MODAL INSAN USAHAWAN BERJATI DIRI UNGGUL DAN KEWAJARAN PENGUJUDAN PROGRAM PENGAJIAN SENI PERSEMBAHAN DI UNIVERSITI MALAYSIA KELANTAN
Seni teater merupakan satu seni yang rumit dan kompleks dan dikaitkan dengan istilah collective art atau synthetic art. Teater adalah gabungan pelbagai cabang kesenian seperti tarian, lakonan, nyanyian, muzik seni visual dan multimedia. Seni berteater menggabungkan tiga unsur yang penting dalam penilaian diri iaitu V. A. K; Visual, Audio, dan Kinestetik (gerak) yang termasuk di dalamnya bunyi, suara, muzik, gerak dan bahasa badan (Staub. 1973:2). Seni teater merupakan adalah seni pementasan yang menggabungkan seni penulisan, seni pengarahan, seni rekaan serta seni pertukangan. Teater adalah sebuah seni bersifat kolektif dan memerlukan kerjasama semua pihak dalam produksi.
Bermain teater adalah satu proses pembelajaran. Pelajar belajar mengenal diri dan masyarakat melalui aktiviti drama yang mencerminkan kehidupan individu serta masyarakatnya. Melalui aktiviti drama, pelajar dibimbing berkomunikasi secara lisan dan bukan lisan (body language) dengan berkesan. Mereka dilatih menggunakan laras bahasa mengikut kesesuaian melalui aktiviti simulasi, main peranan dan improvisasi. Pembelajaran melalui drama menjadikan proses pembelajaran para pelajar lebih menyeronokkan. Di samping itu, aktiviti drama menggalakkan interaksi dan kemahiran berkomunikasi secara berkesan dan jelas. Drama juga boleh digunakan untuk membantu kefahaman mata pelajaran tertentu, contohnya, mengajar mata pelajaran sejarah. Guru boleh memilih untuk mendramakan kisah sejarah yang dipelajari dengan membinanya sendiri bersama pelajar melalui teknik improvisasi atau simulasi. Plot atau konflik dalam cerita boleh diwujudkan melalui kaedah perbincangan, ramalan manakala penyelesaian cerita boleh menggunakan kaedah penyelesaian masalah. Aktiviti ini menggalakkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, disamping menggalakkan pelajar memahami permasalahan masyarakat dan cuba menjadikan persoalan di dalam drama sebagai satu pengajaran yang menambahkan pengalaman mereka tentang erti kehidupan. Guru secara tidak langsung dapat menerapkan nilai-nilai murni dan membentuk peribadi pelajar itu sendiri.
Dalam sistem pendidikan, teater membolehkan pelajar mempertingkatkan potensi diri dalam banyak aspek termasuklah aspek perkembangan diri dan sosialnya. Aktiviti teater yang berpusatkan pelajar, akan menjadikan penyertaan pelajar lebih aktif. Melalui aktiviti drama, pelajar dapat memahami diri mereka lebih jelas, mengenal ruang dan persekitaran, memahami rakan serta meningkatkan keupayaan skill mereka dalam pelbagai aspek. Teater berupaya menjadi medium unggul untuk menyampaikan pembelajaran secara bersepadu sebagaimana yang diharapkan dalam sistem pendidikan masa kini.
