MANIFESTASI TEATER MALAYSIA PERINGKAT NEGERI SABAH 2012
Pertengahan Tahun 2012 merupakan tahun yang paling sibuk buat anak-anak G-TeL kerana mereka terpaksa mengurus dan menyerta tiga acara mega yang berjalan dalam dua bulan (Jun-Julai) iaitu Festival Teater Peringkat Sabah, Festival Dekon MAKUM dn Manifestasi Teater Malaysia Peringkat Zon. Manifestasi Teater Malaysia Peringkat Zon telah berlangsung sebanyak dua peringkat iaitu pada 17 Jun 2012 dan 15 Julai 2012. Bagi mengatasi bebanan ini, G-Tel telah membahagikan ahli produksinya kepada dua kumpulan iaitu kumpulan Dekon dan kumpulan Teater. G-Tel telah mengambil cadangan dan idea seorang alumni G-Tel iaitu sdr Zul Khaliff supaya G-Tel memfokuskan kepada satu naskah yang beliau sebut sebagai play of the Year. Saya selaku Penasihat G-Tel telah berbincang dengan isteri yang juga alumni G-Tel iaitu Tasia Arlina Ismail supaya menyediakan sebuah naskah yang boleh digunapakai untuk kedua-dua festival. Akhirnya beliau mengesyorkan sebuah naskah yang beliau cipta khusus untuk tahun 2012 iaitu naskah MENCARI RICKA.
Naskah MENCARI RICKA adalah sebuah naskah yang sarat dengan penggunaan bahasa yang puitis dan tinggi perbendaharaan katanya. ini adalah karya mencabar yang pernah dihasilkan dan cuba diangkat ke pentas. Ia bukan seperti naskah drama lain yang menggunakan bahasa seharian. Bayangkan bagaimana Pak Samad Said bercakap..begitulah saratnya bahasa dalam naskah MENCARI RICKA.
Belum lagi bercakap soal bagaimana untuk mengadaptasikan ke pentas. Sebuah karya yang dicipta khusus untuk Dekon telah digarap semula untuk menjadikannya sesuai ke pentas teater. Bukan satu kerja yang mudah sebenarnya. Namun berkat bantuan kawan-kawan G-Tel, semua halangan itu menjadi mudah direntasi.
Kedua-dua produksi (Dekon dan Teater) telah menggunakan naskah MENCARI RICKA sebagai taruhan untuk kedua-dua festival. Dua produksi telah dilantik dalam masa yang serentak namun yang membanggakan ialah anak-anak G-Tel mampu melaksanakan tanggungjawab yang berat ini dengan tabah dan baik.Bertengkar, bergaduh itu adat dalam produksi, namun ia semua adalah untuk kebaikan dan masa depan produksi juga. Mana ada produksi yang berjalan tanpa ada cacat-celanya...
Terima kasih juga kepada alumni-alumni G-Tel yang telah turun membantu seperti Mazrona, Ulik, Pie, Ecah, Firdaus, Tasia dan Weena (menyebut beberapa nama, kalau tertinggal, harap dimaafkan). Kehadiran mereka sangat membantu khususnya kepada saya dalam memikirkan halatuju dan misi kedua-dua produksi. Saya selaku Penasihat dan juga tenaga pengajar teater di UMS (hampir 17 tahun) merasa sangat gembira melihat kehadiran alumni-alumni ini. mereka datang tanpa dipaksa dan diminta. Mereka berusaha membantu mana yang boleh. Tak ada yang lebih menggembirakan seorang guru apabila melihat kehadiran anak-anak didiknya yang suatu ketika dahulu lembam, cengeng akhirnya hadir sebagai seorang manusia yang semakin matang dan cerdas berfikir.
Kali ini Hj Ismaily yang juga merupakan bapa mertua saya, sangat mesra di kalangan anak-anak G-Tel dengan panggilan `ABAH' turut membantu dalam memberikan semangat dan panduan khususnya dalam mengangkat budaya tradisi masyarakat Sabah.Kehadiran beliau tidak disenangi oleh beberapa pihak di dalam universiti kerana dikatakan berfahaman politik menentang arus, pelbagai tohmahan dilemparkan kepada beliau, namun pada saya itu semua tak perlu diambil pusing. Yang penting adalah ilmunya. Lagipun mengapa pihak Universiti terlalu asyik bermain politik yang sepatutnya bersikap berkecuali dan memikirkan aspek keilmuan dan pendidikan. Saya diberikan amaran agar tidak menjemput beliau dalam mana-mana aktiviti di dalam kampus. Jawapan saya mudah. Apa saya peduli!!! Pada saya dia org berilmu dan saya mahukan ilmunya bukan fahaman politiknya. Politik itu hak individu! Sangat menyedihkan apabila dunia akademia yang sepatutnya cemerlang dalam membangunkan pendidikan dan ilmu sudah dikuasai oleh golongan politik yang tidak berpendidikan tinggi hanya tahu mengisi temboloknya dengan kekayaan wang semata.Ahh! peduli lah dengan semua itu, Biarla si Luncai terjun dengan labunya...
Tahun 2012 adalah tahun yang paling bertuah untuk G-Tel, walaupun tidak dapat menyertai Festival Teater MAKUM 2012 FTM sangat dekat di hati G-Tel kerana G-Tel merupakan antara kumpulan yang mampu memberikan saingan dalam FTM dan pernah menjadi Johan FTM. Tumpuan sepenuhnya diberikan kepada dua produksi ini dan akhirnya G-Tel berjaya menjadi Johan untuk kedua-dua festival. Buat pertama kalinya setelah hampir 10 tahun penganjuran Festival Dekon MAKUM (FDM 2012), akhirnya G-Tel berjaya menjadi Johan dan membawa pulang beberapa anugerah utama yang lain seperti Skrip Terbaik, Pengarahan Terbaik dan Dekonis Terbaik. manakala untuk Manifestasi Teater Malaysia pula, G-Tel berjaya mewakili Sabah untuk ke penilaian peringkat kedua bagi menentukan 6 kumpulan terbaik untuk membuat persembahan di Kuala Lumpur pada Okt nanti.
Tahniah utk G-Tel, semoga terus menyemarakkan lagi industri teater IPTA dan negara.
Comments