KEUNIKAN FILEM KOREA
Aku bukan fanatik sangat dengan filem Korea ni cuma aku sangat memilih genre filem yang aku nak tonton, antaranya yang aku ingat ialah The Kingdom, The Host, lepas tu Train to Busan, next kepada The Good, The Bad, The Weird. Then tengok Bulgasal, lepas tu GeongSeong Creatures, My Name... terus ke Jirisan. Kalau korang alert dengan pilihan filem aku tu, korang tau la taste genre aku yang macamana... So hasil menonton sekian lama filem-filem Korea ni, aku dapat menyimpulkan beberapa perkara.
Filem Korea ni aku anggap lebih unik berbanding dengan filem dari Hollywood. Filem Hollywood semacam da kekurangan sentuhan yang umphh. Filem Korea rata-rata mengambil pendekatan berbeza, tidak konvensional, malah berani menceritakan sesuatu kisah dengan menggali tema-tema yang lebih mendalam dan kompleks, termasuk isu-isu sosial dan psikologi. Filem Korea gemar menekankan pada hubungan emosional kemanusiaan sama ada percintaan, persahabatan, atau hubungan kekeluargaan. Gambaran emosi dan konflik interpersonal dipaparkan secara lebih mendalam. Sutradara dan penulis filem Korea gemar sekali melakukan eksplorasi isu-isu sosial dan politik dengan cara yang lebih tajam dan memberikan sudut pandangan yang berbeza.
Kalau menonton filem Korea kena banyak bersabar, sediakan tisu yang banyak. Kecenderungan filem Korea ialah penumpuan perhatian yang lebih besar kepada pembangunan watak-wataknya yang membuatkan penonton merasa lebih terhubung dengan watak-wataknya dan sekaligus dapat membantu meningkatkan pengalaman menonton. Selain itu, durasi filem Korea ni biasanya lebih panjang dibandingkan dengan filem Hollywood, sampai berbelas-belas episod (sampai ada yang tak tidur malam dibuatnya). Keadaan ini dapat memberikan ruang lebih untuk pengembangan watak dan plot yang kompleks menjadikan penonton termasuk dalam ceritanya terus. Itu yang kadang-kadang ada orang yang terperasan jadi watak hero, yang bercinta tu terbawa-bawa dan cuba untuk meniru gaya dan kehidupan watak dalam filem yang ditontonnya ke dalam kehidupan sebenarnya. Hmmmm.
Yang ketara sekali adalah kebanyakan filem Korea ni sering menyajikan percampuran genre dan sutradaranya tidak gentar untuk menjelajahi pelbagai genre dalam sebuah cerita. Filem Korea turut dikenali kerana plot twist yang tak terduga. Mereka tidak ragu-ragu untuk mengubah arah cerita secara mendadak. Ini yang banyak memberikan kejutan kepada penonton dan unik sebab penonton tidak dapat menjangka what and how its happen!!!!
Martin Scorsese seorang pembuat filem pernah berkata; “Movies touch our hearts and awaken our vision, and change the way we see things. Filem ni umpama jambatan penghubung kepada budaya dan bangsa. Kebanyakan filem Korea sangat terkenal dengan elemen sinematografinya yang menarik dan cantik. Penggunaan visual dan pencahayaan yang kreatif sehingga dapat menciptakan suasana dan atmosfera yang unik dan berkesan dalam setiap adegannya, khususnya dari aspek komposisi visual yang melibatkan framing yang kreatif serta simetri visual yang estetik dan dramatik sehingga dapat memikat perhatian penonton untuk terus lekat di depan kaca komputer untuk terus menonton. Kalau korang perhatikan pula pada pemilihan warnanya, kebanyakan filem Korea menonjolkan pallet warna yang khusus untuk menciptakan nuansa tertentu yang menjelaskan perubahan suasana. Pemilihan warna yang khusus dan terkawal ini juga dapat memberikan kesan yang mendalam pada perasaan penonton sehingga penonton merasakan hebatnya negara Korea ni.
Sutradara filem Korea juga suka bermain dengan simbolisme visual dalam menyampaikan mesejnya. Pendetailan pada latar set, busana dan props, tataan rias berupaya menjelaskan latar budaya, sejarah mahupun perwatakan wataknya. Kebanyakan filem Korea sangat memanfaatkan latar tempat yang menarik dan bersejarah yang ada di Korea, disamping ia menjadi satu kaedah mempromosi negaranya, ia sekaligus menciptakan suasana yang unik yang jarang ditemui dalam filem Hollywood. Filem Korea memasukkan elemen-elemen budaya dan tradisi Korea, baik dalam setting maupun dalam elemen cerita, memberikan penonton gambaran yang lebih mendalam tentang kehidupan dan nilai-nilai Korea. Siapa tak pandai berbahasa korea atau meniru gaya korean? Tengok kereta dan makanan yang dipaparkan. Semua jenama Korea! Ini jarang berlaku dalam filem kita kat Malaysia. Unsur humor juga nampaknya macam satu kewajiban yang perlu ada dalam filem Korea tanpa mengira latar belakang genrenya. Tapi humornya bukan biasa-biasa, ada kelainannya. Tak caya? Cuba lah tengok.
Kesimpulannya, aku menonton filem bukan sekadar mengisi masa lapang sahaja tetapi aku menonton sebab ia dapat membangunkan pengalaman dan memperkayakan keupayaan diri sebagai pengamal teater. Walaupun filem dan teater ni memiliki perbezaan terutama dalam medium perlaksanaannya, namun ada sejumlah aspek kreatif dan teknik yang aku rasa dapat memberikan inspirasi dan pengaruh positif kepada pembangunan ilmu sedia ada. Kalau tak, mengapa guru teater kamu selalu kata, kena banyak menonton filem?
Apa lagi filem korea yang korang boleh suggestkan kat aku untuk menonton?
Comments