamannya dan apakah nilai yang perlu dipelihara. Kesedaran ini membentuk etika adaptasi yang penting. Pelajar dididik supaya tidak melihat novel hanya sebagai bahan mentah untuk diubah sesuka hati tetapi sebagai warisan pemikiran yang perlu ditafsir dengan cermat dan hormat.

Kelapan, pendekatan ini memperkayakan identiti graduan Bahagian Lakonan dan Pengarahan USM. Graduan yang melalui pengalaman sebegini tidak hanya memiliki kemahiran lakonan atau pengarahan tetapi juga mempunyai pengalaman dalam penyelidikan, analisis teks, dramaturgi, penulisan adaptasi, pembangunan produksi dan kerja kolaboratif. Ini memberikan nilai tambah kepada mereka apabila memasuki dunia industri kreatif. Mereka lebih bersedia untuk bekerja dalam produksi teater, filem, televisyen, pendidikan, latihan komuniti, pengurusan seni dan penyelidikan budaya. Dalam erti kata lain mereka bukan hanya dilahirkan sebagai pengamal seni tetapi sebagai pemikir seni yang mampu menghubungkan amalan kreatif dengan ilmu pengetahuan.  

Kesembilan, proses ini membina keyakinan pelajar untuk berhadapan dengan karya besar negara. Novel-novel yang diadaptasikan seperti Seorang Tua di Kaki Gunung, TiVi, Musafir, Senjakala, Aci Patmabi, Tulang-Tulang Berserakan dan Menguak Kabus bukanlah karya ringan. Karya-karya ini membawa persoalan yang kompleks dan memerlukan pembacaan yang matang. Apabila pelajar diberikan tanggungjawab untuk menghidupkan karya-karya tersebut ke pentas, mereka belajar bahawa seni persembahan mempunyai tanggungjawab intelektual. Mereka perlu berani berhadapan dengan teks yang berat, isu yang besar dan khalayak yang pelbagai. Pengalaman ini membina keyakinan akademik dan artistik dalam diri pelajar.

Akhir sekali, pengalaman mengadaptasi karya sastera memperkukuhkan hubungan antara universiti, pelajar dan masyarakat. Pementasan yang lahir daripada proses akademik tidak hanya berhenti dalam ruang kuliah atau studio latihan. Ia akhirnya dipersembahkan kepada khalayak. Di sinilah pelajar melihat bagaimana kerja pembacaan, penyelidikan dan latihan mereka memberi kesan kepada penonton. Mereka memahami bahawa seni bukan sekadar tugasan akademik tetapi medium komunikasi sosial. Apabila penonton menyaksikan karya sastera dihidupkan di pentas, pelajar turut menyedari bahawa mereka sedang mengambil bahagian dalam usaha memelihara, mentafsir dan menyebarkan warisan intelektual bangsa. Pendekatan adaptasi novel ke pentas memberikan impak yang sangat besar terhadap pembangunan pelajar. Mereka tidak hanya diasuh dari sudut kemahiran teknikal tetapi dibentuk secara menyeluruh sebagai pembaca yang kritis, penyelidik, pelakon yang berfikir, sutradara yang peka, pekerja produksi yang profesional dan graduan seni yang memahami hubungan antara teks, budaya dan masyarakat. Inilah kekuatan sebenar tradisi adaptasi novel dalam Pesta Teater USM. Ia bukan sahaja menghasilkan pementasan tetapi membangunkan manusia seni yang berilmu, berdisiplin, kreatif dan bertanggungjawab terhadap warisan sastera serta budaya negara.

 

Sumbangan kepada Dunia Sastera dan Seni Persembahan

Kesinambungan adaptasi novel dalam Pesta Teater USM memberikan sumbangan yang signifikan kepada perkembangan seni dan sastera negara. Ia tidak boleh dilihat hanya sebagai aktiviti pementasan tahunan sebaliknya perlu difahami sebagai satu bentuk gerakan budaya yang berupaya menghidupkan semula karya-karya sastera Malaysia melalui medium persembahan. Novel-novel yang dipilih juga merupakan karya yang memiliki nilai pemikiran, sejarah, budaya dan kemanusiaan yang penting. Namun, dalam realiti semasa, sebahagian daripada karya ini mungkin hanya dikenali oleh kelompok pembaca sastera, pelajar kesusasteraan, pengkaji akademik atau generasi tertentu yang pernah berinteraksi dengan teks tersebut. Melalui pementasan, karya-karya ini dibawa keluar daripada ruang bacaan yang terhad dan diperkenalkan kepada khalayak yang lebih luas, khususnya generasi muda. Dalam konteks ini, teater berfungsi sebagai medium penghidupan semula karya. Novel yang asalnya hadir dalam bentuk teks bertulis diterjemahkan kepada pengalaman visual, auditori dan emosional. Watak-watak yang sebelum ini hanya wujud dalam imaginasi pembaca dihidupkan melalui tubuh pelakon. Latar tempat dan suasana yang digambarkan melalui bahasa pengarang diterjemahkan melalui reka bentuk pentas, pencahayaan, bunyi, kostum, gerak dan komposisi ruang. Konflik yang dibaca dalam halaman novel pula menjadi peristiwa dramatik yang dapat disaksikan secara langsung oleh penonton. Proses ini menjadikan karya sastera lebih dekat, lebih hidup dan lebih mudah didekati oleh khalayak yang mungkin tidak terbiasa membaca novel sastera secara mendalam. Sumbangan ini amat penting kerana salah satu cabaran besar dunia sastera hari ini ialah jarak antara karya sastera dengan generasi muda. Dalam era digital, tumpuan pembaca muda sering bersaing dengan media sosial, video pendek, permainan digital dan pelbagai bentuk hiburan segera. Dalam keadaan ini, karya sastera yang memerlukan pembacaan panjang dan renungan mendalam sering dianggap berat atau jauh daripada pengalaman harian mereka. Adaptasi teater menawarkan satu laluan alternatif untuk memperkenalkan karya sastera kepada generasi ini. Melalui pementasan, mereka boleh memasuki dunia novel terlebih dahulu melalui pengalaman menonton. Dari situ, minat untuk membaca karya asal boleh dipupuk secara lebih organik.