Bersesuaian dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, drama dan teater juga berperanan membentuk insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Di Barat, pendidikan seni teater secara formal bukanlah sesuatu yang asing. Boleh dikatakan hampir setiap institusi pendidikan di Barat ada menawarkan Sijil, Diploma, Ijazah dan Sarjana dan Doktor Falsafah dalam pengajian seni teater. Seni teater di sana mampu menjadi sebahagian dari budaya kehidupan masyarakat Barat melewati lingkungan umur dari peringkat kanak-kanak sehinggalah ke peringkat dewasa. Teater adalah kehidupan dan manusia merangkumi rentetan peristiwa, konflik dan hubungan sesama manusia. Teater adalah lambang ketamadunan negara dan bangsa dan setiap negara maju mempunyai pergerakan dan kegiatan teaternya sendiri. Di Malaysia, bidang teater masih belum mampu menembusi pasaran pendidikan nasional walaupun masyarakat kita telah didedahkan kepada dunia teater sejak beratus tahun seperti teater tradisional seperti Jikey, Makyung, randai, menora, teater transisi Bangsawan, Sandiwara, purbawara dan teater moden. Kehidupan masyarakat ketika itu sangat kuat dipengaruhi oleh alam sekeliling yang menjadi penentu kepada perjalanan dan pengurusan kehidupan seharian dan elemen teater telah dijadikan sebagai wadah untuk membantu menyempurnakan kehidupan seharian itu[ Teater berperanan bukan sahaja sebagai hiburan malah teater juga berperanan dalam menyampai ilmu untuk mendidik, menyebar propaganda seperti yang berlaku di zaman Jepun, untuk tujuan pemulihan, menyampaikan mesej baik berupa pesanan dan didaktik moral dan juga sebagai elemen ritual.]. Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang adalah universiti terawal menawarkan bidang pengajian seni persembahan melalui program sijil Seni Kreatif dan menjadi perintis dalam pengajian teater dan aspek lain dalam performing arts sejak tahun 1972. USM telah mengendalikan program teater yang lengkap, merangkumi aspek teori dan amali dalam teater tradisional dan moden (Mohamed Ghouse Nasuruddin, 2007: 6). Melalui USM telah lahir ramai pakar akademik, koreografer, penggiat filem, penggiat, aktivis dan golongan seni tanahair yang popular serta menjadi tunggak perkembangan seni persembahan seperti Zulkifli Zain, Zainal Abdul Latif, Ahmad Tarmimi Sarigar, Lokman Ghani, Jamal Sulai, Samat Saleh, Rosminah Tahir, Hardy Shafi, Yalal Chin, Zaibo, Hamzah Tahir, Mazlan Tahir Sharifah Mahani Syed Kassim, Hatta Azad Khan, Zakatria Ariffin, Khee Thuan Chye, Marion D’Cruz, Zaifri Hussain dan Rosli Mansor. Universiti Malaya turut mengangkat martabat seni berteater di Malaysia dan menjadi perintis mengendalikan persembahan teater berbahasa Inggeris melalui Jabatan Pengajian Inggeris yang mementaskan drama Shakespeare, Ibsen dan lain-lain drama Barat.
Namun begitu, seni teater masih belum diyakini untuk diberikan kedudukan yang sewajarnya seperti lain-lain seni dan dianggap sebagai seni kelas dua. Kewujudan Istana Budaya juga masih gagal menjadi mercu kewujudan sebuah institusi teater tradisional dan moden di Malaysia. Matlamat Istana Budaya hanya menjadi sebuah panggung untuk mengisi persembahan dalam dan luar negara. Kompleks Budaya Negara (KBN) satu cabang dari Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pernah bergiat aktif mengangkat martabat teater melalui penganjuran pelbagai kegiatan pementasan, bengkel dan lain-lain. Begitu juga dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang menghasilkan penerbitan karya-karya hebat Seniman Negara Usman Awang, Seniman Negara A. Samad Said dan Johan Jaafar, kini tidak lagi bergerak secara aktif. Kegagalan ini berpunca dari sikap masyarakat terlalu melihat kepada aspek kebendaan (materialistik) dan keuntungan segera semata-mata. Terdapat segelintir ahli akademik yang menganggap bidang teater sebagai tidak komersil berbanding bidang seni lain seperti perfileman dan muzik. Negara luar berjaya menjadikan teater sebagai salah satu sumber pembangunan ekonomi negara seperti di London (West End), New York (Broadway) dan Tokyo (Kabuki). Anggapan bahawa seni teater tidak komersil dan tidak mempunyai khalayak sama sekali tidak berasas dan tidak adil. Seni teater adalah seni yang bersifat secara langsung (live) dan kesan empatinya lebih dekat kepada penonton berbanding dengan seni perfileman yang terhasil melalui beberapa proses suntingan dan tidak real.
