POSTER TEATER versus POSTER FILEM: FUNGSI, FALSAFAH DAN BAHASA VISUAL

 

POSTER TEATER versus POSTER FILEM: FUNGSI, FALSAFAH DAN

BAHASA VISUAL

 

 

Dalam era media sosial dan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang pesat penghasilan poster menjadi semakin mudah dan pantas. Hanya dengan beberapa arahan ringkas, pelbagai aplikasi reka bentuk mampu menghasilkan visual yang kelihatan profesional, menarik dan berkualiti tinggi. Namun di sebalik kemudahan ini timbul persoalan adakah poster-poster teater yang dihasilkan kini masih benar-benar mencerminkan identiti teater atau sekadar meniru gaya poster filem? Poster bukan sekadar bahan promosi atau alat pemasaran semata-mata. Dalam konteks seni persembahan, poster merupakan medium komunikasi visual yang membawa makna, pemikiran dan identiti sesebuah karya. Poster boleh dianggap sebagai teks pertama yang dibaca oleh penonton sebelum mereka melangkah masuk ke ruang persembahan. Oleh itu perbezaan antara poster teater dan poster filem perlu difahami dengan jelas agar identiti teater tidak tenggelam dalam budaya visual popular yang lebih berorientasikan hiburan komersial.

Poster teater dan filem mempunyai fungsi yang hampir sama iaitu menarik perhatian khalayak namun hakikatnya kedua-duanya beroperasi dalam kerangka komunikasi yang berbeza.

Poster filem lazimnya bertujuan menjual cerita, hiburan dan pengalaman sinematik kepada penonton. Dalam industri filem, kejayaan sesebuah poster sering diukur berdasarkan kemampuannya menarik penonton untuk membeli tiket. Oleh sebab itu, poster filem banyak menonjolkan elemen yang bersifat komersial seperti wajah pelakon terkenal, adegan aksi yang dramatik, kesan visual yang mengagumkan dan gambaran jelas mengenai genre filem tersebut. Penonton yang melihat poster filem biasanya akan bertanya: "Siapakah pelakonnya?", "Menarik atau tidak filem ini?" atau "Genre apa yang dibawa?". Sebaliknya poster teater mempunyai fungsi yang lebih bersifat konseptual dan intelektual. Poster teater bukan sekadar bertujuan menjual hiburan tetapi lebih penting lagi untuk memperkenalkan idea, tema, persoalan dan pemikiran yang terkandung dalam sesebuah persembahan. Penonton yang melihat poster teater sepatutnya terdorong untuk bertanya: "Apakah isu yang ingin dibincangkan?", "Apakah mesej yang ingin disampaikan?" atau "Mengapa saya perlu menonton persembahan ini?". Dalam erti kata lain, poster filem cenderung menjual cerita, manakala poster teater lebih kepada menjual pemikiran.

Sejak zaman teater Yunani sehinggalah kepada perkembangan teater moden dan kontemporari, teater sentiasa berfungsi sebagai medium yang mengajak masyarakat berfikir tentang kehidupan, politik, budaya, moral dan kemanusiaan. Oleh yang demikian poster teater juga sewajarnya memainkan peranan yang sama. Malangnya, kebanyakan poster teater hari ini terlalu menumpukan kepada aspek estetika dan visual semata-mata. Kebanyakan poster hanya memaparkan wajah pelakon dengan ekspresi sedih, marah atau dramatik tanpa memberikan sebarang petunjuk tentang persoalan sebenar yang cuba dibincangkan oleh karya tersebut. Akibatnya, poster menjadi sekadar gambar yang cantik tetapi gagal menyampaikan makna yang lebih mendalam. Dalam seni teater, visual yang baik bukan semestinya visual yang paling kompleks atau paling mewah. Sebaliknya, visual yang baik ialah visual yang mampu menggerakkan pemikiran penonton dan membangkitkan rasa ingin tahu terhadap kandungan persembahan.

Salah satu kekuatan utama poster teater ialah kemampuannya menggunakan simbol untuk menyampaikan makna. Berbeza dengan poster filem yang sering memaparkan representasi secara langsung, poster teater lebih berkesan apabila menggunakan bahasa simbolik. Sebagai contoh sebuah teater yang membincangkan isu kemiskinan tidak semestinya perlu memaparkan imej individu yang berpakaian lusuh atau hidup dalam keadaan daif. Sebaliknya sebuah pinggan kosong, kerusi yang patah atau lampu yang malap bermungkinan lebih berkesan dalam membangkitkan imaginasi dan tafsiran penonton. Begitu juga dengan persembahan yang membicarakan tentang peperangan. Sebuah poster yang memaparkan kasut tentera yang ditinggalkan, surat yang tidak sempat dibaca atau bendera yang koyak lebih mempunyai kesan emosi yang lebih mendalam berbanding imej askar yang sedang memegang senjata. Simbol-simbol seperti ini membolehkan penonton menjadi peserta aktif dalam proses mentafsir makna. Mereka tidak sekadar menerima maklumat secara pasif tetapi terlibat dalam proses pembacaan dan pemahaman karya sebelum persembahan bermula.

