Mengalami (Experiencing) atau Mempersembahkan (Presenting) Watak: Perbezaan Pendekatan Lakon Stanislavskian dan Brechtian
Mengalami (Experiencing) atau Mempersembahkan (Presenting) Watak:
Perbezaan Pendekatan Lakon Stanislavskian dan Brechtian
|
|
Dalam dunia seni lakonan, terdapat satu ungkapan yang sering
diperkatakan oleh pengamal dan pendidik teater iaitu “The actor is
experiencing, not presenting.” Ungkapan ini membawa maksud bahawa pelakon
yang baik bukanlah pelakon yang sekadar menunjukkan emosi kepada penonton
tetapi pelakon yang benar-benar mengalami keadaan, pemikiran dan perasaan watak
yang sedang dimainkan. Idea ini menjadi antara asas penting dalam perkembangan
teater realisme moden dan sering dikaitkan dengan pemikiran Konstantin
Stanislavski serta pelbagai pendekatan lakonan yang berkembang daripadanya
seperti Method Acting. Secara asasnya kenyataan tersebut kelihatan mudah
difahami. Namun apabila diteliti dengan lebih mendalam ia sebenarnya menyentuh
persoalan besar tentang apakah yang dimaksudkan dengan “berlakon” dan apakah
yang membezakan seorang pelakon yang meyakinkan dengan seorang pelakon yang hanya memperagakan emosi.
Persoalan ini juga membuka ruang kepada perbahasan yang lebih luas apabila
dibandingkan dengan pendekatan yang diperkenalkan oleh Bertolt Brecht melalui
Teater Epik yang mempunyai falsafah dan tujuan yang jauh berbeza. Dalam tradisi
lakonan realisme psikologi, pelakon dianggap perlu membina kehidupan dalaman
watak sehingga setiap tindakan, perkataan dan emosi yang dipersembahkan di atas
pentas lahir secara organik daripada pengalaman watak tersebut. Pelakon tidak
sekadar berpura-pura sedih, marah atau gembira, sebaliknya cuba memahami
mengapa watak itu berasa sedemikian. Dalam proses latihan, pelakon akan
meneliti latar belakang watak, objektif yang ingin dicapai, hubungan dengan
watak lain, konflik yang dihadapi serta keadaan yang mempengaruhi tindakannya.
Apabila semua unsur ini digabungkan, emosi tidak lagi dipaksa keluar melalui
teknik luaran semata-mata tetapi muncul secara semulajadi hasil daripada proses
penghayatan tersebut.
Perbezaan antara “mengalami” dan “mempersembahkan” dapat dilihat melalui
contoh yang mudah. Seorang pelakon yang diminta melakonkan watak ibu yang
kehilangan anak akan memilih untuk terus menangis, menjerit dan menunjukkan
ekspresi kesedihan yang melampau. Dalam keadaan ini dia sedang mempersembahkan
kesedihan kepada penonton. Penonton dapat melihat bahawa watak itu sedih tetapi
kadangkala persembahan tersebut terasa dibuat-buat atau terlalu dirancang.
Sebaliknya pelakon yang benar-benar menghayati situasi watak akan menumpukan
perhatian kepada kehilangan yang dialami, kenangan bersama anaknya, impian yang
tidak sempat direalisasikan serta kesan tragedi itu terhadap kehidupannya.
Hasilnya bukan tangisan yang kuat tetapi hanya pandangan kosong, suara yang
tersekat-sekat atau tangan yang menggigil ketika memegang pakaian anaknya.
Walaupun lebih sederhana, kesan emosinya sering kali lebih kuat kerana penonton
percaya bahawa kesedihan itu benar-benar sedang berlaku. Inilah yang menjadi
matlamat utama pendekatan Stanislavski. Penonton diharapkan dapat mempercayai
bahawa apa yang berlaku di atas pentas adalah kehidupan yang sebenar. Mereka
diajak untuk memasuki dunia watak, merasakan penderitaannya, berkongsi kegembiraannya
dan memahami perjalanan emosinya. Dalam konteks ini, empati menjadi elemen yang
sangat penting. Kejayaan sesebuah persembahan sering diukur melalui sejauh mana
penonton dapat merasai pengalaman yang dilalui oleh watak-watak di atas pentas.
Walau bagaimanapun, tidak semua tokoh teater bersetuju bahawa empati
harus menjadi tujuan utama persembahan. Bertolt Brecht, tokoh Teater Epik yang
terkenal pada abad ke-20, mempunyai pandangan yang berbeza terhadap hubungan
antara pelakon, watak dan penonton. Brecht percaya bahawa apabila penonton
terlalu larut dalam emosi dan terlalu mengidentifikasikan diri dengan watak,
mereka akan kehilangan keupayaan untuk berfikir secara kritis tentang apa yang
sedang berlaku. Mereka menangis bersama watak yang tertindas atau berasa marah
terhadap watak yang kejam tetapi gagal memahami sebab-sebab sosial, politik dan
ekonomi yang menghasilkan keadaan tersebut. Oelh yang demikian Brecht menolak
idea bahawa pelakon perlu tenggelam sepenuhnya dalam watak. Sebaliknya beliau
menggalakkan pelakon mengekalkan jarak tertentu daripada watak yang dimainkan.