Ada yang beranggapan mempelajari teater itu tidak memberikan manfaat jangka panjang kepada seseorang individu di masa akan datang. Ke mana hala tuju dan masa depan graduan berkelulusan teater dan di manakah pasarannya? Ini berbalik kepada soal pendidikan, kefahaman dan budaya. Penghargaan terhadap seni teater itu masih berada di tahap yang rendah. Masyarakat lebih menjiwai seni muzik berbanding lain-lain seni yang ada. Muzik dilihat sebagai sebuah seni yang elit. Mengapa ini terjadi? Terlalu banyak faktornya. Antaranya ialah seni muzik yang telah lama mempunyai asasnya tersendiri. Muzik dilihat sebagai salah satu cara untuk `mencari makan’ atau perniagaan. Ramai yang telah menjadi kaya dan terkenal melalui muzik. Wujudnya banyak sekolah muzik umpama cendawan tumbuh selepas hujan di mana-mana pelusuk negeri menjadi faktor penggalak yang utama dan mendapat sambutan setiap golongan lapisan masyarakat khususnya masyarakat bandar. Seni muzik sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan, di mana-mana sahaja kita disogokkan dengan muzik; di kaca televisyen, di corong radio, hinggakan tanpa muzik, manusia akan merasa kesunyian dan kesepian. Muzik hidup kerana irama, tempo, rentak, liriknya telah menjadi halwa telinga yang cukup menghiburkan. Mengapa teater tidak mampu mencapai tahap kemasyhuran seperti seni muzik? Semuanya berpunca daripada fokus sistem pembelajaran teater yang bersifat lahiriah tanpa menumpukan kepada aspek pembangunan rohani, teknikal, pensejarahan teater, psikologi, sosiologi teater dan kreativiti pengurusan. Perkara ini pernah dikeluhkan oleh Sasterawan Negara Dato Syed Alwi di dalam temubual dengan majalah Pentas (2007). Kebanyakan institusi pengajian yang menawarkan kursus atau program teater tidak bersifat inovatif, masih berada di takuk lama, era lama, memfokuskan lebih kepada aspek bagaimana untuk menjadi seorang pelakon, tatacara menghasilkan sebuah produksi atau tatacara melihat dan mengkritik sebuah produksi dari sudut estetikanya semata. Akibatnya lahirlah kumpulan penggiat teater yang kurang masak atau separuh masak. Mempelajari lakonan dan seni teater dianggap remeh dan tidak memberikan apa-apa kebaikan kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara. Seni berteater dianggap mudah. Sesiapa sahaja boleh buat teater dan berlakon. Dari sudut ekstrinsiknya memang benar tetapi berbicara dari sudut intrinsiknya pula, kualiti, dan impak sosialnya bagaimana? Melihat sudut lakonan pelakon Malaysia di kaca televisyen dan panggung wayang umpamanya seperti melihat patung kayu yang digerak-gerakkan, tiada emosi dan jiwa. Kebanyakan pelakon yang ada di Malaysia ini tidak mendalami ilmu lakonan mereka malah berpuas hati dengan setakat apa yang mereka ada sahaja.
Kebanyakan pendekatan pengajian teater di kebanyakan institusi pengajian tinggi berkiblatkan Barat yang menekankan aspek lahiriah dan materialistik, tanpa mengambilkira faktor persekitaran dan keperluan nasional. Penawaran kursus lakonan tidal menitik beratkan kepada peranan serta hubungkait diri seseorang itu dengan jiwa, agama dan pembangunan sahsiah kemanusiaan menjadikan pendidikan teater kosong dan jumud. Seni teater sebenarnya cukup lengkap dalam ertikata mencari dan mengenal diri dan Penciptanya. Istilah `Teater Memanusiakan Manusia’ mengajar manusia tentang hubungan diri, hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam. Pengamalan sesi olahan tubuh mampu melatih seseorang insan itu mengenal tubuhnya sendiri dengan lebih dekat dan sekaligus menjadikannya seorang manusia yang insaf dan tawadduk kepada kuasa yang lebih agung yang menjadikan dirinya sedemikian rupa, melatih manusia untuk bersyukur dengan apa yang mereka miliki. Aspek pengurusan teater melatih seseorang itu untuk menerima dan memberi arahan, mewujudkan sikap toleransi dan bekerjasama serta meningkatkan daya kreativiti. Pelakon yang baik itu perlu mendalami ilmu persembahan, ilmu psikologi, sosiologi dan antropologi masyarakat. Seni teater menyediakan pengamalnya dengan pelbagai ilmu dan membantunya melihat dunia dan kehidupan sesama manusia dari sudut yang lebih luas sehingga menjadikan pengamal teater sebagai manusia yang terbaik di kalangan manusia!