Pementasan adaptasi juga memperluaskan fungsi karya sastera. Novel tidak lagi dilihat semata-mata sebagai bahan bacaan di perpustakaan, teks kajian di bilik kuliah atau karya yang tersimpan dalam sejarah kesusasteraan. Sebaliknya novel berkembang menjadi bahan persembahan, bahan pendidikan, bahan wacana dan bahan penciptaan artistik. Dengan cara ini, karya sastera terus bergerak dalam masyarakat. Ia tidak beku sebagai teks lama, tetapi sentiasa ditafsir, dibaca semula dan diberi makna baharu mengikut konteks zaman. Inilah antara kekuatan adaptasi teater, iaitu kemampuannya menjadikan karya sastera terus relevan tanpa memutuskan hubungan dengan nilai asalnya.

Di samping itu kesinambungan adaptasi novel di Pesta Teater USM membuktikan bahawa karya sastera mempunyai potensi besar untuk berkembang melalui pelbagai medium kreatif. Barangkali terdapat tanggapan bahawa apabila karya sastera diadaptasikan, nilai asalnya akan berkurang atau dikorbankan demi tuntutan hiburan. Namun pengalaman Pesta Teater USM menunjukkan bahawa adaptasi boleh dilakukan secara bertanggungjawab, ilmiah dan artistik. Asalkan proses adaptasi berasaskan pembacaan kritis, penyelidikan, kefahaman terhadap pemikiran pengarang dan kepekaan dramaturgi, karya sastera boleh dipindahkan ke medium pentas tanpa kehilangan nilai intelektualnya. Dalam hal ini adaptasi bukan bermaksud menyalin semula novel ke pentas secara literal. Adaptasi ialah proses tafsiran. Sesebuah novel  mempunyai banyak bab, banyak watak, latar yang luas dan perkembangan masa yang panjang manakala  pentas pula mempunyai batas ruang, masa dan bentuk persembahan. Justeru penulis adaptasi dan sutradara perlu membuat pemilihan untuk menentukan persoalan utama yang ingin diketengahkan, konflik yang perlu dikekalkan, watak yang harus diberikan penekanan dan bentuk visual yang mampu mewakili roh karya asal. Proses ini memerlukan pertimbangan intelektual dan artistik yang tinggi. Di sinilah nilai akademik Pesta Teater USM menjadi jelas kerana pementasan tidak hanya berasaskan kreativiti spontan, tetapi disokong oleh proses analisis dan penyelidikan.

Adaptasi teater juga menjadi jambatan yang menghubungkan dunia penerbitan, pendidikan, penyelidikan dan industri kreatif. Dari sudut penerbitan, pementasan adaptasi membuka peluang baharu kepada novel-novel lama dan baharu untuk diperkenalkan semula kepada masyarakat. Karya yang mungkin sudah tidak banyak dibicarakan boleh mendapat perhatian semula apabila dipentaskan. Hal ini boleh meningkatkan minat terhadap karya asal, menggalakkan pembacaan semula dan memperkukuhkan kedudukan penulis dalam ingatan budaya masyarakat.

Dari sudut pendidikan pula adaptasi novel menyediakan bahan pembelajaran yang sangat kaya kepada pelajar. Mereka belajar membaca karya sastera secara kritis, memahami konteks sosial dan sejarah, menganalisis watak, mengenal pasti konflik serta menterjemahkan pemikiran pengarang ke dalam bahasa pentas. Proses ini menjadikan pendidikan teater lebih menyeluruh kerana pelajar tidak hanya dilatih dari sudut teknik persembahan tetapi juga dari sudut intelektual, budaya dan etika berkarya. Dalam konteks universiti, inilah bentuk pembelajaran berasaskan pengalaman yang sangat bernilai. Manakala sudut penyelidikan pula setiap produksi adaptasi boleh menjadi bahan kajian. Penyelidik boleh meneliti bagaimana novel ditafsir semula, struktur naratif diubah menjadi struktur dramatik, watak dikembangkan di pentas, sejarah dan budaya diterjemahkan secara visual serta bagaimana penonton menerima karya tersebut. Dengan demikian Pesta Teater USM bukan sahaja menghasilkan pementasan tetapi turut menyediakan medan penyelidikan dalam bidang adaptasi, dramaturgi, pengarahan, lakonan, sinografi, pendidikan seni dan kajian penonton.