Pelakon Brechtian tidak berusaha menjadi watak sepenuhnya tetapi menunjukkan
watak tersebut kepada penonton untuk diperhatikan dan dinilai. Dalam erti kata
lain jika Stanislavski mahu pelakon berkata, “Aku ialah watak ini,” maka Brecht
mahu pelakon berkata, “Lihatlah watak ini dan fikirkan mengapa dia bertindak
sedemikian.” Perbezaan ini dapat dilihat dengan jelas dalam cara kedua-dua
pendekatan menangani konflik sosial. Bayangkan seorang wanita miskin mencuri
makanan untuk anak-anaknya yang kelaparan. Dalam pendekatan Stanislavski, fokus
utama adalah kepada pengalaman dalaman wanita tersebut. Pelakon cuba memahami
ketakutan, rasa bersalah, kasih sayang dan keputusasaan yang mendorong
tindakannya. Penonton pula diharapkan dapat bersimpati dan merasai penderitaan
yang dialaminya. Dalam pendekatan Brecht, pelakon masih memahami keadaan watak
tetapi tujuan persembahan bukan sekadar untuk menimbulkan simpati. Penonton
digalakkan bertanya mengapa masyarakat membenarkan keadaan itu berlaku dan
apakah sistem yang menyebabkan seseorang ibu terpaksa mencuri demi menyara
keluarganya. Justeru perbezaan utama antara Stanislavski dan Brecht sebenarnya
bukan sekadar soal teknik lakonan tetapi soal tujuan teater itu sendiri.
Stanislavski menumpukan perhatian kepada pengalaman individu dan kehidupan
dalaman manusia. Brecht pula memberi tumpuan kepada struktur sosial dan
kesedaran politik. Stanislavski mahu penonton merasai, manakala Brecht mahu
penonton berfikir. Stanislavski mengutamakan empati, sementara Brecht
mengutamakan analisis kritikal. Seorang pelakon realistik berusaha menjadi
watak, manakala pelakon Brechtian berusaha menunjukkan watak.
Namun begitu, adalah satu
kesilapan besar jika kita menganggap bahawa pelakon Brechtian tidak memerlukan
pemahaman emosi atau psikologi watak. Hakikatnya seorang pelakon tidak mungkin
dapat menunjukkan sesuatu watak dengan berkesan tanpa memahami logik tindakan
dan pemikiran watak tersebut. Pelakon Brechtian tetap perlu mengetahui mengapa
watak bertindak sedemikian, apakah motivasinya dan apakah konflik yang sedang
dihadapinya. Bezanya ialah pelakon tersebut tidak membiarkan dirinya hilang
sepenuhnya dalam dunia watak. Dia sentiasa mengekalkan kesedaran bahawa dirinya
ialah seorang pelakon yang sedang mempersembahkan watak kepada khalayak. Kesedaran
berganda inilah yang membezakan pendekatan Brecht daripada pendekatan realisme
psikologi. Pelakon Brechtian sentiasa sedar bahawa dia ialah pelakon, sedar
bahawa dia sedang memainkan watak dan sedar bahawa watak tersebut sedang
dipersembahkan untuk dinilai oleh penonton. Keadaan ini membolehkan pelakon
mengekalkan jarak kritis yang menjadi asas kepada Teater Epik.
Dalam konteks pendidikan teater hari ini perbezaan antara kedua-dua
pendekatan ini sering menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pelajar. Ada yang
menganggap bahawa Brecht bermaksud berlakon tanpa emosi manakala Stanislavski
pula dianggap satu-satunya bentuk lakonan yang betul. Hakikatnya kedua-dua
pendekatan mempunyai fungsi dan tujuan yang berbeza. Tiada satu pendekatan yang
lebih unggul daripada yang lain. Sebaliknya setiap pendekatan lahir daripada
falsafah teater yang berbeza dan digunakan untuk mencapai kesan yang berbeza
terhadap penonton.
Perbahasan tentang “mengalami” atau “mempersembahkan” watak tidak
seharusnya dilihat sebagai pertentangan mutlak. Seorang pelakon yang baik perlu
memahami kedua-dua pendekatan ini. Dia perlu mengetahui bagaimana untuk
menghidupkan pengalaman watak secara jujur dan meyakinkan tetapi pada masa yang
sama memahami bahawa terdapat situasi tertentu yang memerlukan jarak kritis dan
kesedaran sosial seperti yang dicadangkan oleh Brecht. Seni lakonan yang matang
bukanlah memilih satu pendekatan dan menolak yang lain, tetapi memahami akar
pemikiran, tujuan dan konteks penggunaannya. Dalam erti kata yang lebih luas,
persoalan sebenar bukanlah sama ada pelakon perlu mengalami atau
mempersembahkan watak. Persoalan yang lebih penting ialah apakah tujuan
persembahan tersebut. Jika matlamatnya adalah untuk membawa penonton menyelami
kehidupan manusia secara mendalam, pendekatan penghayatan mungkin lebih sesuai.
Jika matlamatnya adalah untuk mengajak penonton mempersoalkan masyarakat dan
struktur kuasa yang wujud di sekeliling mereka, pendekatan Brechtian mungkin
lebih berkesan. Kedua-duanya mempunyai nilai dan kepentingan tersendiri dalam
memperkayakan dunia seni teater.
Comments