Istilah Sutradara menggantikan perkataan `Pengarah’
Setiap kali kita pergi menonton persembahan teater, hubungan langsung pertama yang akan kita temui adalah pelakon di atas pentas. Kita mula mengidentifikasi watak-watak yang diperankan, menyelami situasi yang dipaparkan, menghargai hasil kerja pereka dan tenaga kerja produksi dengan mengapresiasi aspek-aspek artistik dan estetik yang dipersembahkan melalui latar set, busana, pencahayaan, bunyi dan lain-lain. Di sebalik setiap persembahan lakon dan paparan artistik dan estetika pentas, orang yang bertanggungjawab menyusun dan mengatur semua ini adalah sutradara.
Kita mungkin pernah mendengar perkataan sutradara namun tidak semua di antara kita yang benar-benar mengerti akan tugas dan peranan sebenar seorang sutradara. Mengikut Kamus Dewan Edisi ke-4 (2014), menyatakan istilah pengarah ada pelbagai iaitu orang yang kerjanya mengarah (filem, drama); orang yang dipilih untuk mengawal atau mentadbirkan perjalanan sesuatu projek (jabatan, syarikat, perbadanan). Manakala jika kita merujuk istilah sutradara pula, ia menjurus hanya kepada satu maksud iaitu pemimpin atau pengatur sesuatu lakonan (filem dan lain-lain), pengarah. Jika dalam kamus sudah memberikan nama khusus untuk jawatan ini, mengapa kita perlu khuatir atau was-was untuk menggunakannya. Kita perlu bangga kepada lambang dan tanda nama khusus untuk bidang kita ini. Penggunaan istilah "sutradara" sebagai pengganti perkataan "pengarah" dalam konteks pementasan teater memang boleh memberikan keistimewaan kepada istilah tersebut. Di sini dinyatakan beberapa alasan yang dapat menyokong penggunaan istilah "sutradara" untuk menjelaskan perbezaan maksud dan tugas dalam dunia teater:
1.Perbezaan dalam fokus tugas di mana “sutradara" lebih menitikberatkan kepada peranan individu khusus dalam membimbing dan mengarahkan keseluruhan pementasan teater. Ia menonjolkan peranan kreatif dan seni penyutradaraan dalam menghasilkan karya seni teater yang unik. Sebaliknya, istilah "pengarah" pula boleh merujuk kepada pelbagai jenis pengarah dalam konteks yang berbeza, termasuk dalam bidang lain seperti filem, televisyen, atau penerbitan. Kekok sekali bunyinya kalau kita sebut sutradara Jabatan Air Negara.
2.Penggunaan istilah "sutradara" sebagai satu penghargaan kepada individu yang berusaha mengangkat nilai kreativiti dan seni dalam proses pementasan teater. Ia menggambarkan bahawa sutradara adalah individu yang bertanggungjawab untuk membawa elemen seni, penceritaan, penghayatan watak, dan pengaturan panggung dalam mencipta satu pengalaman teater yang unik.
3.Dalam komuniti teater, penggunaan istilah "sutradara" sebagai satu pengiktirafan kepada individu yang berperanan penting dalam menghasilkan sebuah teater. Ia dapat membantu membina sebuah identiti yang lebih kukuh yang wujud sebagai sebahagian daripada dunia seni.
4. Penggunaan istilah "sutradara," dapat mencipta satu perkataan yang lebih khusus dan tepat untuk bidang teater dalam merujuk kepada tugas dan peranan yang berbeza dalam bidang seni.
Penggunaan istilah "sutradara" dalam konteks pementasan teater adalah baik kerana ia dapat menjelaskan perbezaan tugas dan memberikan keistimewaan kepada peranan seseorang individu dalam mencipta karya seni teater. Ia juga dapat memperkaya bahasa dalam konteks seni dan pengiktirafan terhadap peranan seorang pemimpin dalam dunia teater. Justeru dalam penulisan ini istilah `sutradara’ akan digunapakai bagi mengelakkan sebarang kekeliruan pengaplikasian dalam kontek perjawatan.
Comments