Sejak dahulu lagi seni teater menjadi wadah pembangunan sosial malah ia telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai medium perubahan sosial masyarakat dan manusia amnya. Di Rio de Janeiro, seni teater yang dikenali sebagai Forum Theatre telah dijadikan sebagai alat untuk membantu kerajaan dalam menggubal dasar dalam perlembagaan dan undang-undang. Teater menjadi saluran untuk rakyat menyuarakan pandangan dan teguran secara aman, selamat dan terkawal terhadap pemerintah. Di Eropah, teater dijadikan sebagai alat luahan perasaan dalam membantu pesakit yang mengalami masalah tekanan perasaan seperti pendekatan psikodrama, sosiodrama, Playback theatre dan lain-lain. Teater tradisional di Kelantan seperti teater tradisional makyung, main putri, dikir barat dan lain-lain, corak serta konsep persembahannya unik dan penuh dengan `elemen of suprises. Namun warisan budaya ini semakin lama semakin tetap pupus kerana minat generasi muda yang semakin menipis. Justeru, setiap sekolah seni di seluruh Malaysia termasuk beberapa universiti tempatan di sebelah pantai barat semenanjung Malaysia seperti Unversiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), ASWARA, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Mara (UiTM), dan di Borneo seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS), dan Universiti Malaysia Sarawak (UNiMAS) telah memasukkan pengajian teater tradisional di dalam pengajian teater yang ditawarkan. Manakala Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) yang berteraskan kepada teknologi dan warisan turut menawarkan pembelajaran teater melalui program Seni Persembahan di bawah Pengajian Warisan. Melalui frasa rangsangan `Memperkasa Warisan Menerusi Teknologi Kreatif,’ pengajian Seni Persembahan di FTKW UMK berupaya membangun sebagai pusat pengajian yang melestarikan seni warisan tempatan dan negara menerusi keupayaan teknologi moden. Keunikan penawaran ini berupaya memberi peluang menarik minat penggiat dan peminat teater di sebelah zon timur (Pahang, Kelantan dan Terengganu) untuk menimba ilmu teater secara formal, mendalami seni, budaya dan warisan negeri secara hands on dan kemahiran pengetahuan teknologi dan media digital akan dapat menjamin kelestarian pembangunan dan perkembangan seni budaya sedia ada.
`Keusahawanan Teras Kami’ merupakan frasa rangsangan UMK yang unik. Justeru semua penawaran program di UMK adalah berteraskan kepada pembangunan usahawan dan keusahawanan dalam pelbagai bidang. Dari sudut pembangunan kepada masyarakat, penawaran pengajian teater di UMK perlu unik dan berbeza dengan lain-lain pusat yang turut menawarkan pengajian teater. Sebagai sebuah universiti yang berteraskan keusahawanan dan letaknya pula di negeri Kelantan yang sinonim dengan budaya berniaga di kalangan masyarakatnya, bidang pengajian teater yang ditawarkan juga perlu menjurus kepada bidang keusahawanan. Penawaran ini mampu memberikan pulangan yang baik dari sudut pembangunan bidang teater dan pengiat teater di negeri Kelantan dan sekitarnya. Penciptaan modal insan usahawan seni yang berjati diri berupaya mencipta peluang pekerjaan baru dalam bidang industri kreatif selari dengan hasrat kerajaan serta relevan dengan keperluan industri dan pembangunan negara. Penawaran kursus teater yang berteraskan keusahawanan dan perniagaan menjadikan UMK sebagai universiti pertama menawarkan kursus keusahawanan seni teater. Kursus keusahawanan yang relevan dengan keperluan semasa dijangka mampu menarik minat ramai penggiat dan peminat teater dari dalam dan luar Kelantan untuk mempelajari pengajian seni teater yang ditawarkan UMK. Penawaran pengajian teater berteraskan keusahawanan merupakan pelaburan modal jangka panjang yang berbaloi, bermanfaat serta berupaya membawa pulangan yang besar di masa akan datang bukan sahaja kepada UMK malah turut memberi kesannya kepada perkembangan seni teater di seluruh negara.