Selain menyampaikan tema dan mesej, poster teater juga perlu mencerminkan bentuk persembahan yang bakal disaksikan oleh penonton. Setiap aliran dan pendekatan teater mempunyai bahasa visual yang tersendiri dan poster sepatutnya memberi petunjuk terhadap pendekatan tersebut. Sebagai contohnya pementasan yang menggunakan pendekatan Teater Epik Bertolt Brecht lebih sesuai menggunakan elemen plakad, slogan politik, susun atur grafik yang bersifat dokumentari atau imej yang mempunyai nilai komentar sosial. Teater absurd pula menggunakan visual yang ganjil, tidak logik dan mencabar kebiasaan persepsi penonton. Sementara teater forum yang berasaskan pemikiran Augusto Boal sewajarnya menonjolkan isu-isu sosial dan elemen penglibatan masyarakat. Apabila poster berjaya mencerminkan bentuk persembahan, penonton akan memperoleh gambaran awal tentang pengalaman estetika yang bakal mereka lalui. Hal ini membantu membina jangkaan yang lebih tepat dan meningkatkan kefahaman mereka terhadap karya yang dipersembahkan.

Media sosial telah mengubah cara poster dihasilkan dan disebarkan masa kini. Dalam persekitaran digital yang sangat kompetitif, ramai pereka berusaha menghasilkan poster yang mampu menarik perhatian pengguna dalam masa beberapa saat sahaja. Namun kecenderungan ini turut membawa kesan negatif. Ramai pereka memilih imej yang kelihatan menarik secara visual tetapi gagal menilai sama ada imej tersebut benar-benar mempunyai hubungan dengan kandungan persembahan. Tambahan pula, penggunaan AI yang semakin meluas menyebabkan pelbagai poster mula kelihatan seragam dan generik. Akibatnya banyak poster teater hari ini kelihatan seperti poster filem atau poster platform penstriman digital. Walaupun cantik dan profesional, poster-poster tersebut kehilangan identiti teater dan gagal menyampaikan keunikan karya yang dipromosikan. Persoalan yang perlu ditanya oleh setiap pereka poster ialah: "Adakah imej ini benar-benar mewakili pemikiran karya yang ingin dipersembahkan?" Jika jawapannya tidak jelas, maka poster tersebut hanya berfungsi sebagai hiasan visual semata-mata.

Pengalaman penonton terhadap sesebuah persembahan sebenarnya bermula jauh lebih awal daripada saat lampu pentas dibuka. Pengalaman itu bermula ketika mereka membaca sinopsis, melihat bahan promosi dan meneliti poster persembahan. Atas sebab itu, poster boleh dianggap sebagai teks pertama yang diperkenalkan kepada penonton. Sebelum pelakon mengucapkan dialog pertama, sebelum muzik dimainkan dan sebelum konflik dipersembahkan di atas pentas, poster telah terlebih dahulu membentuk persepsi dan jangkaan penonton. Oleh itu, poster bukanlah elemen yang terpisah daripada karya teater. Sebaliknya, ia merupakan sebahagian daripada keseluruhan proses penceritaan. Poster berfungsi sebagai pintu masuk yang memperkenalkan dunia dramatik kepada khalayak dan membantu mereka memahami konteks persembahan yang bakal disaksikan.

Perbezaan antara poster teater dan poster filem bukan sekadar terletak pada reka bentuk visualnya tetapi juga pada falsafah komunikasi yang mendasarinya. Poster filem lazimnya bertujuan menjual cerita, hiburan dan pengalaman sinematik, manakala poster teater berfungsi menjual idea, pemikiran dan persoalan yang ingin diketengahkan oleh karya. Dalam usaha mempromosikan sesebuah pementasan, penggiat teater perlu berhati-hati agar tidak terjebak dalam budaya meniru poster filem semata-mata kerana faktor populariti atau trend semasa. Poster teater yang berkesan bukanlah poster yang paling cantik tetapi poster yang mampu membangkitkan rasa ingin tahu, mencetuskan persoalan dan mengajak penonton berfikir sebelum mereka melangkah masuk ke ruang persembahan. Sebuah poster teater yang berjaya ialah poster yang mampu membuatkan seseorang berhenti seketika, memandang lebih lama, dan bertanya kepada dirinya sendiri: “Apakah sebenarnya yang cuba diperkatakan oleh pementasan ini?” Apabila persoalan itu muncul, poster tersebut telah berjaya menjalankan fungsi sebenar sebagai sebuah poster teater.

 

Comments

Popular Posts