TEATER BUKAN HANYA UNTUK ORANG TEATER
TEATER
BUKAN HANYA UNTUK ORANG TEATER
|
|
Dalam
satu sesi wacana ilmu yang berlangsung di Pelinggam Cahaya, Pusat Pengajian
Seni USM baru-baru ini, pelajar-pelajar bidang Lakonan dan Sutradaraan
berpeluang berdialog secara langsung dengan seorang alumni yang telah melalui
pengalaman sebenar dalam dunia seni persembahan. Antara perkara yang menarik
perhatian ialah pandangan beliau mengenai satu isu yang sering diperkatakan
tetapi jarang dibincangkan secara mendalam iaitu mengapa ramai penggiat teater
yang berbakat dan berkelayakan masih gagal mencapai kedudukan yang stabil dalam
industri. Menurut beliau, masalah utama bukanlah kekurangan bakat atau
pendidikan. Sebaliknya ramai penggiat teater masa kini sebenarnya telah
menerima latihan profesional dan memiliki kelulusan akademik yang baik dalam
bidang seni teater. Namun begitu tidak semua berjaya menterjemahkan kelebihan
tersebut kepada peluang kerjaya yang berterusan. Pandangan ini membuka ruang
kepada perbincangan yang lebih luas tentang cabaran sebenar yang dihadapi oleh
penggiat teater dalam mendepani tuntutan industri seni kontemporari.
Dalam
kalangan penggiat teater terdapat satu kepercayaan yang telah lama berakar umbi
bahawa tugas utama seorang seniman ialah menghasilkan karya yang berkualiti.
Selagi sesebuah pementasan itu baik, memiliki nilai artistik yang tinggi,
mempunyai lakonan yang mantap, sutradaraan yang kukuh dan mesej yang mendalam
maka karya tersebut akan mendapat tempat dalam masyarakat. Kepercayaan ini
mungkin sesuai pada suatu ketika dahulu ketika pilihan hiburan masih terhad dan
teater merupakan antara medium utama untuk menyampaikan cerita, pemikiran dan
kritikan sosial. Namun realiti hari ini sudah jauh berbeza. Kita hidup dalam
zaman yang penuh dengan persaingan dan perhatian. Dalam tempoh beberapa minit
sahaja, seseorang boleh menonton puluhan video pendek, membaca pelbagai komen,
melihat ratusan gambar dan menerima ribuan maklumat daripada pelbagai platform
media sosial. Dalam keadaan seperti ini, sesebuah pementasan teater bukan lagi
bersaing dengan pementasan lain semata-mata. Teater sebenarnya bersaing dengan
TikTok, YouTube, Netflix, permainan video, media sosial dan pelbagai bentuk
hiburan digital yang lain. Oleh sebab itu menghasilkan karya yang baik sahaja
tidak lagi mencukupi. Penggiat teater perlu memikirkan persoalan-persoalan yang
lebih besar iaitu bagaimana masyarakat boleh mengetahui bahawa karya tersebut
wujud, bagaimana masyarakat boleh memahami kepentingan teater, bagaimana mereka
boleh diyakinkan bahawa teater masih relevan dalam kehidupan moden hari ini? Persoalan-persoalan
inilah yang membawa kita kepada satu hakikat penting bahawa penggiat teater
bukan sahaja perlu belajar bagaimana menghasilkan teater tetapi juga bagaimana
mengkomunikasikan teater kepada masyarakat.
Ramai
penggiat seni berasa kurang selesa apabila berbicara tentang pemasaran diri.
Ada yang menganggap bahawa mempromosikan diri sendiri adalah sesuatu yang tidak
sesuai dengan sifat seorang seniman. Mereka bimbang akan dilihat sebagai
menunjuk-nunjuk, mencari publisiti atau terlalu komersial. Namun tanggapan ini
sebenarnya berpunca daripada salah faham terhadap konsep pemasaran diri. Menjual
diri bukan bermaksud menjual maruah atau membesar-besarkan kemampuan. Menjual
diri dalam konteks profesional bermaksud memperkenalkan nilai yang kita miliki
kepada orang lain. Ia bermaksud berkongsi pengalaman, kemahiran, pengetahuan
dan kepakaran supaya masyarakat mengetahui apa yang boleh kita sumbangkan. Jika
seorang doktor tidak memberitahu masyarakat tentang kepakarannya, bagaimana
pesakit mahu mendapatkan rawatan yang sesuai? Jika seorang arkitek tidak
menunjukkan hasil reka bentuknya, bagaimana pelanggan mahu menilai
kemampuannya? Begitu juga dalam bidang teater. Jika seorang sutradara tidak
pernah berkongsi pemikirannya tentang sutradaraan, jika seorang pelakon tidak
pernah menunjukkan proses latihannya, dan jika seorang pensyarah teater tidak
pernah berkongsi ilmu yang dimilikinya maka masyarakat tidak akan mengetahui
nilai yang mereka miliki.