Penawaran kursus-kursus lakon, pengarahan, teknikal, dan pengurusan seni perlu diperkukuhkan dengan pembangunan nilai insan yang tinggi serta penerapan ilmu perniagaan dan keusahawanan agar mampu melahirkan graduan usahawan seni yang berjati diri serta berupaya mencipta peluang pekerjaan baru dalam bidang industri kreatif disamping memenuhi keperluan industri dan kepentingan pembangunan negara. Pembelajaran ilmu perniagaan dan keusahawanan teater secara tersusun dalam di UMK menjadikan ia unik dan berbeza dengan lain-lain universiti yang turut menawarkan pengajian yang sama. Ia berupaya menjadi kursus yang relevan dengan keperluan semasa dan dijangka mampu menarik minat ramai penggiat dan peminat teater dari dalam dan luar Kelantan untuk mempelajari pengajian seni teater yang ditawarkan UMK. Pengkorporatan institusi pengajian tinggi kini memerlukan pihak pengurusan universiti menjana pendapatan melalui pelbagai cara antaranya melalui yuran pengajian pelajar. Secara umumnya, penawaran pengajian teater berteraskan keusahawanan adalah satu pelaburan modal jangka panjang yang berbaloi, lebih banyak memberikan manfaat serta berupaya memberikan pulangan yang besar di masa akan datang. Semoga dengan wujudnya sebuah pusat pengajian seni di Kelantan khususnya teater akan dapat mengembalikan zaman kegemilangan teater yang berilmu dan berkualiti seperti pandangan yang diutarakan oleh Dato Syed Alwi dalam temubualnya dengan majalah Pentas (Mac/April 2007) bahawa sekiranya masyarakat sedar dan mengerti akan peranan dan tujuan seni teater yang sebenarnya, sudah pasti mereka tidak akan teragak-agak untuk menubuhkan jabatan teater yang lengkap, malah akan melaksanakannya dengan cepat supaya Malaysia boleh membangunkankan teater yang mampu memberikan identiti dan daulat dalam seni budaya dunia.
Peranan dan tanggungjawab FTKW UMK bukan sekadar memberikan ilmu, malah sebagai sebagai institusi pendidikan tinggi perlu lebih giat membuat kajian dan penyelidikan terhadap seni dan budaya yang ada agar kemelut pemahaman dan kepercayaan yang membelenggu dan menghalang perkembangan seni dan budaya di Kelantan dapat diatasi. Ini bakal mengangkat UMK sebagai pusat pelestarian dan keusahawanan kepada kegiatan teater khususnya teater tradisional bermutu di sebelah Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan Kelantan akan kembali menjadi kota budaya yang disegani. Kewujudan bidang pengajian seni persembahan di FTKW UMK adalah satu langkah bijak dan tepat pada ketikanya dalam usaha UMK untuk memartabatkan seni budaya Kelantan yang diversiti. Pihak pengurusan UMK perlu membuka mata dan melihat seni persembahan berupaya menyumbang kepada pembangunan universiti dan negeri. Tidak merugikan jika UMK bersedia untuk membuat pelaburan besar kepada membangunkan bidang seni persembahan ini kerana pulangan jangka panjangnya agak besar kepada FTKW, UMK dan negara. Janganlah kita memandang sepi akan seni budaya yang ada di sekeliling kita kerana seni budaya itu lambang jatidiri sesuatu bangsa bertamadun. Sesuatu yang amat memalukan sekali apabila jika UMK terus bersikap sepi dan `tak apa’ melihat institusi pengajian tinggi di luar negeri Kelantan terus beria-ia untuk menguasai seni budaya yang asalnya datang dari Kelantan. Dikhuatiri, jika ia berterusan, seni budaya milik Kelantan ini akan menjadi milik masyarakat bukan Kelantan dan anak jati Kelantan sendiri tidak akan mengenali seni budaya mereka.
Semoga dengan wujudnya sebuah pusat pengajian seni persembahan di Kelantan khususnya teater di UMK akan dapat mengembalikan zaman kegemilangan teater yang berilmu dan berkualiti di Pantai Timur ini seperti pandangan yang diutarakan oleh Dato Syed Alwi dalam temubualnya dengan majalah Pentas (Jil.2 Bil. 3, Mei & Jun 2007) bahawa sekiranya masyarakat sedar dan mengerti akan peranan dan tujuan seni teater yang sebenarnya, sudah pasti mereka tidak akan teragak-agak untuk menubuhkan jabatan teater yang lengkap, malah akan melaksanakannya dengan cepat supaya Malaysia boleh membangunkankan teater yang mampu memberikan identiti dan daulat dalam seni budaya dunia.
Rujukan
1.Edwin Wilson (2009). The Theatre Experience. McGraw-Hill Higher Education. New York.
2.Mohamed Ghouse Nasuruddin. (2007), Mac, Kita Tak Ada Institusi Teater?, Pentas, 6 – 9.
3.Staub. A.W. (1973). Creating Theatre; The Art of Theatrical Directing. New York. Harper & Row Publisher.
Comments