Sementara sudut industri kreatif pula tradisi ini menunjukkan bahawa karya sastera Malaysia mempunyai potensi besar sebagai sumber kandungan. Dalam dunia industri hari ini, kandungan ialah aset utama. Novel-novel tempatan boleh dikembangkan bukan sahaja kepada teater tetapi juga kepada filem, drama televisyen, drama radio, animasi, komik, teater muzikal dan media digital. Melalui kesinambungan adaptasi novel, Pesta Teater USM secara tidak langsung membuktikan bahawa khazanah sastera negara memiliki nilai ekonomi, nilai budaya dan nilai kreatif yang belum diterokai sepenuhnya. Lebih penting lagi, usaha ini membantu mengangkat semula kedudukan sastera dalam masyarakat. Sastera tidak seharusnya dianggap terpisah daripada kehidupan kontemporari. Melalui teater, karya sastera kembali menjadi bahan perbualan awam. Penonton boleh membincangkan isu yang dibawa oleh karya seperti perubahan sosial, hubungan manusia dengan alam, pengaruh media, pencarian spiritual, sejarah negara, identiti budaya dan nilai kemanusiaan. Dengan cara ini pementasan adaptasi tidak hanya memperkenalkan karya tetapi turut menghidupkan semula wacana yang terkandung dalam karya tersebut.

Pesta Teater USM juga memainkan peranan yang penting sebagai ruang pemindahan ilmu dalam konteks hubungan antara universiti dan masyarakat. Ilmu yang lahir daripada pembacaan, penyelidikan dan proses akademik tidak kekal dalam bilik kuliah semata-mata. Ia dipersembahkan kepada masyarakat dalam bentuk yang lebih komunikatif dan menyentuh pengalaman emosi penonton. Hal ini menjadikan teater sebagai wahana penyebaran ilmu yang berkesan. Universiti tidak hanya menghasilkan pengetahuan tetapi turut menghidupkan pengetahuan tersebut melalui pengalaman seni. Kesinambungan ini juga memperlihatkan bahawa Pusat Pengajian Seni USM, melalui Bahagian Lakonan dan Pengarahan mempunyai peranan strategik dalam membina ekosistem seni dan sastera. Dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, usaha ini menjadi lebih bermakna kerana ia menghubungkan institusi pendidikan tinggi dengan institusi bahasa dan sastera negara. Kerjasama sebegini penting bagi memastikan karya sastera tidak hanya dipelihara sebagai warisan bertulis tetapi terus diberi kehidupan baharu melalui medium persembahan.

Kesimpulannya kesinambungan adaptasi novel dalam Pesta Teater USM merupakan satu sumbangan penting kepada perkembangan seni dan sastera negara. Usaha ini membuktikan bahawa karya sastera tidak harus dibiarkan kekal sebagai teks yang hanya dibaca oleh kelompok tertentu tetapi perlu terus dihidupkan, ditafsir dan dikongsi melalui pelbagai medium kreatif. Melalui teater, novel memperoleh kehidupan baharu; melalui pendidikan, pelajar memperoleh pengalaman intelektual dan artistik; melalui pementasan, masyarakat memperoleh ruang untuk merenung semula sejarah, budaya dan nilai kemanusiaan. Inilah kekuatan sebenar Pesta Teater USM sebagai platform yang menghubungkan sastera, seni persembahan dan masyarakat.

 

Kesimpulan

Tradisi adaptasi novel yang dibangunkan oleh Bahagian Lakonan dan Pengarahan Pusat Pengajian Seni USM sepanjang tempoh 2020 hingga 2026 memperlihatkan satu model pendidikan seni yang progresif, sistematik dan berteraskan warisan bangsa. Melalui kerjasama erat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, karya-karya penting sastera Melayu telah dihidupkan semula dalam bentuk persembahan yang bukan sahaja berkualiti dari sudut artistik, malah kaya dengan nilai pendidikan dan intelektual. Lebih penting lagi, pendekatan ini berjaya membentuk pelajar yang seimbang dari segi ilmu, kreativiti dan profesionalisme. Mereka diasuh untuk membaca sebelum mentafsir, mengkaji sebelum berkarya dan menghormati pemikiran pengarang sebelum menghasilkan inovasi. Dalam masa yang sama, masyarakat turut memperolehi ruang baharu untuk menghargai karya sastera melalui pengalaman teater yang lebih dekat, lebih hidup dan lebih bermakna. Justeru, kesinambungan usaha ini wajar diteruskan dan didokumentasikan secara sistematik kerana ia bukan sahaja mencerminkan identiti Pesta Teater USM, bahkan berpotensi menjadi model nasional dalam pembangunan adaptasi karya sastera sebagai wahana pendidikan, penyelidikan dan pemerkasaan seni persembahan di Malaysia.

 

Comments

Popular Posts