Teater
juga perlu dilihat bukan sekadar sebagai satu bentuk seni tetapi sebagai sebuah
industri. Dalam mana-mana industri, identiti profesional memainkan peranan yang
sangat penting. Seorang pelakon perlu dikenali kerana kekuatan lakonannya.
Seorang penulis skrip perlu dikenali kerana gaya penulisannya. Seorang pereka
pentas perlu dikenali kerana kreativiti visualnya. Manakala seorang sutradara
perlu dikenali kerana pendekatan artistik yang dibawanya. Bayangkan terdapat
dua orang sutradara teater yang mempunyai kemahiran yang hampir sama. Sutradara
pertama hanya bekerja di belakang tabir dan tidak pernah berkongsi apa-apa
tentang hasil kerjanya. Sutradara kedua pula sentiasa berkongsi proses latihan,
cabaran penyutradaraan, idea artistik dan refleksi terhadap pementasan yang
dihasilkannya. Dalam tempoh beberapa tahun, siapakah yang lebih berkemungkinan
dikenali oleh masyarakat, penganjur festival dan pihak media? Sudah tentu
sahaja sutradara kedua. Bukan kerana beliau lebih berbakat tetapi kerana beliau
lebih mudah ditemui dan dikenali. Inilah realiti yang sukar diterima oleh
sesetengah penggiat seni. Dalam dunia hari ini bakat yang tersembunyi sering
kalah kepada bakat yang dapat dilihat.
Perkara
ini dapat diperhatikan dalam banyak situasi. Kita sering menemui individu yang
mempunyai ilmu yang sangat tinggi tetapi kurang mendapat peluang. Pada masa
yang sama, terdapat individu yang mungkin tidak sehebat itu dari sudut akademik
atau pengalaman tetapi sentiasa mendapat jemputan, peluang projek dan liputan
media. Fenomena ini bukan menunjukkan ketidakadilan sebaliknya ia menunjukkan
kepentingan komunikasi. Mereka yang berjaya bukan semata-mata kerana mereka
lebih hebat tetapi kerana mereka berjaya membina hubungan dengan masyarakat. Mereka
tahu bagaimana untuk menjelaskan idea yang kompleks dalam bahasa yang mudah
difahami. Mereka tahu menggunakan media sosial secara berkesan, membina
rangkaian hubungan professional dan mempersembahkan nilai yang ada pada diri
mereka.
Jika
bakat diibaratkan sebagai isi sebuah buku maka komunikasi ialah kulit buku yang
membuatkan orang ingin membacanya. Dalam dunia teater, penganjur, penaja dan
penerbit tidak membeli bakat semata-mata. Mereka membeli keyakinan. Mereka
ingin tahu sama ada seseorang itu mampu menguruskan produksi, menyelesaikan
masalah, memimpin pasukan dan menghasilkan persembahan yang berkualiti. Atas
sebab itulah reputasi menjadi sangat penting. Reputasi tidak terbina dalam
sehari dua. Ia dibina melalui konsistensi, disiplin, profesionalisme dan
komunikasi yang berterusan. Setiap kali seseorang berkongsi proses kreatifnya,
menulis pandangan tentang teater, memberikan ulasan terhadap persembahan atau
menghasilkan kandungan pendidikan berkaitan seni, sebenarnya beliau sedang
membina reputasinya sedikit demi sedikit.
Dalam
era media sosial, peluang untuk melakukan perkara ini menjadi lebih luas
berbanding sebelum ini. Dahulu, seorang penggiat teater mungkin hanya dikenali
oleh mereka yang hadir menonton pementasannya. Hari ini, seorang penggiat
teater boleh berkongsi idea kepada ribuan orang tanpa perlu meninggalkan rumah.
Seseorang pensyarah teater boleh menghasilkan video pendek mengenai teknik
lakonan. Seorang sutradara boleh berkongsi proses latihan pelakon. Seorang
pereka pentas boleh menjelaskan bagaimana sesebuah set direka bentuk. Seorang
dramaturg boleh menerangkan cara menganalisis skrip. Kandungan seperti ini
bukan sahaja mempromosikan individu tersebut tetapi pada masa yang sama
mendidik masyarakat tentang teater.
Malangnya
ramai penggiat teater masih terperangkap dalam satu budaya eksklusif yang
menjadikan perbincangan tentang teater hanya berlaku sesama penggiat teater.
Mereka menghadiri seminar yang dihadiri orang teater, menulis artikel yang
dibaca orang teater dan berbincang dalam kelompok yang sama. Akibatnya ilmu
yang sepatutnya sampai kepada masyarakat umum akhirnya hanya berlegar dalam
kalangan komuniti kecil yang sedia ada. Sedangkan hakikatnya teater bukan hanya
untuk orang teater. Teater ialah medium yang membincangkan manusia. Ia
membicarakan keluarga, politik, pendidikan, ekonomi, budaya, agama, identiti
dan pelbagai persoalan kehidupan. Oleh itu masyarakat perlu dilibatkan dalam
perbincangan tentang teater. Jika masyarakat tidak memahami teater bukan kerana
masyarakat tidak berminatn tetapi cara kita berkomunikasi masih belum cukup
berkesan. Kita sering mengeluh bahawa penonton teater semakin berkurangan.
Namun pernahkah kita bertanya sama ada kita telah cukup berusaha untuk
menerangkan kepada masyarakat mengapa mereka perlu menonton teater? Kita sering
mengeluh bahawa orang tidak menghargai seni. Namun pernahkah kita bertanya sama
ada kita telah cukup berusaha untuk menjelaskan bagaimana seni boleh memberi
manfaat kepada kehidupan mereka? Dalam konteks ini, tugas penggiat teater bukan
lagi sekadar menghasilkan karya tetapi perlu menjadi pendidik, komunikator dan
duta kepada bidang yang mereka ceburi. Hal ini menjadi lebih penting bagi ahli
akademik dalam bidang teater. Ramai pensyarah mempunyai pengalaman puluhan
tahun, menghasilkan penyelidikan yang bernilai, membimbing generasi pelajar dan
membangunkan pelbagai pendekatan baharu dalam seni persembahan. Namun
sebahagian besar ilmu ini hanya tersimpan dalam tesis, jurnal atau bilik
kuliah. Masyarakat sebenarnya memerlukan suara-suara seperti ini. Mereka
memerlukan individu yang boleh menjelaskan mengapa teater penting, bagaimana
teater boleh digunakan dalam pendidikan, bagaimana teater membantu pembangunan
insan dan bagaimana seni boleh menyumbang kepada pembangunan masyarakat. Masalahnya
bukan kerana ilmu tersebut tidak bernilai tetapi ilmu tersebut belum sampai
kepada khalayak yang lebih luas. Oleh itu, penggiat teater perlu mula melihat
komunikasi sebagai sebahagian daripada tanggungjawab profesional mereka. Mereka
perlu berani menulis, bercakap, membuat siaran langsung, menghasilkan video
pendek, berkongsi pengalaman dan membuka ruang dialog dengan masyarakat. Karya
yang baik perlu dipentaskan. Ilmu yang baik perlu dikongsikan. Pemikiran yang
baik perlu didengari.
Dalam
dunia seni hari ini, bukan semua yang hebat akan dikenali. Namun hampir semua
yang dikenali mempunyai keberanian untuk memperkenalkan diri mereka kepada
dunia. Oleh itu, cabaran sebenar penggiat teater masa kini bukan lagi sekadar
bagaimana menghasilkan pementasan yang hebat tetapi bagaimana memastikan nilai
dan kepentingan teater dapat difahami oleh masyarakat. Ini kerana teater bukan
hanya milik orang teater. Teater adalah milik masyarakat dan apabila masyarakat
memahami teater, barulah teater benar-benar hidup.
Comments